
Bila usia makin meningkat, keutamaan hidup pun mula berubah. Itulah yang dialami oleh pelakon, penyampai radio dan pengacara terkenal, Sharifah Shahirah atau mesra disapa sebagai Shiera. Kalau dulu namanya sinonim dengan dunia hiburan dan jadual kerja yang sentiasa penuh, kini beliau memilih untuk memberi tumpuan pada apa yang benar-benar penting — keluarga.
Kehadiran cucu pertama, hasil perkahwinan anak sulungnya, Allisya dan Sham menjadi satu titik perubahan besar dalam hidup beliau, satu fasa baru yang penuh dengan rasa syukur dan kebahagiaan.
Menurut Shiera, cucu bukan sahaja membawa senyuman ke rumah, tetapi juga mencetuskan satu rasa yang sukar digambarkan — rasa sayang yang mendalam dan keinginan untuk meluangkan lebih banyak masa dengan orang tersayang. Rutin hariannya kini jauh lebih tenang, namun setiap detik terasa lebih bermakna.
Daripada seorang wanita yang dahulu ligat ke sana sini, kini beliau lebih senang berada di rumah biarpun masih sibuk dengan kerjaya, melayan kerenah cucu sambil menikmati suasana keluarga yang harmoni.
Menurut suami Shiera, Ijoy Azhari, memegang gelaran Datuk semestinya tanggung jawab yang berat. Tidak mudah untuk menjaga seorang cucu. Untuk sama-sama merasai keseronokan menjaga Moana, Sheera akan menjaga cucu mereka pada waktu siang manakala Ijoy mengambil giliran semasa malam.
“Berat tittle Datuk ni sebenarnya. Berat.. Cabaran dia, pukul tiga pagi pun dia buat hal,” ujar Ijoy. Menurut Shiera lagi, cucu mereka tidak menggunakan buaian, jadi suaminya akan dukung dan bawa Moana berenjut dengan turun naik tangga.
Ketika ditanyakan antara momen yang tak dapat dilupakan sepanjang membesarkan anak-anak, mereka berdua mengatakan sehingga sekarang anak bongsu mereka, Adeena masih tidur bersama. Tambah mereka lagi, anak bongsulah yang paling manja dan suka bersolek. Selain itu, Adeena juga agak cemburu apabila kedua ibu ayahnya melayan Moana.
Yang menariknya, beliau tidak merindui kehidupan lamanya. Malah, ibu kepada lima orang cahaya mata ini menyambut fasa baru kehidupannya dengan hati yang terbuka. Bagi Shiera, inilah kebahagiaan sebenar — melihat anak-anak membesar, menyaksikan kehadiran generasi baru, dan berkongsi kasih sayang tanpa syarat. mereka menikmati kehidupan yang lebih sederhana, tetapi kaya dengan emosi dan kenangan.
“Enjoy kehidupan sebagai ibu, doakan anak membesar dengan baik. Jadi anak yang soleh dan mendengar kata . Juga kena sentiasa hormat menghormati antara satu sama lain,” pesan Shiera kepada Allisya.
Tonton video Shiera ini:
Perubahan ini juga mengajar kita sesuatu — bahawa tak semestinya bahagia itu datang daripada pencapaian besar atau pujian orang luar. Kadangkala, ia hadir dalam bentuk yang paling ringkas: pelukan cucu, gelak tawa di ruang tamu, atau waktu senja yang dilalui bersama keluarga. Kita mungkin terlepas semua tu kalau terlalu sibuk mengejar ‘kejayaan’ dunia.
Dalam diam, ramai di antara kita yang juga sedang mencari keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Dan mungkin, seperti Shiera, kita akan sedar suatu hari nanti — yang paling berharga dalam hidup bukanlah apa yang kita miliki, tapi siapa yang kita ada di sisi.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI