Ads

Thallassemia Semasa Mengandung, Bolehk Gugurkan Kandungan? Ini Penjelasan Mengikut Syarak

Isu thalassemia semasa mengandung sering menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pasangan yang sedang menantikan cahaya mata, terutama apabila kandungan disahkan berisiko atau menghidap talasemia.

Selain memikirkan kesihatan bayi, ada juga ibu yang berdepan risiko komplikasi kesihatan sepanjang kehamilan sehingga menimbulkan persoalan besar mengenai keselamatan diri dan kandungan.

Bagi ibu bapa yang sedang melalui situasi ini, persoalan tentang hukum meneruskan atau menggugurkan kandungan sering menjadi dilema.

Menerusi perkongsian di laman rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor, seorang wanita tampil mengajukan persoalan mengenai hukum menggugurkan kandungan berusia kurang 120 hari atas faktor medical condition seperti talasemia.

Soalan Mengenai Thalassemia Semasa Mengandung

Adakah dibolehkan untuk menggugurkan kandungan yang berumur kurang 120hari, disebabkan medical condition seperti talasemia?

Saya ada terbaca di bahagian QnA, mengenai Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah membincangkan menggugurkan janin pembawa atau pengidap penyakit Thalassemia.

Statement di bawah saya kurang jelas.

“Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.”

Sekiranya ujian pengesanan talasemia yg dibuat sebelum kandungan 120hari, menunjukkan kandungan ialah penghidap talasemia, bermakna kandungan itu berpenyakit.

Tapi saya kurang pasti sekiranya ianya termasuk boleh membahayakan nyawa ibu atau tak.

Pengalaman saya mengandungkan anak kedua yang juga penghidap talasemia semasa itu, semasa mengandung bacaan darah merah saya drop dan saya sangat pucat dan lemah.

Adakah itu termasuk dalam kategori membahayakan nyawa ibu?

Jawapan Mufti Mengenai Thalassemia Semasa Mengandung

Menurut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-52 pada 1 Julai 2002, pengguguran janin sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin tersebut cacat dan berpenyakit sehingga boleh membahayakan nyawa ibu.

Namun begitu, persoalan utama ialah sama ada penyakit talasemia itu benar-benar boleh mengancam nyawa ibu atau tidak.

Ads

Pertama sekali, ibu perlu mengetahui sama ada dirinya penghidap talasemia minor atau talasemia major. Hal ini kerana kedua-dua keadaan membawa tahap risiko yang sangat berbeza.

Talasemia Minor

Individu talasemia minor biasanya hanya pembawa gen dan kebanyakan mereka tidak mengalami simptom serius.

Antara simptom ringan yang mungkin berlaku ialah:

  • cepat penat
  • kulit pucat
  • kurang bertenaga

Dalam kebanyakan kes, talasemia minor tidak sampai ke tahap mengancam nyawa ibu ketika hamil.

Talasemia Major

Talasemia major pula jauh lebih serius dan memerlukan transfusi darah berkala sepanjang hayat.

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, jika kedua-dua pasangan merupakan pembawa talasemia, risiko mendapat anak talasemia major atau intermedia ialah sebanyak 25%.

Jika seorang pasangan pesakit dan seorang lagi pembawa, risiko meningkat kepada 50%.

Anak yang menghidap talasemia major mungkin mengalami keadaan seperti:

  • anemia kronik
  • perlu transfusi darah setiap 2 hingga 4 minggu
  • kerap mendapatkan rawatan hospital
  • komplikasi organ akibat penyakit dan transfusi darah

Bagi kes alpha talasemia major pula, bayi berisiko meninggal dunia ketika dalam kandungan atau semasa dilahirkan.

Ads

Keadaan ini juga boleh menyebabkan ibu mengalami komplikasi serius seperti:

  • tumpah darah ketika bersalin
  • pre-eclampsia
  • tekanan darah tinggi
  • komplikasi yang mengancam nyawa

Hukum Gugurkan Kandungan Disebabkan Talasemia

Berdasarkan penjelasan tersebut, sekiranya ibu merupakan pesakit talasemia major dan keadaan kandungan benar-benar mengancam nyawa ibu atau bayi, maka pengguguran sebelum 120 hari boleh dipertimbangkan.

Namun jika ibu hanya penghidap talasemia minor dan tidak berada pada tahap berbahaya, pengguguran tidak digalakkan.

Walau bagaimanapun, setiap kes adalah berbeza dan memerlukan penilaian doktor pakar.

Justeru, ibu disarankan mendapatkan pemeriksaan serta nasihat lanjut daripada pakar obstetrik dan hematologi sebelum membuat keputusan berkaitan kehamilan.

Apa Itu Thalassemia?

Ramai sebenarnya masih kurang jelas tentang maksud thalassemia.

Thalassemia ialah penyakit darah keturunan yang menyebabkan tubuh tidak menghasilkan hemoglobin normal secukupnya.

Hemoglobin penting untuk membawa oksigen ke seluruh badan. Apabila jumlah hemoglobin tidak mencukupi, seseorang boleh mengalami anemia kronik, cepat letih dan kelihatan pucat.

Thalassemia Boleh Mengandung Ke?

Ramai wanita tertanya-tanya sama ada penghidap thalassemia boleh hamil.

Ads

Jawapannya ialah ya.

Wanita penghidap talasemia masih boleh mengandung, namun mereka memerlukan pemantauan rapi sepanjang kehamilan.

Bagi penghidap talasemia minor, kebanyakan kehamilan boleh diteruskan dengan selamat melalui pemantauan berkala.

Namun bagi talasemia major, risiko komplikasi lebih tinggi termasuk:

  • anemia teruk
  • tekanan darah tinggi ketika hamil
  • risiko kegagalan jantung
  • tumpah darah semasa bersalin

Disebabkan itu, penjagaan khas amat penting untuk ibu hamil yang mempunyai masalah talasemia.

Cara Mengatasi Thalassemia Sebelum dan Semasa Hamil

1. Jalani Saringan Talasemia

Ujian darah sebelum berkahwin atau sebelum hamil boleh membantu mengenal pasti sama ada pasangan merupakan pembawa atau pesakit talasemia.

2. Dapatkan Genetic Counselling

Kaunseling genetik membantu pasangan memahami risiko pewarisan penyakit kepada anak.

3. Pemeriksaan Antenatal Berkala

Pemantauan kesihatan ibu dan perkembangan bayi amat penting bagi mengurangkan risiko komplikasi.

4. Rujuk Doktor Pakar

Setiap kes berbeza. Oleh itu, segala keputusan berkaitan kehamilan perlu dibuat berdasarkan nasihat doktor pakar.

Kesimpulan

Thalassemia semasa mengandung bukan sekadar isu kesihatan bayi, tetapi turut melibatkan keselamatan ibu.

Bagi pasangan yang mempunyai sejarah keluarga atau diketahui pembawa talasemia, saringan awal dan pemantauan kesihatan sangat penting sebelum membuat keputusan besar berkaitan kehamilan.

Dalam masa sama, ibu hamil juga perlu mendapatkan pandangan doktor pakar dan memahami hukum yang telah dijelaskan supaya setiap keputusan dibuat dengan ilmu serta pertimbangan yang tepat.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Untuk Papa Mama

air ketuban kurang

Air Ketuban Kurang Masa Hamil? Ini Risiko Bahaya Pada Janin Yang...

Air ketuban kurang semasa hamil boleh membahayakan janin dan menjejaskan perkembangan bayi. Ketahui punca, risiko serta cara meningkatkan air ketuban dengan betul.