Melihatkan ibu lain dapat menyusukan bayi sendiri, pastinya wujud rasa sayu di hati apabila anda sebagai seorang ibu tidak mampu melakukan penyusuan eksklusif. Tetapi sebelum menyalahkan diri sendiri, atau menghukum ibu yang tidak melakukan penyusuan eksklusif, fahami dahulu apakah puncanya, seperti yang dibincang di bawah.

Kenapa ada ibu gagal menyusukan bayi?

Semua ibu tahu, menyusukan bayi amat bermanfaat, sama ada buat ibu sendiri mahupun bayi. Malah, pakar turut menggalakkan ibu untuk melakukan penyusuan eksklusif sepanjang tahun pertama kehidupan si manja.

Malangnya, bukan semua wanita berupaya melakukan penyusuan susu ibu. Ia boleh berlaku disebabkan jumlah bekalan susu ibu yang tidak mencukupi. Salah satu sebab yang paling biasa terjadi adalah kerana masalah kesihatan mahupun kerana pengambilan ubatan, yang membuatkan penyusuan eksklusif tidak selamat dilakukan1 .

Tapi, masih ada ibu yang masih mahu mencuba dengan sehabis baik, lalu memberikan anak susu badan menggunakan botol susu atau menghentikan penyusuan buat sementara waktu sebelum kembali menyusukan bayi.

Pun begitu, ada juga kes di mana bayi tidak boleh menerima susu ibu langsung, sama ada melalui botol susu atau secara terus daripada payudara. Dalam kes ini, sudah tentu memberikan susu formula diperkaya dengan nutrisi lengkap merupakan pilihan terakhir.

4 faktor penyusuan eksklusif tidak boleh dilakukan

Sebelum anda menyalahkan diri sendiri ataupun menghukum ibu-ibu lain di luar sana yang “gagal” menyusukan bayi secara eksklusif, semak dulu 4 faktor utama mengapa sesetengah wanita tidak boleh atau tidak sepatutnya memberikan penyusuan susu ibu kepada anak.

Antara faktor tersebut termasuklah:

1. Bekalan susu ibu rendah
Bekalan susu rendah boleh disebabkan keadaan kesihatan yang dialami ibu. Akan tetapi, jika keadaan kesihatan itu mendapat rawatan yang betul, sesetengahnya boleh pulih seperti sedia kala, dan penghasilan bekalan susu badan mencukupi.

Walau bagaimanapun, terdapat isu kesihatan yang tidak berupaya dipulihkan, contohnya seperti:

IKLAN

Hipoplasia payudara: Tisu kelenjar untuk menghasilkan susu pada payudara tidak mencukupi.
Sindrom ovari polisistik (PCOS): PCOS berkaitan dengan hormon.
Hipotiroidisme: Kelenjar tiroid kurang aktif lalu fungsi badan menjadi perlahan.
Pernah menjalani pembedahan payudara: Prosedur seperti mastektomi yang memotong saluran susu serta saraf pada payudara.
Rawatan terapi radiasi: Terapi kanser payudara yang boleh merosakkan tisu yang menghasilkan susu.

2. Pengambilan ubat-ubatan tertentu
Walaupun kebanyakan ubat sesuai diambil oleh ibu yang ingin menyusu badan, namun masih ada juga ubat-ubatan yang tidak sesuai. Bagi ubat-ubatan preskripsi tertentu, ia berisiko mendatangkan bahaya kepada bayi, bahkan, ada sesetengah ubat turut boleh mengakibatkan penurunan bekalan susu.

Beberapa jenis ubat yang tidak sesuai untuk ibu menyusukan bayi adalah ubat kemoterapi, ubat antiretroviral, iodin radioaktif, beberapa ubat penenang, ubat sawan serta ubat yang cenderung mewujudkan rasa mengantuk dan menekan pernafasan.

Ubat kemoterapi berbahaya bagi bayi yang menyusu kerana ia boleh mengganggu pembahagian sel normal dan sihat di dalam tubuh mereka. Selain itu, ubat yang boleh mengurangkan bekalan susu ibu pula termasuklah ubat selesema dan sinus dengan pseudoephedrine serta sesetengah pil kontraseptif hormon yang mengandungi estrogen.

3. Menghidap penyakit berjangkit
Kebanyakan penyakit berjangkit boleh dirawat tanpa menjejaskan penyusuan eksklusif atau membahayakan bayi. Pun begitu, terdapat beberapa penyakit berjangkit yang boleh menular kepada bayi melalui susu badan, contohnya seperti HIV.

Yang lebih membimbangkan adalah risiko penularannya jauh lebih tinggi berbanding manfaat penyusuan susu ibu itu sendiri.

4. Mengalami tekanan persekitaran
Jangan terkejut jika tekanan berlebihan juga boleh jadi punca kemerosotan bekalan susu ibu! Ini khususnya terjadi pada beberapa minggu pertama selepas bersalin.

IKLAN

Tidak mendapat tidur yang mencukupi, kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan jadual bayi serta peningkatan kadar hormon tertentu seperti kortisol boleh mengurangkan bekalan susu badan secara dramatik.

Bagaimana ingin menyusukan bayi walaupun tanpa susu badan?

Jika ini pengalaman pertama anda bergelar ibu, ketahuilah menjadi ibu itu sendiri satu tanggungjawab berat kerana ia menguji ketahanan mental, fizikal dan emosi. Paling dikhuatiri adalah jika tekanan akibat tidak dapat melakukan penyusuan eksklusif boleh menyebabkan kemurungan dalam diri anda.

Usah rasa bersalah seandainya anda tidak dapat menyusukan anak secara eksklusif. Sekiranya keputusan telah dibuat untuk memberi susu formula, yakin dengan keputusan tersebut dan percayalah itu yang terbaik buat si manja.

Jom ikut tips di bawah ini jika anda mahu memberi susu formula ataupun susu badan melalui botol, agar nutrisi yang dibekalkan kepada si manja masih kekal sama:

1. Mengepam susu badan + susu formula
Jika anda menghadapi masalah untuk menghasilkan bekalan susu yang mencukupi atau perlu berehat daripada mencuba, pilihan terbaik adalah dengan menambah susu yang dipam bersama susu formula yang diperkaya dengan nutrien.

2. Memberikan susu formula
Semestinya keputusan untuk beralih daripada penyusuan susu ibu kepada susu formula boleh menjadi perkara emosional, apatah lagi apabila anda merasakan perbuatan tersebut akan mengurangkan ikatan antara ibu dan anak.

IKLAN

Tapi anda perlu faham, jalinan kasih sayang antara ibu dan anak itu adalah ikatan istimewa. Kasih sayang seorang ibu tetap akan dapat dirasai si manja tanpa mengira bagaimana anda menyusukannya.

Jangan risau, jalinan kasih antara ibu dan anak masih tetap utuh

Walaupun sukar untuk diterima, namun menyusukan bayi bukanlah satu-satunya cara untuk membina ikatan erat dan membekalkan nutrisi anak. Hubungan antara ibu dan anak akan bertambah utuh setiap kali anda mendukungnya, berbual mahupun memberikan penyusuan melalui susu botol.

Bagi memenuhi keperluan nutrisi anak pula, pelbagai cara tersedia untuk membantu. Tidak boleh menyusukan anak tidak bermakna anda bukan seorang ibu hebat kepada si manja yang sihat dan bahagia.

Semoga perkongsian ini berguna buat anda!

Kredit: Hello Doktor

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Peranan ibu ayah dalam kehidupan anak-anak sangat besar. Setiap apa yang kita sediakan untuk anak menentukan masa depan mereka. Itulah sebabnya kita dianggap seperti SUPERHERO pada mereka. Bagaimana caranya untuk kita pastikan hanya yang terbaik untuk anak-anak? Ayuh, sempena Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS 2021) sama-sama kita pelajari cara menjadi SUPERHERO anak dengan menyertai webinar Detik Indah Si Manja

Untuk mendaftar, klik https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-detik-indah-bersama-si-manja/