Tentu ramai ibu ayah lega walaupun anak-anak buat rumah bersepah. Ini gara-gara lepas baca pendapat beberapa pakar perkembangan kanak-kanak bahawa rumah bersepah adalah tanda anak-anak sedang aktif belajar dan bereksplorasi.
Mesti ramai ibu ayah yang mementingkan kebersihan dan kekemasan rumah walaupun ada anak kecil rasa keliru dan sedikit “kecil hati” dengan pendapat tersebut. Sebenarnya, tak perlu keliru atau salah anggap kerana rumah yang kemas juga tanda anda ibu ayah yang terbaik dan anak-anak juga boleh bereksplorasi banyak perkara.
Anda boleh baca pendapat Puan Uswatun Hasanah, Konsultan Tangisan Bayi tentang hal ini.
Bukan baru-baru ini saja kita mendengar slogan yang mengaitkan rumah yang bersepah itu tanda anak-anak bergembira.
Antara kata-kata yang sering diguna pakai untuk mempromosi hal ini ialah :
“Please excuse the mess,the children are making memories” (Maaf kerana keadaan bersepah, anak-anak sedang membuat memori)
“Good moms have: sticky floors, messy kitchen, laundry piles, dirty ovens and happy kids” (Ibu yang baik mempunyai: lantai yang melekit, dapur yang bersepah, baju kotor yang menimbun, ketuhar yang kotor dan anak- anak yang gembira).
Seriously? Benarkah anak-anak yang duduk di rumah yang kotor dan bersepah itu gembira?. Adakah keadaan bersepah dan kotor itu menggembirakan anak-anak? Bagaimana pula rumah yang kemas dan bersih itu membuat anak-anak tak gembira? Adakah anak-anak yang duduk di dalam rumah yang kemas adalah anak-anak yang tidak gembira? Adakah rumah yang kemas itu tanda anak yang tinggal di dalamnya tidak berpeluang bebas menjadi kanak-kanak: membuat sepah, menjadi kreatif, mengguna imaginasi dan meneroka?
Be careful mommy. Jangan cepat jadikan anak-anak sebagai alasan untuk mewajarkan tindakan kita.
Ada anak kecil memang kena kemas rumah je
Pepatah ada berkata, ” Cleaning the house while your kids are still growing is like shoveling the walk before it stops snowing” ( Membersihkan rumah ketika anak- anak masih lagi membesar ibarat mengaup salji di jalanan sebelum musim salji berakhir ).
Apa maksudnya? Sepanjang musim ‘winter’ , salji memang akan turun tanpa henti lalu menyebabkan jalan dilitupi salji setiap masa hingga menebal seiring masa. Namun, demi keselamatan dan kemudahan, kita tiada pilihan selain terus membersih dan mengaup salji dari atas jalanan walau kita tahu keadaan tidak akan berubah selama salji masih turun.
Sama halnya dengan anak-anak. Ya,fitrah anak itu bermain, meneroka, membuat onar dan bereksperimen. Ia tidak akan berhenti selama mereka bergelar anak kecil. Namun,adakah ia harus jadi alasan untuk kita membiar keadaan menjadi kotor teruk dan bersepah demi fitrah ini?
Mungkin ada yang berkata, “Buat apa nak kemas,nanti kejap lagi anak main semula, sepah jugak balik..” Wow..jadi adakah ok untuk kita berkata begini untuk hal-hal seperti di bawah ini pula ?
Ads
– Buat apa nak kemas katil, malam nanti nak tidur jugak.
– Buat apa nak kemas dapur, kejap lagi nak masak jugak
– Buat apa nak cuci baju, nanti pakai kotor jugak
– Buat apa nak sental toilet, memang selalu orang guna jugak
Come on..ada garis pemisahnya antara membuat alasan kerana malas dan kerana keadaaan memerlukan ia jadi begitu.
Selesai main kena kemas!
Bermainlah semahunya ketika anak mahu bermain: tuang keluar semua mainan dari kotaknya, taburkan semua krayon dan pensel untuk melukis, lompat-berlari-bersembunyilah di setiap ceruk rumah ketika bermain perang-perang, punggahlah semua bantal,kusyen dan sofa untuk bina kubu dan rumah ‘olok-olok’…silakan semuanya.
Namun,bila selesai bermain,ajarlah anak bahawa keadaan harus kembali kemas untuk rumah berfungsi. Rumah bukan semata-mata tempat untuk bermain dan bergembira,tetapi rumah juga tempat berkerja, belajar (mengulangkaji), beribadat,meraikan tetamu dan rakan (berkumpul) juga tempat menenangkan fikiran. Rumah harus jadi tempat paling mahu ditujui oleh semua ahlinya.
Benar, rumah yang bersepah atau kemas, bukan ukuran rasa gembira yang ada dalam hati penghuninya. Tetapi hakikatnya, ada banyak manfaat memiliki rumah yang kemas hingga tidak perlu lah seseorang sampai berhajat untuk memiliki rumah yang kotor! Rumah yang kemas lebih selesa untuk diduduki, mudah untuk mencari barang tanpa perlu banyak masa mencari di sebalik timbunan atau terpaksa membeli barang baru akibat tak berjumpa barang yang dicari, lebih menjamin kesihatan anak-anak serta melancarkan rutin harian dengan adanya pinggan, cawan ,baju dan pelbagai barangan guna harian yang bersih dan tersedia untuk digunakan.
Ads
Bukan tak boleh sepah langsung
Bukanlah bermaksud rumah harus setiap hari licin ke tahap tiada secalit habuk, berbau peluntur ibarat di steril semua sudut dan barang-barang tersusun dengan darjah dan turutan warna tertentu. TIDAK! Itu OCD namanya. Tak perlu menjadi OCD untuk jadi pengemas. Ini kena faham. Kalau tidak,ramai pula yang sarkastik dalam hal ini.
(Nota: harap faham bahawa kenyataan ini bukan untuk mempersenda penghidap OCD. Terma OCD diguna hanya untuk ‘membalas kembali’ dakwaan sebahagian orang yang menyangka bahawa ‘kemas’ yang disebut dalam hal ini bermaksud seperti ciri ketelitian OCD)
Tiada masalah untuk membiar pinggan mangkuk berlonggok di sinki hingga tengahari kerana anda mahu melayan anak bermain. Tiada masalah membiar baju sebesen tak berlipat hingga ke tengah minggu kerana menjaga anak-anak yang demam. Tiada masalah dapur dan tandas tak sempat di cuci hingga ke hujung minggu kerana terlalu banyak urusan kerja sekolah, projek Sains dan seni anak-anak yang harus dibantu.
Ini keadaan sementara yang dapat difahami. Ia menunjukkan seseorang itu tahu memberi fokus pada apa yang penting dahulu. Mencari ‘balance’ atau keseimbangan itu kuncinya. Ia lain benar dengan membuat alasan kerana malas dan tak ingin terlibat langsung atau tak mahu berfikir langsung untuk menyelesaikannya!.
Jangan jadikan anak kecik sebagai alasan
Lebih penting, anak-anak harus jadi sebahagian dari penyelesaian masalah, bukan sebahagian dari masalah semata-mata. Memiliki rumah yang kemas sementara memiliki anak kecil itu bukan sesuatu yang mustahil.
Menurut pakar, menjadi fitrah anak kecil untuk meniru dan merasa bangga dapat meniru kehebatan ibu bapa (atau orang dewasa) yang dekat dihatinya. Mereka juga mahu merasa ‘berguna’, menyumbang sesuatu kepada keluarga , merasa hebat dengan pencapaiannya hingga terasa dia itu memang sebahagian dari keluarga. Maka, amat normal kita melihat anak kecil sibuk-sibuk mahu menyapu rumah, sibuk-sibuk mahu mendodoi adik, sibuk-sibuk mahu mengelap meja, sibuk-sibuk mahu tolong masak dan macam-macam lagi. Jadi, raikanlah sikap anak kecil ini.
Anak seusia 2 – 3 tahun sudah boleh mengutip mainannya dan memasukkan ke dalam kotak, sudah boleh diminta menyusun kembali buku yang dibacanya, membuang lampin kotornya ke dalam bakul atau membantu memberi makan kepada binatang peliharaan.
Ads
Anak seusia 4-7 pula misalnya sudah boleh diminta mengemas katil (susun bantal dan lipat selimut), angkat pinggan dan cawan kotor, membuang sampah ringan, letak stoking dan baju kotor ke dalam mesin basuh,menyiram pokok malah menyusun barang dapur yang baru dibeli dari pasaraya.
Malah, anak- anak kecil sudah faham arahan dan penerangan ringkas untuk kita mula tetapkan batasan dan peraturan seperti menconteng hanya pada kertas atau dinding khas dibilik mainan sahaja, plastik makanan yang dibuka perlu dibuang sendiri ke dalam tong sampah,tangan yang kotor perlu dicuci sebelum bermain dan setiap kali mengguna tandas,ia harus di pam.
Ajak anak kemas rumah juga cara untuk bonding
Meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak,bukan hanya dengan cara bermain sahaja. Melibatkan mereka membuat kerja rumah juga adalah satu darinya. Siapa kata, ia tidak boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan?.
Minta anak berlumba kutip semua barang di lantai sementara anda menyanyi lagu dan ia harus selesai sebelum nyanyian anda berakhir, atau minta anak kutip barang mengikut warna atau bentuk yang anda sebut ,atau buatlah pertandingan mengemas tentang siapa yang paling pantas dan elok pula hasilnya, atau ikut cara game online: bermain ikut tahap kesukaran.
Setiap anak diberikan senarai kerja yang perlu diselesaikan pada hari ini dan setiap kerja yang disempurnakan layak mendapat bintang. Jumlah bintang yang terkumpul akan mewakili jumlah ‘special playtime’ yang ibu harus luangkan dengan anak,atau boleh mewakili jumlah buku atau cerita yang anak ingin dengar sebelum tidur atau mewakili pilihan makanan atau tempat yang anak ingin pergi pada hujung minggu ini.
Tidak benar jika ada yang berpendapat rumah akan sentiasa bersepah selama anak belum besar. Malah, sebenarnya, kenyataan seperti itu hanya merendahkan kemampuan anak kecil: seolah-olah mereka adalah makhluk primitif yang tak boleh dibentuk dan tak faham sivik.
Pada akhirnya, melibatkan anak-anak dalam urusan kerja rumah mempunyai 5 manfaat besar berikut;
Anak merasa dia turut berfungsi dan penting untuk menyumbang kepada keluarga. Keluarga adalah satu pasukan penting.
2. Ibu bapa melengkapkan anak dengan kemahiran hidup yang diperlukannya sepanjang hayat. Bukankah ibu bapa tiada selamanya untuk anak?
3. Anak belajar tentang mengambil tanggungjawab. Anak perlu tahu bahawa jika semua orang bangkit memegang tanggungjawab, semua urusan menjadi ringan.
4. Anak belajar menilai dan menghargai kerja keras/susah. Anak perlu tahu, dalam hidupnya,ada orang yang bertungkus lumus memastikan dia dapat tinggal di tempat yang cukup selesa untuk dipanggil rumah,ada makan minum dan pakaian yang tersedia dan ianya satu komitmen yang tak harus diperlekeh.
5. Anak mencontohi sikap ibu ayah. Ia adalah pelajaran yang akan anak bawa dalam dirinya sampai bila-bila.
Sebenarnya tak susah pun nak cipta bonding dengan anak-anak di rumah. Tak perlukan kos yang tinggi pun. Cuma berikan tumpuan yang lebih saja. Salah satu permainan yang tak terjangka hebatnya adalah permainan congkak. Bukan saja cipta bonding tapi melatih motor skill anak kecil kita.
Perkongsian bapa penyayang ini, Ahmad Affzan Abdullah di facebooknya, mama papa boleh tambahkan ilmu di dada. Paling penting dapat rangsang motor halus anak dan kemahiran lain. Hebat!
Jika ada masa lapang, congkak inilah salah satu permainan kami sekeluarga. Anak aku yang umur 5 tahun pun seronok main bersama.
Apa kebaikan main congkak?
1. Mengasah skil psikomotor
Bukan mudah menggenggam guli-guli kecil dalam kuantiti yang banyak. Kemudian kau kena lepaskan satu persatu ke dalam lubang ikut tertib pusingan jam.
Kau bayangkan tangan orang dewasa pun terkial-kial nak buat, budak kecil apatah lagi. Namun itulah yang menajamkan lagi skil psikomotor mereka, lebih-lebih lagi waktu pusingan pertama yang kau berebut nak lepaskan guli laju-laju.
2. Belajar mengira
Sekurang-kurangnya anak kau yang kecil dah boleh mengira 1 hingga 7 waktu nak penuhkan lubang congkak sebelum mula bermain.
Kemudian waktu dia lepaskan guli itu satu-satu, kau mintalah dia kira dan sebut dengan kuat. Lama-lama sampai berbelas-belas pun dia dah pandai kira secara tak langsung.
3. Belajar mencongak
Nak main congkak ini bukan kau main hentam saja pilih lubang mana secara rawak. Kau kena congak juga kalau ambil guli dari lubang A, nanti akan habis dekat lubang mana.
Ini semua perlukan skil mencongak dalam kepala. Orang sekarang panggil ‘mental arithmetic’. Kalau anak kau dah boleh mengira, ajar dia mencongak pula supaya permainannya lebih seronok. Tak adalah dia stress asyik mati saja.
4. Belajar strategi dan merancang
Selepas pandai mencongak, anak kau juga perlu merancang nak ambil guli dari lubang yang mana dulu. Guli paling banyak atau paling sikit?
Contoh kalau ada 1 guli dalam lubang sebelah rumah, adakah kau nak masukkan guli itu terus ke rumah, atau tunggu dulu?
Sambil pihak lawan jalan, mata anak kau juga dah jeling-jeling untuk strategi seterusnya. Kemudian kena sentiasa peka, takut pihak lawan menipu. Patut masukkan satu guli, dimasukkannya 2 guli (yang ini kawan aku biasa buat waktu kecil. Aku saja yang jujur main congkak ni).
5. Melatih kesabaran dan kejujuran
Memang bengang kalau pihak lawan ‘tembak’ kita banyak-banyak. Lepas itu, asyik dia saja jalan tak mati-mati. Mau murung seharian dibuatnya. Sudahlah begitu, pihak lawan menang pula akhirnya.
Lalu mulalah kau nak mengelat macam aku cerita kawan aku buat tadi. ‘Skip’ lubanglah, masukkan tambahan guli dalam rumahlah dan macam-macam akal lagi.
Jadi bila nak main congkak ini, kau kena selalu ingatkan pada anak-anak erti sebuah kejujuran. Biarlah kalah, asal kita kalah bermaruah. Cewah.
Ini penting untuk diaplikasikan dalam hidup. Ramai orang menipu dan mengelat untuk lepaskan diri sendiri saja sekarang. Maka dengan bermain congkak ini, sifat jujur ini dapat kau pupuk pada anak-anak.
6. Kos yang murah
Congkak ini pun tak begitu mahal untuk kau beli sebagai bahan aktiviti masa lapang bersama anak-anak. Sekitar RM30-40 pun dah boleh dapat di Lazada.
Kemudian dia tahan lama. Dari anak kau tadika sampai masuk universiti pun masih bertahan lagi, dengan syarat kau tak hempas papan congkak ni ke simen lah.
Kalau guli hilang pun, tak sampai RM5 kau boleh beli sebungkus 100 biji.
7. Meneruskan tradisi warisan negara
Dalam zaman semuanya elektronik sekarang, memang sesuailah kau mesrakan juga anak kau dengan sesuatu yang lebih ‘natural’ dan ‘kembali ke asal’.
Terangkan pada anak-anak tentang permainan tradisional yang menjadi warisan budaya kita agar semua ini tidak hilang ditelan masa.
Walau sejauh mana kita melangkah, ingatlah akar yang menautkan kita dengan bumi yang kita pijak.
Begitulah.
Banyak kelebihan bermain congkak ini selain mengeratkan hubungan kau dengan anak-anak. Jika berkelapangan, ajaklah mereka main bersama. Insya-Allah bermanfaat untuk seisi keluarga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam tempoh membesar, anak-anak mungkin banyak buat perangai. Anak yang lasak menunjukkan yang mereka sedang membesar dengan baik. Normal untuk mereka berkelakuan begitu kerana itulah lumrah seorang anak. Jangan dibentak atau dimarahi, apatah lagi dengan perkataan-perkataan yang tidak elok didengar.
Selain anak-anak, ada masanya kita buntu juga dengan perangai suami atau isteri. Mungkin mereka ada buat perkara-perkara yang kita kurang gemar. Sudah dinasihatkan tetapi tiada perubahan. Kalau banyak kali ditegur, nanti boleh buat bergaduh pula.
Untuk melembutkan hati anak atau pasangan tidak mudah. Kita harus konsisten mendoakan yang terbaik buat mereka. Berikut adalah perkongsian dari Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood tentang amalan yang dapat membantu melembutkan hati anak-anak atau insan yang disayangi.
TIP LEMBUTKAN HATI INSAN YANG DISAYANGI
#Mulakan dengan membawa Surah Fatihah sebanyak 3 kali.
#Kemudian lengkapkan dengan Ayat Kursi sebanyak 3 kali.
#Sempurnakannya dengan menyebut selawat Nabi sebanyak 3 kali.
#Usah dilupakan dengan tambahan Surah Taha ayat 1-5 dan baca surah ini sebanyak 3 kali.
#Akhir sekali sudahkannya dengan Surah Al Fath ayat 1-5 yang dibaca sebanyak 3 kali.
#Kemudian hembuskan tiga kali di atas kepala dan ubun-ubun. In shaa Allah dengan izin Allah, mujarab lembutkan hati anak-anak dan pasangan kita. Juga ibubapa kita.
UNTUK BAHAGIA, HARUS BAHAGIAKAN ORANG LAIN
Bila hati anak dan pasangan lembut, barulah hidup makin terasa bahagianya. Untuk kita merasa Bahagia, kitalah yang terlebih dahulu harus membahagiakan orang lain.
Sesuatu yang diberi dan tidak akan berkurang adalah KEBAHAGIAAN. Bahagiakanlah orang lain lalu engkau akan bahagia. Ada seorang sahabat yang datang menemui Nabi صلي الله عليه وسلم:
Dia mengeluhkan akan kerasnya hatinya, dia tidak merasakan kebahagiaan.
Maka jawab Nabi SAW,
“Jika engkau ingin hatimu menjadi lembut, bahagia, tenang, maka berilah makanan kepada fakir miskin dan usapkan tanganmu di kepala anak yatim.”
Orang yang paling bahagia adalah Rasulullah صلي الله عليه وسلم apabila seluruh waktunya dalam rangka untuk umatnya.
Rasulullah صلي الله عليه وسلم telah menjelaskan dalam satu hadith:
“Amal yang paling dicintai Allah SWT iaitu rasa senang yang engkau masukkan ke dalam hati seorang muslim, atau engkau hilangkan rasa laparnya, atau engkau lunaskan hutang-hutangnya, atau engkau hilangkan kesulitannya.
Sungguh, aku menemani saudaraku untuk memenuhi keperluannya lebih aku sukai daripada i’tikaf di Masjid Nabawi selama sebulan.” [HR. at-Thabrani]
Maka lembutkanlah hati orang-orang yang kita sayang dan bahagiakanlah mereka yang berada di sekitar kita agar kita lebih merasakan kebahagian. Jom azam untuk sama sama perbaiki akhlak dengan mencontohi akhlak Baginda Nabi SAW.
Untuk anak-anak, cubalah kaedah ini untuk membentuk keperibadian yang baik dalam diri mereka. Senjata paling berkuasa adalah doa ibu terhadap anak-anak:
1) Sentiasa keluar perkataan positif dan elak perkataan negatif
Perlu ingat andai perkataan negatif yang ibu ayah label pada anak-anak kerana perasaan marah yang membara di atas kesilapan mereka, bimbang perkataan negatif itu jadi mustajab. Macam mana? Tolonglah elakkan demi kebaikan anak.
Sebaiknya ibu ayah amalkan perkataan yang baik-baik walaupun dalam keadaan nak marah seperti anak bertuah, anak baik, anak mama sayang, anak abah sayang, anak syurga. Insya-Allah jika kata-kata ini sentiasa keluar dari mulut ibu ayah ia seolah-olah satu doa yang baik untuk kesejahteraan anak itu.
2) Tegur anak dengan penuh hikmah dan kasih sayang
Anak-anak ujian dari Allah untuk melihat sejauh mana kesabaran ibu ayah dalam mendidik amanah yang diberikan-Nya. Kena ingat nak marah sekalipun, tegurlah dengan berhemah.
Percayalah setiap kesabaran Allah gantikan dengan ganjaran yang lebih baik buat ibu ayah. Sentiasa positifkan jiwa dan minda.
3) Amalkan sebut nama Allah dan Rasulullah S.A.W
Contoh anak ibu sayang Allah tak, anak ibu sayang Rasulullah S.A.W tak. Kalau sayang Allah dan nabi jangan tinggal solat. Jangan lawan cakap mak ayah sebab semua nak masuk syurga dan nak dapat syafaat Rasullullah S.A.W.
Jika anak dah terbiasa, secara automatik anak faham dan apa yang dia kena lakukan mestilah yang baik-baik dan perlu dengar cakap orang tua. Ulang dan ulang, lama-kelamaan akan meresap masuk dalam jiwa anak.
4) Banyak berdoa supaya anak sentiasa lembut hati
Nak lembutkan hati anak, ibu ayah kena sentiasa berdoa tanpa putus asa. Doa adalah senjata utama untuk semua dan jika diamalkan selalu keberkatan itu akan diperoleh.
Percayalah ibu bapa yang sayangkan anak jika terus mengamalkan 4 tip ini, anda akan lihat hasilnya. Paling penting ibu bapa kena sentiasa muhasabah diri dan memperbaiki kelemahan masing-masing.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tekanan buat wanita mudah mengalami kemurungan. Ditambah pula dengan tiadanya sokongan daripada suami buat wanita makin rasa terbeban. Sudahnya tekanan makin bersarang, stress makin memuncak.
Jangan kalah dengan diri sendiri. Ibu seharusnya lebih bijak mengawal tekanan dalam diri. Dr Rozanizam Zakaria daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkongsi tip hadapi tekanan. Penting ni!
15 TIPS HADAPI TEKANAN BAGI IBU BAPA
Tekanan emosi dan perasaan dalam mendidik anak adalah sebahagian dari pakej yang datang dengan status menjadi seorang ibu atau bapa. Mari bersikap jujur dengan diri sendiri. Kita bukan Superhero! Menguruskan urusan diri sendiri, keluarga, kerjaya dan anak-anak dalam masa yang sama adalah sumber tekanan yang datang hampir setiap hari. Kalau tidak betul gaya menguruskan tekanan ini, kita mungkin akan tersilap langkah.
Saya kongsikan 15 tips ini untuk panduan bersama:
1. TANGGUHKAN REAKSI ANDA – Tidak kita seteruk mana pun masalah yang ditimbulkan oleh anak anda, jangan terus bertindak. Tindakan serta merta anda, selalunya didorong oleh emosi (baca: Amygdala Hijack). Selalunya kesilapan dalam bertindak berlaku sewaktu kita impulsive, bertindak melulu tanda memikirkan kesan. Jadi berhenti sejenak, fikir dengan otak rasional, bukan otak emosi. Kemudian baru tentukan tindakan anda dalam situasi tersebut.
2. BELAJAR TEKNIK RELAKSASI – macam-macam teknik anda boleh pelajari dari buku, alam maya mahupun professional. Tak semestinya yang terlalu rumit. Teknik pernafasan dalam (deep breathing technique – sedut-tahan-hembus dengan kiraan dan kitaran teratur), teknik distraction dan sebagainya sudah cukup berkesan dengan syarat di lakukan dengan betul dan konsisten.
3. PERBETULKAN FOKUS ANDA – Kita mudah terkesan dengan perkara yang kecil dan remeh seperti anak tumpahkan air, anak hilang jadual, anak berebut remote televisyen sehingga kita lupa fokus yang lebih besar. Pilih pertarungan anda. Jangan sampai isu kecil seperti air tumpah menjadi luka besar pada emosi anda dan anak-anak yang kekal sampai bertahun. Fikirkan apa yang anda ingin capai dalam situasi itu. Tugas anda mendidik dan bukan mengherdik. Ada masa diam dan tunjuk cara penyelesaian lebih berkesan dari membebel berjam sambil menyumpah seranah.
4. FIKIR PANJANG – orang putih kata, begin with end in mind. Bila ingin berbuat sesuatu kepada anak atau diri sendiri, fikirkan apakah kesan jangka masa panjang tindakan kita. Apa yang kita ingin capai dari situasi ini. Kita mungkin puas hati seketika dapat kepas geram dengan memukul anak, tapi kesannya pada anak mungkin sampai bila-bila.
5. CARI HARI HUJUNG MINGGU UNTUK ANDA – Anda juga perlu cuti rehat dari jadi ibu bapa. Bila kali terakhir anda bercuti berdua dengan pasangan? Kalau rumahtangga dan anak-anak kelam kabut tak tahu punca, mungkin sebenarnya ia signal minta anda mohon cuti. Parkirkan anak di rumah ibubapa, ganjarkan diri anda dengan percutian seketika.
6. CARI HOBI/ AKTIVITI SOSIAL – jangan ingat hobi dan bersosial hanya layak untuk orang bujang. Cari semula minat yang anda telah tinggalkan dek kesibukan menjadi ibu bapa. Jangan pencen awal dari main bola, membakar kek, menjahit manik, melukis, berkebun atau apa juga hobi yang membantu anda rehat dan rawat enjin anda.
7. URUS MASA – bangun lambat, kerja tak siap, anak lewat ke sekolah, kerja sekolah anak tak siap – bahan asas yang cukup sempura untuk memulakan hari dengan keadaan tertekan. Susun semula prioriti kehidupan. Senaraikan apa yang perlu di buat sekarang, kemudian dan akan datang mengikut ketetapan yang realistik. Kaji penggunaan masa anda. Buang tabiat membuang masa – layan internet tanpa tujuan, bersembang tak bertopik atau drama yang bersiri-siri.
8. CARI KAWAN – Jangan ingat berkawan maksudnya ‘tak ingat anak bini’. Kawan ada ruang khas dalam hidup. Ia membantu menampung kelompongan yang ada dalam jiwa. Jangan duduk dalam gua dan berharap kita akan hidup gembira.
9. BERKONGSI – setiap ibu bapa ada pengalaman tersendiri. Kongsi masalah anda, kongsi kejayaan anda. Belajar antara satu sama lain membantu membesarkan lensa kita dalam melihat cabaran mendidik anak-anak.
10. UBAH CARA FIKIR – cara fikir kita menentukan emosi dan reaksi kita. Kalau kita rigid dan negatif dalam berfikir, emosi dan tindakan yang datang juga akan negatif. Contohnya anak buat salah, kalau kita fikir “kenapalah anak aku ni tak faham-faham!” – sudah tentu emosi yang akan terbit juga sama rasanya. Adakalanya kita berhenti dan ubah cara fikir “adalah tu yang tak kena, mungkin dia penat agaknya”. Emosi dan tindakan kita sudah tentu berbeza.
11. JANGAN TINGGAL RIADAH FIZIKAL – badan kita satu unit yang sama – emosi, fizikal, spiritual. Terabai satu bahagian, terabailah yang lainnya. Jangan pandang rendah impak bersenam pada emosi anda. Cubalah baru tahu.
12. JAUHI BAHAN TIDAK SIHAT – Pemakanan tidak sihat, kopi berlebihan, bahan terlarang semuanya ada kesan pada keseimbangan tubuh badan kita. Jangan Ambil mudah.
13. DAPATKAN BANTUAN – Sekiranya tekanan anda berpanjangan, melarat dan beri kesan pada fungsi seharian. Jangan bertangguh dapatkan penilaian professional. Kemurungan, anxiety, psikosis, masalah ketagihan dan seangkatan dengannya semuanya bermula dari stress yang kecil.
14. TERIMA HAKIKAT – ANDA TIDAK AKAN JADI IBU BAPA YANG SEMPURNA – Jangan terlalu taksub untuk jadi sempurna dan takut untuk berbuat salah. Sedar kesilapan dan perbaiki keadaan adalah jalan terbaik menjadi ibu bapa yang ‘sempurna’ untuk anak-anak anda. Jangan bandingkan situasi anda dengan ilustrasi palsu drama bersiri dalam media.
15. JANGAN LUPA TUHAN – Anak adalah amanah Allah. Allah jualah yang sumber kekuatan kita semua. Lebih dekat dengan pencipta, lebih dekat yang dicipta pada kita.
Kredit: Dr Rozanizam Zakaria
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.