Selepas Jep Sepahtu memuat naik beberapa keping gambar anaknya kelmarin, nampaknya ramai betul yang geram dengan Dariya Inara. Ada yang memuji kecomelannya dan tak kurang juga yang geram dengan pipi tembam tu!
Gembira dan bersyukur dengan kehadiran bayi perempuan kali ini, semalam Sari Yanti telah meluahkan rasa syukur dan terima kasihnya kepada suami, ahli keluarga dan rakan-rakan yang mendoakannya.
Paling terharu status yang dimuat naik oleh Sari Yanti juga benar-benar menunjukkan pengorbanan besar seorang ibu untuk melahirkan seorang zuriat.
Lama betul kakak dalam labor room kali ni. Terasa hampir terputus nafas kakak. Alhamdulillah masih ada kesempatan untuk bersama dengan yang kakak sayang. Dan menjadi yang lebih baik. Insyaallah.
Dengan perkongsian pengalaman Sari Yanti ini jelas menunjukkan kuatnya seorang wanita bergelar ibu untuk melahirkan seorang khalifah di atas muka bumi ini.
Sari Yanti juga turut berkongsi sepanjang di labour room juga, Jep sentiasa ada bersamanya dengan memberi semangat, doa yang tak putus-putus walaupun perasaan bimbang, panik sebak semua ada dalam diri Jep.
Kelahiran Dariya kali ini juga lebih awal dari tarikh sepatutnya yang dijangka pada hari pertama Ramadan. Tapi tak sangka baby nak keluar awal pada usia kandungan 37 minggu.
Ads
Dengan pengalaman ini, Sari Yanti berharap ia akan menjadi momen yang sangat indah buatnya bersama suami.
Sumber: instagram Sari Yanti & dariyainaraofficial
Siapa sangka, kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dari Bijie, Wilayah Guizhou, China kini mampu berjalan dengan stabil selepas menjalani rawatan pemulihan akibat displasia pinggul kanak-kanak atau Developmental Dysplasia of the Hip (DDH) sejak usia setahun.
Sebelum ini, kanak-kanak yang dikenali sebagai Tiantian sering jatuh ketika berjalan. Cara jalannya kelihatan bertongkat-tongkat dengan badan bergoyang ke kiri dan kanan, berbeza daripada kanak-kanak seusianya. Keadaan itu bukan sahaja membimbangkan ibu bapanya, malah mengundang pandangan dan ejekan orang sekeliling apabila berada di tempat awam.
Ibunya, Wu, membawa Tiantian mendapatkan rawatan di tiga buah hospital di ibu negeri Guizhou, Guiyang sebelum akhirnya anaknya didiagnosis mengalami displasia pinggul kanak-kanak. Menurut doktor, sendi pinggul Tiantian tidak terbentuk dengan sempurna, menyebabkan pergerakannya tidak stabil dan sukar untuk berjalan seperti kanak-kanak lain.
Doktor di hospital tersebut mencadangkan agar Tiantian menjalani pembedahan pada usia tiga tahun bagi membuang sebahagian tulang pinggul. Namun, Wu dan suaminya tidak berpuas hati dan merasakan masih ada pilihan rawatan lain yang kurang invasif serta lebih sesuai dengan usia anak mereka.
Pasangan ini kemudian membawa Tiantian ke sebuah hospital terkemuka di Nanjing, Wilayah Jiangsu. Di sana, doktor mencadangkan rawatan terapi manipulatif dan pemulihan berterusan tanpa pembedahan buat masa itu, memandangkan usia Tiantian masih kecil dan rawatan awal masih berpotensi memberi kesan positif.
Sejak itu, Wu memainkan peranan besar dalam membantu proses pemulihan anaknya yang mengalami displasia pinggul kanak-kanak. Dia menggalakkan Tiantian untuk berjalan sebanyak mungkin, berdiri sendiri setiap kali terjatuh dan tidak terlalu bergantung pada bantuan orang dewasa.
Bagi menaikkan semangat anak kecil itu, Wu memberi ganjaran berupa mainan kecil setiap kali Tiantian menunjukkan kemajuan walaupun sedikit. Pendekatan ini membantu membina keyakinan diri Tiantian secara perlahan-lahan.
Wu turut menggunakan kaedah praktikal dan kreatif untuk latihan harian. Antaranya, dia berjalan dalam keadaan membongkok di hadapan Tiantian supaya anaknya berpaut pada bahagian belakangnya sebagai sokongan ketika belajar berjalan.
Selain itu, mereka sekeluarga turut bermain “permainan itik”, di mana Tiantian menjadi anak itik, Wu sebagai ibu itik, manakala abang dan kakak Tiantian turut serta. Permainan ini bukan sahaja melatih otot pinggul dan kaki, malah menjadikan sesi terapi lebih menyeronokkan untuk kanak-kanak seusia Tiantian yang berdepan displasia pinggul kanak-kanak.
Latihan pengukuhan otot dilakukan setiap hari tanpa gagal, termasuk ketika cuti Tahun Baru Cina, menunjukkan komitmen tinggi keluarga ini terhadap proses pemulihan anak mereka.
Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan perkembangan Tiantian dari masa ke masa sehingga akhirnya pada bulan September, dia tidak lagi perlu memakai brace ortopedik.
Wu mengakui, sepanjang tempoh itu ramai yang memandang dan mengejek cara berjalan anaknya di tempat awam. Namun dia memilih untuk kekal optimis dan memberikan kasih sayang sepenuhnya kepada Tiantian tanpa menghiraukan kata-kata negatif.
“Ramai orang kata saya ibu yang hebat, tapi sebenarnya saya hanya melakukan apa yang seorang ibu sepatutnya lakukan,” katanya dengan penuh rendah hati.
Pakar menegaskan bahawa kanak-kanak yang menunjukkan simptom displasia pinggul kanak-kanak perlu menjalani pemeriksaan seawal mungkin. Rawatan awal mampu mengelakkan komplikasi jangka panjang seperti masalah berjalan kronik dan kesakitan sendi apabila dewasa kelak.
Secara umum, proses pemulihan DDH boleh mengambil masa sekitar setahun, bergantung kepada tahap keseriusan dan konsistensi rawatan yang dijalankan oleh ibu bapa serta sokongan profesional kesihatan.
Perkongsian ini menjadi peringatan penting buat ibu bapa agar tidak memandang remeh sebarang perubahan pada cara berjalan atau pergerakan anak. Setiap usaha kecil, jika dilakukan dengan penuh kesabaran dan kasih sayang, mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan si kecil.
Kebanyakkan bayi yang menyusu sepenuhnya dengan susu ibu akan menyusu sekurang-kurangnya lapan hingga 12 kali sehari. Bergantung kepada bayi, ada yang menyusu dengan lebih kerap pada siang hari. Ada juga yang menyusu dengan lebih lama pada waktu malam.
Kebiassaanya bayi menyusu 15-20 minit setiap kali tempoh penyusuan. Ini hanyalah anggaran penyusuan yang biasa dilakukan bayi di awal kelahiran. Corak penyusuan bayi berbeza.
Jika berat badan bayi berada di bawah paras yang sepatutnya, ibu bapa harus menganalisa semula corak pembuangan bayi, kekerapan penyusuan dan pelengkap yang betul bagi memastikan dia mendapat susu secukupnya. Jika kesemuanya baik. Ibu bapa tidak perlu risau.
Ibu bapa boleh mempraktikkan cara-cara berikut bagi meningkatkan kembali berat badannya. Perlu diingatkan bahawa pengambilan makanan yang berlemak oleh ibu tidak akan mempengaruhi berat badan bayi. Ikuti Perkongsian dari pakar Laktasi, Puan Ratzuraini Rahim;
Menyusu sekurang-kurangnya 2 jam sekali sepanjang hari dan pada waktu malam. Pastikan bayi menyusu dengan lebih kerap pada waktu malam kerana pada ketika itu, paras hormone prolactin adalah lebih tinggi dan penghasilan susu akhir (hindmilk) yang kaya dengan lemak dapat membantu pertambahan berat bayi
Jangan tukar payu dara dengan segera sebelum bayi mendapatkan hindmilk yang kaya dengan lemak penting untuk tumbesaran bayi. Bagi bayi yang mempunyai masalah kurang berat badan, puan boleh mengepam dahulu susu awal (foremilk) dan disimpan supaya semasa sesi penyusuan, bayi dapat lebih banyak hindmilk.
Banyakkan sentuhan kulit ke kulit apabila menyusukan bayi. Ia dapat menghilangkan stress dan mengeratkan hubungan anda berdua. Sentuhan kulit ke kulit juga dapat membantu meningkatkan berat badan bayi. Gunakan penggendong bayi untuk memudahkan sesi sentuhan kulit ke kulit.
Urut payudara perlahan-lahan ketika menyusu ia dapat membantu hindmilk yang kaya dengan kalori dikeluarkan dengan lebih efektif. Gunakan sebelah tangan untuk melakukan urutan perlahan-lahan dengan pergerakan ke bawah agar susu mengalir ke ductus dan seterusnya ke puting.
Sumber: Majalah Pa&Ma
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bertungku memang sinonim dengan rawatan berpantang selepas ibu melahirkan bayinya. Usai tempoh itu, anda sangat digalakkan untuk terus mengamalkan rutin bertungku. Sebenarnya, mana-mana wanita yang tidak berpantang boleh mengamalkan rutin bertungku sama seperti yang dijalani dalam tempoh berpantang.
Amalan ini sangat bagus untuk sesiapa sahaja terutamanya golongan yang sering mengalami masalah haid yang tidak teratur mahupun angin dalam badan.
Semasa di dalam pantang, penggunaan tungku adalah bertujuan untuk melancarkan darah, mengecutkan rahim dan menaikkan rahim. Penggunaannya di bahagian perut pula berperanan untuk mengempiskan perut di samping menyusutkan berat badan. Bertungku juga boleh digunakan untuk melancarkan darah beku yang tidak habis keluar.
Jenis-jenis tungku
Terdapat tiga jenis tungku yang biasa digunakan dalam amalan bertungku. Salah satu daripadanya ialah tungku besi. Dalam pada itu, tungku ini ada yang berbentuk bulat. Ada juga yang lonjong. Jika berbentuk bulat, ia agak sukar untuk menungku bahagian perut. Oleh sebab itulah, kebanyakan orang lebih gemar menggunakan tungku berbentuk lonjong.
Amalan bertungku melibatkan bahagian perut, ulu hati, dada (untuk lancarkan pengeluaran susu ibu), bawah lengan, belikat, pinggang, paha dan tapak kaki. Dalam pada itu, diingatkan bahawa semasa bertungku, tungku tidak boleh diletakkan di atas pusat atau perut. Cara bertungku untuk menaikkan peranakan pula perlu dibuat daripada bawah perut. Ia mesti ditolak dari bawah ke atas. Tekanan yang dibuat mesti mengikut arah jam.
Sementara itu, tungku batu pula biasanya menggunakan batu sungai. Tungku jenis ini sama cara penggunaannya dengan tungku besi. Namun, kelebihannya ialah ia kurang menyakitkan apabila digunakan dengan cara yang betul semasa bertungku.
Kaedah pemanasan tungku besi dan batu
Kaedah pemanasan tungku besi dan batu adalah sama. Ia perlu memakan masa selama 20 minit di atas api dapur gas. Diingatkan supaya hanya gunakan api yang perlahan supaya tahap kepanasan yang meliputi tungku besi dan batu adalah sama dan sekata. Jika api yang kuat digunakan, tungku akan cepat panas tetapi cepat sejuk. Kaedah pemanasan ini memang remeh tetapi jika diikuti, ia akan memberikan hasil yang memuaskan bila digunakan.
Daun-daun yang lazim digunakan adalah terdiri daripada mengkudu yang bermanfaat untuk melangsingkan badan dan melancarkan darah. Menariknya, bau wangi yang ada pada daun ini dapat menimbulkan ketenangan semasa bertungku. Antara lain, daun sirih turut digunakan kerana ia memainkan peranan membuang angin dalam badan. Daun kunyit hitam digunakan kerana baunya dipercayai boleh mengelakkan gangguan mistik. Selain daripada itu, daun lain yang digunakan ialah pandan, lengkuas dan serai wangi.
Bersalin Normal vs Caesarean, Bila Boleh Bertungku?
Bagi yang bersalin normal, anda boleh mula bertungku daripada seawal hari ke-3 lepas bersalin sehingga hari ke-44 dan boleh diteruskan selepas tempoh itu. Bagi yang bersalin menggunakan kaedah pembedahan caesarean pula, boleh bermula paling awal hari ke-7 selepas bersalin atau bergantung kepada luka pembedahan. Jika luka belum sembuh, tungku bahagian lain sahaja tanpa melibatkan bahagian perut.
Walau bagaimanapun, pada masa kini, para wanita lebih gemar menggunakan tungku herba. Ia diakui tidak mendatangkan rasa sakit apabila ditekan ke seluruh bahagian tubuh dan perut semasa bertungku. Hal ini kesan daripada tekanan tungku yang dilakukan adalah mengikut bentuk badan.
Tungku herba ini dihasilkan daripada pasir sungai atau batu kecil yang dikeringkan untuk bertahan lama. Untuk memanaskannya, anda perlu menggunakan pemanas khas. Walau bagaimanapun, jika tiada pemanas, anda boleh memanaskannya dengan menyalakan lilin semasa sesi urutan dilakukan selama setengah jam.
Jika tidak pun, anda boleh gunakan seterika. Panaskan dengan tekap tungku ke permukaan panas pada seterika dan kemudiannya tungku di bahagian yang diingini. Anda boleh juga kukus tungku. Namun selepas digunakan, anda perlu jemur tungku bagi membolehkan ia digunakan untuk tempoh jangka panjang.
Terdapat lebih daripada 40 jenis herba dimasukkan ke dalam tungku herba. Antaranya ialah jintan hitam, halba, serai wangi, lempoyang, temu kunci, pinang dan lain-lain. Kesemuanya dikeringkan terlebih dahulu sebelum disatukan di dalam kain khas dan diikat.
Boleh diguna setiap hari
Anda perlu tahu bahawa amalan bertungku boleh dilakukan setiap hari. Ia merupakan rawatan luaran yang baik. Tungku bahagian belakang, kaki, betis, paha, pinggang, belikat selama 15 hingga 20 minit setiap kali di bahagian hadapan dan belakang tubuh. Lakukan dalam keadaan tenang dan digalakkan berbaring semasa bertungku.
Jika mahu mendapatkan hasil yang memuaskan, anda perlu rajin. Namun, dalam keadaan tertentu, anda mungkin kesuntukan masa. Jika hal demikian berlaku, anda tetap digalakkan untuk bertungku. Paling minimum, digalakkan menumpukan perhatian dengan menungku bahagian tapak kaki.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jenis-jenis najis bayi boleh berubah mengikut usia, susu dan pemakanan. Ketahui warna najis yang normal, tanda bahaya serta bila ibu ayah perlu membawa bayi berjumpa doktor.