Sempat meminta ibu membancuh minuman coklat, rupa-rupanya ia adalah sajian air tangan ibu terakhir yang dipinta sebelum pergi buat selama-lamanya.
Sebelum ditinggalkan untuk keluar berniaga, Muhammad Azfar Qayyum Md Said, 6 tahun kelihatan sihat dan tiada siapa menjangka yang dia bakal dijemput Allah. Pemergiaan secara mengejut adalah ujian yang berat buat keluarga ini.
Si kecil ini dikatakan bermain bersama bapa saudaranya di rumahnya di Kampung Bandar, Mukim Siong, Baling. Bagaimanapun pada tengah hari mangsa tidak sedarkan diri sebelum bapanya membawa kanak-kanak itu ke hospital.
BERMAIN DAN BERGURAU
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Abd Fatah Abd Rahman berkata, mangsa sebelum itu bermain dan bergurau dengan bapa saudaranya berusia 16 tahun yang dikategorikan ‘Sindrom Down’ di rumah mangsa.
“Keluarga mangsa memberitahu pada 7.30 malam Muhammad Azfar bermain ‘tumbuk-tumbuk’ dengan bapa saudaranya yang dikenali dengan panggilan Mi di bilik.
“Melihatkan keadaan itu, kedua-duanya ditegur daripada bermain sebegitu menyebabkan mereka berhenti sebelum menyambung semula,” katanya hari ini.
SIHAT SEBELUM DITINGGALKAN, CUMA LEBAM DI MUKA
Beliau berkata, berdasarkan percakapan ibu dan bapa mangsa, anak mereka berada dalam keadaan sihat meskipun terdapat kesan lebam pada muka pagi ini.
“Ibu mangsa kemudian keluar bekerja sehinggalah dimaklumkan suaminya anak mereka tiba-tiba tidak sedar diri 12 tengah hari.
“Muhammad Azfar kemudian dikejarkan ke Hospital Baling sebelum disahkan meninggal dunia 2.15 petang,” katanya.
Ads
LEBAM DI KEPALA & BADAN
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam di bahagian kepala dan badan mangsa.
“Berikutan itu polis menahan bapa saudara mangsa untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.
Usaha Harian Metro untuk mendapatkan keluarga mangsa tidak berjaya kerana mereka enggan ditemu bual.
ADIK TAK BERNIAT CEDERAKAN AZFAR
Ads
“Adik saya tidak ada niat mendatangkan kecederaan ke atas mangsa sehingga meninggal dunia.”
Begitulah luahan Nur Maizatul Akmar Abd Aziz, 27 yang juga ibu saudara kanak-kanak Muhammad Azfar Qayyum Md Said, 6, yang meninggal dunia semalam selepas bermain bersama bapa saudaranya yang juga adik kepada Maizatul di rumahnya di Kampung Bandar, Mukim Siong, Baling, Jumaat lalu.
Menurutnya, dia percaya adiknya berusia 16 tahun yang juga penghidap Sindrom Down itu tidak mempunyai niat untuk mendatangkan kematian kepada mangsa.
SAYANGKAN KANAK-KANAK
Difahamkan adik mereka yang dikenali sebagai Mi menyukai kanak-kanak dan sebelum ini tidak pernah menyebabkan kecederaan.
“Selama ini adik saya dan mangsa biasa bermain bersama dan mereka amat rapat jadi saya kenal sangat kelakuan adik saya.
Ads
“Walaupun dia mempunyai Sindrom Down tetapi dia amat sayangkan kanak-kanak malah sebelumnya ketika mereka bermain bersama tidak pernah terjadi apa pun,” katanya.
ALLAHYARHAM SEMPAT MINTA IBU BANCUH MINUMAN
Nur Maizatul berkata, pagi semalam mangsa sempat meminta ibunya membancuh minuman sebelum ibunya keluar berniaga.
“Pagi semalam, sebelum kakak saya (ibu mangsa) keluar berniaga nasi lemak, arwah ada minta padanya untuk membancuhkan minuman coklat panas.
“Arwah juga sempat melambai tangan kepada ibunya yang ketika itu sedang memakai tudung sehinggalah keluar rumah,” katanya.
TRAGEDI AMAT MENYEDIHKAN
Katanya, sehinggalah pada tengah hari semalam, ayah mangsa menyedari Muhammad Azfar berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terus membawa mangsa ke Hospital Baling.
“Tragedi itu amat menyedihkan kami sekeluarga namun kami reda dengan apa yang berlaku. Kami benar rasa kehilangan Muhammad Azfar sehingga kini,” katanya.
HENTAKAN OBJEK KERAS, BUKANNYA MAIN TUMBUK-TUMBUK
Nur Maizatul berkata, mangsa berkemungkinan terkena hentakan objek keras ketika sedang asyik bermain ‘pedang-pedang’ dan bukannya ‘tumbuk-tumbuk’ seperti diperkatakan.
Jenazah Muhammad Azfar akan dikebumikan di Kampung Banggol Durian, Sungai Taka, Serdang, Bandar Baharu
Selepas pembedahan yang berisiko tinggu berlangsung selama 5 jam Isnin lalu, Ainul Mardhiah, bayi perempuan yang menghidap kanser Germ Cell Tumour stabil dan mula memberi respons.
Dalam video yang dikongsikan oleh bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, Ainul kelihatan sudah boleh bergerak dan kelihatan aktif. Kelihatan ibunya, Nurul Erwani Zaidi sedang bercakap / memanggil / mengagah Ainul walau pun audionya tidak kedengaran.
Menurut bapanya, Ainul kini berada dalam keadaan stabil, tetapi masih direhatkan selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya di sebuah hospital, di London, Isnin lalu.
Bapanya, Ahmad Safiuddin berkata Ainul Mardhiah memerlukan rehat yang sepenuhnya kerana luka pembedahan masih baru.
Ainul ketika sebelum pembedahan.
AKAN DIPANTAU DALAM JANGKA MASA LAMA
Selain itu, bapa Ainul juga memberitahu keadaan anaknya perlu dipantau dalam tempoh lama untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik
“Saya difahamkan pihak hospital akan terus memantau keadaan Ainul Mardhiah buat masa ini dan akan memakan masa yang agak panjang.
TIDAK TAHU SEHINGGA BILA AKAN PULANG
Memandangkan keadaan Ainul yang masih perlu diperiksa dan dipantau supaya pulih, Ahmad Safiuddin tidak dapat menjangka kepulangan mereka sekeluarga ke tanah air.
“Jadi, saya masih tidak tahu sampai bila Ainul Mardhiah dirawat kerana doktor beritahu mereka perlu pastikan dia benar-benar pulih sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Ahmad Safiuddin dan isterinya, Nurul Erwani Zaidi, masing-masing berusia 24 tahun akan terus berada di London bagi menemani anak mereka menjalani beberapa rawatan susulan mengikut saranan pakar bedah.
Masih ramai lagi dalam kalangan kita yang teragak-agak adakah barang dapur yang dibeli perlu dicuci atau dijemur selepas membeli. Ini kerana pelbagai info dikongsikan selepas membeli elok dibasuh dulu atau dijemur untuk keselamatan ahli keluarga.
Hinggakan baru-baru ini viral dan ada yang mencadangkan pelbagai jenis cara untuk lakukannya.
Namun bagi menjawab persoalan ini, Dr Ahmad Samhan memberi panduan yang betul agar masyarakat tidak terlalu panik tetapi penting meningkatkan kebersihan diri.
Habis semua barang dapur direndam dengan air sabun! Janganlah terlalu bimbang dijangkiti virus sampai semua barang dapur kena rendam dengan air sabun.
Meh sini saya jelaskan,apa yang sepatutnya kalian buat lepas beli barang dapur. Tak payahlah duk ikut benda pelik-pelik.
Iya, memang virus ini boleh melekat pada permukaan seperti barang dapur tapi risiko jangkitan melalui barang amat rendah jika dibandingkan jangkitan melalui orang.
PERLU TAK NYAHKUMAN SEMUA BARANG DAPUR?
Pakar mikrobiology, Don Schaffner, Professor di bidang ‘food microbiology’ di Rutgers School of Environmental and Biological Sciences tidak galakkan untuk nyahkuman barang dapur yang dibeli. Ini agak keterlaluan.
PERLU TAK BAHAN MENTAH DI BASUH DENGAN SABUN?
Tidak. Memadai basuh dengan air sebelum masak. Kuman/virus akan mati bila dimasak dalam suhu yang panas. Pastikan dimasak dengan sempurna.
Tidak. Sabun atau bahan nyahkuman bukan dicipta untuk basuh makanan.
Menurut pakar pemakanan dari Universiti North Carolina State, Benjamin Chapman, minum atau makan sabun akan menyebabkan seseorang berasa sakit perut dan mual.Sabun dapat merosakkan saluran pencernaan menerusi gejala seperti muntah, cirit birit dan sakit perut.
Bahan kimia yang terdapat pada sabun akan menyerap ke dalam bahan-bahan itu meskipun sudah dibilas dengan air sehingga bersih.
Mencuci buah dan sayuran menggunakan jus lemon atau cuka juga tidak disarankan kerana tiada bukti sahih mengatakan ia mampu membunuh virus.
PERLU TAK JEMUR BARANG DAPUR ?
Tak perlu. Ingat, virus boleh melekat di permukaan tapi tak boleh membiak di permukaan. Ia perlu perumah(manusia) untuk terus membiak, jika tidak ia akan mati dengan sendiri. Virus tak bahaya jika berada pada barang tapi bahaya jika ia masuk ke mulut dan hidung.
Virus ini berjangkit :
1️⃣ Melalui rembesan cecair badan contohnya semasa bercakap, bersin dan batuk.
2️⃣ Melalui tangan yang tercemar dengan virus dan kemudian memegang mata, hidung dan mulut.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemukan lemas dalam Sungai Lubuk Badak, Kuala Kedua, Baling pada jam 5 petang (4 Mei).
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa, Muhammad Danish Iskandar Abdul Muizz bermain bersama ibu dan adik perempuannya berusia setahun di hadapan rumah mereka sebelum ditemui lemas dalam sungai.
“Ibunya dipercayai meninggalkannya sebentar untuk masuk ke rumah.
“Kehilangan mangsa disedari neneknya yang mendapati mangsa tiada,” katanya.
Mangsa dijumpai kurang dua kilometer dari lokasinya dipercayai jatuh. Kredit Gambar: Sinar Harian
Jumpa selipar di tepi sungai
Menurutnya, hasil pencarian, ibunya menemui selipar kanak-kanak itu di tepi sungai di belakang rumah mereka.
“Jarak rumah hanya kira-kira dua meter dari tebing sungai dan ketika ini paras sungai agak dalam berikutan keadaan hujan lebat sejak kebelakangan ini,” katanya.
Jumpa mangsa dalam keadaan terapung
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui di Sungai Lubuk Badak Kuala Kedua oleh orang asli Lubuk Legong dalam keadaan terapung.
“Jarak mangsa dijumpai kurang dua kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh,” katanya.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.