“Buaian tak bagus, nanti otak anak bergegar”. Ya, penggunaan buaian memang boleh menyebabkan risiko “Shaken Baby Syndrome” ataupun bahasa kampungnya “otak bergegar” JIKA kepala bayi terhentak di lantai ataupun membuai terlampau laju sehingga leher bayi yang masih belum kuat itu terangkat dari atas ke bawah.
Menurut Terapis Cara Kerja, Maryam Jamadi isu tentang keburukan buaian terlampau banyak jika disebabkan kecuaian:
– Kes “Shaken Baby Syndrome”
– Kes bayi tercampak
– Kes buaian terputus dan bayi terjatuh
– Kes bayi turun sendiri buaian
– Kes bayi tersedak susu dan lemas
– Kes rangka buaian hempap bayi dll
Kalau nak listkan memang banyak dan bagi saya, kalau dah namanya CUAI apa-apa benda pun bahaya untuk bayi. Selimut pun bahaya untuk bayi sebab boleh menyebabkan risiko lemas.
Jadi, saya nak ceritakan apa yang orang tak tahu tentang kegunaan buaian untuk bayi.
Setiap anak adalah berbeza dan mempunyai keperluan sensori yang berbeza. Ada bayi yang tepuk-tepuk sikit dah tidur, malah ada bayi yang boleh tertidur dengan sendiri! Salah satu impian semua mak ayah termasuk saya. Tetapi, ada bayi yang buatlah macam-macam cara dari tepuk berjam-jam, menyanyi atau selawat, bagi puting tiruan, usap-usap kepala dan sebagainya selama berjam-jam tetapi anak tetap menangis.
Walaupun mata dah merah mengantuk tetapi tetap tak boleh tidur sampaikan mak ayah tak boleh tidur malam sebab “mengerjakan” bayi. Cara terakhir adalah dengan cara berdukung sambil didodoi, baru anak tidur.
Bila dah dodoi, masalah lain pula timbul. Anak menangis bila berhenti dodoi. Adakah sebab mak ayah tak ada bakat menidurkan bayi? Tidak, mungkin bayi anda dalam kategori “high need” disebabkan keperluan sensori, perhatian, sosial dan fizikal lebih dari bayi lain. Jangan risau, ia juga salah tanda bayi sangat peka dengan persekitaran dan bakal mempunyai EQ yang tinggi. (Nanti saya kongsikan tentang ini dengan lebih lanjut).
Mungkin ada yang akan kata:
“Alah, letak je dia dalam baby cot tu jangan manjakan sangat. Seminggu dua oklah tu”
Orang yang mengalaminya sahaja memahami betapa “perlunya” buaian dalam kehidupan anak. Sama juga dengan kes puting tiruan (topik lain).
Anak A, cara A. Anak B, cara B. Kalau kita dikurniakan anak “senang jaga” bersyukurlah dan jangan sesekali mengherdik mak ayah lain yang mempunyai anak “susah jaga” sebab banyak dosalah, banyak buat jahatlah dan sebagainya.
Bayi bawah umur 6 bulan tak pandai menipu ataupun manipulasi mak ayah lagi. Jika dia menangis, mesti ada yang tak cukup ataupun ada sesuatu yang dia nak beritahu. Kalau dia nak didodoi ataupun dibuai, memang itulah keperluannya. Menangis lama semasa anak bawah umur 6 bulan boleh memberi kesan negatif dalam perkembangan bayi.
Ads
KEBAIKAN BUAIAN UNTUK PERKEMBANGAN BAYI
Pendapat saya, tak salah guna buaian asalkan selamat dan sentiasa dipantau kerana penggunaan buaian adalah salah satu cara untuk merangsang deria vestibular (keseimbangan dan pergerakan) yang penting untuk skil motor kasar anak. Syaratnya tak boleh OVERDOSE sahaja (Baca sampai habis). Kelebihan buaian:
MENENANGKAN BAYI
Dulu semasa bayi dalam rahim, 9 bulan bayi dalam kedudukan terawang-awangan. Kejap kepada di atas, kejap kepala di bawah dan berpusing sehinggalah saat bayi keluar dari rahim. Graviti di dunia nyata ini sangat berlainan bagi bayi umpama kita pergi ke planet lain, pasti kucar kacir dan ada masa rindukan graviti di bumi sebab susah nak bergerak.
Ada bayi yang cepat “move on”, keluar-keluar terus elok sahaja dapat sesuaikan diri dengan “planet” baru, ada bayi perlukan masa untuk “move on” sebab itu asyik nak berbuai macam dalam rahim ibu. Buaian memang terbukti boleh menenangkan bayi sebab mimik seakan-akan dalam rahim ibu buat bayi terkenang-kenang kenangan dengan ibu. (Rindu pula rasa)
DERIA PERGERAKAN DAN KESEIMBANGAN
Kedudukan berbuai tak kiralah dengan menggunakan buaian tradisional ataupun buaian moden boleh memberikan bayi perasaan bergerak dan belajar untuk imbangkan badan setiap kali buaian bergerak.
PERKEMBANGAN MOTOR KASAR
Kalau nak tahu, sebenarnya sejarah buaian gantung menggunakan kain sarong adalah berasal dari nenek moyang kita (South East Asia) dan memang terbukti berkesan boleh membantu menenangkan bayi dan bagus untuk merangsang perkembangan motor kasar.
Ads
Kini di barat pun dah banyak guna buaian untuk menenangkan bayi, sebab itu sekarang ada banyak produk buaian seperti rocker, bouncer dan sebagainya di pasaran antarabangsa. Jangan terkejut jika saya kata, buaian juga adalah salah satu alat terapi untuk anak mempunyai masalah perkembangan kanak-kanak (Rugi dulu nenek moyang kita tak “patent”kan )
Tetapi masalah yang timbul sekarang bila banyak penyalahgunaan buaian. Lepas itu nak kata
“Orang dulu ok je semua anak-anak guna buaian, jadi orang jugak. Sekarang ini semua benda tak boleh sebab ikut barat sangat”
Bawah ini saya bandingkan ya DULU VS SEKARANG:
KEDUDUKAN BUAIAN
Dulu mak nenek kita guna buaian gantung dari siling yang statik dan kukuh, kalau buaian ada dekat ruang tamu di situ sahajalah anak akan dibuai. Kalau pergi tempat lain, anak dah biasa hanya “dibuai” guna henjutan kaki dan biasanya akan berhenti guna buaian bila anak dah pandai memanjat.
Tetapi di zaman moden, buaian boleh bawa di mana-mana sebab ada roda, jadi anak dah dimanjakan dimana-mana boleh dibuai. Dapur boleh, bilik pun boleh menyebabkan bayi menjadi terlalu bergantung kepada buaian sehinggakan pergi mana-mana kena bawa buaian.
Ads
DURASI ANAK BERBUAI
Dulu mak nenek kita buai anak sambil duduk disebelah anak sampai anak tidur. Bila anak dah tidur, berhenti berbuai.
Zaman moden mak dah tak perlu duduk sebelah sebab dah ada buaian elektrik. Anak dah tidur berejam pun masih dalam keadaan berbuai. Menyebabkan “overdose” rangsangan vestibular. (Risiko anak mengalami masalah keseimbangan badan dan perkembangan motor kasar di masa akan datang).
“ALARM CLOCK”
Kalau dulu buai berhenti dan anak terbangun pasti anak akan menangis umpama “alarm clock”. Maka, mak nenek kita akan terus berlari dapatkan anak sebab risau anak melasak dalam buaian.
Masalah sekarang bila guna buaian elektrik, dari anak belum tidur sampailah bangun tidur dalam keadaan sama berbuai menyebabkan “alarm clock” anak tak berfungsi menyebabkan mak ayah tak perasan anak dah terjaga dan melasak dalam buaian sampai terjatuh.
Nak bandingkan ada banyak lagi point, tetapi pokok pangkal masalah buaian adalah cara penggunaannya. Kalau nak guna tak ada masalah, tetapi pastikan selamat. Nasihat saya:
CARA GUNA BUAIAN DENGAN BETUL
Jangan guna “overdose”, maksimum 2 jam sahaja sehari supaya anak banyak masa “tummy time” di lantai. Guna buaian bagus, tapi kalau 12 jam sehari anak berbuai tak belajar untuk kuatkan otot-otot untuk meniarap dan merangkak tak elok juga.
Elakkan guna buaian waktu malam untuk elakkan risiko anak lemas di dalam buaian tanpa kita sedar. Jadikan rutin waktu malam tidur di tilam.
Kalau nak guna buaian tradisional, cari rangka yang paling stabil (ada 4 point). Kalau tak ada roda lagi bagus.
Letakkan lapik atau tilam lembut di bawah dan tepi buaian untuk elakkan kepala anak terhantuk di lantai.
Sentiasa “update” ketinggian buaian dan lantai.
Elakkan membuai bayi semasa marah atau stress sebab boleh menyebabkan risiko terbuai terlalu laju bila anak menangis.
Elakkan letak bantal, selimut, anak patung dalam buaian semasa anak belum reti mencapai barang sebab risiko anak lemas. Cukup sekadar mainan gantung sahaja.
Selain daripada berbuai atas dan bawah, boleh pelbagaikan pergerakan kanan, kiri, depan dan belakang.
Elakkan bergantung kepada buaian elektrik dan tinggalkan bayi tanpa pengawasan.
Kalau yang nak guna cara tradisional WAJIB guna tips di atas. Kalau yang belum ada buaian dan memerlukan buaian, saya lebih sarankan guna “bouncer” moden yang lebih selamat untuk membantu bayi. Cara guna sama seperti dia atas, maksimum 2 jam sahaja sehari.
Kesimpulannya, guna buaian boleh jika guna dengan cara yang betul dan elakkan terlalu bergantung dengan buaian. Penting juga ajar bayi untuk “move on” dan berpijak di dunia yang nyata.
Baby walker hanya satu pembaziran, tak bantu anak berjalan, bahaya untuk bayi. Baby walker atau alat bantu jalan bayi sering kali menjadi pilihan ibu bapa yang ingin mempercepatkan proses anak mereka untuk mula berjalan.
Baby Walker Hanya Satu Pembaziran, Tak Bantu Anak Berjalan, Bahaya Untuk Bayi
Memetik Public Health Malaysia baby walker tidak memberi manfaat kepada perkembangan fizikal kanak kanak. Memang comel melihat bayi berlari ke sana sini dengan baby walker hakikatnya ia tidak membantu kemahiran bayi untuk berjalan.
Kemahiran berjalan bukan sahaja melibatkan pergerakan kaki, tetapi apa yang lebih penting adalah skill untuk menolak badan untuk berdiri, keseimbangan tubuh dan koordinasi.
Selain itu, risiko kecederaan juga tinggi malah terdapat kes serius melibatkan kecederaan tengkuk dan kepala apabila kanak kanak jatuh dari tangga dan terjunam ke kolam .
Sekiranya anak anda tidak mengalami sebarang kecederaan akibat penggunaan walker, jangan sangka ia selamat. Ribuan kes kecederaan termasuk melecur dan tersepit dilaporkan setiap tahun.
Di Canada, Baby Walker telah diharamkan sepenuhnya. Langkah ini juga bakal diikut oleh US setelah mendapat desakan persatuan pakar kanak kanak disana.
Infomasi ini mungkin bermanfaat untuk ibu yang sedang merancang. Mungkin bajet untuk baby walker boleh disalurkan untuk membeli Car Seat yang lebih bermanfaat.
Ini beberapa sebab mengapa baby walker mungkin tidak sepatutnya berada di senarai keperluan ibu bapa.
1. Menyebabkan Kelewatan Perkembangan Motor
Walaupun baby walker nampaknya membantu bayi berjalan lebih awal, kajian menunjukkan sebaliknya. Penggunaan baby walker boleh menyebabkan kelewatan perkembangan motor bayi. Ini kerana alat ini membolehkan bayi bergerak tanpa mengembangkan otot dan koordinasi yang diperlukan untuk berjalan dengan betul. Bayi yang sering menggunakan walker cenderung untuk mula berjalan lebih lambat berbanding bayi yang tidak menggunakan alat ini.
2. Risiko Keselamatan yang Tinggi
Baby walker telah dikaitkan dengan pelbagai kecederaan, terutamanya apabila digunakan di rumah yang mempunyai tangga, permukaan yang tidak rata, atau objek tajam. Bayi dalam walker boleh bergerak lebih pantas daripada yang mampu mereka kawal, yang boleh membawa kepada kemalangan serius seperti jatuh atau terlanggar objek. Walaupun terdapat standard keselamatan yang diperkenalkan, risiko masih wujud, terutamanya jika pengawasan yang mencukupi tidak diberikan.
3. Mengganggu Postur Badan
Penggunaan baby walker boleh mengganggu postur semulajadi bayi. Dalam walker, bayi cenderung untuk bersandar ke hadapan atau ke belakang, yang boleh menyebabkan masalah postur jangka panjang. Ini juga boleh menjejaskan perkembangan tulang belakang dan kaki bayi.
4. Alternatif yang Lebih Baik
Daripada menggunakan baby walker, ibu bapa boleh mempertimbangkan alternatif yang lebih selamat dan berkesan. Contohnya, membiarkan bayi merangkak dan berdiri secara semula jadi di lantai atau menggunakan mainan dorong (push toys) yang stabil dan membolehkan bayi mengawal pergerakan mereka sendiri. Ini membantu perkembangan otot dan koordinasi yang lebih baik, serta mengurangkan risiko kecederaan.
5. Meningkatkan Kemahiran Sosial dan Kognitif
Apabila bayi bergerak bebas tanpa bantuan walker, mereka lebih cenderung untuk berinteraksi dengan persekitaran mereka. Ini boleh membantu dalam perkembangan kemahiran sosial dan kognitif mereka. Mereka akan belajar mengenal pasti objek, memahami ruang, dan berinteraksi dengan orang lain dengan lebih baik.
Kesimpulannya walaupun baby walker mungkin kelihatan seperti alat yang berguna, ia sebenarnya boleh membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Daripada bergantung kepada alat ini, ibu bapa harus mempertimbangkan untuk membiarkan bayi mereka belajar berjalan secara semulajadi, sambil memberi sokongan dan pengawasan yang mencukupi.
Dengan ini, perkembangan motor dan keselamatan bayi dapat dipastikan dengan lebih baik, dan ibu bapa dapat mengelakkan pembaziran pada alat yang tidak diperlukan.
Bila bayi lahir, setiap ibu bapa pasti mengharapkan anak yang sempurna anggota dan sihat tubuh badan. Tapi, kadang-kadang ujian datang dalam bentuk yang kita tak sangka. Salah satunya bila doktor maklumkan bayi ada Congenital Clubfoot atau dalam bahasa mudahnya, kaki bengkok sejak lahir.
Clubfoot atau kaki abnormal adalah kelainan bentuk kaki yang menyerupai tongkat golf. Ia adalah keadaan bawaan yang biasa berlaku kira-kira satu dalam setiap seribu kelahiran bayi.
Ramai ibu ayah terus panik, risau kalau anak tak dapat berjalan atau perlu pembedahan besar. Tapi hakikatnya, keadaan ini boleh dirawat. Malah, ramai bayi dengan Congenital Clubfoot membesar seperti kanak-kanak lain bila dapat rawatan awal dan betul.
Apa Itu Congenital Clubfoot?
Congenital Clubfoot ialah keadaan di mana kaki bayi membengkok ke dalam atau ke bawah ketika dilahirkan. Ia bukan berpunca daripada posisi tidur ibu semasa hamil atau kekurangan nutrisi. Dalam kebanyakan kes, ia terjadi kerana perkembangan otot, tulang dan tendon di bahagian kaki tidak seimbang semasa bayi masih dalam kandungan.
Menurut pakar ortopedik, keadaan ini berlaku kira-kira 1 daripada 1,000 kelahiran, dan lebih kerap pada bayi lelaki berbanding perempuan.
Dalam sesetengah kes, ia hanya melibatkan satu kaki (unilateral), tetapi ada juga yang melibatkan kedua-dua kaki (bilateral).
Rakyat Asia Lebih Berisiko Tinggi
Dianggarkan setiap tahun lebih 100,000 bayi di seluruh dunia lahir dengan Congenital Clubfoot. Masyarakat Asia mempunyai risiko lebih tinggi tiga kes bagi setiap seribu kelahiran, berbanding satu dalam seribu bagi masyarakat Caucasian. Ia juga lebih kerap berlaku pada bayi perempuan dan dalam 50% kes, melibatkan kedua-dua kaki.
Jika salah seorang ibu atau bapa mempunyai kondisi ini, bayi mereka mempunyai risiko 3–4% untuk mewarisinya. Namun, jika kedua-duanya mempunyai kondisi sama, risiko meningkat kepada 30%.
Beberapa teori mengaitkan Clubfoot dengan faktor genetik, masalah saraf otot, jangkitan virus, atau ruang rahim yang sempit. Namun, punca sebenar masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.
Tanda-Tanda Clubfoot
Bagi bayi baru lahir, tanda-tanda ini biasanya jelas dapat dilihat sejurus selepas kelahiran:
Kaki nampak berpusing ke dalam dan ke bawah
Tumit kaki kecil dan sedikit menegak
Otot betis kelihatan lebih kecil pada kaki yang terlibat
Bila cuba luruskan kaki, terasa tegang dan sukar diluruskan sepenuhnya
Walaupun nampak menakutkan, kaki bayi tidak sakit dan mereka masih boleh menendang seperti biasa. Yang penting ialah rawatan awal untuk bantu kaki kembali ke posisi normal.
Rawatan Moden: Teknik Ponseti
Kredit foto: https://familydoctor.org/condition/clubfoot/
Rawatan paling berkesan untuk Congenital Clubfoot ialah kaedah Ponseti, diperkenalkan oleh Dr. Ignacio Ponseti. Ia tidak memerlukan pembedahan besar, hanya menggunakan teknik casting (balutan plaster khas) dan bracing (pemakaian kasut khas selepas rawatan).
Rawatan boleh dimulakan seawal minggu kedua kelahiran. Hasil terbaik dicapai dalam tempoh sembilan bulan pertama kelahiran. Proses rawatan melibatkan pembetulan empat jenis abnormaliti kaki secara berperingkat mengikut urutan CAVE Cavus, Adduction, Varus dan Equinus.
Congenital Clubfoot: Kecacatan Kaki Bayi yang Boleh Diperbetulkan – Dr Ahmad Mahyuddin, pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang
Tenotomy: Prosedur Tambahan
Dalam sesetengah kes, prosedur tenotomy perlu dilakukan untuk melonggarkan urat keting (tendon Achilles) yang tegang. Di Malaysia, ia biasanya dilakukan dengan bius penuh, melibatkan torehan kecil di bahagian belakang urat keting. Selepas prosedur, kaki dipasang simen selama tiga minggu untuk memastikan posisi betul dikekalkan.
Dennis-Brown Shoe & Bracing
Sebaik sahaja simen terakhir dibuka, kedua-dua kaki bayi akan dipasangkan brace bagi memastikan pembetulan kekal sehingga tulang dan otot matang. Brace ini terdiri daripada kasut khas (Dennis-Brown shoes) dan batang penyambung.
Untuk tiga bulan pertama, ia perlu dipakai 24 jam setiap hari. Selepas itu, masa dikurangkan kepada 16 jam sehari sehingga kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun. Walaupun mencabar, ia penting untuk mengelakkan keadaan berulang semula.
Cabaran Emosi Ibu Bapa
Ibu yang baru bersalin selalunya masih dalam fasa penyesuaian, ditambah pula bila tahu anak perlu rawatan mingguan. Memang boleh rasa lemah dan takut. Tapi penting untuk ibu ayah tahu bahawa Congenital Clubfoot bukan kecacatan kekal jika dirawat dengan betul.
Anak-anak dengan clubfoot boleh berjalan, berlari, malah bersukan seperti kanak-kanak lain. Ramai atlet terkenal dunia termasuk pemain bola dan pelumba basikal profesional dilahirkan dengan keadaan ini!
Rawatan Tradisional & Kepercayaan Orang Lama
Sebelum rawatan moden diperkenalkan, masyarakat kampung menggunakan urutan bayi dengan minyak panas atau herba seperti minyak kelapa dan minyak gamat. Walaupun niatnya baik, pakar menasihatkan agar urutan hanya dilakukan oleh tukang urut bayi bertauliah, dan selepas nasihat doktor. Tulang bayi sangat lembut dan boleh cedera jika diurut kuat.
Urut lembut, ikut arah semula jadi kaki
Elak “patahkan” kaki untuk betulkan bentuk
Gunakan minyak suam, bukan panas
Hentikan jika bayi menangis atau nampak tidak selesa
Tips Ibu Bapa Untuk Bayi Dengan Clubfoot
Mulakan rawatan awal – lebih cepat dirawat, lebih mudah bentuk kaki diperbetulkan
Patuh janji temu doktor – jangan terlepas sesi casting atau brace
Jaga kebersihan kaki & plaster – elak jangkitan kulit
Sokong emosi pasangan – hadapi proses ini bersama
Elak rawatan sembarangan – pastikan sebarang urutan dilakukan oleh pakar bayi
Clubfoot Boleh Dirawat, Bukan Cacat Kekal
Congenital Clubfoot bukan pengakhiran dunia buat anak kecil. Ia hanya permulaan kepada perjalanan kecil yang perlukan perhatian, kasih sayang, dan kesabaran. Dengan rawatan moden dan semangat ibu ayah yang kuat, anak tetap mampu membesar seperti kanak-kanak lain berlari, melompat dan menari dengan kaki yang kuat dan sihat.
Ingat, kasih sayang ibu ayah adalah terapi paling berkesan untuk setiap langkah pertama anak.
Ingin tahu cara untuk tingkatkan daya imuniti bayi bagi mengelak sebarang jangkitan penyakit? Semua ibu bapa mahukan kesihatan optimum untuk anak-anak mereka, namun pada masa yang sama, ramai yang tidak mengetahui system pertahanan badan (imuniti) yang kuat mampu melawan sebarang jangkitan penyakit. Bayi mempunyai pertahanan imunologi sejak lahir, namun ia belum cukup matang dan akan terus diperkuat sehingga usia empat atau lima tahun.
Jom kita ketahui 5 info untuk meningkatkan daya imuniti anak anda.
1.Imunisasi
Imunisasi berkesan untuk melindungi badan si manja sebelum diserang penyakit yang boleh membawa maut. Pemvaksinan boleh dilakukan ketika si manja sihat mengikut ‘Jadual Imunisasi Disyorkan untuk Kanak-kanak’ oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Melalui vaksin, ia bertindak dengan merangsang tindak balas imun secara tiruan terhadap antigen tertentu dalam badan anak anda. Seterusnya mengeluarkan antibodi untuk menentang virus untuk melawan jangkitan penyakit.
2.Susu ibu
Ia adalah ‘cecair emas’. Ini boleh menguatkan system imun si manja. Susu pertama bayi iaitu kolostrum, kaya dengan antioksida dalam bentuk vitamin E dan beta karotena yang melindungi bayi daripada serangan kuman. Juga ia mengandungi pelbagai faktor perlindungan yang mengurangkan risiko antaranya cirit-birit, jangkitan telinga, dan jangkitan salur pernafasan akut yang lain. Pemberian susu ibu secara eksklusif sepanjang enam bulan pertama adalah yang terbaik dan hendaklah diteruskan sehingga dua tahun.
3.Persekitaran sihat dan ceria
Elakkan membawa bayi dibawah usia enam bulan di kawasan yang sesak dengan orang ramai dan mereka yang tidak sihat. Namun pastikan persekitaran selamat sebelum membawa bayi ke taman permainan untuk melakukan aktiviti fizikal seperti senaman, berjoging atau berenang yang boleh membantu meningkatkan kecekapan fungsi imun. Paling penting, jangan dedahkan anak-anak kepada asap rokok kerana ia mengandungi toksin yang boleh melemahkan sistem imun dan merosakkan sel-sel imun anak anda yang masih belum matang.
4.Emosi positif
Bayi yang menghadapi tekanan mampu mengurangkan keupayaan sistem imun untuk menentang jangkitan yang menyebabkan mudah dijangkiti penyakit. Oleh itu, wujudkan emosi yang positif supaya anak gembira. Lakukan aktiviti bersama seperti membaca, mewarna, melukis dan bermain bersama anak-anak anda. Suasana seperti ini boleh membantu menguatkan sistem imun kerana ia membantu mengurangkan hormon tekanan dan menambah sel imun.
5.Pemakanan yang seimbang.
Apa yang anak anda makan boleh mempengaruhi sistem imunnya. Jadi hidanglah makanan yang berzat untuknya membesar dengan system pertahanan badan yang kuat. Hasil kajian menunjukkan risiko penyakit berjangkit adalah lebih tinggi di kalangan kanak-kanak terutamanya bayi yang kekurangan zat makanan. Jadi sediakan diet yang lengkap dan seimbang untuk anak anda. Rujuk kepada Piramid Panduan Makanan yang dapat membantu menjamin sistem imun si manja berfungsi dengan baik.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berita Bung Moktar meninggal dunia mengejutkan negara. Ketahui perjalanan hidup, keluarga, legasi politik dan sisi peribadi tokoh Sabah ini yang dikenang ramai.