Macam mana nak tahu perahan susu badan dah expired atau masih boleh diberikan kepada bayi? Ini 5 tanda tempoh hayat susu ibu telah tamat. Penting untuk mommies tahu!

Perahan susu badan boleh tamat tempoh?

Tiada apa yang lebih menyedihkan para ibu apabila mengetahui susu badan yang dipam sudah tidak boleh digunakan lagi.

Sesungguhnya susu ibu sangat bernilai dan sudah tentu tidak ada mommies yang sanggup membuang susu tersebut dengan sewenang-wenangnya.

Walau bagaimanapun, tidak seperti susu lembu, perahan susu badan boleh rosak jika dibiarkan di tempat terbuka atau berada di dalam peti sejuk melebihi tempoh yang seharusnya.

Tetapi bagaimana untuk tahu perahan susu badan telah pun rosak dan tidak boleh diberikan kepada si manja?

5 tanda tempoh hayat susu ibu telah tamat

Mesti runsing para ibu sekalian untuk menentukan sama ada susu yang sudah tersedia dipam itu masih boleh digunakan lagi atau tidak, kan?

Berikut dikongsikan 5 tanda menunjukkan tempoh hayat susu ibu telah pun terjejas. Moga ia membantu mommies di luar sana.

Bau kurang menyenangkan

Dikatakan jika susu ibu telah basi, ia akan mempunyai bau yang sama seperti keadaan susu lembu yang rosak.

Jika anda menghidu bau yang kurang menyenangkan, busuk atau masam, ia mungkin petanda perahan susu badan itu telah pun basi.

Pun begitu, ada sebilangan ibu yang melaporkan susu yang diperah berbau seperti bau logam atau sabun.

IKLAN

Menurut pakar, bau tersebut disebabkan oleh tahap enzim lipase yang lebih tinggi dihasilkan oleh sesetengah ibu.

Susu tidak bercampur

Biasanya, susu ibu yang dipam dan disimpan akan dilihat terasing menjadi lapisan berlemak dan tidak berlemak.

Walau bagaimanapun, jika tempoh hayat susu ibu masih baik, kedua-dua lapisan itu akan bercampur dan bersatu apabila digoncang dengan lembut.

Tetapi sekiranya selepas goncangan lembut dilakukan lapisan susu tersebut tidak bergabung atau terdapat ketulan susu, ia menunjukkan susu itu tidak lagi sesuai untuk diberikan kepada si manja.

Rasa sayangkan kalau nak buang? Tetapi itulah tindakan sewajarnya atau akan menimbulkan masalah kesihatan pada si manja jika anda berkeras memberikannya kepada bayi.

Disimpan dalam peti sejuk melebihi 3 hari

Perahan susu badan yang disimpan dalam peti sejuk biasanya masih elok untuk digunakan antara tempoh 3 hingga 5 hari.

Namun, ia bergantung kepada suhu dan lokasi susu diletakkan di dalam peti sejuk.

Untuk mendapatkan tempoh hayat susu ibu yang lebih lama, ia perlu diletakkan berhampiran tempat keluar suhu.

Ini kerana ia memberikan suhu paling tinggi dan bukannya di pintu peti ais, di mana perubahan suhu naik turun berlaku dengan kerap, sekali gus menjejaskan kondisi susu.

Tidak ditutup dengan betul

Apa sahaja makanan yang tidak ditutup dengan betul atau bekas plastik terkoyak, ia pasti merosakkan makanan tersebut, kan?

Sama jugalah kesnya dengan perahan susu. Jika ia tidak disimpan dalam bekas dengan betul atau penutupnya tidak rapat, risiko untuk susu basi adalah tinggi.

Terdapat pelbagai cara menyimpan susu ibu yang boleh dilakukan. Sama ada menggunakan bekas plastik keras atau dalam beg yang direka khas untuk susu ibu.

Elakkan daripada menyimpan susu ibu dalam bekas terbuka!

Rasa yang masam

Sudah tentu, ini cara untuk mengetahui sama ada perahan susu badan masih dalam keadaan elok atau basi dengan merasainya sendiri.

Selalunya, susu ibu yang basi akan terasa masam dan tidak enak. Jadi pastinya pilihan terbaik adalah untuk tidak memberikan susu badan tersebut kepada si manja, okay?

Panduan penyimpanan perahan susu badan

Terdapat 2 fasa berkaitan perahan susu badan:

-Segar
-Digunakan semula

Segar bermakna susu tersebut terus diberikan kepada bayi sebaik sahaja dipam. Di mana ia penuh dengan nutrien dan sistem pertahanan badan khas daripada susu ibu.

Manakala istilah ‘digunakan semula’ telah melepasi masa idealnya iaitu sejurus diperah daripada payudara, namun masih baik untuk diberikan kepada bayi.

Ia perlu disimpan dengan betul sama ada di dalam peti ais atau peti sejuk beku agar tidak menjadi tempat pembiakan bakteria yang boleh mengancam tahap kesihatan si manja anda.

Susu ibu yang disejuk beku ini masih mempunyai nutrien yang baik untuk bayi cuma sesetengah manfaatnya mungkin sudah tidak lagi sebaik waktu ia masih segar.

Tempoh hayat susu ibu:

Pada suhu bilik – 4 jam (ideal) hingga 6 jam (masih boleh diberikan pada bayi)
Peti ais – 72 jam (ideal) hingga 6 hari (bergantung pada keadaan susu)
Peti sejuk beku – 3 hingga 6 bulan
Deep freezer – 6 hingga 12 bulan

Ibu harus merasainya dahulu

Sebaiknya, anda disyorkan untuk merasai terlebih dahulu perahan susu badan sebelum diberikan kepada anak.

Sekurang-kurangnya anda boleh memastikan dahulu tempoh hayat susu ibu tersebut masih baik atau sudahpun basi.