“Terkejut dan tak sangka sama sekali. Hingga hari ni masih teringat peristiwa yang berlaku pada bayi lelaki saya apabila melihat sebelah matanya berdarah semasa bangun daripada tidur beberapa hari lalu.”

Menerusi laporan Sinar Harian Nurul Izzati Jaafar, 28, berkata, perasaan waktu itu seolah-olah seperti nak terputus nyawa ketika melihat sebelah mata Muhammad Aus Azizul, 6 bulan yang dilahirkan tanpa bebola mata kiri dan kanan itu berdarah semasa bangun di waktu Subuh.

Kejadian mata Aus berdarah itu kerana mata palsu yang dipakai pada kelopak kanan itu mulai longgar. Lebih menyedihkan juga mata kiri bayi itu pula terdapat ketumbuhan.

“Saya melihatnya dalam samar-samar gelap bilik sebelum perasan ada lingkaran hitam di sekeliling kelopak mata.

“Apabila buka lampu rupanya-rupanya darah. Dalam cemas saya lap darah itu dan memandikannya lalu bergegas membawanya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kemumin, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Mata palsu tercabut

Mata palsu yang digunakan Muhammad Aus Azizul itu tercabut dengan sendiri ketika pemeriksaan dilakukan oleh doktor semasa tiba di hospital.

IKLAN

Nurul Izzati berkata, ketika doktor memeriksa, mata palsu tersebut terkeluar dengan sendiri kerana kelopak mata yang merenggang dan membesar seiring dengan pertumbuhan fizikal bayi itu.

“Doktor kemudian membekalkan ubat titis antibiotik bagi menggelakkan jangkitan kuman pada mata yang luka dan keadaannya stabil serta dibenarkan pulang.

“Sekarang tiga pakar memantau Aus dan apabila usia 4 tahun, dia akan memakai mata palsu yang kosnya antara RM500 sehingga RM1,000,” katanya.

Lahir pra matang, tak banyak ragam

Tambahnya, Aus bayi pra matang yang dilahirkan seberat 2.4 kilogram (kg) secara bersalin normal pada usia kandungan 36 minggu manakala keadaan mata tersebut hanya disedari doktor selepas dia selamat dilahirkan.

“Aus mudah dijaga, tidak banyak ragam sebaliknya menangis biasa apabila lapar atau mengantuk. Nak bezakan dia tidur atau tak, boleh tengok keningnya, kalau terangkat maksudnya dia berjaga selainnya suka main geleng-gelengkan kepala,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kos ulang-alik ke hospital tiga hingga empat kali sebulan dan perbelanjaan susu serta lampin pakai buang tinggi baginya kerana dia hanya suri rumah manakala suami pula hanya bekerja kilang dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Bukan itu saja, Nurul Izzati dan anak perempuan sulungnya, Armel Izzatul, 4, menghidap penyakit asma dan perlu menggunakan alat penyedut inhaler.

“Saya cuba berniaga secara kecil-kecil melalui atas talian. Dulu, jual latok tetapi sekarang susah dapat.

“Saya juga sudah dua tahun ejen penapis air berjenama tetapi belum ada rezeki terjual. Sekarang saya cuba menjual barangan kosmetik untuk tampung perbelanjaan kami termasuk rumah sewa RM180 sebulan,” katanya.

Aus pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi hingga sekarang Aus belum menerima sebarang bantuan.

Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut keadaan adik Muhammad Aus Azizul atau berhasrat membantu boleh menghubungi di talian 016-9517691.

Kredit: Sinar Harian

**Teringin untuk membeli keperluan anak pada tawaran harga menarik, klik sini

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)