Tabiat pemakanan rosakkan otak anak bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Semua ibu ayah memang nak bagi yang terbaik untuk anak. Bukan sekadar pakaian cantik atau pendidikan yang sempurna, tapi soal makan minum pun kita cuba jaga sebaik mungkin.
Tapi dalam realiti harian bila anak meragam, tak nak makan, atau terlalu memilih ramai antara kita akhirnya “mengalah”. Apa saja anak nak, kita bagi asalkan dia makan.
Tanpa sedar, dari situlah bermulanya tabiat pemakanan rosakkan otak anak. Nampak macam kecil sekadar biskut, air manis, jajan tapi bila jadi rutin harian, kesannya boleh perlahan-lahan menjejaskan perkembangan otak anak.
Lebih membimbangkan, kesan ini bukan nampak serta-merta. Ia terkumpul, sedikit demi sedikit sampai satu tahap, baru kita perasan anak mudah letih, cepat marah, kurang fokus, atau sukar belajar.
Kesan Tabiat Pemakanan Terhadap Otak Anak
Ramai ibu bapa tak sedar bahawa makanan yang diambil setiap hari sebenarnya memainkan peranan besar dalam perkembangan otak si kecil.Kandungan gula yang tinggi dalam makanan proses, contohnya, boleh menyebabkan fungsi otak jadi lemah. Bila paras gula dalam darah naik dan turun secara mendadak, bekalan tenaga ke otak pun jadi tak stabil.
Anak-anak yang terlalu kerap diberi makanan tinggi gula seperti biskut dan gula-gula berisiko mengalami perkembangan otak yang terbantut. Mereka juga cenderung jadi cepat penat, mudah tersinggung, dan sukar fokus. Sebab itu ibu ayah kena lebih peka. Bukan semua yang anak suka itu baik untuk mereka.
Malah menerusi perkongsian Pakar Otak, Dr Rizal Abu Bakar menjelaskan bahawa otak anak pada usia 0 hingga 8 tahun merupakan masa emas pembelajaran. Kadar serapan ilmu tinggi. Mudah tangkap informasi.
“Malangnya pada umur macam nilah mereka dijamu dengan gula gula, jajan, kek dan minuman bergas. Apa berlaku? Lemahlah serapan. Lemahlah sel sel otak yang sedang ligat tumbuh. Sepatutnya otak geliga. Kasihankan? Bagaimana cara mahu atasi? Haramkan kesemua di atas dari berada di rumah atau di tangan anak-anak. Masa depan mereka di tangan anda. Act now before its too late.”
5 Tabiat Pemakanan Rosakkan Otak Anak
Ads
1. Makanan ringan & makanan segera
Jajan, nugget, sosej, fast food memang kegemaran kanak-kanak. Tapi makanan jenis ni rendah zat dan tinggi bahan kimia seperti pewarna, pengawet, perasa tiruan, garam dan gula.
Selain itu, ia juga mengandungi lemak tepu terhidrogenasi yang boleh menjejaskan fungsi otak dan sistem pencernaan. Bila kerap diambil, anak bukan saja mudah jatuh sakit, tapi juga boleh alami gangguan fokus dan perkembangan.
2. Minuman berkarbonat & minuman manis dalam botol
Bukan sekadar air soda, malah jus buah dalam botol pun sering mengandungi gula tambahan, pemanis tiruan dan bahan pengawet.
Kandungan ini boleh mengganggu sistem saraf anak yang masih berkembang. Hasilnya, anak jadi cepat hyper, lepas tu cepat pula letih emosi pun jadi tak stabil.
3. Makanan & minuman berkafein
Ramai tak perasan teh, kopi, coklat, dan sesetengah minuman berkarbonat ada kafein.
Ads
Kajian menunjukkan kanak-kanak yang ambil kafein cenderung mengalami gangguan fokus dan prestasi harian yang kurang memberangsangkan.
Untuk anak-anak, susu dan air kosong jauh lebih sesuai untuk sokong perkembangan otak.
4. Makanan tinggi gula (biskut, gula-gula, dessert)
Ini antara “silent killer” dalam tabiat pemakanan rosakkan otak anak.
Gula berlebihan menyebabkan paras gula darah naik mendadak, kemudian jatuh secara tiba-tiba.
Kesannya? Anak jadi cepat penat, mudah marah, sukar fokus dan mood tak menentu.
Ads
5. Makanan dengan aditif & bahan pengawet
Bahan tambahan ini digunakan untuk tahan lebih lama dan nampak lebih menarik. Tapi tubuh anak terutama bayi dan kanak-kanak kecil belum cukup matang untuk proses bahan-bahan ini.
Sesetengah kes boleh sebabkan alergi, gangguan emosi, masalah daya ingatan, malah boleh kait dengan simptom kemurungan.
Peranan Ibu Bapa Dalam Membentuk Pemakanan Anak
Akhirnya, kita kena ingat apa yang anak makan hari ini, itulah yang membentuk otak dan masa depan dia. Bukan tak boleh bagi langsung makanan kegemaran mereka tapi biarlah berpada-pada. Seimbang. Terkawal.
Kawal tabiat pemakanan yang boleh merosakkan otak anak bermula dari rumah. Ibu ayah perlu jadi contoh dan tetapkan rutin pemakanan yang lebih sihat sejak awal.
Kadang-kadang, sayang pada anak bukan dengan menunaikan semua kehendak mereka. Tapi dengan berani kata “tak” demi kebaikan mereka di masa depan.
Pernahkah anda sebagai ibu bapa terfikir bahawa terdapat seribu satu makna yang tersirat di sebalik warna najis bayi? Jika tidak, teruskan membaca artikel ini kerana ia bukanlah sesuatu perkara yang boleh ibu bapa ambil mudah!
Para ibu bapa terutamanya yang masih baharu dalam alam keibubapaan pasti akan teruja dan dalam masa yang sama keliru serta takut menerima kehadiran seorang bayi dalam hidup mereka.
Ini kerana anda sebagai ibu bapa perlu tahu serba-serbi mengenai keperluan atau kemahuan si comel mereka. Segala macam perkara mengenai bayi perlu anda tahu bagi memastikan mereka sentiasa kekal tenang dan ceria di samping anda. Antara yang paling perlu diberi perhatian adalah kesihatan, pemakanan, penghidratan, pemakaian, waktu tidur, waktu mandi, waktu bermain dan juga warna najis bayi.
Ya, warna najis bayi juga perlu ibu bapa perhatikan dengan baik kerana ia adalah salah satu daripada indikator yang paling penting dalam menentukan tahap kesihatan si comel anda. Mungkin bagi ibu bapa yang masih baharu, mereka akan sedikit keliru mengenai perkara ini lebih-lebih lagi jika mereka kurang membuat pembacaan mengenainya.
Mungkin selama ini mereka beranggapan bahawa warna najis bayi adalah serupa sahaja daripada segi bentuk, tekstur dan terutamanya warna dan tidak akan berubah-ubah. Ini adalah tidak benar. Bagi mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut, sila ikuti artikel ini.
Antara soalan yang sering ditanya oleh para ibu bapa terutamanya yang masih baharu adalah mengapa warna najis bayi mereka adalah tidak normal? Ini akan menimbulkan tanda tanya yang lain iaitu apakah warna najis bayi yang normal? Sebenarnya, tidak ada warna najis bayi yang tetap untuk dianggap sebagai normal atau tidak normal. Ia akan berubah-ubah mengikut tahap kesihatan seseorang bayi itu sendiri.
Selain itu, terdapat juga beberapa soalan lain yang sering diutarakan berkaitan dengan najis bayi iaitu kekerapan dan konsistensi pembuangan najis kanak-kanak. Selain warna najis bayi, 2 perkara ini juga mampu memberikan indikasi terhadap tahap kesihatan seseorang bayi itu. Dalam pada itu lagi, ibu bapa perlu tahu bahawa ciri-ciri najis itu juga bergantung kepada pemakanan, penghidratan, emosi pengambilan ubat dan lain-lain punca yang wujud.
Secara umumnya, bayi yang baharu lahir akan membuang najis dengan kerap dan banyak. Ketika mereka sedang dalam beberapa hari yang pertama terutamanya, si comel anda mungkin akan membuang najis yang berwarna agak gelap sedikit.
Selepas bayi telah mula menyusu pula, ia akan memberi kesan terhadap ciri-ciri najis bayi. Bayi yang disusukan dengan susu badan secara ekslusif kebiasaannya akan membuang najis lebih kurang 5 ke 6 kali sehari. Selain itu, bayi yang menyusu susu ibu cenderung membuang najis yang lebih cair jika hendak dibandingkan dengan bayi yang menyusu susu formula.
Najis bayi yang berusia 6 bulan ke bawah adalah lebih cair ekoran pemakanan mereka yang hanya mengambil sumber susu sahaja. Konsistensi najis bayi yang disusukan dengan susu ibu adalah lebih berbentuk kepada ketul-ketulan kecil sementara najis bayi yang disusukan dengan susu formula pula adalah lebih pekat seperti campuran sos mustard atau sos keju.
Pasangan ibu bapa sudah pasti sangat obses dengan setiap perkembangan baharu anak mereka. Perkara-perkara seperti berat badan, ketinggian, warna rambut, warna mata dan kesemua mengenai bayi pasti akan menarik perhatian ibu bapa. Namun begitu, apa kata anda jika pasangan ibu bapa itu obses dengan warna najis bayi mereka sendiri?
Sebenarnya, ia bukan perkara yang terlalu aneh atau pelik untuk difikirkan. Warna najis bayi sebenarnya adalah sangat penting untuk diperhatikan kerana selain warnanya, kekerapan, konsistensi, bentuk, tekstur dan bau najis juga akan berubah-ubah bergantung kepada beberapa punca yang tertentu.
Disebabkan itu, anda sebagai ibu bapa sedikit sebanyak boleh cuba untuk mengetahui mengenai kondisi anak anda dengan meneliti warna najis bayi. Persoalannya, bagaimana untuk ‘membaca’ warna najis bayi ini? Sila ikuti panduan yang berikut:
#1. Najis bayi berwarna hitam
Meskipun ia mungkin kelihatan agak menyeramkan, tiada apa yang perlu anda bimbangkan mengenainya. Warna hitam pada najis bayi ini adalah disebabkan oleh mekonium dan terdiri daripada perkara yang si comel anda telan semasa berada di dalam rahim seperti mukus, cecair amnion atau sel-sel kulit. Ia juga kebiasaannya akan terjadi kepada bayi yang baharu lahir sahaja.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang akan menyebabkan najis bayi berwarna hitam. Antaranya adalah kerana bayi anda menyalurkan darah di dalam najisnya. Tidak, anda tidak perlu panik kerana ia adalah darah yang mungkin ditelah dari puting anda yang merekah ketika penyusuan susu badan. Disebabkan itu, anda perlu pastikan bayi anda melekap dengan betul ketika menyusu untuk mengelakkan susu badan bercampur dengan darah anda.
Antara punca lain najis bayi kehitaman adalah disebabkan oleh zat besi. Jangan terkejut melihat najis anak anda berwarna hitam jika anda sendiri yang memberikan mereka supleman zat besi tambahan. Namun begitu, jika najis si comel anda berwarna hitam dan bukan disebabkan oleh perkara-perkara yang telah dinyatakan ini, segera berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
#2. Najis bayi berwarna kuning
Ini akan berlaku kepada bayi anda sekiranya mereka minum susu ibu secara eksklusif. Oleh itu, jangan terkejut jika najis bayi anda kelihatan seperti mustard atau keju yang dicampur sekali bersama. Ataupun, ia mungkin akan mengelirukan ibu bapa kerana ia tidak jauh berbeza dengan cirit-cirit. Akan tetapi, anda tidak perlu risau terlebih dahulu terutamanya jika si comel anda langsung tidak menunjukkan gejala ciri-birit yang lain seperti demam atau sakit perut.
Najis jenis ini juga adalah sangat cair dan busuk. Disebabkan itu, ia adalah sangat menjijikkan jika anda berada berhampiran dengannya. Selain itu, ia juga mungkin akan mempunyai sebahagian daripada makanan atau minuman yang si ibu ambil sebelum menyusukan bayi. Pun begitu, anda perlu tahu bahawa najis yang kelihatan menjijikkan ini adalah menunjukkan bahawa bayi anda sedang dalam keadaan yang sihat.
#3. Najis bayi berwarna coklat cair
Najis ini pula lebih biasa ditemui dalam kalangan bayi yang menyusu susu formula. Ia mempunyai bentuk dan tekstur yang tidak terlalu keras atau lembut seakan-akan mentega kacang. Berbanding najis bayi yang menyusu susu ibu, najis bayi yang menyusu susu formula adalah jauh lebih busuk.
Selain itu, warnanya juga agak bervariasi tetapi tetap berkisar pada spektrum warna coklat. Ia mungkin akan berwarna coklat kehijauan atau coklat kekuningan bergantung kepada jenis susu formula yang digunakan. Ataupun, najis bayi yang menyusu susu formula juga mungkin akan kelihatan seperti coklat pekat seperti najis seorang kanak-kanak.
#4. Najis bayi berwarna merah
Ya, warna najis ini adalah sangat menakutkan kerana merah selalunya akan dikaitkan dengan darah. Sudah tentu, najis bayi berwarna merah mungkin disebabkan oleh darah. Pun begitu, anda tidak perlu panik kerana punca najis itu bercampur dengan darah adalah apabila bayi terambil darah ibu melalui penyusuan susu badan yang disebabkan oleh puting merekah atau isu-isu yang lain. Jika ia berlaku, segera berjumpa dengan doktor bersama bayi anda.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang boleh menyebabkan najis bayi berwarna kemerahan seperti alahan, jangkitan bakteria, pengambilan ubat bit ataupun disebabkan tebukan di kawasan dubur bayi akibat sembelit. Untuk lebih pasti, dapatkan rawatan dan nasihat daripada pakar kanak-kanak.
#5. Najis bayi berwarna putih
Selain merah, najis bayi yang berwarna putih juga adalah luar biasa dan sangat jarang berlaku. Ada ibu bapa yang berjenaka bahawa bayi yang membuang najis berwarna putih adalah keturunan legenda Pulau Langkawi iaitu Mahsuri yang mempunyai darah berwarna putih. Itu bukan sama sekali halnya kerana najis akan mendapat warnanya daripada organ hempedu. Jadi, punca utama kepada najis yang berwarna keputihan seperti kapur adalah kerosakan atau ketiadaan hempedu.
Selain itu, najih putih juga mungkin disebabkan oleh masalah pada organ hati. Oleh itu, segera bawa si comel anda untuk berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak jika mereka membuang tahi tidak berwarna ini kerana sudah pasti ia adalah berpunca daripada masalah organ dalaman mereka.
#6. Najis bayi berbuih
Sekiranya bayi anda membuang najis yang berbuih seperti susu kocak dan berwarna seakan-akan kehijauan pula, apakah maksudnya? Ia mungkin kerana si comel anda mendapat terlalu banyak susu kolostrum dan kurang menerima susu matang atau susu akhir. Kolostrum terkenal sifatnya yang rendah kalori sementara susu yang keluar pada awal penyusuan susu matang adalah tinggi kalori.
Jadi, sekiranya najis anak anda berbuih dan berwarna kehijauan, ia mungkin bermakna dia tidak menyusu dengan tempoh yang lama sehingga susu matang mula terhasil dalam payudara si ibu. Untuk menyelesaikannya, si ibu perlu mula menyusukan bayi dengan belah payudara yang paling akhir anda gunakan sebelum ini.
#7. Najis bayi berair
Jika najis berair, sudah pasti akan dikaitkan dengan cirit-birit. Namun begitu cirit-birit yang berlaku pada bayi adalah berbeza dengan cirit-birit individu dewasa kerana ia akan terdiri daripada lebih banyak cecair berbanding pepejal. Selain itu, ia juga akan mempunyai warna hijau, coklat atau kuning cair dan sering bocor keluar daripada lampin si comel anda.
Cirit-birit dalam kalangan bayi biasanya adalah berpunca daripada alahan atau jangkitan bakteria. Ia sebenarnya perlu dipandang dengan lebih serius kerana boleh membawa kepada masalah dehidrasi jika tidak dirawat dengan kadar segera. Oleh itu, segera bawa bayi anda berjumpa doktor untuk mengelakkan sebarang masalah lain terhadap mereka.
#8. Najis bayi berwarna-warni
Pernahkah anda terbayang najis bayi yang berwarna-warni? Cuba anda bayangkan campuran sayur-sayuran yang dipotong kecil seperti lobak merah, lobak putih, kacang hijau, terung dan tomato digaul sekali di dalam satu bekas. Ya, ia mungkin kelihatan berwarna-warni dan meriah. Pun begitu, adakah ibu bapa perlu risau mengenainya?
Sekiranya anda mendapati bahawa najis bayi anda dipenuhi dengan tompokan berwarna-warni, anda tidak perlu risau sama sekali. Ini kerana ia mungkin berlaku akibat beberapa jenis makanan yang tidak dapat dicernakan atau dipecahkan sepenuhnya kerana bergerak terlalu pantas melalui sistem pencernaan bayi.
Ia akan terjadi jika si comel anda sangat menyukai makanannya sehingga mereka tidak langsung mengunyah lantas menelan makanan tersebut secara terus. Ini merupakan punca kepada pencernaan yang tidak sempurna lalu menyebabkan kepada masalah najis bayi yang berwarna-warni.
Sebaiknya, bawa anak anda berjumpa dengan doktor untuk mengetahui jika terdapat sebarang masalah terdapat sistem pencernaan bayi anda.
#9. Najis bayi berwarna coklat gelap
Ini mungkin merupakan tahap atau peringkat warna najis bayi yang paling normal. Jika bayi anda sudah mula membuang najis berwarna gelap, mereka sudah berjaya membesar menjadi seorang kanak-kanak yang berjaya.
Anda akan mendapati terdapat perubahan pada warna najis bayi yang berubah menjadi coklat gelap apabila mereka mula mengambil makanan pejal dan sudah mula beransur-ansur ke arah bercerai susu.
Najis bayi yang berwarna coklat gelap juga adalah serupa sahaja dengan warna biasa najis individu dewasa. Jangan risau mengenai perkara ini kerana ia adalah normal dan menunjukkan bahawa tumbesaran bayi anda adalah berada di landasan yang baik.
Warna najis bayi anda mungkin tidak mampu untuk anda ubah dalam tempoh sehari semalam. Jika anda bimbang dengan sesuatu keadaan pada bayi, ada perkara yang boleh anda lakukan iaitu menjaga dan mengawal sistem pencernaan si comel anda.
Ibu bapa perlu cuba untuk mengawal sistem pencernaan yang melibatkan usus dalam perut bayu untuk memberi kesan terhadap seluruh kesihatannya. Berikut adalah beberapa cara anda boleh membantu melindungi sistem pencernaan bayi anda:
Amalkan penyusuan susu ibu
Pertama sekali, anda perlu mengamalkan penyusuan susu ibu kepada bayi anda. Ini kerana ia akan membantu di peringkat awal kehidupan bayi dengan meningkatkan perlindungan imunnya dan pada masa yang sama memastikan imbangan sihat bakteria baik dan bakteria jahat di dalam usus si comel anda.
Susu ibu mengandungi antibodi yang boleh membantu menyalut saluran usus bayi anda sekali gus melindunginya daripada antigen yang berbahaya yang terdapat di persekitaran mereka. Selain mampu meningkatkan imuniti bayi anda, susu ibu juga akan memberi bayi anda nutrien dan khasiat yang seimbang yang khusus untuk tumbesaran mereka.
Elakkan pengambilan antibiotik berlebihan
Selain itu, anda juga perlu mengelak daripada memberi bayi anda apa-apa jenis antibiotik kecuali doktor membenarkannya atas dasar perubatan. Ini kerana antibiotik akan mengganggu imbangan mikroflora dalam usus bayi anda. Jika ubat-ubatan diperlukan, sila rujuk dengan pihak doktor terlebih dahulu.
Anda perlu peka terhadap warna najis bayi anda kerana ia boleh menjadi indikator yang berguna kepada ibu bapa mengenai apa yang sedang berlaku di dalam sistem pencernaan bayi anda. Ketahuilah bahawa bayi yang sihat adalah sangat ceria dan perjalanannya ke arah tumbesaran dan perkembangan yang baik bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.
Konklusi
Konklusinya, warna najis bayi sememangnya adalah petunjuk kepada tahap sistem pencernaan bayi anda. Sama ada ia hitam, hijau, kuning, coklat, berwarna-warni, berbuih atau berair, anda tidak perlu terlalu risau akannya kerana ia adalah bergantung kepada pemakanan mereka sendiri.
Yang perlu anda risau adalah sekiranya bayi membuang najis yang berwarna putih atau merah kerana ia mungkin menunjukkan si comel anda sebenarnya mempunyai sesuatu kondisi kesihatan yang agak membimbangkan.
Jadi, anda sebagai ibu bapa perlu lebih teliti mengenai perkara ini dan jangan hanya mengambil mudah setiap perkara berkenaan warna najis bayi. Jika terdapat sebarang perubahan yang ketara seperti warna najis bayi kerap berubah-ubah atau apa-apa sahaja kebimbangan mengenai najis bayi, segera bawa si comel anda berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan.
Salah satu peralatan memasak yang paling banyak ada di dapur adalah kuali anti lekat. Kebanyakan kita sukakan kuali begini kerana mudah untuk buat kuih ketayap, lempeng dan banyak lagi. Kuali begini menjadi pilihan kerana ia tidak melekat dan hasil masakan menjadi cantik.
Penggunaan kuali anti lekat ini pernah diragui kerana dikatakan ia memberi kesan kepada kesihatan. Tambahan pula, kita tidak tahu apakah lapisan yang digunakan pada kuali-kuali begini. Dr Fatimah Salim menjelaskan lebih lanjut tentang hal ini.
Ikuti penerangan penuh manfaat ini.
PERALATAN MEMASAK KALIS LEKAT
Komponen utama peralatan memasak ialah logam besi aka iron (Fe), aluminium (Al) dan kuprum aka tembaga (Cu). Disebabkan sifat fizikal (lembut, ringan, mudah dilentur…) dan kimia (mudah bertindakbalas), logam-logam ini dicampur dengan sedikit logam kromium, nikel, strontium atau molybdenum mengikut peratusan tertentu membentuk aloi. Ini bertujuan untuk menjadikan struktur logam utama ini lebih stabil secara kimia (tidak reaktif atau berkarat) dan tahan lasak.
Antara aloi yang paling popular ialah keluli tahan karat (stainless steel) yang mana dibentuk daripada campuran logam utama besi dan kromium.
Untuk membolehkan kita menggambarkan struktur kimia peralatan memasak ini, berbilion atom logam berkenaan terikat secara metalik. Ikatan metalik ini sangat kuat, boleh dilentur dan pengalir haba yang bagus. Ciri pengalir haba ini sangat perlu untuk memasak agar kuali cepat panas dan makanan masak dengan sekata.
Apakah yang berlaku kepada peralatan memasak ini semasa dipanaskan?
Semasa dipanaskan, logam yang membentuk peralatan memasak ini akan mengembang (tidak dapat dilihat dengan mata kasar) disebabkan oleh tenaga kinetik (pergerakan) elektronnya meningkat. Pengembangan ini akan menghasilkan ruang yang menyebabkan makanan yang dimasak mencelah masuk dan melekat pada permukaan kuali. Ini terutamanya makanan yang bersentuhan secara terus dengan permukaan seperti menggoreng atau memanggang.
Jadi untuk mengurangkan perlekatan ini, ianya ditambahkan dengan minyak yang mana bertujuan menyaluti lapisan permukaan peralatan memasak. Namun, disebabkan kesedaran dalam mengurangkan penggunaan minyak, teknologi menggantikan fungsi minyak ini dibangunkan. Maka, di sinilah konsep penyelaputan (coating) permukaan peralatan memasak diperkenalkan. Dan dinamakan peralatan memasak kalis lekat (non-stick cookware).
Lapisan Selaput Kalis Lekat Pada Peralatan Memasak:
Terdapat beberapa jenis bahan yang digunakan sebagai selaput kalis lekat termasuklah bahan kimia plastik pelincir polytetrafluoroethylene (PTFE), seramik, enamel dan silikon. Mari kita teliti satu-persatu bahan selaput ini untuk lebih jelas.
PTFE
PTFE merupakan bahan pepejal yang memiliki pekali geseran (coefficient of friction) yang sangat kecil atau dengan bahasa mudah, sangat licin. Bahan kimia ini sangat stabil dan tidak berbahaya, maka ianya dijadikan alternatif (buid-in) untuk menggantikan fungsi minyak tadi.
Apabila peralatan ini dipanaskan melebih 350 degree Celsius ianya berpotensi menghasilkan gas fluorocarbons yang menyebabkan hidung berair (sementara) dan mungkin boleh menyebabkan komplikasi kepada mereka yang mempunyai masalah pernafasan. Pun begitu, suhu ini hanya dicapai apabila kuali dipanaskan sehingga berasap-asap tanpa air atau minyak dan dalam ruang kurang pengudaraan. Fikir logik, asap berlebihan biasa juga boleh memberikan kesan yang sama. Maka, kesan ini tidak signifikan.
Sebenarnya yang merisaukan ramai ialah pengunaan bahan kimia perflurooctanoic acid (PFOA) yang dikaitkan dengan kanser. Bahan kimia ini digunakan untuk meningkatkan keterlarutan (surfactant) PTFE dalam proses pembuatan. Pun, begitu proses rawatan haba tinggi akhir terhadap peralatan ini sebenarnya tidak meninggalkan sedikit pun PFOA. Ianya telah termusnah.
Namun disebabkan desakan, pengunaan PFOA ini telah dihentikan sejak tahun 2015, lalu fungsinya digantikan dengan bahan kimia lebih terjamin iaitu perfluoropolyether seperti GenX. Dan desakan ini sebenarnya lebih kepada isu bahaya pendedahan pekerja industri berkenaan semasa proses pembuatan (bukan pada selaput kalis lekat itu sendiri) dan ianya juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
Selain daripada itu, lapisan PTFE ini boleh terkopek dan bercampur dalam masakan jika tidak dijaga dengan betul. Namun, ianya tidak bahaya kerana tidak mampu dihadam, lalu dikumuhkan dalam najis. Cuma fungsi kalis lekat itu sudah tiada, malah akan menyebabkan penambahan sifat perlekatan dengan masakan pula. Ada pula jenis yang berkarat, jadi bolehlah dielakkan dengan sapuan sedikit minyak pada bahagian yang calar setelah dikeringkan.
Disebabkan pelbagai ‘pertimbangan’ mengenai PTFE ini, maka para penguasaha datang dengan konsep ‘green’ non-stick cookwares yang berteraskan seramik, enamel dan silikon.
Seramik & Enamel
Saduran seramik dan enamel keduanya berasal daripada asas yang sama iaitu tanah liat yang mengandungi bahan kimia utama SiO2 aka pasir. Yang membezakannya adalah kekuatan suhu yang digunakan pada tanah liat dalam penghasilan kedua komponen ini di mana enamel bersifat fizikal lebih opaque, manakala seramik pula lebih seperti kaca.
Penambahbaikkan mengikut kesesuian kemudiannya dibuat dengan mencampurkan bahan kimia lain dalam pembuatan selaput ini menjadikannya berstruktur kimia hibrid (kacukan) organik-inorganik. Contoh penambahan bahan kimia organoalkoxysilane yang membentuk ikatan kovalen dan ionik yang kuat. Ikatan ini adalah kunci kepada stabiliti kimia dan fizikal saduran seramik dan enamel ini.
Seperti juga PTFE, cara penjagaan yang salah untuk peralatan jenis ini juga boleh menyebabkan selaput seramik dan enamel tertanggal lalu tidak lagi menjalankan fungsi optimum kalis lekat tadi.
Kelemahan kuali kalis lekat PTFE, seramik dan enamel adalah mereka menghilangkan keupayaan kuali untuk mengalirkan haba sepenuhnya ke permukaan makanan yang mana kesan ‘kehangusan’ yang cantik tidak diperolehi. Maka satu lagi alternatif untuk penyelesaian ini ialah dengan menggunakan lapisan silikon.
Silikon
Lapisan silikon diperbuat daripada bahan kimia polysiloxane atau siliconized polyester sama seperti pembuatan hibrid lapisan seramik namun ianya lebih kepada ciri organik. Pun begitu, silikon tidak teguh secara fizikal, maka ianya lebih sesuai digunakan dalam peralatan pastri dibandingkan peralatan memasak biasa.
Seperti yang telah saya terangkan di atas, masalah dalam peralatan yang diselaputi dengan bahan kimia kalis lekat ialah kadar aliran haba yang rendah. Maka, para pengusaha datang pula dengan konsep ‘graniteware’.
Graniteware
Peralatan memasak granite ini sebenarnya TIDAK ada langsung material daripada granite. Nama ini diberikan kerana struktur rupanya adalah seperti granite.
Ianya diperbuat daripada besi karbon (carbon steel) yang diselaputi dengan lapisan porcelain enamel. Jenis yang ini juga selamat digunakan dan lebih tahan lasak, cuma ialah lebih berat kerana konsep pengaliran haba yang baik menjadi keutamaan disamping kalis lekat dan ‘green’.
KESIMPULANNYA kesemua peralatan kalis lekat ini selamat digunakan. Namun pastikan beli daripada pengeluar yang anda yakini dan punya reputasi yang baik. Selebihnya bergantung kepada tujuan dan kemampuan masing-masing.
• Elakkan mengalirkan air SEJUK (paip) pada peralatan memasak yang mengandungi selaput kalis lekat yang masih lagi PANAS (walaupun bunyi tindakbalas pindaan haba ini ‘sedap’ didengar). Ini kerana ikatan yang membentuk selaput ini akan termusnah (degrades) disebabkan perubahan suhu yang mendadak.
• Elakkan mencuci di dalam dish washer atau mengunakan sabun yang kuat untuk peralatan memasak kalis lekat, kecuali dinyatakan selamat pada produk. Ianya akan merosakkan selaput kalis lekat dan akhirnya rekahan akan berlaku.
• Cuci permukaan kalis lekat ini dengan sabun dan span yang bersesuaian. Sekiranya terdapat makanan melekat, rendamkan dengan air sabun bagi memudahkan proses mencuci. Jangan scrub!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak yang dilahirkan sihat, tiba-tiba diuji dengan sakit yang kronik pada usianya 4 tahun dan telah pergi meninggalkan kedua ibu bapa dan adiknya pada pagi Hari Raya Aidiladha lalu cukup menyedihkan.
Menurut ibunya Saidah Malihah, arwah Ahmad Sayyid meninggal kerana Kanser Ganglioneuroblastoma selepas dikesan pada November tahun lalu selepas demam panas dan suhu sentiasa panas setiap malam selama dua minggu berturut-turut. Walaupun dah bawa ke klinik demamnya masih tak kebah.
Selepas itu perutnya juga semakin membesar sehinggalah dia mengadu sakit dan terus di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah. Selepas di scan Sayyid di rujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan bermula dari situlah kehidupannya berubah sehingga pergi menghadap ilahi pada Aidiladha lalu.
Berikut perkongsian ibunya di Facebook mengenai perjuangan Sayyid melalui hari-hari terakhir sebelum dijemput Allah.
Mimpi Sayyid bangun dari tidur
Bismillahirahmanirahim. Hari ini baru ada masa untuk mencoret kenangan buat Ahmad Sayyid. Nama Sayyid diberi kerana mimpi ada tangan yang menulis nama tu masa tengah mengandungkan dia. Masa tu belum tahu jantina dia lagi.
Mami nekad mahukan nama Sayyid yang bererti Penghulu/ Ketua walaupun abahnya nak nama lain. Sesuai la Penghulu untuk anak sulung kan. Lahirnya secara induce pada 12 Ogos 2014 kerana kurang gerak. Membesar sebagai anak yang disayangi ramai. Petuanya masa mengandung bacalah surah Luqman & Ar-Rahman setiap hari dan niatkan khusus untuk anak dalam kandungan.
8 Ogos 2019, Khamis. Abah Sayyid mimpi Sayyid bangun dari tidur, jalan keluar dari bilik (Sayyid dah tak boleh jalan sebenarnya sebab kaki sakit) untuk cium adiknya yang sedang tidur. Dan cakap dengan abahnya, dia nak pergi keluar, tapi ada benda yang halang dia. Tapi takpelah, lain kali je lah. Nanti abah tolong.
9 Ogos 2019, Jumaat. Siang harinya, banyak kali dia tanya, Abah dah balik ke? Setiap kali bunyi kereta lalu depan rumah. Dia banyak cakap juga, tak seperti hari biasa yang banyak tidur sebab penat.
Malamnya, Sayyid tidur kat sebelah mami macam biasa. Mami dengar Sayyid bercakap sambil tidur (dengan anggapan Sayyid mengigau). “Sekejap lagi Sayyid sampai, tak jauh dah” diulangnya 2 kali. Mami kejutkan Sayyid dan Sayyid kembali tidur.
Mata Sayyid dah ke atas
10 Ogos 2019. Seperti biasa Sayyid kurang berselera untuk makan. Oleh kerana satu hari suntuk tak makan, mami bagi Sayyid susu sedikit ikut Ryles tube. Sayyid cakap Sayyid dah tak nak masuk wad. Maghrib tu Sayyid cakap rasa macam nak sendawa tapi tak lepas. Disuruhnya gosok dibelakang dia sehinggalah malam. Pukul 11 malam Sayyid cakap macam nak muntah. Tapi tak muntah pun, dia cuma keluarkan sedikit air liur. Mami nak sedapkan hati Sayyid dan cakap kat Sayyid ni sebab Sayyid tak makan, ada angin la.
Pukul 11.30 malam, mami ajak Sayyid tidur sebab mami dah penat. Mami peluk Sayyid dan tidur. Pukul 1 lebih, Sayyid kejutkan Mami, Sayyid cakap rasa macam nak muntah lagi. Nak tinggikan bantal. Mami ambil bantal mami untuk tinggikan bantal Sayyid. Bila mami nak sandarkan Sayyid pada bantal, mami nampak Sayyid dah nak pergi. Sayyid cuba cakap-cakap, tapi percakapan Sayyid sudah tidak jelas kedengaran. Mami suruh Sayyid pegang tangan mami, Sayyid genggam tangan Mami. Mami panggil Abah juga. Mami mengucap tanpa henti, Lailahaillah.
Mami tengok mata Sayyid dah ke atas, Mami terus doakan pada Allah semoga mudahkan urusan Sayyid. Genggaman tangan Sayyid makin lemah dan mami tahu Sayyid dah pergi. Mami tengok jam, pukul 1.17am. Mami terus cakap pada Sayyid, mami tahu roh Sayyid ada kat sini lagi. Pergilah cari adik (Sayyid ada adik yang meninggal dalam perut masa 8 bulan mengandung) kat sana. Main sama-sama. Mami sayang Sayyid.
Mami suruh abah call 999 untuk panggil doktor datang buat pengesahan. Mami tulis kat Whatsapp family, Sayyid dah takde. Mami call nani bagitau Sayyid dah takde. Doktor dari HTAR sampai dengan ambulans untuk buat pengesahan. Keluarga-keluarga terdekat juga datang ke rumah. Pagi, takbir Aidiladha berkumandang. Mami senyum sebab mami gembira Sayyid pergi di hari yang baik.
Mami redha Sayyid pergi sehari sebelum hari jadi Sayyid yang ke-5. Tiada lagi sakit padamu sayang dan Sayyid terpilih ke “boarding school” untuk jadi anak asuhan Nabi Ibrahim A.S. Mami bangga dengan Sayyid.
Al-Fatihah buat Sayyid
Alfatihah buat Sayyid. 12082014 – 11082019. Buat ibu-ibu lain yang juga punya anak kecil meninggal sebelum baligh, redha lah kerana anak kita akan menjadi saham akhirat kita yang akan memimpin tangan kita ke syurga.
Kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum baligh, juga menyambut kedatangan ibu bapanya di pintu syurga. Sabda Rasullulah saw yang bermaksud: ” Ketika aku mikraj ke langit, tiba-tiba aku mendengar suara kanak-kanak. Aku bertanya: ” Wahai Jibril, siapakah mereka itu?” Jibril menjawab: Mereka adalah anak cucu orang Islam yang meninggal dunia sebelum baligh. Mereka itu di asuh oleh Nabi Ibrahim as sampai orang tuanya datang” (HR. Abu Daud)
Anak-anak orang Islam yang meninggal dunia pada waktu kecil, di alam Barzakh dia dikumpulkan pada suatu tempat di bawah penjagaan Nabi Ibrahim as. Setelah kiamat tiba, mereka langsung dipindahkan ke dalam syurga. Jadi mereka tidak melalui Mahsyar, hisab, mizan dan sebagainya”