“Anak dia asyik mengamuk je kan?” anak mengamuk selalu di pandang sebagai anak yang bermasalah dan pasti ada yang menyalahkan ibu bapa dengan alasan tak pandai jaga anak.

Tapi sebenarnya anak kecil mengamuk itu normal, itu cara dia berkomunikasi dan meluahkan emosinya. Ikuti perkongsian daripada Maryam Jamadi, Pediatric Occupational Therapist.

“Tahniah Anak Puan Dah Pandai Mengamuk” Terlalu ‘Behave’ Rupanya Ada Masalah Tingkah Laku

KISAH MIA YANG BARU BELAJAR TANTRUM 🤯

“Anak Puan Maryam mesti behave je kan tak tantrum macam anak saya”

Pernah dahulu ada klien saya kata pada saya semasa saya sedang melakukan terapi bagi masalah kelewatan perkembangan dan tingkahlaku anaknya.

Tapi tidak, anak saya juga tidak lari dari perilaku yang mencabar walaupun maknya terapis kanak-kanak. 😅

Bermula seawal 1 tahun 3 bulan,

-Mengamuk,
-Berguling,
-Menangis macam kena dera,
-Membaling barang,
-Baring atas lantai.

Pernah juga saya hampir hilang sabar sebab Tuhan sahajalah yang tahu macam mana anak saya menangis semasa fasa ini, boleh tahan lebih 1 jam! Lagi stress bila anak menangis atas sebab tak munasabah. Contohnya,

-Tengok gambar kahwin saya dan suami, anak mengamuk tak ada gambar dia. 🤦‍♀️
-Nak makan ubat demam saya. 🤯
-Stress bila kepala tak muat masa nak pakai baju waktu bayi. 😵

Tak munasabahkan?

Saya pasti tak ramai mak ayah yang mempunyai ketahanan mental untuk mendengar budak menangis. Sebab itulah waktu ini boleh dikira waktu paling genting dalam parenting ataupun di panggil “TERIBLE TWOS”. 😌

Semua anak yang normal akan mengalami fasa ini.

IKLAN

👧 KISAH MIA 👧

Terasa nak cerita ada 1 kes melibatkan masalah tinglahlaku anak.

Mia (bukan nama sebenar), berumur 3 tahun semasa dirujuk untuk masalah pertuturan. Sebelum ini mak ayah masukkan Mia ke taska dengan harapan perkembangan Mia boleh berkembang dengan sendirinya. Tapi setelah lebih 6 bulan di taska, perkembangan Mia masih di tahap yang sama.

Saya tak salahkan taska sebab tak semua yang ada ilmu untuk membantu anak kelewatan perkembangan.

Semasa penilaian, saya dapati Mia mempunyai masalah kelewatan skil pertuturan yang serius. Umur 3 tahun tetapi belum ada walau 1 perkataan bermakna dikeluarkan. Masih lagi di tahap meniru bunyi (1 tahun ke bawah). Ini bermaksud perkembangan Mia terlewat 2 tahun.

Selain daripada itu, Mia juga mempunyai masalah perkembangan yang lain iaitu masih belum boleh melompat (skil motor kasar) walaupun sudah berumur 3 tahun. Untuk kes anak 3 tahun ke bawah biasanya soalan wajib saya

“Anak pernah tantrum atau ada masalah tingkahlaku tak?”

Mak ayah Mia beritahu yang Mia seorang anak yang baik dan menurut kata, tak pernah tantrum langsung.

Mia menyertai Intensive Development Program (IDP) di tempat saya BEYOND Home Therapy ataupun program terapi secara intensif khas untuk membantu masalah perkembangan. Program ini adalah program harian (Isnin-Jumaat).

IKLAN

Semasa 2 minggu pertama, saya dapati Mia mempunyai masalah fokus, masih lagi di fasa bersepah dan pantang barang terkemas tapi dalam masa yang sama Mia memang tak pernah marah bila orang lain ambil mainannya. Baik “behave” dan “happy go lucky” sahaja orangnya.

Selepas 2 minggu melalui terapi secara intensif, perangai Mia berubah menjadi agresif. Jadi pemarah, kuat tantrum, menangis tanpa sebab malah ada pernah hampir memukul kawan yang rampas mainannya.

Mak ayah Mia sedih sebab rasa dah tak kenal anak sendiri, anak yang “behave” berubah jadi kasar dan mula menyalahkan pihak kami. Saya pasti sesiapa yang berada di tempat mak ayah Mia ataupun yang membaca kes ini pasti menyalahkan pihak kami kerana menjadi punca Mia berubah.

Tetapi saya beritahu mak ayah Mia,

“Tahniah puan dan encik! Perkembangan emosi dan sosial anak dah meningkat. Anak dah mula ada perasaan marah, tak puas hati, cemburu, sedih dan nak buat semua sendiri”.

Ya, jika anak mula ada perasaan negatif. Maksudnya perkembangan emosi dan sosial anak dah meningkat ke tahap seterusnya. Purata anak akan mengalami fasa ini semasa 1 tahun 6 bulan, tetapi Mia umur 3 tahun baru mengalaminya.

Sebelum ini Mia dalam zon yang sangat selesa,
Nak makan ada orang suapkan,
Nak mandi ada orang mandikan,
Nak cakap ada orang tolong cakapkan,
Tak perlu berebut mainan sebab anak tunggal kesayangan,
Di taska juga Mia di-baby-kan, terasa dunia ini indah sahaja.

Tetapi di tempat kami, semua kena belajar buat sendiri dan semuanya memerlukan teknik yang betul untuk ajar anak makan, mandi, pakai baju seluar dan sebagainya. Mia terpaksa keluar daripada zon selesa dan secara tak langsung perkembangan emosi dan sosialnya berkembang.

IKLAN

Selepas Mia mula “belajar” tantrum dan mengamuk, barulah perkembangan lain-lain berkembang. Termasuklah perkembangan skil pertuturan, skil motor kasar, skil motor halus malah skil fokus juga meningkat! Mia sudah mula boleh duduk dan habiskan aktiviti yang diberi.

Mak ayah Mia terkejut dengan perubahan skil pertuturan yang daripada tak ada perkataan pertama lagi, kini Mia dah mula mengeluarkan perkataan pertama walaupun ambil hujung-hujung. Tapi tak apa, yang penting ada kemajuan.

Semua ini hanya mengambil masa beberapa bulan sahaja untuk Mia belajar cara mengawal diri dan hampir mencapai tahap perkembangannya sebenar. Sekarang Mia sudah masuk ke taska biasa, hanya memerlukan terapi secara mingguan untuk memantapkan lagi perkembangannya.

Jadi disini, sangat penting untuk kita sentiasa ingat dan mengingatkan pasangan yang,

1. Di sebalik anak yang tak “behave” di tempat awam sebenarnya ada banyak sel-sel otaknya sedang berhubung.

2. Jika kita mak ayah yang mempunyai anak berumur 1 hingga 3 tahun dengan tingkahlaku mencabar. Sepatutnya kita perlu bersyukur dan raikan sebab anak berada di tahap yang normal mengikut umurnya. Tak semua negatif itu negatif.

3. Jika sudah 3 tahun masih lagi ada masalah tingkahlaku mencabar, mohon dapatkan bantuan sebelum makin melarat.

4. Galilah ilmu untuk belajar menangani masalah tingkahlaku anak kerana tindakan kita semasa ini mempengaruhi masa depan anak.

5. Percayalah yang kita akan kurang stress menguruskan anak jika kita faham betul-betul fasa perkembangan anak dan cara menanganinya.

6. Berfikirlah sebelum bertindak dan ingatlah yang anak kecil belajar melalui pemerhatian.

Semua peringatan di atas untuk diri saya sendiri juga.

Sekian, terima kasih, semoga bermanfaat.

Kredit: Maryam Jamadi
Pediatric Occupational Therapist
BEYOND Home Therapy Selayang & JB

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI