Bermain anak patung atau teddy bear selalu dikaitkan dengan perempuan dan ‘kelembutan’. Pantang sungguh kita apabila melihat anak lelaki berminat dengan anak patung. Pegang pun tidak boleh. Takut anak jadi ‘lembut’.

Apa masalahnya jika lelaki menjadi seorang yang lembut?

Dalam dunia sekarang ini di mana saban hari kita mendengar tentang kes keganasan rumahtangga, kes dera, kes pukul, kes buli, kes rogol, kes ‘road rage’ hingga membawa kematian, maka apa yang diperlukan adalah KELEMBUTAN. Itulah yang hilang dari jiwa dan hati si pelaku.

Tak Salah Anak Lelaki Suka Teddy Bear. Itu Yang Membentuk Jiwanya Lebih Penyayang

Masalahnya dengan kita, kita menggalakkan anak lelaki menjadi gagah tidak kena caranya.
Apabila anak lelaki bermain kasar yang keterlaluan, kata kita “Biasalah boys”.
Apabila anak lelaki tolak tidak mengikut giliran, kata kita “Biasalah boys”.
Apabila anak lelaki menumbuk menendang rakan lain, kata kita “Biasalah boys”.
Apabila anak lelaki suka menonton cerita atau bermain ‘game’ yang ganas, bunuh membunuh, kata kita “Biasalah boys.”

Itukah yang kita harapkan dari anak lelaki?
Menjadi seorang yang KASAR dan GANAS?

Bermain anak patung membantu perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak. Tidak kiralah kanak-kanak lelaki atau perempuan.

IKLAN

Selalunya bagaimana anak lelaki melayan anak patung adalah cerminan bagaimana dia melihat ibubapa melayan kanak-kanak.
Cara anak lelaki bercakap dengan anak patung adalah cerminan bagaimana dia biasa mendengar ibubapa bertutur dengan kanak-kanak. Dia akan meniru.

Jika anak lelaki tidak pernah melihat si ayah peduli tentang penjagaan diri dia dan adik beradiknya, maka anak lelaki itu juga mungkin akan kekok untuk ‘melayan’ anak patung itu.

Tak Salah Anak Lelaki Suka Teddy Bear. Itu Yang Membentuk Jiwanya Lebih Penyayang

Bermain adalah cara terbaik untuk kanak-kanak memahami tentang dunia di sekelilingnya dan bermain juga adalah cara terbaik untuk kanak-kanak melatih skil penting yang perlu ada pada dirinya sebagai orang dewasa.

IKLAN

Bermain dengan anak patung mengajar kanak-kanak baik lelaki atau perempuan supaya menjadi seorang yang peduli pada kanak-kanak, dan memastikan keperluan kanak-kanak itu dipenuhi.

Bermain dengan anak patung juga mendidik anak untuk memahami emosi dan membantu perkembangan empati yang semakin kurang dalam dunia sekarang hingga menyebabkan masalah dera, buli dan keganasan baik di dunia nyata mahupun di dunia siber.

Tidak semua kanak-kanak baik lelaki mahupun perempuan akan terus berminat dengan anak patung sampai bila-bila. JANGAN PANIK!

Dedahkan juga kanak-kanak kepada permainan lain untuk mereka meneroka minat mereka. Kadang-kadang dari anak patung kanak-kanak akan beralih kepada patung askar atau patung superhero yang menjadi kegemaran mereka. Mereka akan menggunakan skil yang sama apabila bermain dengan anak patung, teddy bear, atau patung-patung yang lain cumanya plot penceritaan ketika bermain itu sahaja yang berbeza mengikut kreativiti mereka.

IKLAN

Tidak ada salahnya juga jika ANAK PEREMPUAN hendak bermain dengan kereta atau kapal terbang mainan. Itu juga sebahagian dari penerokaan. Tidak ada salahnya kanak-kanak perempuan turut sama panjat pokok bersama kanak-kanak lelaki. Itu adalah skil fizikal yang penting.

Tak Salah Anak Lelaki Suka Teddy Bear. Itu Yang Membentuk Jiwanya Lebih Penyayang

Cumanya pastikanlah kanak-kanak perempuan memakai seluar panjang agar skirtnya tidak tersangkut ataupun skirtnya tidak terselak.

Bermain anak patung menyediakan kanak-kanak untuk memiliki skil peduli (caring), memupuk (nurturing) dan memahami (understanding). Inilah kelembutan yang kita mahu ada pada anak–anak lelaki kita disamping dia pandai berlari, melompat, berguling, memanjat, menendang dan menumbuk objek yang sepatutnya.

Oleh itu biarlah anak lelaki belek dan belai anak patung. Perhatikan dia. Main dengan dia.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI