
Bersempena program School Break Special Pa&Ma 2025, satu kelas asas renang telah berjaya dianjurkan dengan penyertaan seramai 30 orang kanak-kanak berusia daripada satu hingga 12 tahun.
Renang bukan sekadar aktiviti riadah ketika cuti sekolah, tetapi satu kemahiran hidup yang sangat penting untuk anak-anak. Pendedahan awal kepada air membantu anak membina keyakinan, mengawal pernafasan serta meningkatkan koordinasi tubuh.
Dalam masa yang sama, ia juga membantu perkembangan fizikal dan emosi anak kerana mereka belajar mengatasi rasa takut dan mencabar diri dalam persekitaran yang selamat.

Program ini berlangsung pada 19 Disember yang lalu bertempat di Splashtastik Hillpark, Bandar Puncak Alam. Seawal pagi, suasana sudah dipenuhi dengan gelak tawa dan wajah teruja anak-anak yang tidak sabar untuk turun ke kolam.
Belajar Melalui Aktiviti, Bukan Paksaan
Menariknya, kelas asas renang ini dirancang dengan pendekatan santai dan mesra kanak-kanak. Anak-anak tidak dipaksa untuk terus berenang, sebaliknya diperkenalkan dengan air secara berperingkat agar mereka berasa selesa dan selamat.

Pendekatan ini sangat penting terutamanya untuk kanak-kanak kecil yang baru pertama kali berinteraksi dengan kolam renang.
Bimbingan Jurulatih Bertauliah, Fokus Keselamatan dan Keyakinan
Sepanjang program berlangsung, kanak-kanak dibimbing oleh lebih kurang 10 orang jurulatih renang bertauliah yang berpengalaman. Antara asas penting yang diajar termasuklah teknik mengapungkan diri, cara bernafas di dalam air serta pengenalan kepada pergerakan asas renang.

Aktiviti ini sememangnya membuka ruang kepada kanak-kanak untuk menjadi lebih berani dan yakin ketika berada di dalam air, selain memahami kepentingan keselamatan sejak usia muda.

Dimulakan Dengan Senaman, Diteruskan Dengan Keriangan
Acara dimulakan dengan senaman pagi bagi memanaskan badan sebelum kesemua peserta dibawa ke kolam renang bersama jurulatih masing-masing. Kelas yang berlangsung selama satu jam 30 minit itu dipenuhi dengan aktiviti berstruktur, permainan air dan latihan asas yang sesuai mengikut peringkat umur.

Gabungan belajar dan bermain ini menjadikan sesi renang lebih menyeronokkan serta tidak membosankan buat anak-anak.
Ibu Ayah Turut Dapat Pendedahan dan Keyakinan
Menurut Nur Syabihah Binti Mohd Hasnan, Pengurus Splashtastik Hillpark, Bandar Puncak Alam mengatakan kolaborasi Splashtastik dan Pa&Ma ini bukan saja membantu untuk membina keyakinan anak-anak tetapi juga sebenarnya ibu ayah juga boleh melihat sendiri bagaimana kelas asas renang diadakan sekiranya mereka merancang untuk menghantar anak-anak di masa hadapan.

“Bila dah lihat sendiri bagaimana kelas asas renang, ibu ayah jadi lebih yakin dan sekurang-kurangnya mereka ada pengetahuan apa yang bakal anak-anak belajar. Trial class begini sangat penting untuk membantu ibu ayah melihat sendiri kepentingan belajar renang.
Selain itu, aktiviti begini dapat membantu mereka merancang cuti sekolah dengan pengisian yang bermanfaat buat anak-anak.”

Penutup Manis Dengan Senyuman dan Kenangan
Sebagai penutup program, kesemua peserta telah menerima goodies istimewa dan sijil penyertaan daripada Pa&Ma selain turut diserikan dengan acara cabutan bertuah.

Lebih daripada hadiah, pengalaman belajar renang dalam suasana selamat dan menyeronokkan ini pastinya menjadi kenangan manis buat anak-anak serta satu langkah awal yang bermakna dalam perkembangan diri mereka.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





