Selain isu tempat asuhan dan taska, tempat penyusuan juga merupakan isu besar bagi golongan ibu. Di Malaysia, masih kurang kesedaran tentang tempat penyusuan yang selesa untuk golongan ibu. Akibat kekangan ini, ramai ibu yang mengambil inisiatif untuk menyusu di tempat awam dengan menggunakan nursing cover untuk melindungi aurat.
Beberapa hari lalu, pihak kementerian berkaitan juga telah mengambil langkah proaktif dengan mencadangkan pelbagai usaha untuk memastikan SEMUA agensi kerajaan akan memiliki pusat jagaan kanak kanak seawal tahun hadapan.
Walaupun, isu penyusuan susu ibu tidak akan menyebabkan kematian, namun ia merupakan antara isu yang wajar di beri perhatian.
Sehingga kini, masih ramai wanita terutamanya wanita bekerja tidak dapat meneruskan penyusuan susu ibu secara eksklusif berikutan polisi di tempat kerja tidak menyokong aktiviti penyusuan susu ibu di tempat kerja.
Di Malaysia, penyusuan susu ibu di tempat awam masih tidak dapat di terima secara meluas oleh semua pihak, maka adalah penting untuk lebih banyak fasiliti dan kemudahan bilik penyusan susu ibu disediakan.
Ads
Menyedihkan apabila masih ramai ibu yang terpaksa menyusu dan mengepam susu di tempat yang kurang bersesuaian seperti di dalam stor dan di dalam surau.
Elemen untuk menjayakan Program Penyusuan Susu Ibu di tempat kerja
Sokongan kepada program penyusuan susu ibu untuk menggalakkan penyusuan ibu sepenuhnya di tempat kerja memerlukan pihak majikan mempertimbangkan perkara-perkara yang berikut:
a) Menyediakan bilik penyusuan
b) Mewujudkan tatacara mengenai keupayaan dan fleksibiliti untuk penyusuan susu ibu
c) menggalakkan aktiviti pendidikan mengenai penyusuan susu ibu dan lain-lain bentuk sokongan di tempat kerja.
Ads
Apakah Faedah dan Manfaat Menyokong Polisi Penyusuan Susu Ibu Kepada Pekerja?
Pihak majikan sektor korporat akan memperolehi banyak faedah dalam perniagaan mereka kerana menyokong program penyusuan susu ibu.
Program ini bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan ibu dan anak malah menjana keuntungan yang cukup besar dari segi ekonomi kepada perniagaan kerana terdapat pengurangan dari segi kos jagaan kesihatan pekerja, penurunan kadar ketidakhadiran, peningkatan dalam produktiviti, penambahbaikan mutu pekerja dan peningkatan imej korporat.
Sebuah syarikat yang beroperasi di Amerika Syarikat dan dikenali sebagai CIGNA Corporation telah menjalankan suatu kajian selama dua tahun ke atas 343 orang pekerja yang menyertai program menyokong penyusuan ibu.
Kajian ini menunjukkan pulangan kewangan yang berikut bagi tahun 2010:
Penjimatan tahunan sebanyak $240,000 dalam perbelanjaan jagaan kesihatan bagi ibu yang menyusu dengan susu badan dan kanak-kanak yang diberikan susu badan;
Pengurangan sebanyak 77% dalam waktu bekerja yang hilang kerana bayi yang sakit, dengan penjimatan tahunan sebanyak $60,000;
Kos farmasi yang rendah kerana preskripsi yang diperlukan oleh bayi yang sakit berkurangan sebanyak 62%;.
Di harapkan pihak kementerian yang berkaitan dapat membawa isu ini untuk di ketengahkan dan menggesa agar sokongan polisi penyusuan susu ibu di perluaskan.
Sama seperti ibu bapa lain, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut mendoakan anaknya menjadi anak solehah satu hari nanti.
Sebagai tanda bersyukur di atas kurniaan zuriat yang sekian lama dinantikan, Siti dan suami, Dato Sri Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk K meraikan kelahiran bayi yang diberi nama Siti Aafiyah mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.
Siti dan suami memilih hari ke-7 sebagai hari untuk mereka memberi nama yang baik kepada puteri sulung seperti mana yang dianjurkan oleh sunnah Nabi Muhammad s.aw.
Ibu bapa mestilah memberikan nama yang elok dan membawa makna baik kepada anak yang baru lahir kerana nama itu yang akan dipanggil di hari akhirat kelak.
Nampaknya Siti dan suami sepakat memilih nama yang ringkas dan mudah disebut iaitu Siti Aafiyah untuk comel pipi merah mereka yang dalam tempoh seminggu sebelum ini dipanggil dengan nama timangan Fatimah Az-Zahra sempena nama puteri Rasulullah s.a.w.
Menurut Siti, suaminya sendiri yang mendapat ilham nama untuk anak mereka ketika berada di Tanah Suci Mekah semasa membaca satu doa pendek yang ada sebutan “Aafiyah”.
Doa tersebut adalah Allahumma inni asaluka al’afiyah (Ya Allah, aku meminta kepada kamu ‘afiyah)
Afiyah membawa maksud untuk menyelamatkan daripada sebarang kesusahan yang menimpa, untuk menjadi sihat, kita berada dalam afiyah, untuk mempunyai wang, kita berada dalam afiyah, untuk hidup, kita berada dalam afiyah, untuk mempunyai anak-anak kita dilindungi, kita berada dalam afiyah. Dan jika kita sudah diampuni dan tidak dihukum, kita berada dalam ‘afiyah.
“Suami selalu baca doa itu. Dia tanya setuju tak bagi nama Aafiyah yang membawa maksud segala-gala yang baik. Bila saya kerap memikirkan nama itu, kebetulan setiap hari saya dapat update doa-doa di handphone yang banyak menyebut “Aafiyah”, jelas Siti tentang pemilihan nama anaknya itu.
Mengenai nama panggilan anaknya selepas diberi nama sebenar, Siti dan suami sepakat untuk terus memanggil nama penuh pada Siti Aafiyah.
“Harapnya dah bagi nama yang baik, bila hari-hari sebut nama tu dapatlah tempias maksud Aafiyah. Saya pun dapat juga doa maksud Aafiyah tu,” ujarnya yang akan membahasakan diri sebagai Ibu kepada anaknya.
Berpegang kepada sunnah Nabi yang ada disebut dalam satu hadis yang bermaksud:
Dari Abu Musa Al-Asy’ari, ia berkata.
“Anak lelakiku baru saja lahir, lantas aku membawanya kepada Rasulullah SAW. Sesampainya di hadapannya, Baginda memberinya nama Ibrahim, lalu mentahniknya dengan kurma dan memohonkan keberkatan baginya, setelah itu menyerahkan kembali bayi itu kepadaku.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)
Justeru, penyanyi kesayangan ramai ini turut menjemput Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli al-Bakri untuk meraikan kelahiran puteri kesayangan serta melakukan tahnik.
Selain itu Siti turut menjemput ramai guru dan ustaz yang banyak membimbing keluarga mereka untuk turut sama melakukan amalan sunat ini serta mendoakan kelahiran Siti Aafiyah.
Semua sedia maklum, Siti menantikan selama 11 tahun untuk bergelar seorang ibu. Katanya, dia sentiasa berdoa supaya diberi pengalaman menjadi ibu dan bersyukur sangat kepada Allah SWT kerana memberikannya pengalaman terindah tersebut.
“Saya hargai dan bersyukur kepada Allah, kepada ibu yang melahirkan saya dan ibu mertua yang telah melahirkan suami saya. Ini anugerah yang terindah dalam hidup saya.”
Menganggap anak adalah amanah dari Allah dan juga dugaan kepada ibu bapa, Siti dan suami bertekad untuk berikan yang terbaik untuk anaknya terutama bab didikan agama, adab dan pelajaran.
Sebagai tanda kesyukuran, Siti dan Khalid turut mengadakan ibadah aqiqah pada hari ke-7 kelahiran puteri sulung mereka.
Menurut Siti, antara cabaran selepas bersalin yang dirasakan adalah menyusukan anak.
“Ia bukan senang Ya Allah. Tapi bila fikirkan mak saya boleh jaga anak sampai lapan orang dan menyusukan kami semua dan tak tidur malam, apalah sangat saya yang baru anak seorang ni,” beritahu Siti.
Siti bersyukur kerana menantunya Tya Ariffin banya membantunya terutama dalam bab menyusukan anak.
“Menantu saya, Tya macam cikgu. Dia banyak membantu, ajar tentang menyusu bayi. Macam-macam dia ajar. Kalau orang lain lepas bersalin, selalunya mak yang ajar anak tapi saya special sebab menantu yang ajar,” ceritanya tersenyum bahagia.
Menurutnya lagi, setiap bayi memang mempunyai ragam yang berbeza. Oleh kerana nak membesar maka Aafiyah juga semakin kerap menyusu.
“Tak mengapalah saya kena berkorban. Buat semua kerana Allah sebab nak tengok anak membesar dengan sihat,” cerita Siti tentang ragam anaknya sendiri yang kuat tidur waktu siang dan malam pula asyik berjaga.
Mengakui sejak seminggu selepas melahirkan anak tiada lagi istilah tidur lena, Siti yang hanya tidur selama tiga jam pada hari tersebut bersyukur kerana diberi kesihatan dan kekuatan untuk menjayakan majlis meraikan anaknya.
Siti yang melahirkan Siti Aafiyah secara pembedahan caesarean pada 19 Mac lepas bercerita pengalamannya yang kehilangan banyak darah ketika proses kelahiran puterinya atas sebab-sebab tertentu.
Beliau bersyukur atas kecekapan para doktor yang merawatnya sehingga dia kembali sihat semula. Katanya pada hari ketiga lepas bersalin, dia sudah kuatkan semangat untuk bangun berjalan.
Walaupun luka pembedahan masih sakit, tetapi Siti percaya ibu yang bersalin secara caesarean tak boleh terlalu banyak berbaring. Sebaliknya kena kuatkan diri dan semangat untuk cepat sembuh.
“Kita yang lahirkan anak so kena kuat. Bila tengok baby depan mata, hilang segala sakit melahirkannya,” demikian Siti berkongsi tip bagaimana dia kelihatan sudah kuat walaupun baru seminggu bersalin.
Pernah melalui tempoh masa yang lama sebelum dikurniakan zuriat, Siti turut menasihatkan pasangan yang masih belum dikurniakan anak supaya jangan berputus asa.
“Saya tak pernah putus asa dan tak putus berdoa serta sentiasa bersangka baik dengan Allah. Dalam hati sentiasa cakap Allah akan bagi saya anak pada tarikh, hari dan masa yang terbaik.
Saya pergi umrah banyak kali, dan doa yang sama akan saya pinta pada Allah. Saya tahu Allah akan jawab doa saya satu hari nanti. Teruskan berusaha dengan cara tradisional dan moden,” ujarnya memberi kata-kata semangat pada wanita yang masih belum mendapat cahaya mata.
Di sebalik penderitaan fizikal dan tekanan hidup yang mencengkam, sebuah keluarga kecil membuktikan bahawa kasih sayang dan pengorbanan adalah kekuatan utama dalam menghadapi ujian. Kisah menyayat hati ini tular di TikTok apabila seorang warga emas yang menghidap pelbagai penyakit kronik, tetap memilih untuk menjaga isterinya yang terlantar sakit, dengan penuh kasih dan setia.
Warga emas tersebut sebelum ini pernah menjadi perhatian ramai apabila memohon agar Tuhan memberikan keajaiban untuk isterinya yang kini tidak mampu lagi bercakap dan kakinya telah dipotong. Meskipun dirinya sendiri diuji dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan kegagalan buah pinggang tahap lima, cintanya tidak pernah pudar.
“Mak cik sakit. Kaki dia pun sudah dipotong. Dia tidak boleh bercakap lagi. Sekarang saya jaga dia.” “Doktor suruh buat dialisis, saya tak mahu. Nanti susah tiada siapa nak jaga isteri saya.”
Namun kisah cinta ini tidak hanya tertumpu pada pasangan warga emas itu. Di sebalik ketabahan mereka, berdirilah seorang anak perempuan yang memikul beban besar pada usia muda. Dalam sebuah rakaman luahan emosi yang tular, anak perempuan mereka berkongsi isi hatinya yang selama ini dipendam jauh di lubuk jiwa.
“Saya kerja part-time je sekarang. Mak bapak saya dua-dua sakit. Jadi saya lebih rela jaga mereka.” “Kalau ada peluang, saya memang nak sambung diploma. Cita-cita saya nak jadi cikgu.” “Tapi sebabkan ibu ayah saya sakit, saya pilih untuk jaga mereka dulu.”
Bukan sahaja mengorbankan pendidikan, anak muda ini juga menyimpan kerinduan mendalam terhadap saat-saat bahagia yang pernah mereka sekeluarga lalui bersama.
“Apa yang saya paling rindu adalah makan sama-sama .” “Tapi saya tak pernah tunjuk dekat diorang saya sedih atau saya lemah. Saya kuat demi diorang.” “Saya nak cakap pada ayah dan ibu, semoga cepat sihat. Saya harap ayah dan ibu selalu bahagia.”
Kisah keluarga ini menjadi refleksi mendalam buat masyarakat bahawa erti kasih sebenar bukanlah pada kesempurnaan, tetapi pada ketulusan hati untuk menerima dan menjaga, walau dalam keadaan yang paling sukar. Baik si ayah yang sanggup menolak rawatan demi menjaga isterinya, mahupun si anak yang menangguhkan masa depannya demi dua insan tercinta, semuanya adalah lambang cinta yang tidak dapat dinilai dengan apa jua harta dunia.
Di akhir perkongsian, warga emas tersebut sempat berpesan kepada para suami di luar sana,
“kalau ada isteri macam ni, sihat sayang, sakit pun kena sayang juga, tak boleh tinggalkan dia”
Keluarga ini bukan hanya mengajar kita tentang pengorbanan, tetapi juga tentang harapan. Dalam dunia yang sering menyanjung kesempurnaan, mereka hadir dengan kekurangan namun penuh kasih. Semoga kisah mereka menjadi inspirasi buat kita semua agar lebih menghargai keluarga dan tidak berputus asa walau seberat mana dugaan yang datang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Akibat kecuaian orang lain, orang lain pula yang jadi mangsa. Ini yang berlaku pada satu keluarga apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya setelah dilanggar oleh kereta yang sehingga hari ini belum dapat dikenal pasti lagi.
Detik cemas yang melibatkan Abdul Azim sekeluarga ini ibarat satu mimpi ngeri yang tak akan dilupakan sampai bila-bila sehingga melibatkan mereka sekeluarga cedera dan kereta rosak teruk.
Dilanggar dari belakang, kereta melambung sehingga ‘melekat’ di pokok
Apa beza kamu dengan pembunuh yang membunuh kanak-kanak dan wanita? Ya kamu sama tiada bezanya! Itulah kami tujukan kepada pelanggar lari yang melanggar kenderaan kami. Kamu hampir membunuh kami berempat sekeluarga.
Menceritakan kisah itu, Abdul Azim memberitahu bahawa kejadian tersebut berlaku sekitar jam 12 tengah malam pada 14 Mei 2020 (khamis) yang lalu di mana dia bersama isteri dan dua orang anaknya baru sahaja pulang dari rumah abang ipar di Taman Desa Mutiara, Johor.
Dia menggunakan Lebuhraya Pasir Gudang untuk pulang ke rumah mereka yang terletak di Taman Uda Utama. Ketika dalam perjalanan, kereta yang dipandunya berada di lorong kiri dengan kelajuan yang sangat sederhana. Pada ketika itu, mereka sekeluarga terdengar satu bunyi dentuman yang sangat kuat di bahagian belakang kanan tempat pemandu sebelum kereta tersebut terbabas dan melambung sehingga ‘melekat’ di pokok.
Rugi hampir RM25k, kereta declare total lost
Lebih mengejutkan apabila melihat isteri dan anak lelakinya yang baru sahaja berusia 3 tahun telah terpelanting keluar sementara dia dan anak perempuannya yang berumur 8 tahun masih berada di dalam kereta. Keadaan ketika itu sangat cemas lebih-lebih lagi apabila mendapati anak lelakinya yang berada di kawasan semak samun dalam keadaan yang tidak sedarkan diri dan isterinya sudah meraung kesakitan. Tetapi malangnya tiada satu kenderaan pun yang berhenti untuk membantu kerana keadaan jalan pada ketika itu agak gelap.
Menurut Azim, kenderaan yang melanggar keretanya juga tiada di situ. Tanpa berfikir panjang, Azim menghubungi abang ipar dan ibu mertuanya untuk meminta pertolongan dan akhirnya selepas 20 minit mereka tiba di lokasi kejadian. Mereka sekeluarga kemudian di bawa ke hospital dengan menaiki ambulans.
Kereta yang melanggar kami adalah sangat-sangat laju sehinggakan kami boleh melambung berpusing sebanyak 4 hingga 5 kali. Kami sekeluarga mengalami kerugian hampir RM25 ribu kerana kenderaan kami di declare total lost dengan kos rawatan hospital ubat ubatan yang ditanggung oleh pihak kami sendiri!
Harap dapat pengadilan, syukur keluarga masih selamat
Sementara itu, Azim turut meminta pelaku yang telah melanggar keretanya itu supaya tampil bertanggungjawab atas tindakan yang dilakukannya. Tambahnya lagi, dia dan keluarga akan discharge dari wad tetapi mereka masih dalam proses penyembuhan dan perlu berulang ke hospital selama 2 hingga 3 bulan untuk kembali sihat seperti sedia kala. Dia juga turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa membantu serta mendoakan kesejahteraan mereka sekeluarga.
Dalam pada itu, dia juga memaklumkan bahawa dia langsung tidak perasan jenis kenderaan dan nombor plat kereta yang melanggarnya itu. Difahamkan, mereka akan membuat laporan polis dan mendapatkan rakaman CCTV di kawasan tersebut.