Seawal lahir, adik Muhammad Faris Amsyar Mohd Zurairi,5, dah tiada kulit di bahagian sebelah kanan kakinya dari paras lutut hingga tapak kaki.
Dilahirkan cukup bulan tetapi terpaksa czer kerana kedudukannya yang songsang, keadaan Faris mengejutkan ibunya, Norazilawani binti Zi kerana sewaktu buat scan semuanya normal. Paling sedih sewaktu dalam wad selepas lahir, doktor mendapati kaki sebelah kirinya juga turut terkesan dan mengalami luka akibat geseran.
Dari situ doktor mengesahkan Faris mengalami Epidermolysis Bullosa iaitu keadaan kulit rapuh dan alah pada geseran ataupun jika terjatuh boleh mendatangkan kecederaan.
Menurut ibunya, disebabkan keadaan itu segala aktiviti Faris terhad. Dia pun tak boleh keluar rumah dan hanya bermain dalam rumahnya. Kawan-kawan atau sepupu yang sebaya dengannya pun dah faham. Jika keluar rumah pun kerana ada temujanji hospital.
Ads
“Sekarang Faris menjalani terapi sebulan sekali di bahagian Cara Kerja Hospital Raja Perempuan Zainab II sebulan sekali untuk uji mindanya, berikan pendedahan aspek fizikal dan keyakinan diri.
“Menjaga Faris kena jadi cerewet. Tak boleh biarkan dia main sesuka hati kerana kasihan lihatnya menangis bila terjatuh atau terkena geseran. Jika tak diperhatikan keadaan kulitnya akan cepat terkoyak atau boleh berlaku lepuhan besar.
Ads
“Setakat ini kos rawatan sebulan mencecah RM2,000 untuk mencuci lukanya dan menjaga dari tidak menjadi teruk,” katanya.
Masih makan bubur
Bab makan juga Faris tak boleh makan makanan yang keras kerana takut lidahnya luka. Kalau makan biskut atau keropok ikan pun tak boleh. Nasi biji pun masih tak boleh makan dengan sempurna lagi.
Kini Faris hanya sesuai makan bubur nasi yang dikisar lembut dan makanan laut pun kena elak. Jika salah makan, kesannya Faris akan mula merengek gatal dan asyik nak menggaru.
Jika waktu malam dia gatal memang sangat kasihan kerana dia tak boleh nak menggaru disebabkan tiada kuku di jari tangan dan kaki. Nak tak nak ibunya akan bantu untuk gosok bagi dia rasa tenang.
Bagi yang ingin membantu rawatan adik Faris bolehlah hulurkan sumbangan di akaun Maybank 153104196259 atas nama ibunya Norazilawani
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kedah merupakan antara negeri tertinggi yang mencatatkan kes penolakan vaksin dengan 139 kes dilaporkan tahun lalu berbanding 133 kes pada tahun sebelumnya, kata Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail.
Beliau berkata pada 2016 sebanyak 176 kes menolak vaksin dicatatkan.
Ragu Status Vaksin Halal Atau Haram
Antara alasan penolakan vaksin di Kedah adalah keraguan terhadap status vaksin sama ada halal atau haram dan keraguan terhadap kandungan vaksin tidak selamat.
Pengaruh Keluarga
Sebab lain adalah pengaruh keluarga, mengamalkan perubatan homeopati dan bimbang dengan kesan sampingan vaksin.
17 Kes Difteria dicatatkan
Katanya sebanyak 17 kes difteria dicatatkan di Kedah daripada 2015 hingga 2017, dengan empat kematian direkodkan.
Dr Norhizan berkata, satu kematian akibat difteria direkodkan pada 2015, dua kematian (2016) serta satu kematian (2017) dan kesemua kanak-kanak berkenaan tidak mendapat vaksinasi.
Beliau berkata tiada kes difteria dilaporkan setakat tahun ini.
Mengadakan pendekatan bersama ulamak masuk ke perkampungan Anti Vaksin
Katanya, pihaknya melaksanakan pelbagai usaha khusus untuk kumpulan sasaran yang dikenal pasti sebagai penolak vaksin, antaranya mengadakan kumpulan sokongan dan merujuk keluarga berkenaan kepada pakar.
“Selain itu kita juga mengadakan pendekatan bersama ulamak dan masuk ke perkampungan antivaksin untuk adakan pendidikan kesihatan dan kaunseling,” katanya.
Setelah empat tahun menanti, akhirnya pelakon Shah Iskandar berkongsi khabar gembira mengenai kelahiran cahaya mata pertamanya hasil perkahwinan bersama isterinya, Siti Sarah Mohd Noor.
Cukup lama menanti, Shah ternyata cukup gembira dengan kelahiran cahaya mata lelaki, kurniaan dan rezeki Allah yang dinantikan sejak sekian lama.
Dalam pada itu, Shah yang berkongsi khabar gembira itu menerusi akaun instagram miliknya semalam merasa amat bersyukur kerana proses kelahiran anak lelakinya itu berjalan dengan lancar.
Malah khabarnya Shah dan isteri sudah pun memberikan nama buat bayi lelaki mereka.
“Assalamuakaikum semua, pada 10 Oktober 2020 jam 2.02 tengahari, isteri saya telah melahirkan cahaya mata pertama kami di Umra Hospital, Shah Alam.
“Alhamdulillah, proses bersalin isteri saya berjalan dengan mudah tambahan kakitangan hospital itu juga banyak membantu kami.
“Saya buat keputusan untuk tidak membuka media sosial selama tujuh hari selepas itu untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap isteri dan anak saya,” tulisnya.
Nama Cukup Indah
Rupanya Shah sudah pun menyediakan nama yang indah buat cahaya mata sulung mereka. Shah turut mengumumkan nama pilihan mereka untuk si comel kesayangan mereka ini.
“Akhir sekali, dengan berat 3.66 kilogram ketika dilahirkan, terima kasih Yusuf Zulkarnaen Shah Iskandar kerana melengkapkan kami.
“Awak umpama dunia buat kami, awak akan disayangi oleh semua, baik dalam keluarga mahupun rakan-rakan,” tulisnya lagi.
Sebuah nama yang cukup indah dan penuh makna. Semoga Yusof membesar menjadi anak soleh dan menjadi kebanggaan ayah dan ibunya.
Berterima Kasih Pada Isteri
Dalam pada itu, Shah turut mengucapkan terima kasih kepada isteri dan keluarga tercinta yang banyak membantunya sepanjang proses kelahiran Yusof. Malah pelakon hebat ini juga turut merakamkan penghargaan buat isteri tercintanya kerana melahirkan Yusof.
“Ucapan terima kasih kepada Sarah tidak akan pernah mencukupi kerana awak telah banyak berkorban dan melahirkan bayi comel kita. Saya sayang awak.
“Untuk keluarga mertua saya, terutamanya Mak, Abah, saya sangat beruntung dikurniakan keluarga ini, kami hargai semua sokongan yang diberikan.
“Untuk keluarga saya di Singapura terutamanya Mama, Nani, Shaheen Nadia dan suaminya Azlan, Shafiq, terima kasih untuk semua hadiah bayi dan sokongan yang diberikan, saya janji akan bawa pulang Sarah dan bayi kami apabila sempadan negara dibuka,” tulisnya lagi.
Bila anak anda melecur tangan akibat terkena air panas atau minyak panas cepat-cepat siramkan air panas ke tempat yang cedera. Itu pesanan ringkas yang dikongsikan oleh seorang doktor yang berpengalaman mengendalikan banyak kes membabitkan anak kecil cedera melecur.
Apabila sudah bergelar ibu bapa, anda wajib tahu bantuan rawatan asas untuk sebarang kes kecemasan. Ini kerana bila ada anak kecil, risiko berlaku sebarang kemalangan kecil di rumah mungkin ada.
Sebenarnya dengan tindakan pantas anda membuat rawatan kecemasan asas mampu menyelamatkan nyawa si kecil atau pun sekurang-kurangnya mengurangkan tahap kecederaan yang akan dialami.
Seorang doktor perubatan yang juga bergelar ibu, Hana Hadzrami berkongsi pengetahuan dan pengalaman tentang perkara asas yang perlu ibu bapa lakukan jika anak terkena minyak atau air panas di dalam facebook beliau.
“Beberapa bulan dahulu saya menjaga seorang bayi berumur setahun yang dirawat PICU akibat melecur lebih 40% badan. Habis kepala, muka, dada, tangannya kehilangan kulit, hanya tinggal isi yang merah.
Satu badan berbalut dengan hanya menampakkan sebahagian muka (sebahagian lagi ditutup dengan lapisan kolagen) dan kedua-dua belah kaki.
Dia memerlukan bantuan pernafasan dengan mesin bantuan hayat kerana tak mampu bernafas dengan baik.
Anak itu memerlukan pembedahan buang lapisan tisu mati serta menukar balutan (dressing) pada badannya setiap selang sehari.
Tersiram air kopi
Setiap kali dressing dilakukan ianya perlu dibuat di dewan bedah dengan bius penuh. Ini kerana tisu kulit yang mati atau membusuk harus dikikis buang untuk mencegah jangkitan kuman.
Puncanya ialah bayi itu menaiki walker dan menarik alas meja makan. Di atas meja pula ada seteko air panas yang baru setengah jam siap dididih.
Air panas itu telah tersiram pada kepala dan sebahagian besar tubuhnya. Menggelupur anak itu menahan sakit.
Saya teringat anak saya dulu sewaktu berumur dalam 3-4 tahun pernah tersiram kopi panas yang baru dibancuh dengan air mendidih; belum 15 minit selepas didih pun.
Kopi itu saya letakkan di rak almari sebelah atas. Namun anak saya telah memanjat almari dan mencapainya. Lalu kopi panas tersiram daripada kepala sampai ke badannya. Anak tadi melecur teruk sampai masuk ICU. Manakala anak saya selamat tak jadi apa-apa. Syukur!!
Rawatan asas
Kenapa boleh berbeza hasilnya sedangkan mengalami kemalangan yang sama? Bezanya ialah saya mengetahui bantuan rawatan asas (first aid) dan dengan izin Tuhan, berjaya mengaplikasi pengetahuan tersebut kepada anak sendiri.
Sebaik saja tersiram kopi panas, segera saya bawa dia ke bilik air dan saya siramkan air paip secara berterusan. Dengan bajunya sekali saya siram (kerana bajunya tipis).
Siraman itu perlu berterusan sehinggalah dia tak lagi berasa sakit dan tiada lagi kesan merah pada badannya.
Manakala anak yang malang tadi; ibubapanya tiada pengetahuan first aid. Dalam keadaan panik, terus anak itu di bawa ke hospital. Kulit yang tersiram air panas terus ‘masak’ secara perlahan-lahan kerana haba terus masuk kedalam kulit secara langsung.
Sampai di hospital, semua dah terlambat; lecur tadi dah jadi third degree burn. Kesian si anak perempuan tadi. Wajah dan tubuhnya takkan kembali seperti dulu!
Petua
Kerap saya terdengar cara merawat lecur dengan cara menyapu ubat gigi atau dengan merendam anggota melecur dalam guni tepung . Ada juga yang suruh sapu minyak masak. Bermacam jenis petua ada.
Petua-petua tersebut diturunkan oleh nenek moyang dengan niat baik. Namun ianya kurang tepat dan boleh memburukkan keadaan jika lecur itu serius dan melibatkan kawasan besar.
Jika tersiram minyak atau air panas, jangan panik. Segera bawa mangsa ke bilik air dan lalukan dengan air paip secara berterusan selama sekurang-kurangnya 20 minit atau hilang rasa sakit.
Jika anggota melecur dilitupi dengan barang kemas, lampin bayi atau pakaian tebal; tanggalkan dengan serta-merta supaya kulit boleh segera disejukkan sebelum ia ‘masak’.
Percayalah, jika first aid dilakukan dengan segera; jangankan melecur, tanda merah pun tiada. Belajarlah asas rawatan seperti mengendalikan luka kecil dan pendarahan, memberi rawatan permulaan bagi luka melecur, kerana kemalangan kerap terjadi dalam rumah.
Dengan pengetahuan rawatan asas, anda boleh mencegah kecederaan yang lebih besar.
Simpan barang berbahaya
Paling baik jika ada anak kecil di rumah ialah menjadikan rumah anda baby-friendly supaya kemalangan dapat dicegah.
Simpan segala alas meja, perhiasan kaca atau kristal. Elakkan wayar elektrik berjuntai ke bawah. Simpan benda tajam dan berbahaya di tempat yang tak boleh dicapai oleh anak kecil.
You can make a difference!
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk dikongsikan buat Ibu bapa semua. Apa yang penting lebih berhati-hati dan membuat rawatan asas yang betul jika berlakunya kemalangan ini.
Sumber: Hana Hadzrami
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!