Berita

Tali Layang-Layang Manja China Ragut Nyawa Kanak-Kanak, Tragedi Ngeri Undang Sebak

Share

Tali layang-layang manja China sekali lagi meragut nyawa apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas lehernya terkelar akibat terjerut tali berbahaya itu dalam satu kejadian menyayat hati di Kukatpally, Telangana pada Isnin.

Memetik laporan NDTV, mangsa dikenali sebagai P Nishvikaditya ketika itu sedang membonceng motosikal bersama bapanya dan seorang ahli keluarga dalam perjalanan pulang ke rumah. Namun, kegembiraan perjalanan itu bertukar tragedi apabila mangsa tiba-tiba menjerit kesakitan sebaik mereka melalui kawasan Vivekananda Nagar.

Ini merupakan kes kedua maut membabitkan tali ‘manja’ China di Telangana tahun ini. Foto: NDTV

Bapanya yang panik segera memberhentikan motosikal sebelum mendapati leher anak kecil itu berlumuran darah, dipercayai akibat terjerut tali layang-layang manja China, sejenis benang nilon atau sintetik yang sangat tajam dan telah diharamkan di beberapa kawasan kerana risikonya yang tinggi.

Duduk Di Hadapan Bapa, Mangsa Terkena Tali Berbahaya

Menurut laporan The Times of India, Ketua Polis ACP Balanagar, P Naresh Reddy memaklumkan siasatan awal mendapati mangsa duduk di bahagian hadapan motosikal yang ditunggang bapanya ketika kejadian berlaku.

“Ketika melalui kawasan Vivekananda Nagar kira-kira jam 4.45 petang, mangsa tiba-tiba menjerit kesakitan sebelum bapanya berhenti dan mendapati leher anaknya berdarah,” katanya.

Keluarga mangsa segera menanggalkan tali berbahaya tersebut dan membawa kanak-kanak itu ke sebuah hospital swasta di Kukatpally untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Namun begitu, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia tidak lama selepas menerima rawatan akibat kecederaan serius dan pendarahan teruk di bahagian leher.

Tali Nipis Tetapi Bertindak Seperti Pisau

Menurut pihak polis, tali layang-layang manja China dipercayai terbang dari kawasan sekitar atau tersangkut pada kenderaan berat sebelum mengenai mangsa yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Walaupun kelihatan nipis dan ringan, tali jenis ini boleh bertindak seperti pisau apabila berada dalam keadaan tegang, terutamanya apabila melibatkan pergerakan laju seperti motosikal atau basikal. Bahagian leher yang sensitif menjadikan kecederaan ini sangat berbahaya dan boleh membawa maut dalam masa singkat.

Gambar Hiasan Kanak-kanak main layang-layang

Kes Kedua Maut Tahun Ini, Polis Buka Siasatan

Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 106(1) Bharatiya Nyaya Sanhita, iaitu kematian akibat kecuaian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gandhi untuk proses bedah siasat.

Lebih membimbangkan, kejadian ini merupakan kes kedua kematian membabitkan tali layang-layang manja China di Telangana tahun ini. Pada 14 Januari lalu, seorang pekerja migran berusia 38 tahun dari Uttar Pradesh turut dilaporkan maut selepas lehernya terjerut tali yang sama ketika menunggang motosikal di daerah Sangareddy.

Pihak berkuasa memaklumkan, ramai lagi mangsa cedera akibat tali layang-layang berbahaya itu sejak awal tahun ini walaupun larangan dan tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan.

Ibu Bapa Jangan Ambil Mudah Soal Keselamatan Anak

Tragedi ini seharusnya menjadi peringatan besar kepada semua ibu bapa bahawa bahaya boleh datang daripada perkara yang kelihatan biasa dan tidak berbahaya. Aktiviti bermain layang-layang, jika tidak dikawal, boleh mengundang risiko serius bukan sahaja kepada kanak-kanak, malah kepada pengguna jalan raya.

Antara langkah pencegahan yang disarankan termasuk mengelakkan anak bermain layang-layang berhampiran jalan raya atau kawasan awam, memastikan tali yang digunakan selamat dan tidak tajam, memantau aktiviti anak di kawasan terbuka serta melaporkan penjualan tali layang-layang manja China yang terlarang kepada pihak berkuasa.

Satu nyawa kecil telah pergi akibat kecuaian yang tidak disengajakan. Tragedi ini diharap dapat membuka mata semua pihak agar keselamatan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan, walau dalam aktiviti yang kelihatan remeh.

BACA LAGI : Tiba-Tiba Jam 3 Pagi Ajak Main Layang-Layang. Jenuh Ayah Fikir, Nasib Dapat Idea  

Sumber : Sinar Harian

Published by
Nana