
Tidur bersama bayi memang jadi pilihan ramai ibu ayah, terutamanya bila nak mudahkan penyusuan atau pantau anak waktu malam. Tapi hakikatnya, tanpa cara yang betul, amalan ini boleh membawa risiko yang ramai tak sedar.
SIDS Bayi: Risiko ‘Silent Killer’ Ketika Tidur
Salah satu risiko yang paling ditakuti ialah Sudden Infant Death Syndrome (SIDS), iaitu kematian bayi secara tiba-tiba tanpa sebab yang jelas, biasanya berlaku ketika bayi sedang tidur. Kes ini sering melibatkan bayi bawah umur setahun dan juga dikenali sebagai “crib death”.
Kajian menunjukkan, gabungan faktor fizikal bayi dan keadaan persekitaran tempat tidur—seperti posisi tidur, tilam, atau kehadiran objek di sekeliling—boleh meningkatkan risiko berlakunya SIDS bayi.
Faktor Fizikal Yang Menyumbang Kepada SIDS Bayi
Kombinasi masalah fizikal dan faktor persekitaran di tempat tidur boleh menyebabkan bayi mudah menjadi mangsa SIDS.
Antara faktor fizikal yang dikaitkan dengan SIDS bayi ialah masalah dalam otak (akibat belum matang) yang mengawal pernafasan dan bangun tidur bayi tersebut, atau dilahirkan secara tidak cukup bulan, atau dilahirkan tidak cukup berat. Otak bayi yang tidak matang sepenuhnya menyebabkan tidak dapat mengawal proses bernafas yang betul dan degup jantung tidak menentu.
Selain itu, jangkitan kuman pada saluran pernafasan dan paru-paru juga boleh menjadi penyebab kepada risiko SIDS bayi.
Faktor Persekitaran Tempat Tidur

Antara faktor tempat tidur yang dikaitkan dengan SIDS ialah bantal, selimut dan anak patung yang diletakkan di tempat tidur, yang menyebabkan bayi ‘ditimbus’ dan tidak bernafas. Posisi bayi tidur seperti tidur tertiarap juga meningkatkan risiko.
Bayi yang tidur bersama ibu bapa atau adik-beradik juga berisiko mengalami SIDS bayi kerana tertindih secara tidak sengaja semasa tidur.
Amalan Tidur Yang Lebih Selamat
Amalan di barat tidak menggalakkan ibu tidur sekatil dengan bayi yang dilahirkan secara pramatang, mengalami kurang berat badan, dan bayi berusia kurang enam bulan.
Mereka lebih selamat ditidurkan berhampiran ibu tetapi menggunakan katil yang berlainan bagi mengurangkan risiko SIDS bayi.
Bayi juga boleh mati lemas tidak bernafas kerana berkongsi selimut dengan ibu. Ibu bapa yang terlalu letih juga tidak digalakkan tidur bersama bayi kerana mungkin akan menghempap bayi dan tidak sedar apabila bayi terjaga dan menangis.
Perkara Yang Perlu Dielakkan Ibu Bapa
Ibu atau bapa yang merokok juga tidak digalakkan tidur bersama bayi kerana ia mendedahkan bayi kepada bahan toksik asap rokok yang dikeluarkan dari paru-paru semasa tidur.
Ibu yang menyusukan bayi dan tidur bersama juga harus berwaspada kerana ibu mungkin kepenatan dan wajah bayi mungkin tertangkup pada payudara ibu tanpa disedari.
Penting Untuk Ibu Ayah
Walaupun tidur bersama bayi kelihatan praktikal dan memudahkan, ia perlu dilakukan dengan penuh kesedaran dan langkah keselamatan yang betul. Risiko seperti SIDS bayi bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana ia berlaku tanpa amaran.
Pastikan bayi tidur dalam persekitaran yang selamat, bebas objek berbahaya dan dengan posisi tidur yang betul. Langkah kecil ini mampu menyelamatkan nyawa.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





