
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tiada siapa yang benar-benar faham betapa peritnya satu-satu keputusan, selagi tidak berada di tempat orang yang terpaksa memilih antara tanggungjawab dan perasaan sendiri. Ada keputusan yang dibuat bukan kerana rela, tetapi kerana tiada pilihan.
Menerusi perkongsian RAI YAIE, seorang ibu tunggal meluahkan kisah hidup yang menyentuh hati ramai tentang terpaksa tinggalkan anak sendirian pergi kerja.
Anaknya yang masih kecil, berusia tiga tahun, terpaksa berada seorang diri di rumah dari pagi hingga petang demi membolehkan si ibu keluar mencari rezeki.
Jika diberi pilihan, tiada satu manusia pun yang sanggup melakukan perkara itu. Bukan kerana tidak sayang, tetapi kerana terlalu sayang.
Keputusan Yang Bukan Pilihan, Tetapi Terpaksa

Ibu ini berkongsi bahawa dia tidak pernah menganggap hidupnya susah hanya kerana kekurangan lauk atau tidak mampu bercuti seperti orang lain. Namun, ada satu perkara yang benar-benar merobek perasaannya meninggalkan anaknya, Mika, sendirian di rumah. Bukan semua tempat kerja membenarkan ibu membawa anak bersama. Dalam keadaan terdesak, dia memujuk Mika untuk tinggal di rumah, satu keputusan yang berat untuk dibuat, apatah lagi untuk diterima.
Mika kelihatan kuat. Tidak menangis, tidak meragam, dan mampu berada seorang diri. Namun di sebalik ketenangan itu, hanya seorang ibu yang tahu betapa rapuhnya hati anak kecil yang terpaksa membesar lebih cepat daripada usia sebenar. Anak itu terpaksa kuat bukan kerana dia sudah bersedia, tetapi kerana keadaan memaksa.
Rutin Harian Seorang Anak Kecil Yang Terpaksa Berdikari

Ibu ini menyediakan makanan untuk Mika setiap hari sebelum keluar bekerja. Waktu rehat tengah hari menjadi satu-satunya ruang untuk mereka “berjumpa” melalui panggilan video. Mereka makan bersama di skrin, berkongsi cerita seadanya. Ada hari Mika kelihatan baik-baik saja, ada hari air mata mengalir meminta ibunya pulang lebih awal. Setiap tangisan itu menjadi luka kecil yang terpaksa disimpan dalam hati seorang ibu.
Ramai yang tidak percaya betapa berdikarinyanya Mika. Namun, di sebalik pujian itu, tersimpan satu realiti yang menyedihkan anak kecil ini terpaksa berdikari terlalu awal. Ibu ini sendiri tertanya-tanya, apakah nilai pengorbanannya di sisi Tuhan sehingga dia dikurniakan anak yang begitu kuat dan memahami.
Pengorbanan Seorang Ibu Yang Tidak Kelihatan

Kini, dia tidak lagi memandang cuti hujung minggu sebagai sekadar hari rehat. Sama ada bekerja atau tidak, dia memilih untuk menebus masa yang hilang. Sabtu dan Ahad menjadi ruang untuk kembali menjadi ibu sepenuhnya tanpa tergesa, tanpa rasa bersalah, hanya ingin berada di rumah bersama anak yang selama ini terlalu banyak mengalah.
Perkongsian ini bukan untuk meraih simpati, tetapi membuka mata masyarakat bahawa tidak semua ibu bapa yang tinggalkan anak sendirian pergi kerja itu lalai atau tidak peduli. Ada yang terpaksa mengorbankan perasaan sendiri demi kelangsungan hidup. Namun dalam masa yang sama, kisah ini juga mengingatkan kita tentang risiko besar yang wujud apabila anak kecil ditinggalkan tanpa pengawasan.

Realiti Pahit Ramai Ibu Bapa Di Luar Sana
Meninjau di ruangan komen, ramai ibu berkongsi realiti kehidupan sebenar yang terpaksa mereka lalui demi kelangsungan keluarga. Ada yang bergelar ibu tunggal dan terpaksa menggalas tanggungjawab besar sejak anak sulung masih kecil, malah ada juga yang meninggalkan anak-anak di rumah dengan pemantauan CCTV semata-mata untuk keluar mencari rezeki.
Lebih menyentuh hati, terdapat anak sulung yang terpaksa cepat matang, membantu menguruskan adik-adik termasuk menyediakan makanan, menukar lampin dan menjaga ketika ibu tiada di sisi. Kisah-kisah ini membuka mata bahawa setiap keputusan yang dibuat bukanlah pilihan mudah, sebaliknya lahir daripada keadaan yang memaksa dan keperluan untuk terus bertahan.

Realitinya dari sudut keibubapaan, anak kecil belum matang untuk mengurus emosi, keselamatan dan kecemasan seorang diri. Walaupun kelihatan “kuat”, kesan jangka panjang terhadap emosi dan perkembangan mental mereka tidak boleh dipandang ringan.
Namun kisah ini mengajar kita satu perkara kasih sayang ibu bapa kadangkala tidak dapat dinilai melalui kehadiran fizikal semata-mata, tetapi melalui pengorbanan yang tidak terlihat.
Sumber: Rai Yaie
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!






