Si Cilik Genius! Baru Usia 7 Tahun Dah Mula Belajar Kimia Di Universiti Terkemuka Singapura!

Share

Baru berusia tujuh tahun, seorang kanak kanak genius lelaki dari Singapura, Theodore Kwan, mencipta kejutan apabila menghadiri kuliah kimia asas di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) sebanyak tiga kali seminggu sejak Ogos lalu.

Walaupun bukan hadir sebagai pelajar berdaftar, anak kecil genius itu diterima sebagai ‘tetamu khas’ oleh Pensyarah Kanan NTU, Dr Sumod Pullarkat.

Ketika menghadiri kuliah itu, Theodore yang ditemani kedua ibu dan ayahnya hadir dengan penuh persiapan seperti penuntut universiti lain. Theodore lengkap membawa tablet, nota serta botol air, sambil mengikuti kuliah berdurasi antara satu hingga dua jam.

Pencapaian IQ Theodore dianggap luar biasa dalam bidang akademik. Ketika usianya baru enam tahun 10 bulan iaitu pada awal tahun ini sahaja, anak kecil ini mencatat sejarah sebagai individu termuda di Singapura yang memperoleh gred A dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) bagi mata pelajaran Kimia, peperiksaan setaraf O Level.

Bukan itu sahaja bahkan, Theodore juga memegang lima rekod kebangsaan Singapura, antaranya peserta termuda yang berjaya mendapat markah penuh dalam Olimpik Sains.

Menurut ibunya, Crystal Tang, yang kini sedang melanjutkan pengajian PhD di sekolah perubatan NTU, Theodore memang sangat dahagakan ilmu.

“Theodore selalu meminta untuk belajar kimia pada tahap lebih tinggi. Kami amat berterima kasih kerana Dr Pullarkat memberi peluang kepadanya untuk mengikuti kuliah tanpa sebarang tekanan peperiksaan,” katanya.

Tambah ibunya lagi, peluang menghadiri kuliah universiti pada usia semuda ini adalah impian anaknya yang menjadi kenyataan.

 

Published by
SRM