
Tabiat lelaki ini boleh ‘bunuh’ kualiti sperma, walaupun nampak remeh dan sering dianggap perkara biasa. Hakikatnya, ia boleh memberi kesan besar terhadap peluang pasangan untuk mendapatkan zuriat.
Lebih membimbangkan, ramai lelaki melakukannya hampir setiap hari tanpa menyedari risiko jangka panjang terhadap kesuburan mereka.
Tabiat Lelaki Ini Boleh ‘Bunuh’ Kualiti Sperma
Dalam dunia serba digital hari ini, bekerja, menonton drama atau bermain permainan video menggunakan laptop sudah menjadi rutin harian.

Namun, satu tabiat yang sering dipandang ringan iaitu meletakkan laptop panas di atas riba sebenarnya boleh menjadi ancaman senyap kepada kesihatan reproduktif lelaki.
Kenapa Kesuburan Lelaki Sangat Sensitif Dengan Haba?
Pernah terfikir kenapa Allah SWT mencipta testis lelaki berada di luar badan dan bukan tersembunyi di dalam seperti organ dalaman lain?
Jawapannya berkait rapat dengan suhu.
Untuk menghasilkan sperma yang sihat dan berkualiti, testis memerlukan suhu sekitar dua hingga empat darjah Celsius lebih rendah daripada suhu badan normal.

Kedudukan testis di luar badan berfungsi sebagai sistem penyejuk semula jadi bagi memastikan proses penghasilan sperma berjalan dengan baik.
Namun, keseimbangan ini boleh terganggu apabila kawasan tersebut terdedah kepada haba berlebihan.
Laptop Atas Riba, Bahaya Tanpa Disedari
Laptop menghasilkan haba daripada bateri dan pemprosesnya.
Apabila diletakkan terus di atas paha dalam tempoh lama, haba ini akan meningkatkan suhu di kawasan skrotum.

Keadaan ini dikenali sebagai Scrotal Hyperthermia, iaitu peningkatan suhu di sekitar testis yang boleh menjejaskan fungsi penghasilan sperma.
Risiko tabiat lelaki ini boleh ‘bunuh’ kualiti sperma menjadi lebih tinggi jika seseorang:
- Bekerja lama secara ‘remote’ atas katil.
- Menonton drama berjam-jam dengan laptop di riba.
- Bermain permainan video dalam tempoh panjang tanpa rehat.
Dalam bahasa mudahnya, lelaki sedang “memasak” kilang sperma sendiri tanpa sedar dan tanpa sebarang amaran awal.
Apa Yang Berlaku Pada Kualiti Sperma?
Kajian perubatan menunjukkan bahawa kenaikan suhu skrotum sebanyak satu darjah Celsius sahaja sudah mencukupi untuk mengganggu proses spermatogenesis.
Antara kesan jangka panjang yang boleh berlaku termasuk:
- Jumlah sperma menurun atau bilangan sperma menjadi rendah.
- Pergerakan sperma menjadi lemah dan tidak aktif.
- Bentuk sperma tidak normal sehingga menyukarkan proses persenyawaan.
Inilah antara faktor tersembunyi yang menyumbang kepada masalah kesuburan lelaki walaupun mereka kelihatan sihat, aktif dan tiada penyakit kronik.

Isteri Juga Perlu Ambil Tahu
Isu sukar hamil sering kali meletakkan tekanan sepenuhnya kepada wanita.
Hakikatnya, masalah kesuburan melibatkan kedua-dua belah pihak.
Isteri juga perlu peka dengan tabiat harian suami kerana perubahan kecil dalam rutin lelaki boleh memberi kesan besar kepada peluang menimang cahaya mata.
Tak Perlu Buang Laptop, Ubah Cara Guna
Berita baiknya, lelaki tidak perlu panik atau mengelak daripada menggunakan laptop sepenuhnya.
Apa yang penting ialah cara penggunaan yang betul dan selamat.
Antara langkah pencegahan yang boleh diamalkan termasuk menggunakan meja ketika bekerja atau menonton, mengelakkan meletakkan laptop terus di atas paha serta menggunakan alas penebat haba atau cooling pad jika perlu.
Selain itu, bangun dan bergerak setiap 30 hingga 60 minit juga membantu melancarkan peredaran darah.
Langkah ini nampak kecil, tetapi sangat bermakna untuk kesihatan jangka panjang.
Pesanan Buat Para Suami dan Bakal Ayah
Laptop rosak masih boleh diganti.
Namun, kualiti sperma bukan sesuatu yang mudah dipulihkan.
Jika benar sayangkan zuriat dan masa depan keluarga, jagalah kesihatan reproduktif sebaiknya.
Kesuburan bukan isu wanita semata-mata, sebaliknya tanggungjawab bersama dalam sebuah perkahwinan.
Kadangkala, zuriat bukan terhalang kerana takdir semata-mata tetapi kerana tabiat harian yang kita anggap biasa.
BACA LAGI : Pil Perancang Lelaki Pertama, Sperma ‘Direhatkan’ Tanpa Ganggu Hormon!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





