
‘Selalu bertanya kenapa aku Ya Allah’, itulah luahan hati seorang ibu yang kehilangan anak tunggalnya akibat kemalangan jalan raya. Kehilangan anak bukan perkara mudah, malah ia antara ujian paling berat dalam hidup seorang ibu dan ayah.
Kisah pilu ini dikongsikan oleh Amelia Kartika Mappatata, ibu kepada arwah Chempaka Alara Azizi atau lebih mesra dipanggil Bunga. Anak syurga berusia tiga tahun itu pergi buat selama-lamanya selepas terlibat dalam nahas pada 24 Ogos lalu di Muadzam Shah, Pahang.
Rindu Yang Tak Terubat
Sebelum ini, Amelia pernah tular apabila memuat naik video mendandan rambut arwah anaknya buat kali terakhir sebelum dikebumikan. Momen itu menyentuh hati ramai kerana jelas tergambar betapa mendalam kasih seorang ibu kepada anaknya.

Terbaharu, Amelia sekali lagi mencuri perhatian apabila memuat naik video berlatar belakang hitam. Jelas kelihatan kerinduan seorang ibu yang masih tidak mampu melupakan anak kesayangannya. Video itu disertai dengan nasihat seorang ustaz yang memberi ketenangan di hati.
@sapeah.seroja ada satu kata… didengar dengan diam, namun air mata riuh mengalir di pipi. ditutur dengan nada yang biasa.. namun menyentuh hati lebih dari kebiasaan. “setiap manusia kalau dia berpisah hidup, dia akan rasa dendam, tapi kalau dia berpisah mati, dia akan rasa sayang” terima kasih ustaz 🥹 @azizikarim73 ♬ original sound – Seroja Sapeah
Nasihat Ustaz, Belajar Ikhlas Terima Takdir
“Setiap manusia kalau dia berpisah hidup, dia akan rasa dendam. Tetapi, kalau berpisah mati, akan ada rasa sayang. Kita bersangka baik dengan Allah. Mungkin Allah nak bagi yang lain untuk kita. Kita rancang, tetapi takdir Allah yang tentukan,” pesan ustaz.
Bait-bait kata itu benar-benar menusuk ke hati Amelia. Ia mengingatkannya bahawa setiap musibah bukanlah tanda kebencian Tuhan, sebaliknya satu bentuk kasih sayang. Anak yang pergi terlebih dahulu akan menjadi penolong ibu bapanya di akhirat kelak.
Redha Dan Terus Melangkah
Walaupun luka masih segar, Amelia berusaha untuk ikhlas menerima takdir. Rasa rindu tidak akan pernah hilang, tetapi doa menjadi penghubung abadi antara seorang ibu dan anaknya. Sedekah atas nama anak, bacaan Al-Fatihah dan amalan baik akan terus menjadi bekalan pahala buat si kecil di alam sana.

Tragedi Yang Menguji Jiwa
Dalam nahas itu, Amelia turut cedera dengan patah rusuk dan tangan. Namun, luka di tubuh tidak sepedih luka di hati. Kehilangan anak tunggal adalah satu titik perubahan besar dalam hidupnya.
Meskipun berat, Amelia belajar untuk kuat kerana yakin setiap ujian yang datang adalah tanda Allah masih menyayanginya.
Pesanan Buat Ibu Bapa Yang Diuji
Buat ibu bapa lain yang diuji kehilangan anak, jadikan kisah ini sebagai sumber kekuatan. Ingatlah, anak syurga menanti ibu bapanya dengan senyuman di pintu Jannah. Jangan pernah berhenti berdoa, kerana kasih sayang itu kekal hingga ke akhirat.
Sesungguhnya, Allah tidak menguji seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Redha itu tidak mudah, tetapi di situlah letaknya ganjaran yang besar buat mereka yang sabar.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
















