Teknik Yang Betul Nak Kenal Allah Pada Anak, Bukannya Takutkan Dengan Cerita Berdosa Dan Neraka

Share

Untuk mendidik anak-anak mengenai Islamik, ibu bapa perlu tahu teknik yang betul, bukannya takutkan anak-anak dengan cerita berdosa dan neraka.

Pernah tak kita terdengar atau kadang kita sendiri tercakap, ““Buatlah macam tu, nanti di akhirat Allah bakar dia dengan api neraka” ataupun “Eeee, kenapa cakap macam tu? Berdosa, nanti Allah marah..”.

Pada usia anak enam tahun pertama ini, kita kadangkala, secara tidak sengaja dan tidak menyedari bahawa perbuatan  kita menakut-nakutkan anak-anak dengan Allah,  telah mencipta satu imej negatif tentang Tuhan dalam kotak pemikiran mereka. Ayat-ayat seperti “Nanti Allah marah,” “nanti masuk neraka,” ataupun “Allah benci orang yang sebegini dan sebegini” seolah-olah mem’promosi’kan kebengisan Allah pada kanak-kanak.

Persoalannya di sini, mengapakah kita jarang mempromosikan Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang serta yang Maha Pemberi Rezeki kepada kanak-kanak? Allah hanya diletakkan sebagai penghukum apabila kita telah kehabisan daya untuk mengawal anak-anak kita.

Bagaimanapun sebagai ibu bapa kita harus membina tanggapan yang betul tentang Allah.

5 Tip membina tanggapan yang benar tentang Allah

1.Gunakan sumber yang sahih

Kita boleh menggunakan 99 nama Allah untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada Pencipta mereka. Dengan adanya garis panduan ini, anak-anak akan didedahkan dengan persepsi yang betul tentang Tuhan mereka. Contohnya, “Allah itu Al-Khaliq, Dialah yang cipta tangan, mata, hidung dan mulut kita. Hebatkan Allah, ciptakan kita ni cantik-cantik?”

2.Ingatkan ganjaran Allah

Setiap kali anak-anak melakukan kebaikan, ingatkan tentang ganjaran yang bakal mereka terima di akhirat kelak. Contohnya, “MasyaAllah, hari ni Afiq solat dengan mama, lepas tu tolong mama susun pinggan. Mesti Allah suka tengok Afiq buat baik dengan mama dan sediakan Afiq pahala banyak-banyak di akhirat nanti!”

3.Imbangi kisah teladan

Seimbangkan kisah-kisah azab dan siksa yang menjadi pembalasan pada orang yang fasik dengan kisah-kisah ganjaran yang Allah berikan pada orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kajian mendapati bahawa kanak-kanak mempunyai tanggapan negatif terhadap penghukum. Jadi, kita mestilah berhati-hati dalam membentuk persepsi yang betul terhadap Allah.

4.Kaitkan kejayaan mereka dengan rahmat Allah

Contohnya apabila anak kita mencapai satu kejayaan, kita boleh katakan pada mereka, “Alhamdulillah, Aiman dah usaha sungguh-sungguh. Mesti Allah nampak Aiman usaha dan Allah berikan keputusan yang baik untuk Aiman.

5.Beritahu kanak-kanak yang Allah sentiasa sayangkan mereka

Sebagaimana anak-anak perlu tahu yang mereka disayangi oleh ibubapa, pasti mereka merasa lebih selamat dan terhibur apabila mereka mengetahui yang mereka turut disayangi oleh Allah, setiap masa dan ketika.

 

 

IKLAN