
Setiap ibu bapa pasti menyimpan impian yang sama, mahu melihat anak-anak membesar dengan masa depan yang lebih cerah dan terjamin. Dalam kesibukan membina kehidupan keluarga, perancangan kewangan untuk masa depan anak-anak khususnya simpanan pendidikan, wajar diberi perhatian dan dimulakan seawal mungkin bagi memastikan impian tersebut dapat direalisasikan.
Menyedari kepentingan membudayakan amalan menabung sejak awal, Pa&Ma dengan kerjasama Simpan SSPN telah menganjurkan program Simpan Challenge Hunt X Simpan SSPN yang berlangsung di Lost World of Tambun (LWOT), Ipoh, Perak pada 4 Julai 2026.

Program ini bukan sekadar mencipta memori indah buat keluarga menerusi pelbagai aktiviti menarik, malah meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan merancang simpanan pendidikan demi masa depan anak-anak.
26 Keluarga Berentap Dalam Cabaran Hebat, Uji Kebijaksanaan
Sebanyak 26 keluarga menyertai cabaran ini dan beraksi dengan penuh semangat bagi menyelesaikan tugasan di lima checkpoint yang menguji kreativiti, ketangkasan dan kebijaksanaan, sekali gus mengukuhkan ikatan kasih sayang serta semangat sepasukan dalam kalangan ahli keluarga.

Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi turut menyampaikan mesej penting tentang kepentingan merancang masa depan anak-anak melalui tabiat menyimpan sejak awal usia. Dalam suasana yang penuh keceriaan, ibu bapa dan anak-anak turut diberikan pendedahan bahawa simpanan kecil hari ini mampu menjadi bekal besar untuk hari esok.
Ucapan Aluan Daripada En. Ahmad Dasuki & Perkongsian Farah Diana
Program dimulakan dengan ucapan aluan daripada En. Lokman Affandy, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif NU Ideaktiv Sdn Bhd dan En. Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN.
Dalam ucapan En. Ahmad Dasuki, beliau berkongsi mesej penuh inspirasi buat semua ibu bapa tentang kepentingan merancang kewangan pendidikan anak-anak dari awal usia.
“Apabila ibu bapa mula merancang lebih awal, insya-Allah perjalanan pendidikan anak-anak pada masa hadapan akan menjadi lebih teratur dan terjamin. PTPTN sebagai tabung pendidikan utama negara sentiasa komited membantu masyarakat khususnya ibu dan bapa dalam menggalakkan budaya menabung menerusi Simpan SSPN.”
Perkongsian tersebut menjadi pembuka acara yang cukup bermakna, terutama buat ibu bapa yang hadir bersama anak-anak.

Turut hadir memeriahkan acara ialah Farah Diana Anuar beserta anak-anak. Beliau turut berkongsi pengalaman bagaimana dengan menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma telah membuka matanya tentang kepentingan membuat simpanan pendidikan demi masa depan anak-anak.

“Pada mulanya saya kurang pendedahan tentang produk Simpan SSPN. Saya dan suami memang ada buat simpanan untuk anak-anak kami, tapi selepas menyertai Forum Parenting A+ pada Januari lalu tu sememangnya memberi input kepada saya tentang manfaat membuat simpanan di Simpan SSPN. Bukan untuk penerima manfaat (anak-anak) saja, tapi untuk saya dan suami sebagai pendeposit.”
Cabaran Bermula, Peserta Penuh Semangat
Peserta kemudian diberi taklimat cabaran oleh wakil LWOT, Encik Audi, sebelum memulakan Simpan Challenge Hunt X Simpan SSPN yang penuh kemeriahan.
Sebelum cabaran bermula, kemeriahan acara dimulakan dengan slot Genius IQ Bersama Simpan SSPN yang mengajak para peserta menguji minda melalui pelbagai soalan menarik sambil merebut hadiah istimewa.

Paling menarik di checkpoint pertama, kesemua peserta diminta untuk membuat hiasan pada tabung Simpan SSPN bagi merebut gelaran anugerah khas Tabung Impianku Tercantik. Masing-masing menunjukkan kreativiti tersendiri, menjadikan tugasan ini antara momen yang paling mencuri perhatian.
Tamat tugasan pertama, para peserta kemudiannya mengelilingi sekitar LWOT bagi memastikan mereka dapat menyelesaikan kesemua lima cabaran di checkpoint yang telah disediakan. Gelak tawa, sorakan dan semangat berpasukan jelas mewarnai setiap cabaran apabila setiap keluarga memberi sokongan antara satu sama lain demi melengkapkan cabaran.

Semua Keluarga Menang Cabutan Istimewa!
Bukan itu sahaja, acara cabutan istimewa turut diadakan dan kesemua 26 keluarga berjaya memenangi hadiah menarik.
Antara hadiah yang dibawa pulang termasuk akaun Simpan SSPN, beg sekolah PTPTN, barangan elektrik, peralatan dapur dan banyak lagi. Pada awalnya, ketua keluarga perlu mengelilingi kawasan berkumpul bagi mencari nombor hadiah.
Tujuh keluarga bertuah yang menjumpai sampul bewarna biru berjaya membawa pulang akaun Simpan SSPN bernilai RM50.

Suasana menjadi lebih meriah apabila setiap keluarga menerima hadiah masing-masing. Jelas terpancar wajah gembira anak-anak dan ibu bapa yang hadir, menjadikan program ini lebih manis untuk dikenang.
Tahniah Kepada Pemenang Kategori Khas
Terdapat tiga kategori khas yang diberikan kepada para peserta dan kesemua pemenang membawa pulang hamper istimewa daripada Pa&Ma dan wang tunai dalam bentuk akaun Simpan SSPN.
Untuk kategori khas Tabung Impianku Tercantik, gelaran tersebut dimenangi oleh keluarga Pn. Nik Nur Atiqah Nik Sin. Manakala bagi kategori Simpanan Terbanyak, iaitu token paling banyak diterima oleh keluarga, kemenangan berjaya dirangkul oleh keluarga En. Muhammad Ashmawi Mokhtar.
Sementara itu, keluarga Pn. Rodiah Abdul Mokti telah merangkul gelaran Pakaian Keluarga Tercantik.



Tiga Juara Utama Dan Tujuh Pemenang Saguhati
Juara Simpan Challenge Hunt X Simpan SSPN menjadi milik keluarga En. Muaz Azahari yang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN beserta barangan istimewa PTPTN dan hamper Pa&Ma.

Naib Juara pula disandang oleh keluarga Pn. Farah Syafiqah yang menerima RM500 akaun Simpan SSPN beserta barangan istimewa PTPTN dan hamper Pa&Ma.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh keluarga En. Muhamad Safiy Syazwan yang membawa pulang RM300 akaun Simpan SSPN beserta barangan istimewa PTPTN dan hamper istimewa daripada Pa&Ma.

Tahniah juga diucapkan kepada keluarga En. Muhammad Radzwin, Pn. Khadijah Ishak, Pn. Nur Zulhusni, Pn. Shafiqahtul, Pn. Farhani, Pn. Nur Rajaa’ Khairiyah dan Pn. Adilah Ahmad yang memenangi hadiah saguhati. Kesemua mereka menerima RM100 akaun Simpan SSPN beserta barangan istimewa PTPTN dan hamper istimewa daripada Pa&Ma.
Hadiah-hadiah telah disampaikan kepada para pemenang oleh En. Ahmad Dasuki, diiringi En. Andi Nurali, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Perak dan En. Lokman Affandy.
Masa Bersama Keluarga Sambil Beri Pendedahan Ilmu Simpanan
Simpan Challenge Hunt X Simpan SSPN kali ini ternyata berjaya mengukir senyuman di wajah para peserta terutamanya ibu bapa. Lebih daripada sekadar permainan dan cabaran, program ini memberi pendedahan bermakna tentang Simpan SSPN serta kepentingan menabung untuk pendidikan anak-anak.
Anak-anak kecil berpeluang belajar bahawa menyimpan bukan sekadar memasukkan duit ke dalam tabung, tetapi satu langkah penuh kasih sayang untuk masa depan mereka. Dalam masa yang sama, ibu bapa pula dapat meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak melalui aktiviti yang santai, menyeronokkan dan sarat dengan nilai kekeluargaan.

Apa yang paling berharga, program sebegini membuktikan bahawa ilmu pendidikan kewangan boleh diperkenalkan kepada anak-anak dengan cara yang mudah, dekat dan menggembirakan. Tabiat menabung dalam jumlah yang kecil dan konsisten, lahirlah impian besar yang bakal mengubah masa depan seorang anak.
Simpan SSPN terus mendapat kepercayaan masyarakat Malaysia kerana menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah. PTPTN menggalakkan semua masyarakat Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya satu (1) akaun Simpan SSPN untuk satu keluarga demi masa depan anak-anak.
Terus nantikan lebih banyak aktiviti menarik anjuran Pa&Ma bersama Simpan SSPN. Jangan lepaskan peluang untuk sertai program akan datang dan sama-sama membina masa depan yang lebih terancang buat anak-anak kita!
Kalau nak tahu maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh layari portal rasmi di www.ptptn.gov.my atau muat turun aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





