Shila Amzah Restu Ibu Kahwin Semula, “Kami Mahu Lihat Ibu Bahagia”

Share

Penyanyi terkenal Shila Amzah meluahkan rasa gembira apabila ibunya, Fauziah Sarman, kini berada dalam fasa kehidupan yang lebih tenang dan bahagia. Perasaan itu disuarakan selepas tersebar berita bahawa ibunya bakal mendirikan rumah tangga sekali lagi dalam masa terdekat.

Shila atau nama lengkapnya Nurshahila Amir Amzah, 35, menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan ibunya. Beliau percaya bahawa setiap insan berhak merasai kebahagiaan, termasuklah ibunya yang telah lama bergelar ibu tunggal.

“Ibu saya ketika ini berada di fasa menikmati kebahagiaan dalam hidupnya. Saya sebagai anak gembira melihat keadaan ibu saya yang sekarang ini,” katanya ketika ditemui di konsert Raise The Star Malaysia baru-baru ini.

“Saya mendoakan mak saya bahagia seperti mana saya berjumpa dengan Ubai. Saya harap dia bersama seseorang yang akan meratukan dirinya dengan lebih baik.”

Menurut Shila lagi, seluruh ahli keluarga menyambut baik hasrat ibunya untuk kembali mendirikan rumah tangga, termasuk adik-beradiknya yang lain.

“Saya dan adik-beradik lain sangat mengalu-alukan, kerana kebahagiaan ibu kami adalah juga kebahagiaan untuk kami.”

Tambahnya, beliau tidak melihat perlunya untuk melengahkan perkara baik, apatah lagi jika ia membawa ketenangan dan kebahagiaan buat orang yang disayangi.

“Tak payah tunggu-tunggu (untuk berkahwin), kalau boleh cepat-cepat.”

Terdahulu, Fauziah Sarman mendedahkan bahawa beliau bakal berkahwin dengan seorang lelaki berstatus duda pada tahun ini. Jejaka tersebut berjaya membuka hatinya untuk kembali bergelar isteri selepas hampir dua tahun hidup sebagai ibu tunggal.

Katanya, lelaki tersebut memiliki keperibadian yang baik, penyayang, dan berjaya membuatkan dia kembali percaya kepada cinta dan perkahwinan.

Published by
Noel