Isteri kita sememangnya perlukan perhatian. Sungguh pun dia ada kawan-kawan di pejabat yang mampu mendengar kisahnya, dia tetap mahu suami mengadu semuanya pada suami, meluahkan rasa malah berkongsi segala cerita yang dilalui dengan orang paling dekat dalam hidupnya.
Inilah hati seorang isteri. Perkongsian lelaki bergelar suami ini, Firdaus Shakirin ini banyak benarnya. Benar isteri tak minta lebih pun dalam hidupnya, dia hanya mahukan perhatian dan meluahkan rasa agar emosinya kembali stabil.
Jadi suami jangan lokek atau buat-buat tak dengar bila isteri bercerita. Bagi dia masa untuk luahkan segala dalam hatinya dan jadilah penguat rasa lega bagi isteri.
Isteri, dia perlukan seseorang untuk berbual.
Untuk bercerita, mengadu, meluahkan dan berkongsi pandangan.
Bukan apa, dalam kepenatan dia menjalankan tugas sebagai seorang isteri, sebagai seorang ibu, sebagai seorang menantu, sebagai seorang pekerja, sebagai seorang peniaga, sebagai seorang anak, ada ketikanya dia rasa nak menangis, rasa sedih, rasa tertekan, rasa memberontak, rasa letih, rasa tak larat, rasa penat, rasa nak give up, rasa stress dan sebagainya…
Ads
Semua rasa ada…
Dan dia perlukan seseorang untuk dia berkongsi rasa ini…untuk dia bercerita tentang apa yang dilaluinya. Bagaimana keadaannya, apa yang ada dalam fikirannya. Dia tak mintak seseorang itu untuk faham, dan terus selesaikan semua masalah-masalahnya. Dia cuma perlukan seorang pendengar yang baik sahaja.
Supaya kurang sikit semak di dadanya, kusut di fikirannya dan beban di hatinya.
Ads
Seseorang tu bukanlah orang luar, bukanlah orang jauh, bukanlah orang yang tidak ada pertalian dengan dirinya.
Seseorang itu adalah orang yang paling dekat dengannya. Seseorang itu adalah orang yang ada pertalian dengannya, seseorang itu adalah orang yang tinggal sekali dengannya. Hari-hari dia nampak, hari-hari dia jumpa.
Ads
Seseorang itu adalah suaminya, inilah orang yang diharapkan seorang isteri untuk mendengar luahannya, ceritanya, isi hatinya, aduannya, masalahnya dan segala-galanya tentang apa saja yang dilalui dan di alaminya.
Hari demi hari…
Tolong cari masa, bagi ada masa untuk isteri, dengar apa yang isteri nak kongsi. Dia mungkin perlukan dalam 10-30 minit saja sehari, tak lama pun. Sebelum nak tidur tu, cuba berbual, tanya dia, sembang-sembang dengan dia.
Mesti ada benda yang dia nk cerita…DENGAR!
Orang perempuan ni, dia suka berfikir, benda yang tak sepatutnya dia fikir pun, dia akan fikir. Dia banyak terbeban dengan benda yang bukan-bukan. Kurangkan bebanan tu dengan cara mendengar apa yang dia nak luahkan. Nampak KECIL, tapi itu dah mampu untuk menguatkan dirinya semula untuk menempuhi hari-hari yang mendatang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai netizen memuji caranya yang penuh kasih sayang melayan anak-anaknya termasuk dua anak angkatnya Ameena dan Qayum.
Ternyata wanita ini percaya setiap anak itu membawa rezeki buat keluarga dan dia tak kisah untuk sama-sama memikul tanggungjawab membesarkan anak-anaknya.
Tetap Sayang Walaupun Anak Angkat
Bertuah baby Meena dan Qayum sebab dijaga oleh keluarga yang sangat menyayangi mereka. Kedua bayi ini diambil dan dibela sendiri oleh DS Aliff Syukri dan DS Shahida.
Melihat kedua bayi yang semakin membesar dengan sihat dan ceria ini, nyatalah mereka mendapat cukup kasih sayang yang ikhlas dari ibu bapa angkat merka.
Bahkan anak-anak tauke produk Dherbs yang lain juga amat sayangkan kedua adik mereka yang masih kecil itu.
Ada pengikut mereka turut mengatakan yang wajah Meena dan Qayum sudah hampir sama dengan DS Aliff dan DS Shahida.
Semoga Allah limpahkan rahmat pada keluarga ini serta rezeki yang tiada putusnya.
“Susahnya nak suruh anak minum air kosong. Asyik nak minum air kotak dan air botol je yang banyak perisa”. “Anak saya tak suka minum air kosong. Dan kurang sangat minum air.”. “Macam mana ye nak ajar anak suka minum air kosong?”
Persoalan dia atas sering ditanyakan di kalangan ibu-ibu yang mempunyai masalah anak sukar minum air kosong. Timbulnya kerisauan tersebut apabila ibu-ibu ini nampak kesihatan anak mereka makin merosot atau mereka sendiri baru ada kesedaran betapa pentingnya kecukupan air dalam badan seseorang.
Perkongsian dari seorang ibu, Puan Khalisah Hazrina bagaimana cara menyeronokkan mendidik anak minum air kosong sangat mudah dan mungkin boleh membantu ibu lain.
Ada 5 cara menyeronokkan didik anak minum air kosong, Lisa nak berkongsi manfaat dan mengapa betapa pentingnya kita didik anak untuk minum air kosong berbanding air kotak mahupun air botol yang berperisa. Sebenarnya tak salah pun nak beri anak minum air kotak tetapi perlu ajar anak had mana yang boleh mereka minum. Mungkin seminggu sekali atau dua kali sahaja, hanya sekadar untuk merasa dan bagi mereka gembira. Jangan dinafikan hak mereka yang suka benda manis cumanya ajar mereka had-had yang dibolehkan.
Antara manfaat dan kepentingan minum air kosong:
Mengurangkan risiko sembelit di kalangan kanak-kanak. Boleh dikatakan 40-60% kanak-kanak mempunyai masalah sembelit dan bila ditanya mereka ini kurang minum air kosong.
Mengurangkan masalah dehidrasi. Kanak-kanak sangat aktif bermain tidak kisah di luar atau di dalam rumah. kebarangkalian mereka untuk berpeluh sangat tinggi dan menyebabkan mereka akan kekurangan air dalam badan.
Bantu organ badan berfungsi dengan baik. Sebagai contoh organ kulit jika sangat kering akan menyebabkan kegatalan dan akan berdarah.
Setelah ibu-ibu faham dan tahu kebaikan minum air kosong ini untuk anak-anak, maka mudah untuk ibu-ibu didik mereka dan sebenarnya bukan sahaja anak-anak yang kena minum air kosong, kita sebagai orang dewasa yang meningkat usia juga digalakkan minum air kosong secukupnya tambahan pula kita aktif melakukan aktiviti rutin harian.
1) Sediakan Botol Air Yang Cantik Dan Menarik
Mungkin ada ibu bapa terlepas pandang dengan tips dan cara ini iaitu menyediakan botol air yang cantik dan dapat menarik perhatian anak. Tahukah anda kanak-kanak ini lahiriahnya mereka sukakan perkara di luaran terlebih dahulu berbanding dalamnya ada apa. Sebagai contoh, kanak-kanak suka surprise egg kerana wrapping surprise egg sangat menarik membuatkan kanak-kanak ini menjadi obses untuk sentiasa membelinya sedangkan apabila mereka buka surprise egg mereka hanya layan sekejap sahaja permianan di dalamnya. Begitu juga dalam mendidik anak minum air kosong. Mulakan dengan luarannya nampak menarik terlebih dahulu.
Sebelum Lisa beli botol air anak yang pertama lisa akan tanya dahulu apa kartun yang dia paling suka dan Fareeq kata dia lebih gemar mickey mouse atau robot. Bila lisa belikan botol air yang ada gambar mickey mouse dan robot, dari situ Fareeq sangat suka bawa botolnya ke mana-mana dan secara tidak langsung apabila dia haus dia akan terus minum air botol yang dipegangnya itu.
Anda boleh lihat di sini antara jenis botol air yang dapat bantu menarik perhatian anak-anak supaya suka minum air kosong.
2) Minum Air Menggunakan Straw
Ada sesetengah kanak-kanak mereka tidak sukakan minum air kosong menggunakan cawan kerana ia mudah tumpah dan mereka tidak dapat nak agak perlu teguk tahap mana. Apabila mereka sudah rasa susah untuk minum dengan cara menggunakan cawan, maka mereka akan lebih suka minum air kotak di mana ia ada straw dan mudah untuk minum. Sebab itu, anda digalakkan untuk membeli botol air yang ada straw untuk kanak-kanak ini atau membeli straw plastik supaya mudah untuk kanak-kanak minum air.
3) Lead By Example( Ibu bapa Contoh Terbaik)
Sebelum menyuruh anak-anak ini minum air kosong secukupnya, ibu bapa sendiri perlu minum air kosong secara konsisten. Kanak-kanak akan tiru apa yang kita lakukan bukan apa yang kita suruh mereka buat. Walaupun sekarang ini ibu bapa rasa sukar untuk minum air kosong, tidak mengapa boleh dimulakan sedikit demi sedikit dan sambil itu ajak anak minum air kosong bersama-sama. Tiada istilah terlambat dalam mengajar anak-anak ke arah kebaikan. Sentiasalah positif dalam mendidik anak-anak.
4) Mendidik Seawal 6 bulan
Bagi anda yang mempunyai anak masih bayi, ketika inilah masa terbaik untuk kenalkan anak-anak amalan minum air kosong sejak mereka bayi lagi. Umur yang ideal untuk diperkenalkan minum air kosong adalah seawal 6 bulan kerana ketika usia ini mereka sudah mula makan solid food dan risiko mereka untuk menghadapi masalah sembelit agak tinggi. Ketahuilah bahawa umur ini, kanak-kanak akan ikut sahaja apa yang ibu berikan kepada mereka. Maka lebih mudah untuk mereka mengamalkan minum air kosong sehingga besar nanti.
Berdasarkan pengalaman Lisa sendiri dengan mempunyai 2 orang anak, Lisa lambat perkenalkan anak pertama Lisa dengan air kosong menyebabkan dia agak sukar untuk minum air kosong dan sehingga umurnya 2 tahun barulah dia betul-betul suka untuk minum air kosong. Berbeza dengan adiknya, Sarah. Lisa mula perkenalkan Sarah dengan minum air kosong seawal 6 bulan dan alhamdulillah sehingga kini air kosong merupakan minuman kegemarannya selain susu badan atau susu formula.
5) Sediakan Buah Yang Kaya Dengan Kandungan Air
Di samping memberi air kosong untuk kanak-kanak ini sentiasa hidrasi, mereka juga boleh makan-makanan yang kaya dengan kandungan air seperti tembikai, sayuran, buahan yang lain. Buahan dan sayuran ini mampu membekalkan air dalam badan kanak-kanak selain sumber minum air kosong sahaja. Selalulah mendidik anak untuk mencintai makan buahan dan sayuran yang dapat memberi mereka
Sebenarnya mendidik anak minum air kosong bukanlah susah jika kita tahu cara dan teknik yang betul. Tambahan pula bila kita sudah faham mengapa air kosong sangat penting untuk anak-anak dan pada diri kita juga. Cumanya kesedaran itu perlu dipupuk dari awal lagi.
InsyaALLAH, Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu ibu bapa mendidik anak-anak untuk minum air kosong secara konsisten dan di samping itu memberi kesihatan yang lebih baik kepada kita semua.
Ramai mengenali Nabil Ahmad sebagai pelawak dan penghibur. Lasak bersahaja dan orangnya ceria. Tak pernahlah lihat Nabil bermasam muka di mana-mana. Mendekati personaliti ini, Pa&Ma sempat bertanyakan tentang perwatakannya dengan anak-anak. Isterinya, Zira Ayub memberitahu yang artis ini sangat tegas dalam mendidik anak-anak tetapi dia juga akan memanjakan mereka.
Bercerita soal perwatakan Nabil di rumah, Zira memberitahu dia seorang suami dan ayah yang tegas. Dia akan memberitahu apa yang boleh dan tidak kepada anak-anak. Dalam ketegasannya itu, dia sangat memanjakan kesemua anak mereka. “Dia tegas, tetapi manja sangat dengan anak-anak. Budak berdua ni pun (merujuk kepada Mikayla dan Medyna), kalau ada ayahnya bukan main behave,” terang Zira.
Tambah Zira, Mika dan Babyna sangat rapat dengan ayah mereka. “Macam yang kita tahu, anak perempuan rapat dengan ayah. Mereka pun macam tu, rapat dengan Nabil,” tambah Zira. Nabil pula memberitahu, anak-anak mungkin rapat dengannya kerana jarang dapat berjumpa. “Mereka selalu dengan Zira, sebab tu bila saya ada mereka jadi rapat dengan saya. Saya rasa, masih ada perangai-perangai mereka yang saya tak tahu,” beritahu selebriti pelawak terkenal ini lagi.
Soal menguruskan anak-anak pula, Nabil serahkan kepada Zira. “Saya percayakan dia untuk menguruskan anak-anak. Memang dia yang selalu dengan mereka. Tapi saya akan beritahu cara bagaimana yang saya mahukan. Dia akan gabungkan kedua-dua cara kami, mengikut kesesuaian ketika dia uruskan tiga orang anak kami ni,” kata Nabil.
Nabil Masih Sama
Bertanyakan tentang perangai Nabil sebelum dan selepas bergelar ayah, Zira memberitahu yang dia masih sama. Tiada yang berubah. Masih lelaki penyayang dan mengambil berat seperti dahulu. “Cuma kalau ada beza tu, dulu dia sayangkan saya. Sekarang ni lebihkan pada anak-anak. Kasih sayang dia dah terbahagi antara saya dan anak-anak. Dia ayah yang bertanggung jawab, itu dah cukup untuk buat saya bersyukur,” kata Zira.
Berkongsi momen Zira disahkan hamil anak pertama mereka, Nabil memberitahu yang dia menangis ketika mengetahuinya. Tidak mahu jatuh ego, dia menangis ketika mandi di bawah shower. “Kami menunggu enam bulan juga sebelum Zira hamil. Waktu tu pula, kawan-kawan ramai yang bertanya. Saya dan Zira cuba pelbagai cara untuk hamil. Akhirnya yang berkesan bila saya amalkan susu kambing dan kurma. Sebulan selepas itu, terus ‘sangkut’,” cerita Nabil.
Hari Minggu Baru Boleh Makan Manis
Ketika ditanyakan tentang soal pemakanan anak-anaknya, Zira memberitahu dia memasak untuk mereka. Mereka jarang makan di luar kerana Nabil suka masakan rumah. Oleh itu, Zira akan sediakan makanan untuk suami dan anak-anaknya. “Kalau masak sendiri, lebih sihat dan jimat. Kita boleh kawal gula dan garam dalam masakan. Selain tu, kita yakin apa yang kita masukkan ke dalam masakan,” cerita Zira.
Katanya lagi, sebelum ini mereka benarkan anak-anak untuk makan apa saja. Tetapi selepas Mika didapati mempunyai ekzema yang agak teruk, dia dan Nabil mula mengawal pemakanan anak-anak. Nabil pula memberitahu, biasanya dia dan isteri akan membenarkan anak-anak untuk makan gula-gula, coklat dan aiskrim pada hari minggu sahaja.
Memandangkan Nabil dibesarkan dengan makanan yang mudah seperti nasi, telur dan kicap, jadi anak-anak mereka juga dididik makan begitu. Tidak mahu anak terlalu dimewahkan supaya mereka tidak terlalu memilih untuk makan. Ditanyakan apa makanan yang paling anak-anak mereka suka, Zira memberitahu kedua-duanya suka makan spageti carbonara.
Perwatakan Anak-Anak
Mika seorang yang sangat berdikari dan dalam masa yang sama cukup manja dan peramah. Tambah Zira pula, Mika sangat suka menari dan menyanyi. Mungkin mewarisi darah seni yang mengalir dalam tubuhnya. Biarpun Mika anak yang sangat manja dan masih kecil namun dia menunjukkan sikap penyayang pada adik-adiknya.
Ketika ditanyakan tentang siapa yang mengikut perwatakan Nabil, pasangan ini hanya ketawa. “Dah nampak sangat dah, memang Mika yang mengikut ayahnya. Dia banyak bercakap dan buat lawak seperti ayahnya. “Dia pun selalu cakap, I want to be like daddy,” kata Zira. “Dahlah muka dia pun macam saya, kalau saya rambut panjang, macam tulah rupa saya,” tambah Nabil pula.
Babyna pula pemalu bila berhadapan dengan orang tak dikenali tetapi bila di rumah, dialah anak paling manja. “Babyna banyak bermain dan suka berinteraksi dengan kita. Paling kuat bergaya dan manja. Dah ada adik pun kita masih panggil Babyna. Dia tak banyak bercakap dengan orang yang tidak dikenali, tapi kalau dengan keluarga dia sebenarnya ceria. Walaupun ada masanya dia bergaduh dengan kakaknya, tapi dia sayang Mika. Biasalah adik-beradik,” cerita Zira lagi.
Biarpun masih kecil, Mishall boleh dilihat sebagai seorang bayi yang ceria dan tidak banyak ragam. Sepanjang sesi fotografi dibuat, dia mudah tersenyum dan akan ketawa jika diagah. “Kalau dengan Zira dan Mika, lagi kuat dia ketawa. Anak kami yang ketiga ni mudah terhibur dan dia juga mudah dijaga. Jarang meragam kecuali kalau lapar atau mengantuk saja,” kata Nabil.
Jangan lupa saksikan rancangan terbaharu yang dibawakan oleh Pa&Ma – Kecoh Kecah Nabil & Clan bermula pada 9 Oktober 2019 untuk episod 1 dengan tajuk Reaksi Alahan Anak. Rancangan ini akan ditayangkan setiap Rabu pada jam 9.00 malam di Astro Prima dan Prima HD.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pemilihan makanan sebelum bersalin sangat penting untuk membekalkan tenaga, mengelakkan keletihan dan membantu ibu melalui proses kelahiran dengan lebih selamat.