Umur berapa sesuai bawa anak keluar malam? Ada segelintir ibu bapa yang tidak ambil hirau tentang hal ini. Mereka bawa bayi keluar hingga larut malam seolah-olah sudah tidak ada siang lagi esoknya.

Ada juga ibu bapa yang tak kisah dan turut menjadikan anak kecil sebagai mangsa ibu bapa melepak dengan rakan sehingga anak menguap beberapa kali pun tak dihiraukannya.

Kalau dulu jangan haraplah nak bawa anak keluar malam-malam. Mesti mak kita akan marah. Tak baik kata mereka. Kalau keluar pun mungkin atas sebab kecemasan seperti ke hospital atau urusan keluarga.

Namun, sekarang ini bawa anak keluar malam seolah-olah perkara biasa. Tidak ada yang pelik bagi mereka. Kalau tidak dibawa siapa nak jaga dia di rumah? Mungkin itu, jawapannya. Sebaiknya tanya pada diri sendiri, perlu ke bawa anak keluar malam?

Ada 7 sebab kenapa anda tidak wajar bawa anak kecil keluar malam:

Antibodi

Perlu diingatkan bahawa bayi dan kanak-kanak bawah 6 tahun masih lemah antibodi. Ertinya imun sistem mereka belum kuat. Apatah lagi bayi bawah usia 6 bulan. Mereka masih belum lagi menerima vaksin yang lengkap. Jadi, jika dia terdedah kepada persekitaran yang tidak sihat atau terbuka seperti pesta/karnival, mungkin dia akan mudah diserang penyakit atau wabak yang sedang merebak.

Nyamuk

Anda tahu tentang denggi dan virus zika bukan? Dua-dua penyakit maut ini dibawa oleh nyamuk. Jadi, seboleh mungkin elakkan bawa anak keluar malam di tempat terbuka kerana anda mungkin tidak sedar yang dia digigit nyamuk.

Sejuk

Bayi anda mungkin tidak tahan sejuk dan dia mungkin akan mengalami masalah hidung tersumbat jika terdedah pada udara sejuk yang keterlaluan. Udara di dalam kompleks beli-belah mungkin lebih sejuk pada waktu malam. Jika hendak membawa bayi anda, pastikan anda menyediakan selimut atau pakaian tebal untuknya.

Letih

Jika anda sendiri berasa letih kerana berdiri atau duduk terlalu lama, bayi pun begitu. Dia pun akan keletihan jika berada pada satu-satu posisi dalam keadaan yang terlalu lama. Jika ingin keluar, selesaikan urusan anda secepat mungkin. Anda mungkin gemar bersantai tetapi bayi anda yang berasa tidak selesa atau tidak puas tidur akan mengamuk kerana waktu tidurnya dah ‘di curi’ oleh ibu bapa.

Bising

Ada mama papa yang bawa anak ke pesta atau pawagam yang menggunakan sistem bunyi yang sangat kuat. Ingat gegendang telinga bayi atau kanak-kanak belum mampu menerima bunyi yang terlalu kuat. Elakkan berada di kawasan yang dekat dengan ‘speaker’. Lebih baik jangan pergi langsung atau tinggalkan anak pada penjaga.

Takut

Bayi anda memang comel dan orang suka menegur atau mencubit atau mencium pipinya. Hati-hatilah dalam hal ini. Bayi anda masih belum kuat antibodinya. Sebaiknya jangan kerap mendedahkan anak anda kepada situasi yang orang lain teruja melihatnya. Dia mungkin terkejut dan trauma jika dipegang oleh orang ‘asing’.Lapar

Bila badan penat, mengantuk anak mulalah mengamuk. Mood yang tak elok ini akan buatkan anak merajuk tak mahu makan atau minum. Bila keadaan ini berterusan beberapa jam, akhirnya dia akan berasa sangat dahaga atau lapar. Disebabkan perut kosong, berlaku masalah kolik atau kembung. Akhirnya anak akan menangis sepanjang malam biarpun telah pulang ke rumah.

Sumber: mamanet