Apa yang harus anda lakukan jika anak tiba-tiba sahaja mengalami suhu tinggi? Terus bawa ke hospital? Tak tahu nak buat apa?
Perkara paling penting ialah jangan panik! Anda perlu melihat keadaan anak atau bayi anda di rumah dengan lebih dekat. Jika boleh ambil langkah pencegahan awal untuk turunkan suhu supaya tidak terlalu tinggi.
Jika rasa tak yakin apa yang perlu kita lakukan, Dr Ezairy M.Sallih berkongsikan 10 langkah dan tip yang boleh dilakukan.10 langkah dan tip untuk menurunkan suhu anak:
1. Beri mereka banyak air. Perhatikan tanda-tanda dehidrasi pada anak-anak.
2. Berikan mereka makanan jika mereka mahu. Jangan disekat-sekat.
3. Perhati dengan lebih kerap anak-anak anda secara teratur terutama pada waktu malam.
4. Elakkan banyak keluar ke tempat ramai orang. Sebaiknya, berehat di rumah terlebih dahulu sehingga anak anda sembuh.
5. Beri mereka paracetamol mengikut dos yang sepatutnya. Dapatkan nasihat doktor dan ahli farmasi terlebih dahulu. Jangan beri sesuka hati!
6. Jangan sapukan tubuh mereka dengan apa-apa jenis daun dan sebagainya untuk menyejukkannya – ini tidak membantu mengurangkan demam.
7. Jangan tutup mereka dengan terlalu banyak pakaian atau pakaian tidur dengan tujuan mengelakkan sejuk.
8. Jangan menggabungkan ubat-ubatan seperti aspirin, ibuprofen dan paracetamol, kecuali selepas berjumpa doktor. Bahaya!
9. Elak beri paracetamol dan ibuprofen untuk kanak-kanak di bawah 2 bulan kecuali atas nasihat dan pemeriksaan doktor. Jangan sesuka hati ambil produk tambahan, suplemen dan ubat tanpa pengawasan doktor.
10. Bawa berjumpa doktor sekiranya ada tanda-tanda ini :
– Anak berumur bawah 6 bulan dan mempunyai suhu melebihi 38.
– Mempunyai tanda-tanda penyakit lain, seperti ruam, serta suhu tinggi.
– Tidak mahu makan, atau minum.
– Tidak aktif di rumah.– Suhu masih tinggi walaupun sudah diberi ubat paracetamol atau ibuprofen.
– Ada tanda-tanda dehidrasi (kurang air dalam tubuh) seperti lampin yang kurang basah, bibir dan lidah kering, dan sebagainya.
Moga bermanfaat untuk para ibu bapa. SHARE kepada semua yang anda sayang. Semoga kesihatan yang baik sentiasa bersama kita.
Sumber: Dr. Ezairy M.Sallih
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Setahun Jika Melebihi 6 Kali Anak Sakit Tonsil Sekali Demam Panas Mungkin Kena Operate
“Doktor, anak saya ini kerap sangat kena sakit tekak, banyak dah doktor kata dia ada tonsil, boleh ke saya nak dia buat operation, buang saja tonsilnya?”
Perlu disedari bahawa tidak semua kes-kes tonsillitis memerlukan pembedahan tonsillectomy iaitu membuang tonsil. Oleh itu, apakah rawatan sebaiknya?
Pesakit seharusnya diberikan rawatan ubat-ubatan terlebih dahulu. Dapatkan rehat yang cukup di rumah. Minum air secukupnya. Buat pemeriksaan bersama doktor.
Ubat antibiotik perlu diberi jika ada tanda-tanda ia disebabkan oleh jangkitan bakteria sahaja. Ini kerana kebanyakan kes tonsillitis adalah disebabkan oleh virus. 15-30 peratus sahaja disebabkan oleh jangkitan bakteria!
Apakah tanda-tanda masalah tonsil disebabkan oleh jangkitan bakteria?
- Tompok-tompok keputihan pada permukaan tonsil.
- Demam panas, terutama disertai sakit tekak melebihi tiga hari.
- Peningkatan sel darah putih leukosit dalam darah
- Bakteria yang biasa menyerang tonsil ialah Group A Beta-Hemolytic Streptococci.
Apakah kriteria dan ciri-ciri bahawa anak anda memerlukan pembedahan untuk membuang tonsil?
- Serangan tonsillitis teruk yang berulang melebihi enam serangan setahun beserta dengan demam panas dan bengkak kelenjar leher.
- Sekatan pada saluran pernafasan sehingga mengganggu pernafasan, proses menelan dan percakapan. Masalah ini jika tidak dirawat dengan baik boleh membawa kepada sindrom apnea (berhenti pernafasan).
- Nanah perintonsil (di sekitar tonsil) yang melebihi sekali serangan. Juga dipanggil peritonsillar abscess.
- Bengkak satu sisi tonsil sahaja, tonsil membesar pada satu sisi sahaja yang berkemungkinan kanser. Harus berhati-hati.
Nak tahu apa simptom dan cara untuk mencegah tonsil di kalangan anak, tonton rancangan Pa&Ma di Astro Prima dan Maya HD, Selasa (22 Januari) jam 12 tengah hari dan ulangannya 9 malam.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Untuk Pastikan Proses Bersalin Lancar, Lakukan Perkara Ini Sebelum Ambil Cuti Bersalin
Kesihatan dan tumbesaran bayi anda adalah sangat penting, terutama dalam tempoh-tempoh akhir kehamilan. Setiap detik adalah sangat berharga. Sebelum anda mula mengambil cuti bersalin untuk berpantang, terdapat beberapa perkara yang perlu anda ketahui sebagai persiapan untuk menghadapi proses bersalin.
Baca Selanjutnya:
Mudahnya Bersalin Guna Teknik Ini! Tapi Jangan Lupa Siapkan Persiapan Ini Ke Hospital
Apakah tempoh mengandung yang mencukupi?
Secara umumnya, tempoh mengandung yang normal dan mencukupi, akan berlangsung antara 280 hari atau 40 minggu. Bagi bayi pramatang, tempoh kelahiran akan berlaku sebelum cukup 37-minggu dalam tempoh kehamilan anda. Untuk bayi yang sangat pramatang akan dilahirkan antara minggu ke-23 hingga minggu ke-28 kehamilan. Bayi pramatang sederhana pula akan lahir antara minggu ke- 29 hingga minggu ke-33.
Antara minggu ke-34 hingga minggu ke-37, bayi yang lahir dapat tempoh ini dikenali sebagai bagi pramatang lewat. Kebiasaannya, bayi yang lahir sebelum minggu ke-39 kehamilan berdepan dengan risiko yang besar untuk mengalami masalah pernafasan, gula dalam darah, dan masalah lain yang mungkin cenderung menyebabkan bayi anda dimasukkan ke unit perawatan intensif neonatal (neonatal intensive care unit, NICU).
Persediaan yang perlu dilakukan sebelum cuti bersalin
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – kelahiran
Menunggu selama 9 bulan bagi tempoh kehamilan untuk tiba ke masa anda melahirkan bayi anda ke dunia pastinya merupakan detik yang sangat dinantikan, malahan ia pastinya merupakan masa yang dinantikan oleh seluruh keluarga anda. Namun, sebelum itu, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh bakal ibu untuk memastikan proses kelahiran bayi anda berjalan lancar. Berikut adalah langkah persediaan yang boleh dilakukan sebelum anda bersalin.
Menghadiri kelas persediaan bersalin
Selain mendapatkan maklumat dan pengalaman daripada mereka yang pernah menjadi ibu, anda juga boleh mendapatkan informasi lanjut dengan menghadiri kelas persediaan untuk bersalin. Tujuan kelas ini dijalankan adalah untuk mengetahui lebih lanjut dan spesifik mengenai kelahiran bayi yang akan memudahkan anda membuat keputusan dan mengurangkan perasaan takut serta gementar. Berikut merupakan perkara asas yang akan diajar kepada anda melalui kelas persediaan untuk bersalin:
- Petanda kelahiran
- Simptom normal kelahiran
- Teknik untuk mengawal kesakitan
- Bagaimana pasangan anda boleh membantu
- Bila waktu anda perlu memanggil doktor atau jururawat
- Mencukur bulu ari-ari
- Ketika sedang hamil, anda mungkin runsing sama ada perlu mencukur bulu ari-ari anda atau tidak terutamanya jika ini merupakan kehamilan kali pertama. Hakikatnya, kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan memudahkan anda dan doktor untuk melakukan prosedur kelahiran. Ia juga dapat mengurangkan risiko infeksi yang boleh dihidapi sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebetulnya sebelum kelahiran bayi. Oleh itu, pakar perubatan menyarankan anda untuk mencukur bulu ari-ari anda sebelum melahirkan anak untuk tujuan keselamatan dan kebersihan anda dan kandungan.
Mengetahui peringkat proses kelahiran
Setiap wanita mempunyai peringkat proses kelahiran yang berbeza. Tiada siapa yang dapat meneka atau mengenalpasti tempoh peringkat proses kelahiran mereka sendiri. Secara dasarnya, anda akan mengalami tiga peringkat semasa proses kelahiran anda:
Peringkat pertama: peringkat ini bermula apabila otot rahim mula mengecut, mengembang dan kemudian relaks yang akan membantu pembukaan serviks. Fasa ini boleh berlaku beberapa jam sehingga beberapa hari. Anda akan mengalami kontraksi aktif yang kerap dan bertahan selama beberapa minit.
Peringkat kedua: peringkat ini bermula apabila serviks anda mula meluas dan menolak bayi keluar.
Peringkat ketiga: peringkat ini adalah fasa bayi anda sudah dilahirkan. Kontraksi akan terus berlaku sehingga plasenta dikeluarkan daripada saluran kelahiran anda.
Bersedia menghadapi kesakitan
Bagi membantu mengawal kesakitan semasa bersalin, anda boleh melakukan perkara-perkara berikut:
Urutan perineum: urutan perineum ini adalah teknik yang secara perlahan-lahan dapat meregangkan kulit dan tisu sekitar vagina dan anus anda semasa minggu terakhir kehamilan. Kebiasaannya, anda boleh lakukan urutan ini pada minggu ke-34 kehamilan. Menurut kajian, urutan perineum ini menunjukkan keberkesanan dengan mengurangkan kekoyakan perineum semasa bersalin.
Senaman pelvik atau senaman Kegel: otot pelvik anda perlu untuk meregang dalam usaha menolak bayi anda keluar melalui pelvis. Oleh itu, wanita hamil perlu melakukan senaman pelvik dengan kerap bagi memastikan proses bersalin berjalan lancar.
Bagaimana mengatasi kerisauan sebelum cuti bersalin?
Bagi ibu yang pertama kali akan melalui pengalaman proses kelahiran bayi, pastinya terdapat beberapa perkara yang menjadi kerisauan dan kebimbangan di hati dan fikiran. Gementar? Takut? Ia adalah rasa yang normal untuk dilalui. Berikut adalah beberapa perkara yang sering menjadi kebimbangan sebelum menempuhi proses bersalin.
Risau terlambat untuk melahirkan
Kebanyakan ibu hamil risau kandungannya akan lahir di tempat selain katil hospital akibat terlambat. Sebenarnya, proses melahirkan anak tidak berlaku dengan secepatnya.
Sekiranya anda pernah melahirkan anak sebelum ini, proses kali kedua ini tidak serumit yang pertama. Berhubung dengan doktor untuk mengetahui tanda-tanda sebenar saat melahirkan semakin dekat agar anda dapat merancang masa dengan sebaik mungkin.
Selain itu, sediakan persiapan yang secukupnya agar anda bersedia untuk ke hospital pada bila-bila masa sahaja.
Risau terhadap kesakitan
Kerisauan ini sememangnya dialami oleh setiap ibu hamil. Jika kerisauan ini berterusan dan semakin teruk, berbincanglah dengan doktor anda tentang pengambilan ubat semasa melahirkan. Menurut pakar, pengambilan ubat semasa melahirkan tidak memudaratkan bayi dalam kandungan dan cuma membuatkan bayi anda berasa mengantuk. Untuk lebih selamat, anda boleh memastikan doktor anda meminimumkan dos ubat demi mengurangkan kesan sampingannya. Anda juga boleh menghadiri kelas-kelas untuk ibu hamil yang boleh mengajar anda teknik pernafasan efektif saat melahirkan. Anda juga perlu percaya terhadap staf profesional yang membantu anda saat melahirkan terutamanya jururawat anda demi menimbulkan perasaan yang lebih tenang dan selamat.
Risau terhadap kesan epidural
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – epidural
Suntikan epidural boleh membantu mengurangkan sakit ketika melahirkan tetapi ibu hamil juga sebenarnya risau terhadap kesan sampingannya. Ini akan menjadikan ibu hamil tidak mahu mengambil suntikan ini. Namun, keadaan ini tidak seharusnya menjadi kerisauan para ibu kerana kesan sampingan yang berlaku akibat suntikan epidural seperti pening kepala boleh dirawat dengan mudah. Selain itu, suntikan ini juga tidak akan mendatangkan komplikasi jangka masa panjang yang lebih membimbangkan.
Risau terhadap kaedah C-section
Kaedah C-section atau Cesarean adalah proses melahirkan yang sudah menjadi kebiasaan masa kini. Namun begitu, kebanyakan ibu hamil masih risau terhadap prosedur, kesan dan risiko pembedahan ini. Anda boleh bertanya kepada doktor anda jika terdapat sebarang cara untuk mengelakkan pembedahan ini. Sekiranya tiada, anda perlu tenang dan mempercayai doktor anda. Dalam beberapa kes, pembedahan Cesarean adalah jalan yang terbaik sekiranya bayi dalam kandungan anda terlalu besar untuk saiz badan anda atau bayi anda berada dalam kedudukan posisi yang tidak normal semasa melahirkan. Selain itu, bukaan serviks yang tidak cukup juga memerlukan anda melakukan pembedahan ini.
Risau terkeluar najis ketika melahirkan
Meskipun tidak terlalu bahaya seperti kerisauan yang lain, kerisauan ini membuatkan ibu hamil menjadi malu. Kebanyakan Ibu hamil terlalu malu untuk membincangkan perkara ini dengan doktor atau individu lain. Hakikatnya, keadaan ini boleh terjadi dan tidak perlu dirisaukan. Ini kerana keadaan ini adalah sangat normal sekiranya anda bersalin secara normal. Anda juga perlu tahu bahawa pasukan perubatan seperti doktor dan jururawat sudah biasa dengan keadaan ini yang mereka anggap sudah sebati dalam kehidupan mereka sebagai pakar perubatan.
Apakah perbezaan bersalin secara normal atau pembedahan caeserean?
Setiap individu wanita yang mengandung, mengimpikan proses bersalin atau kelahiran yang mudah dan singkat tanpa sebarang komplikasi – berdepan dengan beberapa kontraksi, proses meneran dan lahirlah seorang bayi yang comel – namun, malangnya, tidak semua proses kelahiran akan berjalan lancar seperti itu.
Sesetengah bayi mungkin terpaksa dan perlu dilahirkan melalui kaedah pembedahan caeser (C-section). Jika anda berharapkan untuk melalui proses kelahiran normal, berikut mungkin dapat membantu anda untuk memahami bagaimana dan mengapa kaedah pembedahan caesar dilakukan dan ia mungkin boleh dianggap sebagai persediaan jika proses bersalin dan kelahiran normal tidak dapat dilakukan seperti yang anda inginkan. Walau apapun proses kelahiran dan bersalin yang perlu anda lalui, adalah yang paling utama adalah keselamatan anda dan bayi, perlu diutamakan.
Apakah itu pembedahan caesarean?
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – caesarean
Pembedahan caesarean atau C-section adalah pembedahan yang dilakukan terhadap wanita hamil dan melibatkan pemotongan perut dan rahim untuk melahirkan bayi. Pembedahan ini dikategorikan kepada dua iaitu:
Pembedahan caesarean elektif
Pembedahan ini adalah dirancang dan dijadualkan terlebih dahulu sebelum anda mengalami sakit bersalin.
Pembedahan caesarean kecemasan
Pembedahan ini tidak dirancang dan boleh berlaku sekiranya berlaku komplikasi serius terhadap anda dan juga bayi ketika proses kelahiran.
Dalam kebanyakan kes, pembedahan caesarean ini berlaku tanpa dirancang. Sekiranya anda dimaklumkan oleh doktor untuk melakukan pembedahan ini, jangan panik dan segera menyiapkan diri untuk melakukannya kerana pembedahan ini mempunyai tahap keberhasilan yang sangat tinggi. Namun begitu, pembedahan ini sebenarnya tidak boleh dilakukan banyak kali kerana akan meningkatkan risiko anda mempunyai masalah kehamilan kelak.
Apakah risiko melakukan pembedahan caesarean lebih daripada satu kali?
Sekiranya anda melakukan pembedahan ini lebih daripada satu kali untuk melahirkan anak, terdapat beberapa risiko yang mungkin berlaku pada anda. Antaranya:
- Plasenta previa (uri di bawah)
- Plasenta accreta (uri melekat)
- Hysterectomy (pembedahan membuang rahim)
- Risiko-risiko ini akan lebih tinggi bergantung kepada berapa banyak kali anda melakukan pembedahan caesarean. Selain itu juga, akan berlaku banyak masalah keibuan dan kehamilan selepas melakukan pembedahan caesarean seperti kecederaan usus, sista, pendarahan, ketidaksuburan, kebergantungan kepada mesin ventilator dan kemungkinan dimasukkan ke dalam unit kecemasan hospital (ICU) selepas pembedahan dilakukan.
Dalam pada itu lagi, pembedahan caesarean ini sukar untuk dilakukan sekiranya sudah terdapat parut lama akibat pembedahan yang sama. Pembedahan ini sememangnya akan meninggalkan parut. Semakin banyak pembedahan caesarean pernah dilakukan, semakin banyak parut yang ditinggalkan. Ini akan menyebabkan pembedahan seterusnya menjadi sukar dikendalikan.
Berapa kali pembedahan caesarean boleh dilakukan?
Menurut pakar, pembedahan caesarean yang pertama atau kedua kali tidak akan mendatangkan mudarat yang teruk kepada si ibu. Namun begitu, pembedahan caesarean kali ketiga, keempat dan seterusnya akan mengundang pelbagai risiko kesihatan berkenaan keibuan dan kehamilan. Ini menunjukkan bahawa pembedahan caesarean yang dilakukan banyak kali sememangnya akan mengundang bahaya kepada wanita yang melakukannya.
Sebenarnya, tiada jawapan jelas mengenai angka tepat berkenaan berapa kali boleh melakukan pembedahan caesarean. Namun begitu, sudah jelas bahawa pembedahan ini selamat untuk dilakukan buat kali pertama dan kedua. Oleh itu, jika anda berhasrat untuk melahirkan anak melalui prosedur ini buat kali ketiga, keempat dan seterusnya, anda wajar berbincang terlebih dahulu dengan pakar perubatan.
Kelebihan dan kekurangan proses kelahiran normal buat ibu
Cuti Bersalin Apa yang Perlu Anda Ketahui – bersalin normal
Kelahiran normal atau melalui faraj, turut boleh mendatangkan beberapa risiko kepada ibu. Antaranya, kulit dan tisu sekitar faraj boleh meregang dan terkoyak ketika janin bergerak untuk melalui saluran kelahiran, iaitu faraj anda. Jika regangan atau koyak adalah agak kronik, anda mungkin memerlukan jahitan atau jika tidak, ia boleh meyebabkan kelemahan atau kecederaan pada otot pelvik yang berfungsi mengawal air kencing dan fungsi ususnya.
Terdapat kajian yang mengatakan, individu wanita yang melahirkan bayi melalui faraj atau proses bersalin normal, cenderung untuk berdepan masalah usus atau inkontenensia kencing berbanding wanita yang melalui proses bersalin C-section. Ini kerana mereka akan cenderung untuk membuang air kencing apabila batuk, bersin atau ketawa. Selain itu, selepas bersalin melalui faraj, mereka juga berkemungkinan akan mengalami kesakitan yang berlarutan pada bahagian perineum, iaitu kawasan antara vagina dan dubur.
Tempoh selepas Bersalin
Selepas melahirkan bayi, anda perlu lebih berhati-hati memandangkan tubuh anda berada pada keadaan paling rapuh semasa tempoh postpartum atau selepas bersalin, terutama jika anda menjalani kelahiran pembedahan C-section. Selain mengalami kesakitan fizikal, emosi anda juga akan melalui beberapa fasa berbeza yang mungkin akan berlangsung beberapa hari atau menghantui anda dalam tempoh yang lama.
Apa itu postpartum?
Semasa minggu pertama selepas anda melahirkan bayi, tubuh anda masih dalam proses penyembuhan dan menyesuaikan diri dengan fasa tidak hamil. Tempoh ini dipanggil postpartum (selepas bersalin), di mana tubuh anda akan melalui pelbagai perubahan sepanjang proses pemulihan badan anda. Antara tempoh 2 hingga 6 minggu selepas kelahiran, doktor anda akan membuat temujanji untuk memeriksa kadar penyembuhan dan kesihatan anda secara keseluruhan.
Apa yang berlaku kepada tubuh anda semasa tempoh selepas bersalin?
Semasa tempoh ini, tubuh anda selalunya akan rasa sakit dan lesu. Anda akan mengambil masa selama 4 hingga 6 minggu untuk kembali pulih dan rasa kembali bertenaga. Walau bagaimanapun, jika anda bersalin secara pembedahan C-section, anda mungkin perlu mengambil tempoh yang lebih lama untuk pulih.
Semasa postpartum, anda mungkin akan mengalami simptom-simptom seperti di bawah pada tubuh anda:
- Bengkak
- Pendarahan faraj
- Kesakitan faraj
- Bengkak payudara
- Kekejangan
- Masalah pundi kencing
- Masalah pergerakan usus
- Rambut menipis
- Kehilangan pigmentasi kulit
- Kemurungan selepas bersalin
Bagaimana untuk anda cepat sembuh, secara fizikal dan juga mental?
Berikut beberapa cadangan untuk membantu anda menangani simptom selepas bersalin:
- Jangan terlalu risau
- Cuba untuk meridap atau tidur semasa bayi anda tidur
- Minta bantuan dan sokongan daripada pasangan melakukan kerja penjagaan bayi dan rumah
- Biarkan ahli keluarga anda menjaga anda, melakukan kerja-kerja rumah dan membawakan anda makanan sehingga anda benar-benar pulih dan boleh melakukannya sendiri
- Minta bantuan ahli keluarga untuk menjaga anak anda yang lain (jika ada)
- Minum banyak air terutama jika anda menyusukan bayi
Bagaimana postpartum boleh menjejaskan emosi anda?
Beberapa minggu terawal selepas kelahiran, anda mungkin rasa teruja dan letih pada masa yang sama. Di samping gembira dengan kehadiran bayi comel anda, anda juga boleh berasa terlalu penat kerana kurang tidur dan juga sedang menyesuaikan diri memikul satu lagi tanggungjawab baharu.
Ramai wanita yang melalui fasa emosi yang dipanggil “baby blues” semasa beberapa hari terawal selepas bersalin. Puncak fasa ini biasanya pada hari keempat dan mereda dalam masa kurang daripada dua minggu. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami blues lebih daripada tempoh tersebut, atau anda berasa ingin mencederakan diri sendiri atau bayi, segera berjumpa dengan doktor anda. Anda mungkin mengalami kemurungan selepas bersalin atau meroyan.
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Penyusuan Anak Perlu Gandingan Suami Isteri Untuk Berjaya” Bapa Penyokong Tegar Susu Ibu Kongsi Tip
Penyusuan anak perlu gandingan suami dan isteri untuk berjaya. Penyusuan susu ibu bukan tugas ibu sendirian walaupun hanya ibu sahaja yang menghasilkan susu ibu.
Golongan bapa perlu mencari ilmu bagaimana cara terbaik mereka boleh membantu dan menyokong para ibu yang menyusukan anak dengan susu ibu.
Ia bukan tugas yang mudah tapi tak mustahil menjadi mudah bila dua orang bekerja secara berpasukan.
Seorang bapa kepada tiga orang anak yang yang dikenali sebagai Pak Cik Bakar Baharom di Facebook sering menulis pelbagai tip menyokong penyusuan dari sisi seorang ayah dberkongsi pengalaman perjalanan penyusuan anak-anaknya.
Bermulalah Episod Penyusuan
Journey to successfully breastfeeding.
Lahirnya Suri ke dunia, maka bermulalah semula episod penyusuan. Kali ni berbeza. Dulu dua-dua kerja. Sekarang Anis dah jadi surirumah.
Apakah lebih smooth? Apakah masih struggle? We dont know yet. Apa yang Mdno tahu, penyusuan anak ni perlu gandingan suami isteri.
Ramai orang sangka menyusu itu sifatnya alami bagi kita manusia, maka tak perlulah belajar, bayi secara fitrahnya menyusu, ibu pula fitrahnya menghasilkan susu.
Oh no tidak semudah itu. Semua kena ada ilmu dan yang paling paling utama kena ada kecekalan hati yang maha tinggi.
Pesanan Untuk Golongan Ayah
Ayah-ayah kat luar sana, ini pesanan Mdno.
Untuk berjaya menyusukan anak. Lebihkan ruang dan masa untuk ibu & anak bersama-sama.
Minimizekan kerja yang boleh rompak masa ibu & bayi. Minimize kan semampu boleh.
Dulu waktu dua-dua kerja, Mdno buat frozen food. Ready untuk 1 week. Iron baju utk 1 week. Tak makan luar langsung. Maka Anis ada lebih waktu untuk fokus settle diri sendiri lepas balik kerja dan fokus menyusu je.
6 bulan x lama pun bang.
Macam sekarang, walaupun Mdno cam sedih sikit sebab tak dapat banyak masa dengan Suri, sebab Mdno terpaksa ambil alih kakak Yaya & Ilham. Sebabnya apa?
1. Kita kena peka dgn perasaan kakak & abang, walaupun nampak dia orang happy ada adik,tapi dia orang sedih kalau kita mak ayah semua fokus kat baby.
2. Bila budak-budak tu dengan Mdno, Anis banyak lebih masa dengan baby. Bonding created dan baby akan lebih mahir menyusu, ibu pula lebih mahir tentag cue anak, posisi selesa dan sebagai.
Takpelah, sementara nak tunggu baby kuat sikit, tegap sikit. Inilah yg kita kena bayar.
So peringatan untuk diri Mdno jugak, penyusuan ni mmg kena teamwork. Kita kena letak jelas objective kita depan mata.
Apa? Exclusive breastfeeding. Bila kita jelas. Kita lebih faham dengan posisi dan peranan masing masing.
Mdno ni nampak je tepuk-tepuk meja tau. Tapi when it comes to menyusu, Mdno kau terus abang-abang manager tau.
Semoga perkongsian tip dan nasihat daripada bapa yang dua anak terdahulunya sudah berjaya menyusu susu ibu secara eksklusif ini boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa lain.
Untuk lebih banyak info terkini jom klik di https://t.me/pamadparents
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI