“Bukan tak redha, tapi hati ini terlalu rindu” itulah kata-kata yang paling tepat sekali buat ahli keluarga yang pernah merasai kehilangan insan tersayang. Tak mampu digambarkan melalui kata-kata betapa rindunya pada insan yang telah tiada.

Sama seperti anak kecil ini yang merindui arwah abangnya. Hanya mampu dilukiskan kisah mereka dalam sehelai kertas kosong yang menggambarkan mereka tetap satu keluarga walaupun si abang telah pergi buat selamanya. Lukisan dari anak kecil tersebut mengundang sebak ramai.

Lukisan rindu hati seorang Iman

Dapat wassap dari teacher Iman.

Sungguh..

Hati Mama tak kuat tatkala melihat hasil yang dilukiskan Iman. Airmata Mama laju mengalir. Lukisan yang jujur dari seorang anak kecil

Yang merindui seorang Abang. Diluahkan melalui sebuah lukisan. Terima kasih Iman. Sentiasa ingat pesan Mama

Jangan pernah lupakan Abang Adam kamu. Jangan lupa bacaan al fatihah untuk Abang Adam. Abang Adam tetap Abang kamu selamanya. Sampai bila-bila.

Mama tahu kamu rindu. Mama dan kita semua pun rindu. Tapi Abang Adam kamu dah berbahagia di sana. Dah sihat di sana. Pastinya di taman Syurga. Moga 1 hari nanti kita sekeluarga akan bersatu semula di sana.

Puan Norunajwa Safiei sudi berkongsi tentang pemergian anaknya yang berjuang dengan sakit kanser darah dan “menjadi kenangan buat selama-lamanya.

Penyakit yang paling ditakuti Allah uji pada anak

Tarikh 4 Februari setiap tahun adalah tarikh Hari Kanser Sedunia. Izinkan saya berkongsi kisah anak Syurga saya Adam yang diuji sakit kanser.

IKLAN

Sewaktu dimaklumkan anak menghidapi sakit kanser darah (leukimia) hati bagai tidak percaya. Lutut rasa lemah. Kepala rasa sakit bagai di hempap batu yang besar. Penyakit yang paling ditakuti akhirnya di alami oleh anak sendiri.

Hanya air mata sebagai peneman

Air mata sentiasa menjadi peneman. Anak saya juga sering menangis. Mungkin masih terkejut dengan suasana wad yang sangat asing baginya. Akhirnya, atas sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya tanamkan dalam diri yang saya perlu positif.

Perlu kuat di hadapan anak agar anak lebih kuat semangat. Walaupun dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Tapi saya cuba kelihatan tenang dan bagaikan tiada apa yang berlaku. Sentiasa layankan dan hiburkan hatinya.Berusaha untuk buat mereka tersenyum. Saya tidak mahu anak saya sedih. Tipulah jika saya tidak menangis. Tapi elakkan menangis di hadapannya.

Pengorbanan buat anak

Lama kelamaan anak saya juga semakin positif. Dia sentiasa tersenyum walaupun menanggung sakit yang dihadapinya. Sakit kanser bukan seperti sakit demam biasa. Tapi terlalu banyak ujian yang dialaminya selepas kimoterapi seperti ulser, demam, sakit badan. Bergantung kepada antibodi masing- masing.

Ujian yang dilalui buat saya lebih belajar. Belajar erti sebuah pengorbanan, kasih sayang dan kesabaran. Pengorbanan seorang ibu yang amat kasih dan sayangkan anaknya. Juga kesabaran dalam menjalani hari-hari bersama mereka.

IKLAN

Tanggal 27 Ogos Allah jemput kembali pada-Nya

Sungguh, kadangkala runtun hati saya sebagai seorang ibu bila melihat rawatan yang diterimanya di kala umur masih kecil begitu. Namun, bila memikirkan itu salah satu usaha, saya perlu juga kuatkan hati.

Akhirnya tanggal 27 Ogos 2020 anak saya pergi jua. Walaupun berat, tapi saya sekeluarga redha dan ikhlas. Berbaik sangka dengan Allah. Ada hikmah atas perancanganNya. Sakit cuma asbab.

Hakikatnya masa mereka telah tiba. Allah lebih sayangkan mereka. Hilang sudah segala kesakitan mereka. Buat ibu bapa yang diuji anak sakit kanser atau sakit lain, moga kalian sentiasa di permudahkan urusan.

Diberikan kekuatan dan kesabaran. Hanya kepada Allah kita memohon. Anggap ini sebagai satu ujian dan hikmah. Jika ada keluarga atau rakan yang mengalami situasi yang sama, berikanlah kata semangat. Kata semangat juga mampu untuk membuatkan mereka lebih kuat.

-Mama Wildan Syurga Muhammad Adam Furqan-

Tanggal 5 April 2013 

Tarikh di mana Mama melahirkan kamu
Mama sambut kelahiran kamu dengan tangisan gembira
Gembira menyambut kelahiran seorang bayi yang sangat comel.

Namun..
Allah pinjamkan kamu hanya beberapa tika
Mama harus pulangkan semula di saat umur kamu 7 tahun 4 bulan kepada Pemilik kamu yang hakiki
Ke negeri kamu yang abadi.
Saat bersama kamu sangat indah

IKLAN

Diberi peluang memeluk, mencium, membelai kamu dan menjaga kamu adalah satu kenangan terindah bagi Mama Ayah.
Syukur Allah bagi peluang itu walaupun cuma seketika.
Kamu anak yang sangat manja
Anak yang sangat menghiburkan
Sentiasa membuat satu perkara lain dari yang lain

Yang sehingga kini kami masih ingat segala kenangan kamu.
Senyuman kamu, tangisan kamu, gelak tawa kamu dan suara manja kamu…
Semuanya masih segar dalam ingatan.

Dan..
Hari ini 5 April 2021

Tahun pertama kami menyambut tanpa kehadiran kamu
Sungguh terasa kehilangan kamu.

Tiada lagi nyanyian lagu harijadi kamu
Hanya bacaan al fatihah dan surah Yaasin yang kami bacakan

Tiada lagi kek untuk kami raikan kamu
Tapi Mama berikan kek harijadi kamu pada insan2 yang pernah merawat kamu di wad 8C dulu.

Hadiah yang Mama sediakan untuk kamu akan Mama wakafkan agar pahalanya sentiasa mengalir untuk kamu.
Saudara mara kamu juga adakan tahlil sempena hari lahir kamu Adam.

Tanda ingatan mereka yang tak pernah lupakan kamu.
Selamat hari lahir Wildan Syurgaku Adam Furqan yang ke 8

Pastinya di sana lebih indah bersama rakan syurga kamu yang lain.
Tiada apa yang lebih indah melainkan taman Syurga yang sentiasa diimpikan semua orang.
Tunggu kami di sana ye Syg..dan Pimpin tangan kami di sana nanti..

AL FATIHAH..

Kredit: Norunajwa Bt Safiei

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)