Apakah hukumnya jika isteri melarang suami untuk berpoligami?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Hanya sanya perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Adapun jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan. Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.”
Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.”
Rujuk Fath al-Bari (9/329)
Dalam hadis riwayat Muslim menyebut bahawa Ali bin Talib telah meminang anak Abu Jahal (yang sudah Islam), sedangkan beliau telah bernikah dengan Fatimah, anak perempuan Rasulullah ﷺ. Apabila Fatimah mendengar hal itu, beliau berjumpa Nabi ﷺ dan berkata kepada beliau: “Sesungguhnya kaummu telah mengatakan bahawa engkau tidak marah demi anakmu, apabila Ali bernikah dengan anak Abu Jahal.” Berkata Miswar (perawi hadis): Lalu Nabi ﷺ bangkit dan aku mendengar baginda bersyahadah kemudian berkhutbah:
Maksudnya: “Amma ba’du, sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-`Aas bin al-Rabi’ (suami Zainab) lalu memberitahuku dan membenarkanku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah segumpal daging dariku, dan sesungguhnya aku benci apa sahaja yang membawa fitnah kepadanya. Demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Berkata al-Miswar: lalu Ali meninggalkan pinangannya.
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang halal dan tidak menghalalkan apa yang haram, tetapi demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Riwayat al-Bukhari (no. 3110)
Berkata Imam al-Nawawi: “Ertinya aku tidak ada berkata suatu perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, maka apabila Allah hukumkan perkara itu adalah halal maka aku tidak akan mengharamkannya, dan jika perkara itu Allah haramkan aku aku tidak akan menghalalkan dan aku tidak akan diam daripada mengharamkannya kerana diamnya aku adalah penghalalan baginya. Dan menjadilah daripada kalangan wanita yang diharamkan berkahwin ialah menghimpunkan antara anak Nabi Allah dan musuh Allah.”
Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi `ala Muslim (4/15-16)
Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26;
Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.
Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya. Juga kerana terdapat kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir.“ Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/127).
Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.”
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
(Surah al-Nisa’: 3)
Maksud “keadilan” yang dijadikan kriteria di atas ini adalah tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, kehidupan bersama yang berkualiti, dan menunaikan hak-hak isteri. Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan. Ini yang dimaksudkan dalam firman Allah ﷻ:
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’: 129)
Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ sendiri adalah seorang yang paling adil terhadap isteri-isteri baginda pada memberi mereka pembahagian hari dan muamalat yang baik, namun baginda lebih menyayangi Aisyah R.Anha. Baginda berdoa:
Maksudnya: “Ya Allah, inilah pembagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela aku pada sesuatu yang Engkau mampu dan tidak aku mampu.”
Riwayat Abu Daud (1822). Beliau berkata; “yaitu hati.”
Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan. Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak. Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami. Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain. Hak kebebasan berpendapat dalam sistem Syura ini dinaskan dalam al-Quran. Firman Allah ﷺ:
Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”
(Surah Ali Imran: 159)
Berkata Syeikh Muhammad Tohir Ibn Asyur: “Maka telah jelaslah bahawa musyawarah yang disuruh oleh ayat ini di sini adalah musyawarah pada hal ehwal umat dan maslahat-maslahatnya. Allah telah mengarahkan perlaksanaannya di sini dan telah memujinya ketika menceritakan tentang kaum Ansar dalam firman-Nya Ta’la yang lain:
وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ
Maksudnya: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;”
(Surah al-Syura: 38)
dan Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:
Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya);”
(Surah al-Baqarah: 233)
Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.”
Rujuk Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir (4/147-148)
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya. Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa mendidik wanita dengan keperibadian Muslimah dan menjaga hak-hak mereka daripada ditindas atau dilanggar. Inilah pesanan Rasulullah ﷺ dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA:
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kaum dengan kalimah Allah… dan ke menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.”
Riwayat al-Nasaie (no. 9135)
Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua.
Bukan mudah menjadi ibu bapa, tanggungjawabnya sangat besar. Untuk menjadi ibu bapa hebat, menuntut kita mencari ilmu dan melakukan banyak pengorbanan. Tugas mendidik anak adalah satu proses yang berterusan, bukan bermusim.
Dalam membesarkan anak-anak, kita sebagai ibu bapa ada masanya dah rasa cukup sempurna tetapi tak perasan pun kesalahan sendiri. Cuma yang kita nampak, kesalahan anak semata-mata.
Menurut Dr Erna Nadia yang juga ibu kepada dua cahaya mata, beliau senaraikan antara kesalahan ibu bapa dalam mendidik anak. Moga perkongsiannya ini memberi manfaat dan membantu kita menjadi ibu bapa yang boleh dibanggakan oleh anak-anak.
Antara kesalahan kita dengan anak-anak adalah:
1. Tidak memandang wajah mereka bila bercakap. Mata pandang hp ke, tengok tv tapi bercakap dengan anak.
2. Tidak menjawab soalan yang diajukan oleh anak. Bila anak panggil, diam. Bila anak tanya, diam.
3. Tidak menerangkan kenapa sesuatu perbuatan tu bahaya. Lebih suka marah marah marah tapi tak bagitahu kenapa bahaya atau kenapa tak elok.
4. Suka guna perkataan jangan. Jangan itu jangan ini. Anak anak tak faham arahan jangan/tidak. Terangkanlah dengan bahasa yang mudah mereka faham.
5. Tidak duduk setara dengan mata mereka bila bercakap. Anda berdiri, dia berdiri tapi paras ketinggian lain. Seeloknya anda berlutut dan bercakap sambil pandang mata dan wajah mereka untuk bercakap atau menerangkan sesuatu.
6. Tidak terus peluk atau tenangkan anak anak bila anak marah atau mengamuk. Peluklah,mereka terasa lebih selamat dan disayangi. Peluk, belai & selawatlah banyak banyak, doa pohon mereka dilembutkan hati.
7. Kita dan pasangan suka bergaduh atau guna perkataan kesat di hadapan anak anak. Ye lah rumahtangga mana yang tak ada masalah tapi janganlah di tunjuk depan anak anak. Jika ada salah, bawa pasangan masuk bilik lain dan cakap dengan elok.
8. Jangan guna perkataan kesat di rumah jika kita tak mahu anak kita guna perkataan sama juga. Jika mereka belajar dari sekolah atau kawan, terangkan yang kata kata itu tak baik, Allah tak suka benda jahat dan kata kesat.
9. Tidak bermain dengan mereka. Tak perlulah 24 jam main sekali. Sehari dapat setengah jam pun ok.
10. Tidak membacakan buku untuk mereka semasa kecil. Kita banyak suruh tapi kita tak ajar atau kita sendiri tak buat.
11. Berikan sahaja apa yang dipinta tanpa mahu mereka berusaha sendiri dapatkannya.
12. Jangan pukul anak-anak. Anak-anak bawah 7 tahun perlu dilayan seperti kanak kanak. Pukul dan penggunaan kata kata kesat akan merosakkan emosi mereka. Emosi yang terganggu akan musnahkan keseronokan masa kecil mereka, lama lama anak jadi depress.
13. Jangan bandingkan anak dengan sesiapa. Jika mahu lihat mereka berjaya, beri contoh dan terangkan kenapa seseorang itu berjaya dan bantu dia untuk berusaha.
Anak-anak ini ibarat span. Mereka serap segala yang dilihat dan didengar di sekeliling mereka.
Rumah adalah sekolah pertama mereka. Siapa kata bayi tidak tahu dan tidak faham?
Hakikatnya sejak dari bayilah mereka belajar semuanya dari proses pemerhatian. Mereka lihat dan dengar sahaja cara kita.
Bercakaplah dan berceritalah dengan mereka. Guna perkataan yang betul & tidak pelat serta pastikan nada kita terkawal.
Jika anda stress, anak juga akan stress. Bila semua dah stress, rumah akan jadi hambar, suasana jadi muram, nak balik rumah pun malas, anak pun sentiasa mood ke laut dan mulalah masalah lain timbul.
Jika berlaku seperti ini, relax dan fikir balik mana salah kita. Ingat, fikir mana silap kita dulu. Ajak pasangan untuk sama sama duduk dan bincang. Jangan pendam seorang diri.
Ramai sekarang ( saya pernah juga) yang ada masalah di tempat kerja atau tak tahu nak bahagi masa atau tak tahu nak mula macam mana atau tak sangka dapat anak dan hidup jadi huru hara sekejap, dan anak anak jadi mangsa.
Kasihan anak-anak, mereka tidak salah kerana kitalah yang mencorakkan. Betulkan diri sendiri dulu sebelum tuduh yang lain.
Kita boleh jadikan family kita happy jika kita tak ikut orang. Do it in our own sweet way.
Contohnya weekend macam ni: dah boleh tenang-tenang dan fikir sama-sama dengan pasangan dan anak-anak, nak buat apa.
Paling penting, jika kita nampak orang lain post tentang kebahagian mereka, kita ambil dari sudut positif : jika mereka boleh, mengapa tidak kita?
Nota kaki : Jika anda rasa anda sibuk percayalah lebih ramai yang sibuk tapi masih bijak membahagi masa.
Sumber: Dr. Erna Nadia
Kita adalah apa yang kita fikir dan fikirlah yang baik-baik
**Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebaik menimang cahaya mata, anda seharusnya mula memikirkan tentang perancangan bagi menampung kos pendidikan bermula daripada Tadika, persekolahan rendah dan menengah; serta peringkat lebih tinggi iaitu kolej atau universiti.
Ramai sedia maklum dengan peningkatan kos sara hidup dari semasa ke semasa yang mana ia turut melibatkan pertambahan biaya pendidikan. Tambahan pula pada masa kini, kos pendidikan di kolej mahupun universiti awam ataupun swasta boleh mencecah sehingga ratus ribu ringgit untuk peringkat Ijazah, bergantung kepada bidang pengajian yang bakal dipilih oleh si anak.
Malah, anak yang belum masih bersekolah pun memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi. Mana tidaknya, yuran tuisyen perlu dilunaskan. Pembelian alat-alat persekolahan juga perlu disediakan selengkapnya. Itu belum mengambil kira perbelanjaan harian seperti duit saku, kelengkapan ko-kurikulum, sumbangan PIBG dan lain-lain lagi.
Jika perancangan perbelanjaan pendidikan tidak disediakan lebih awal, pasti anda bakal tertekan saat ia diperlukan. Bagaimana caranya untuk menyediakannya? Jawapannya ialah membuat simpanan. Lebih awal anda bermula, lebih tinggi simpanan yang dapat dibuat untuk pendidikan si anak kelak.
Merancang
Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah letakkan sasaran tempoh masa. Kedua, sasarkan matlamat jumlah simpanan yang diperlukan. Dan ketiga, jumlah simpanan yang disasarkan pada langkah ketiga, dibahagi dengan tempoh masa pada langkah pertama.
Jika anak berusia bawah satu tahun tahun, anda pasti menjangkakan dia masuk universiti pada usia 18 tahun. Maka, tempoh yang ada adalah selama 17 tahun. Setelah itu, tetapkan anggaran kos perbelanjaan yuran pengajian universiti sekarang dan anggaran untuk 17 tahun akan datang.
Selanjutnya, jumlah kos pada langkah ketiga, dibahagi dengan tempoh masa pada langkah pertama dan anda akan mendapat jawapan jumlah wang yang perlu dikumpulkan bagi menampung perbelanjaan pendidikan di masa akan datang. Dengan jawapan itu, anda perlu bahagikan kepada 12 bulan pula dan akhirnya jumlah bulanan yang perlu disimpan akan diperoleh.
Cara nak simpan
1. Kumpulkan RM900 sebelum anak lahir
Sebaik sahaja disahkan hamil, mula kumpulkan RM900 sebagai modal permulaan simpanan pendidikan. Jangan fikir susah untuk kumpulkan RM900. Anda, suami isteri boleh berkongsi menyimpan RM100 sebulan. Suami RM50, isteri RM50. Dalam masa 9 bulan cukuplah RM900 semasa anak dilahirkan.
Dana RM900 ini perlu dimasukkan ke dalam institusi penyimpanan wang yang dipercayai. Antaranya unit saham amanah, bank, Tabung Haji, unit amanah dan yang seumpamanya atas nama anak itu sendiri dan salah seorang daripada anda sebagai pemegang amanah akaunnya.S
2. Simpan duit raya minimum RM100 setahun
Sebagai tambahan daripada apa yang disimpan sebelum kelahirannya, kumpulkan sekurang-kurangnya RM100 daripada jumlah duit raya yang diperolehinya. Kalau simpan lebih banyak, lebih bagus!
Walaupun hanya RM100 setahun, tapi nilainya akan bertambah apabila dikumpulkan tanpa culas setiap tahun. Tidak percaya? Segeralah lakukannya semasa sambutan Hari Raya tahun depan.A
3. Ambil pelan pendidikan insuran atau takaful
Pelan pendidikan adalah satu cara anda memindahkan risiko kewangan akibat daripada kehilangan pencari nafkah utama dalam keluarga. Andaikan suatu hari nanti, pencari nafkah utama meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal. Berkemungkinan besar, beliau tidak berupaya untuk bekerja. Jadi, pelan pendidikan dapat membantu.
Bila situasi ini berlaku, pelan pendidikan anak anda dibayar oleh syarikat insuran atau takaful sehingga tempoh matang pelan pendidikan yang telah diambil. Jadi, ada jaminan untuk anak anda meneruskan pengajiannya walaupun berlaku malapetaka yang tidak diingini dalam keluarga.
4. Kumpul bar emas
Anda digalakkan untuk menyimpan emas kerana nilainya akan bertambah dari tahun ke tahun. Lebih istimewa, ia kalis inflasi. Sekiranya anda mula menyimpan 1 gram emas sebulan untuk anak bermula daripada bulan kelahirannya, maka akan ada 216 gram emas. Cara ini secara tidak langsung, dapat menampung pendidikan si anak walau apa pun yang berlaku kepada ekonomi dan ringgit Malaysia.A
5. Akaun 2 KWSP
Bagi yang bekerja di sektor swasta dan memiliki akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), anda mempunyai simpanan yang dibahagikan kepada dua akaun iaitu Akaun 1 dan Akaun 2. Menerusi akaun tersebut, anda boleh memohon pengeluaran pendidikan.
Pengeluaran ini membolehkan anda mengeluarkan simpanan yang terkandung di dalam Akaun 2 untuk membiayai yuran pengajian anak. Terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sebelum pengeluaran simpanan dibenarkan oleh KWSP.
Antaranya ialah anak anda perlulah telah mendaftar untuk pengajian akademik/ professional/ kemahiran vokasional di institut pengajian tinggi (IPT) yang dibenarkan. Selain itu, anak itu mestilah mengikuti pengajian peringkat Diploma, Diploma Lanjutan, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, Doktor Falsafah atau yang setara dengannya.
Sekiranya anak anda belajar di IPT dalam negara, pengeluaran diluluskan tidak kira jika belajar secara sepenuh masa, separuh masa, program jarak jauh atau francais. Walau bagaimanapun jika pengajian itu di IPT luar negara, KWSP membenarkan pengeluaran untuk tanggungan pengajian sepenuh masa sahaja.
Sila rujuk Senarai Semak Dokumen Pengeluaran Pendidikan untuk semua dokumen yang diperlukan di laman web KWSP dan pejabat KWSP. Jika anda mempunyai kemusykilan atau memerlukan maklumat lanjut mengenai pengeluaran ini, sila hubungi mana-mana cawangan KWSP yang berhampiran atau Pusat Pengurusan Perhubungan di talian 03 -8922 6000 atau Maklumbalas Pelanggan, http://enquiry.kwsp.gov.my
Bebas hutang
Kesimpulannya, dengan membuat simpanan awal dana pendidikan, anak anda sudah pasti tidak perlu membuat pinjaman pendidikan semasa masih dalam tempoh pengajiannya. Sekurang-kurangnya ia dapat mengelakkan diri daripada dibelenggu dengan bebanan hutang sewaktu di awal alam pekerjaannya kelak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ada pasangan suami isteri dikurniakan Allah mudah dapat anak. Bak kata orang pantang sentuh, lekat je. Ada yang risau kalau tiap tahun asyik beranak sahaja.
Rasa malu dan bimbang pula dengan orang sekeliling kalau kerap sangat mengandung dan beranak. Ada juga yang risau memikirkan faktor ekonomi keluarga mungkin akan terjejas sekiranya mempunyai anak kecil yang ramai berderet-deret.
Sebenarnya pasangan suami isteri tidak perlu risau dan takut memikirkan semua perkara tersebut kerana yakinlah bahawa anak itu adalah amanah dari Allah dan Dia jugalah yang memberi rezeki kehadiran anak tersebut walau kita rasakan masih belum bersedia.
Janganlah kita rasa takut untuk mempunyai ramai anak kerana Allah SWT telah menetapkan rezeki bagi setiap anak yang dilahirkan. Jadi tak perlu menolak sekiranya dikurniakan rezeki anak kerana tak semua orang berpeluang menikmati rezeki tersebut.
Ada pasangan yang sudah berkahwin bertahun-tahun lamanya tapi masih menanti kehadiran zuriat, ada pula yang mudah dapat anak dan tak semua orang berpeluang memperoleh rezeki itu. Itu semua adalah rezeki yang sudah ditentukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya
Memetik kata-kata Ustaz Kazim Elias dalam satu ceramahnya yang mengingatkan setiap pasangan suami isteri agar tidak takut untuk beranak ramai kerana Allah SWT telah menetapkan rezeki setiap anak tersebut. Beliau membacakan maksud surah Az-Zukhruf ayat 32 iaitu:
“Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.”
Menurut Ustaz Kazim setiap manusia yang hidup di dunia ini ada rezeki masing-masing daripada Allah SWT. Jadi tak perlu dengki sesama manusia kerana Allah pasti bagi rezeki kepada kita. Jadi janganlah takut atau bimbang, yakinlah kepada rezeki Allah.
Beliau turut mengingatkan pasangan suami isteri yang mudah dikurniakan rezeki anak supaya tidak membunuh janin yang ada dalam kandungan hanya kerana takut miskin.
“Jangan takut mengandung, jangan bunuh anak-anak kamu kerana takut miskin. Allah sudah sebut dalam al-Quran bahawa setiap anak-anak yang lahir ada rezekinya. Allah kata kami jamin rezeki untuk setiap anak.
Lahir sahaja seorang anak, rezekinya sudah ada. Bayangkan lahir sahaja anak sudah ada susu ibu untuknya sebagai makanan awalnya yang Allah kurniakan melalui ibu. Bayangkan betapa Pemurahnya Allah kepada hambaNya kerana sekecil usia bayi lagi Allah sudah sediakan rezeki yang cukup untuknya. Ibu bapa juga jangan kedekut dengan anak-anak. Ada yang kedekut dan berkira untuk anak-anak.
“Kadang-kadang ada suami isteri yang kedekut dengan bilangan anak, mereka kata cukuplah dua atau empat anak sahaja. Jangan takut tentang hal rezeki. Ambillah syaitan sebagai musuh bukan manusia sebagai musuh kita. Allah Taala Maha Baik, setiap orang hidup di dunia ini ada rezekinya.”
Rasulullah SAW Suka Umatnya Ramai
Memetik kenyataan bekas Imam Besar Masjid Negeri Terengganu yang kini merupakan Ketua Penolong Pesuruhjaya (Bahagian Pengurusan Masjid), Haji Aizi Saidi Abd Aziz, setiap zuriat telah tertulis rezeki untuknya, jadi tak perlu bimbang untuk mempunyai anak ramai.
Haji Aizi Saidi Abd Aziz
Bagaimanapun, kata Aizi Saidi, lain pula bagi mereka yang tidak berkemampuan, sakit dan sekiranya beranak, ia akan memudaratkan dirinya. “Kita tidak nafikan, bagi mereka yang sakit, tidak berkemampuan untuk mempunyai anak, ada mereka yang mengalaminya.
“Jadi, bagi yang mengalami situasi itu, perlu bersabar dan terus berdoa agar ditemukan jalan terbaik,” katanya.
Mengulas faktor ekonomi yang menyebabkan pasangan takut untuk mempunyai ramai anak, beliau berkata, ia bukan faktor penghalang .
“Dari segi ekonomi, satu sahaja kita perlu ingat, kita tidak tahu rezeki ALLAH SWT macam mana. Sebenarnya Dia telah tetapkan rezeki kita dan jika ada yang takut untuk beranak kerana faktor ekonomi, saya rasa ia telah lari dari konsep asal penciptaan manusia itu sendiri.
“Rasulullah SAW sendiri suka kepada umatnya yang ramai. Itu bukti mempunyai ramai zuriat ada 1001 hikmah yang tersembunyi. Kecuali bagi mereka yang sakit, mudarat, tidak berkemampuan dan tidak mampu untuk menguruskan anak” katanya.
Menurut Aizi Saidi lagi, jarak dua tahun (susuan) adalah jarak paling ideal bagi setiap anak agar anak mendapat susu dan tumpuan sepenuhnya daripada ibu.
“Itu adalah hikmah bagi ibu yang menyusu anak. Tempoh dua tahun yang diberikan adalah untuk mereka memberi tumpuan menyusu anak sepenuhnya, sekali gus menjadi jarak antara dia dan adiknya,” katanya kepada akhbar Sinar Harian edisi Terengganu
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.