
Anak Nak Exam memang boleh membuat seluruh rumah terasa lebih sibuk. Bila anak mula masuk musim peperiksaan, selalunya ibu antara orang yang paling sibuk dan mudah stres.
Daripada jadual belajar, makan minum, waktu tidur sampailah memastikan anak tidak leka, semuanya ibu cuba fikirkan. Kadang-kadang belum anak yang tertekan, ibu sendiri sudah rasa penat kerana terlalu banyak perkara mahu diuruskan.
Namun dalam tempoh ini, sokongan bukan hanya perlu datang daripada ibu. Ayah juga mempunyai peranan besar untuk membantu anak menghadapi peperiksaan dengan lebih tenang. Malah, ayah tidak semestinya perlu pandai Matematik, Sains atau duduk mengajar anak setiap malam.
Kadang-kadang perkara kecil yang ayah lakukan di rumah sudah cukup membuatkan anak rasa lebih selamat, dihargai dan disokong. Bila Anak Nak Exam, sokongan ayah yang tenang juga boleh memberi keyakinan kepada mereka. Jadi apa ayah boleh bantu?

1. Jangan Tambah Tekanan Anak
Musim peperiksaan memang penting, tetapi terlalu banyak tekanan boleh membuatkan anak semakin takut dan hilang keyakinan.
Ayah sebaiknya elakkan terlalu kerap bertanya perkara seperti, “Boleh dapat A tak?” atau membandingkan keputusan anak dengan rakan dan adik-beradik lain. Sebaliknya, beri fokus kepada usaha mereka.
Contohnya, katakan, “Ayah nampak awak dah cuba belajar bersungguh-sungguh. Buat yang terbaik.” Ayat yang ringkas seperti ini boleh membuatkan anak rasa usaha mereka dihargai, bukan sekadar keputusan akhir.
2. Jadi Tempat Anak Meluahkan Perasaan
Ada anak yang nampak tenang tetapi sebenarnya sedang risau, takut terlupa jawapan atau bimbang tidak dapat memenuhi harapan ibu ayah.
Jika anak mula mengadu susah, penat atau takut menghadapi peperiksaan, dengarkan terlebih dahulu. Tidak semua masalah perlu dijawab dengan nasihat panjang.
Kadang-kadang anak cuma perlukan seseorang yang mendengar tanpa terus memarahi, menyalahkan atau mengatakan mereka terlalu mengada-ngada.
3. Bantu Wujudkan Suasana Rumah Yang Tenang
Jika anak sedang mengulang kaji, ayah boleh membantu mengurangkan gangguan di rumah. Apabila anak nak exam, suasana rumah yang lebih tenang boleh membantu mereka kekal fokus.
Contohnya, perlahankan bunyi televisyen, bantu urus adik yang mahu bermain atau elakkan membuat aktiviti terlalu bising berhampiran ruang belajar anak. Persekitaran yang lebih tenang membantu anak memberi tumpuan tanpa perlu sentiasa terganggu.

4. Ringankan Beban Ibu
Waktu peperiksaan anak kadang-kadang ibu juga turut penat kerana perlu menguruskan banyak perkara serentak.
Ayah boleh mengambil alih sebahagian tugasan seperti mengurus adik, menyediakan makanan mudah, mengemas rumah atau memastikan keperluan sekolah anak sudah tersedia.
Apabila ibu kurang tertekan, suasana rumah juga lebih tenang. Secara tidak langsung, anak turut mendapat manfaat daripada keadaan rumah yang lebih positif.
5. Pastikan Anak Tidak Kurang Tidur
Ada anak sanggup berjaga sehingga lewat malam kerana mahu menghabiskan semua nota sebelum peperiksaan. Namun belajar sampai terlalu lewat bukan semestinya membantu.
Bila anak nak exam, ayah boleh mengingatkan anak supaya berhenti belajar pada waktu yang sesuai dan mendapatkan tidur mencukupi. Rehat penting supaya anak tidak terlalu letih, mengantuk atau sukar memberi tumpuan ketika menjawab soalan.
6. Teman Anak Walaupun Tidak Pandai Subjek Itu
Ayah tidak perlu menjadi guru untuk membantu anak. Sekadar duduk berdekatan ketika anak sedang belajar, buatkan minuman atau bertanya, “Ada apa-apa ayah boleh bantu?” juga boleh memberi rasa sokongan.
Anak mungkin tidak perlukan jawapan kepada semua soalan akademik, tetapi mereka mahu tahu bahawa ibu dan ayah berada di sisi mereka.
7. Bantu Anak Susun Jadual Belajar
Sesetengah anak mudah panik apabila melihat terlalu banyak topik yang belum sempat diulang kaji. Ayah boleh membantu mereka menyusun semula jadual dengan lebih realistik.
Ketika Anak Nak Exam, pecahkan ulang kaji kepada bahagian kecil, utamakan topik yang lebih sukar dan selitkan masa rehat. Apabila jadual nampak lebih teratur, anak juga kurang rasa terbeban.

8. Jaga Emosi Anak Pada Pagi Peperiksaan
Pagi peperiksaan bukan masa terbaik untuk marah, membebel atau mengungkit kesalahan anak. Walaupun anak bangun sedikit lambat atau terlupa sesuatu, cuba kawal emosi supaya keadaan tidak menjadi lebih tegang.
Anak yang keluar rumah dalam keadaan dimarahi mungkin membawa perasaan itu sehingga masuk ke dewan peperiksaan. Sebaliknya, beri kata-kata ringkas yang menenangkan sebelum mereka keluar.
9. Doakan Anak Dan Beri Kata-Kata Positif
Selain membantu dari segi fizikal dan emosi, ayah juga boleh menunjukkan sokongan dengan mendoakan anak.
Sebelum anak ke sekolah, berikan kata-kata yang membuatkan mereka rasa yakin. Apabila Anak Nak Exam, kata-kata positif daripada ayah boleh menjadi sumber semangat yang mereka ingat.
Contohnya, “Buat yang terbaik. Apa pun keputusan nanti, ayah bangga sebab awak dah berusaha.” Bagi sesetengah anak, ayat seperti ini boleh menjadi sumber kekuatan ketika mereka sedang berdebar.
10. Jangan Jadikan Keputusan Sebagai Ukuran Nilai Anak
Peperiksaan memang sebahagian daripada proses pembelajaran, tetapi keputusan peperiksaan bukan penentu keseluruhan masa depan atau nilai seseorang anak.
Ada anak yang cemerlang akademik, ada pula yang lebih menyerlah dalam bidang lain. Apa yang lebih penting ialah anak belajar untuk berusaha, bertanggungjawab dan bangkit apabila berdepan kegagalan.
Jangan sampai anak merasakan kasih sayang ibu ayah hanya datang apabila mereka mendapat keputusan yang baik.
Ayah Tak Perlu Buat Sesuatu Yang Besar
Kadang-kadang ayah fikir peranan membantu anak menghadapi peperiksaan bermaksud perlu duduk berjam-jam mengajar mereka. Sebenarnya tidak.
Menjaga suasana rumah, mendengar luahan anak, membantu ibu, memastikan anak cukup rehat dan memberi kata-kata positif juga merupakan bentuk sokongan yang sangat bermakna.
Musim peperiksaan sepatutnya bukan hanya tentang mengejar keputusan terbaik. Ia juga peluang untuk ibu dan ayah menunjukkan kepada anak bahawa apa pun cabaran yang mereka hadapi, mereka tidak perlu melaluinya sendirian.
Baca lagi: Mykad Generasi Baharu Rasmi Hari Ini, Tak Perlu Tergesa-Gesa Tukar Mykad Lama!
Disipilin Anak Tanpa Perlu Jerit & Ugut Rotan, 6 Cara Berkesan Guna Time-Out!
Diabetes Jenis 1 Pada Anak, 8 Tanda Penting Yang Ibu Ayah Wajib Tahu!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!

