
Setiap pasangan melalui perjalanan yang berbeza dalam usaha mendapatkan cahaya mata. Ada yang dikurniakan rezeki anak dalam tempoh yang singkat, manakala ada juga yang perlu menunggu bertahun-tahun sebelum menerima berita kehamilan.
Bagi pasangan yang sedang melalui fasa trying to conceive (TTC), dua garis pada alat ujian kehamilan pastinya menjadi saat yang paling menggembirakan. Namun, kegembiraan itu boleh bertukar menjadi kesedihan apabila kandungan tidak dapat bertahan.
Lebih menyedihkan apabila keguguran berlaku bukan hanya sekali, tetapi berulang kali. Keadaan ini boleh membuatkan seorang wanita berasa kecewa, takut dan mula menyalahkan dirinya sendiri. Malah, ada pasangan yang akhirnya hilang semangat untuk mencuba lagi kerana tidak sanggup berdepan kehilangan yang sama.
Salah satu penyakit yang sering dikaitkan dengan keguguran berulang ialah Sindrom Antibodi Antifosfolipid (APS) atau Antiphospholipid Antibody Syndrome. APS ialah penyakit autoimun yang menyebabkan darah lebih mudah membeku dan boleh menjejaskan perjalanan kehamilan jika tidak dikesan lebih awal.

Apakah Itu Sindrom Antibodi Antifosfolipid (APS)?
Sindrom Antibodi Antifosfolipid (APS) merupakan penyakit autoimun yang menyebabkan sistem imun menghasilkan antibodi yang menyerang protein tertentu dalam darah. Keadaan ini meningkatkan risiko pembekuan darah di saluran darah dan boleh menimbulkan pelbagai komplikasi.
Walaupun APS dianggap penyakit yang jarang berlaku, ia lebih kerap dialami oleh wanita berbanding lelaki.
Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pantai Hospital Melaka, Dr Nor Idayu Ahmad Ruslan, ramai pesakit tidak menyedari mereka menghidap APS kerana simptomnya tidak khusus dan sering menyerupai masalah kesihatan biasa.
Semasa kehamilan, pembekuan darah boleh berlaku pada saluran darah yang menghubungkan uri dengan bayi. Apabila aliran darah terganggu, bekalan oksigen dan nutrien kepada janin turut berkurangan.
Keadaan ini boleh meningkatkan risiko keguguran, pertumbuhan janin terbantut, kelahiran pramatang dan kematian bayi di dalam kandungan.
Siapa Yang Disarankan Menjalani Saringan APS?
Tidak semua wanita hamil memerlukan ujian APS. Namun, pemeriksaan ini disarankan kepada wanita yang mempunyai sejarah keguguran berulang tanpa punca yang jelas.
Antara individu yang perlu mendapatkan nasihat doktor termasuk:
- Wanita yang mengalami tiga atau lebih keguguran sebelum usia kandungan 10 minggu.
- Wanita yang pernah kehilangan bayi selepas usia kandungan melebihi 10 minggu.
- Wanita yang melahirkan bayi sebelum 34 minggu akibat preeklampsia yang teruk atau gangguan fungsi plasenta.
Pemeriksaan awal amat penting kerana simptom APS kadangkala terlalu umum dan mudah disalah anggap sebagai masalah kesihatan biasa.

Simptom Sindrom Antibodi Antifosfolipid (APS)
Antara simptom yang mungkin dialami ialah:
- Sakit kepala atau migrain berpanjangan.
- Sakit sendi.
- Kekejangan otot.
- Gangguan tidur.
- Kulit kering atau ruam.
- Mudah lebam.
- Pendarahan pada hidung atau gusi.
Walaupun simptom ini tidak semestinya menunjukkan seseorang menghidap APS, ia wajar dibincangkan dengan doktor terutama jika disertai sejarah keguguran berulang.
Komplikasi APS Terhadap Kehamilan
Selain meningkatkan risiko keguguran, APS juga boleh menyebabkan komplikasi serius kepada ibu dan bayi.
- Pertumbuhan bayi terbantut.
- Preeklampsia.
- Kelahiran pramatang.
- Kematian bayi dalam kandungan.
APS turut meningkatkan risiko pembekuan darah di bahagian tubuh lain seperti:
- Deep Vein Thrombosis (DVT).
- Pulmonary Embolism.
- Strok.
- Serangan jantung.
Oleh sebab itu, wanita yang mengalami keguguran berulang disarankan menjalani pemeriksaan awal supaya punca sebenar dapat dikenal pasti dan rawatan dapat dimulakan secepat mungkin.

Rawatan Sindrom Antibodi Antifosfolipid (APS)
Diagnosis APS bukan bermakna peluang untuk memiliki cahaya mata sudah tertutup. Dengan pengesanan awal, rawatan yang sesuai dan pemantauan rapi, ramai wanita masih berjaya menjalani kehamilan yang sihat.
Rawatan lazim untuk wanita hamil yang menghidap APS biasanya melibatkan aspirin dos rendah dan suntikan Low Molecular Weight Heparin (LMWH) seperti enoxaparin bagi mengurangkan risiko pembekuan darah.
Dalam sesetengah keadaan, pesakit mungkin turut dirujuk kepada pakar hematologi. Penggunaan ubat perlu dilakukan di bawah pemantauan doktor sepanjang kehamilan.
Walaupun APS tidak dapat disembuhkan sepenuhnya, penyakit ini masih boleh dikawal. Sesetengah pesakit mungkin memerlukan ubat pencair darah seperti aspirin atau warfarin untuk tempoh yang lebih panjang bergantung kepada tahap kesihatan masing-masing.
Harapan Masih Ada Untuk Menjadi Ibu
Paling penting, jangan menyalahkan diri sendiri apabila berdepan keguguran berulang. Kehilangan kandungan adalah pengalaman yang amat berat, namun ia bukan bermakna harapan untuk menjadi ibu sudah berakhir.
Dengan diagnosis yang tepat, rawatan yang sesuai dan sokongan daripada doktor serta ahli keluarga, ramai wanita yang menghidap Sindrom Antibodi Antifosfolipid (APS) masih berpeluang menikmati kehamilan yang selamat dan melahirkan bayi yang sihat.
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
Buku Pink Ibu Hamil Jangan Tunjuk Sesuka Hati, Banyak Maklumat Peribadi!
Sumber: Dr Nor Idayu Ahmad Ruslan & Sinar Plus
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





