
Suasana pilu menyelubungi lokasi kemalangan di Jalan Pelabuhan Barat dari arah Pulau Indah menuju ke Klang apabila seorang lelaki meraung melihat isterinya tidak lagi bernyawa selepas digilis sebuah treler, Rabu lalu.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.20 tengah hari itu turut dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan sebelum tular di media sosial. Rakaman berkenaan memperlihatkan si suami berusaha menarik jasad isterinya sambil cuba menyelamatkan anak perempuan mereka yang masih kecil.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, motosikal jenis SM Sport 110R yang ditunggang lelaki berusia 40 tahun itu dinaiki bersama isterinya berusia 30-an dan anak perempuan mereka berusia 10 tahun. Ketika melalui kawasan terbabit, motosikal tersebut dipercayai cuba menyelit di antara beberapa kenderaan berat sebelum bergesel dengan sebuah treler.
Akibat itu, ketiga-tiga mereka terjatuh ke tengah jalan sebelum isteri digilis sebuah treler dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat. Lelaki itu dan anaknya hanya cedera ringan dan dirawat di hospital sama. Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Apa yang lebih menyentuh hati, video yang dikongsikan menerusi dashcam, kelihatan si suami meraung melihat keadaan isteri …. menunjukkan detik pilu sejurus selepas kemalangan apabila pemandu lori terbabit gagal menahan sebak dan memeluk anak mangsa yang masih kecil.