
Apa yang ada hari ini adalah pinjam Allah semata-mata. Begitu kata usahawan berjaya, Datuk Seri Aliff Syukri dan isterinya, Datin Seri Shahida yang menitipkan pesanan buat lima anaknya agar tidak mudah leka dengan kemewahan hidup.
Menerusi rakaman video dimuat naik semula @denikiqm5rz, Aliff memaklumkan bahawa kekayaan yang mereka miliki ketika ini hanyalah pinjaman daripada Allah SWT.
Malah Datuk Aliff juga berpesan agar sentiasa berjimat untuk masa depan sebagai persiapan di hari mendatang.
“Jangan terlalu bermegah atau perasan yang kita ini anak orang kaya.
“Bila kita rasa begitu, kita ego dan boros.
“Duit yang ada itu simpan sebab tak mustahil satu hari nanti abah akan susah dan akan menumpang korang.
“Jadi, berjimat-cermat. Bila abah bagi duit, simpan.
“Cuba tengok kehidupan orang lain yang susah, bukan nak menghina ke apa tetapi kita kena bersyukur,” katanya menerusi video itu.
Aliff berkongsi perkara tersebut ketika melakukan sesi siaran langsung di TikTok usai mereka solat berjemaah bersama di rumah.
Dalam pada itu, pasangan usahawan berjaya ini juga turut mengingatkan anak-anaknya untuk tidak melakukan perkara yang tidak senonoh di belakang mereka.
“Yang kedua, jangan buat benda tak elok di belakang abah dan mama. Abang tak boleh kawal korang.
“Kalau nak buat benda tak elok, ingat dan kenang abah dan mama yang penat cari duit siang dan malam,” katanya lagi.
Perkongsian tersebut sudah semestinya meraih perhatian ramai yang rata-ratanya memuji cara Aliff dan Shahida mendidik anak-anak.