Tahun 2025 bermula dengan lebih meriah apabila Astro, peneraju hiburan utama negara, menghidangkan dua program baharu yang pastinya mencuit hati dan menyentuh jiwa seisi keluarga.
Sebagai pembuka tirai kepada siri jelajah Astro Home of Kids 2025, dua naskhah istimewa iaitu The Chosen One XTRA dan Jutawan Ekspres bakal menjadi teman setia penonton di rumah.
Dua program berbeza genre ini bukan sahaja menawarkan hiburan, malah turut diselitkan dengan nilai-nilai murni, pengajaran hidup dan elemen kekeluargaan yang sesuai ditonton oleh semua lapisan umur.
Kombinasi Realiti dan Komedi, Dua Dunia Penuh Warna-Warni
Menurut Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, penerbitan kedua-dua program ini selaras dengan misi Astro untuk terus menyajikan kandungan berkualiti dan mesra keluarga.
“Kami percaya hiburan bukan sekadar untuk ketawa atau bersuka ria, tetapi juga sebagai medium pembelajaran, pendedahan kepada nilai-nilai positif serta satu ruang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Ads
“Sebab itu kami hasilkan dua program ini, satu realiti yang mencabar minda dan semangat (The Chosen One XTRA), dan satu lagi drama komedi ringan yang dekat dengan kehidupan seharian (Jutawan Ekspres),” jelas beliau.
The Chosen One XTRA, Realiti Yang Menyentuh Jiwa
Kembali dengan musim baharu yang lebih segar, The Chosen One XTRA membawa penonton menyaksikan perjalanan luar biasa para peserta muda yang penuh dengan semangat dan keberanian.
Ads
Dalam setiap episod, mereka diuji dengan cabaran fizikal, kreativiti, kerjasama dan kemahiran sosial. Program ini bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah pentas untuk menonjolkan potensi anak-anak muda yang berani melangkah ke hadapan.
Jutawan Ekspres, Komedi Ringan, Pengajaran Bermakna
Siapa sangka, perjalanan menjadi “jutawan ekspres” penuh dengan kelucuan dan pengajaran. Drama komedi ini membawa kisah unik tentang watak-watak biasa yang terjebak dalam situasi luar biasa, semuanya dalam gaya yang santai, mencuit hati dan penuh warna.
Dibarisi pelakon popular tanah air bersama bakat baharu yang menyerlah, Jutawan Ekspres menjanjikan hiburan yang dekat
di hati penonton.
Ads
Sebagai pelengkap kemeriahan, kedua-dua program ini juga akan menjadi sebahagian daripada pengisian utama dalam siri jelajah Home of Kids 2025, yang bakal menjelajah ke pelbagai lokasi di seluruh Malaysia.
Program jelajah ini akan membawa aktiviti interaktif, persembahan langsung, sesi bersama watak kegemaran kanak-kanak dan pelbagai lagi kejutan untuk para pengunjung.
Dengan pendekatan hiburan menyeluruh, dari skrin ke lapangan, Astro sekali lagi membuktikan komitmennya dalam membina pengalaman menonton yang menyeronokkan, mendidik dan sesuai untuk semua.
Nantikan kehangatan The Chosen One XTRA dan gelak tawa bersama Jutawan Ekspres, hanya di Astro. Tahun ini, hiburan untuk sekeluarga jadi lebih istimewa!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam kehidupan berumah tangga perulah saling melengkapi. Hargai pasangan dan buatkan diri mereka terasa disayangi. Untuk keharmonian rumah tangga, perlu ada kebersamaan antara pasangan.
Seperti yang dikongsikan oleh Muhammad Yusof di dalam penulisannya, resipi bahagia dalam perkahwinan mudah. Kata kuncinya ialah ‘bersama’. Macam mana tu?
Ikuti perkongsian menarik ini, semoga memberi manfaat kepada kita semua.
Saya follow semua media sosial Ustaz Ebit Lew. Begitu juga dengan pasangan Youtuber, Sugu Pavithra. Punyalah sweet mereka ni suami isteri. Masak bersama, makan bersama, rasa masakan sama-sama. Banyak yang kita boleh belajar daripada 2 pasangan romantis ni.
Resepi bahagia dalam perkahwinan ni simple je sebenarnya. Kata kuncinya ialah ‘bersama’. Bukan nafsi-nafsi. Bukan sorang-sorang. Bukan..
Istilah suami isteri ‘bersama’ ni macamana ye? Kalau ikut dia mudah je sebenarnya. Isteri ada dalam hidup suami, suami ada dalam hidup isteri.
Contohnya bila habis solat ataupun time suami nak pergi kerja, isteri salamlah tangan suami, then suami balaslah kiss kat dahi isteri. Bahagia oo suami rasa. Yang isteri akan rasa dihargai. Kan nampak kebersamaan kan, kat situ?
Bila isteri keletang kelentung kat dapur, suami datanglah menyapa tanya isteri buat apa tu walaupun dah tahu mestilah isteri tengah masak(takkan tukar minyak hitam motor kot). Bila suami cuba bantu kupas bawang holland sebijik dua pun isteri dah senyum lebar dah rasanya. Kan, nampak kebersamaan kan kat situ?
Bila isteri dah penat basuh baju, suami tolong lah sidai. Biarlah tebal telinga kena perli dengan jiran sebelah ‘sidai baju ye bang?’, tapi kat dalam rumah berbunga-bunga hati isteri bila suami dia tolong sidai baju. Tapi bab lipat baju tak payah suruh suami, nanti jadi roti kirai pulak jadinya. Nak mudah suami isteri main kutu, beli je mesin lipat baju. Setel masalah.
Time isteri tengah berehat main henset, sekali sekala suami buatlah air kopi dalgona ke, air teh o ke, maggi cup ke, bagi kat isteri. Lepas tu picit la manja sikit. Mesti senyum lebar isteri kalau laki dia buat gini. Yelah, dah tiap masa suami order je teh o aislah, kopi o lah kat bini. Sekali sekala suamilah pulak buat kat bini. Awal-awal memang pelik. ‘Suami aku ni buang tabiat ke apa?’ tapi kan ni kebersamaan yang kita nak cari antara pasangan kita kan? Takkan isteri je hari-hari yang kena bancuh air suami, ye tak?
Masa bercinta bukan main, kalau boleh makan nak satu pinggan, satu cawan kongsi straw. Bila dah kahwin suami geli pulak nak kongsi cawan dengan bini. Patutnya kita cuba throwback amalan-amalan romantik yang kita dah practise masa bercinta tu, kan? Ini tak bila kahwin terus lupa ingatan.
Mula-mula kahwin bila keluar baju mesti sama. Baju, kain tudung mesti matching dengan baju suami. Pantang keluar je pegang tangan bukan main. Dah 5, 6 tahun kawin, suami biar isteri jalan sorang-sorang, dia lepak dalam kereta main henset. Ya, konsep baju matching suami isteri dan pegang tangan ni sepatutnya amalan sepanjang zaman sebab ni antara ‘kebersamaan’ yang paling mudah untuk suami isteri amalkan.
Contoh-contoh mudah inilah yang buat pasangan suami isteri itu bahagia. Tak caya cuba tengok apa yang pasangan Ustaz Ebit dan pasangan Sugu Pavithra ini buat dalam video mereka. Mana yang baik/positif tu kita ambillah sebagai pengajaran hidup, betul tak?
Satu lagi last sebelum habis, dalam sebuah ikatan perkahwinan, suami isteri memang kena berkerjasama.
Diingatkan suami-suami supaya jangan sesekali cuba buat isteri anda stress dan tertekan. Sekali lagi, suami tolong jangan buat isteri anda stress dan tertekan. Tolong ya suami-suami..
Suami please kalau boleh janganlah letakkan semua kerja rumah di atas bahu isteri semata. Cuba buat sama-sama, barulah isteri tak terbeban dan stress sebab dia sorang kena buat semua kerja dalam rumah meanwhile si suami just goyang kaki tengok TV. Mana istilah kebersamaan tu kalau dah semua kerja rumah isteri yang kena buat, kan?
Sebab tu pada semua parent yang ada anak lelaki, ajar mereka biasakan buat kerja rumah dari awal agar takde nanti dalam kepala mereka bila dah besar isteri ni ‘hamba abdi’ yang kena buat semua kerja dalam rumah. Didikan ini sangat penting kerana ia menentukan macamana pola pemikiran anak-anak lelaki 20 tahun akan datang. Ajar juga mereka supaya menghormati kaum wanita.
Ok, buat semua suami, sentiasalah bersama-masa isteri ya? Serius saya cakap ni. Sebenarnya jauh dilubuk hati, isteri anda sangat memerlukan masa bersama anda. Kalau boleh 24 jam dia nak berkepit dengan awak wahai suami. Lepas kahwin isteri hilang dah semua kawan rapat dia sebab isteri sentiasa merasakan yang ‘suami adalah rakan paling rapat dunia akhirat yang mereka ada’.
Bila salah sorang dah takde, kenangan bersama pasangan inilah yang akan jadi kenangan yang paling indah buat suami atau buat isteri. Hadam sampai lumat apa yang cuba saya sampaikan ni wahai suami, wahai isteri!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masih panjang umur tapi yang sedihnya bayi ini kehilangan ahli keluarga terdekat. Menerusi kenyataan media, ahli keluarga berusaha mengeluarkan bayi perempuan yang tali pusat masih melekat dengan ibunya yang sudah meninggal dunia dalam tragedi gempa bumi di Syria awal pagi semalam.
Bayi yang terperangkap di bawah timbunan bangunan runtuh akibat gempa buruk di utara negara terbabit dikeluarkan hidup-hidup meskipun ibunya meninggal dunia.
Menurut Khalil al-Suwadi, bayi itu adalah satu-satunya keluarga terdekatnya yang terselamat, sementara yang lain terbunuh susulan gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter melanda Syria serta negara jiran Turkiye hingga meranapkan rumah keluarganya di bandar Jindayris yang dikuasai pemberontak.
“Kami terdengar suara ketika sedang menggali (runtuhan bangunan).
“Kami segera membersihkan kotoran dan menemukan bayi perempuan dengan tali pusat masih melekat pada ibu dan kami memotongnya, kemudian sepupu saya membawanya ke hospital,” katanya kepada AFP.
Video yang memaparkan usaha menyelamat itu tular di media sosial.
Rakaman video itu menunjukkan seorang lelaki segera berlari daripada timbunan bangunan empat tingkat yang runtuh sambil memegang bayi kecil yang dipenuhi kotoran.
Kemudian seorang lagi lelaki berlari ke arah lelaki pertama sambil membawa selimut bagi berusaha memanaskan bayi dilahirkan dalam suhu bawah sifar, manakala individu yang lain menjerit meminta kenderaan untuk membawanya ke hospital.
Bayi itu dibawa untuk rawatan di bandar berhampiran, Afrin manakala ahli keluarga meneruskan pencarian selama beberapa jam lagi sebelum menemukan mayat bapa bayi itu, Abdullah, ibu Afraa, empat beradik serta seorang ibu saudara.
Rumah keluarga itu antara kira-kira 50 kediaman di Jindayris yang musnah akibat gempa bumi lapor wartawan AFP.
Sementara itu, menurut pihak berkuasa, tragedi itu mengorbankan lebih 1,600 orang di Syria dan lebih 3,400 orang terbunuh di Turkiye.
Pekan dan bandar yang dikuasai pemberontak itu merekodkan kira-kira 800 kematian akibat gempa itu.
Di dalam inkubator di hospital di Afrin, bayi baru lahir itu yang diselamatkan kelihatan disambungkan ke cairan intravena, badannya luka dan pergelangan tangan kirinya berbalut dengan dahi dan jarinya kebiruan akibat kesejukan.
“Keadaan terkininya stabil. Ketika dibawa ke sini bayi mengalami hipotermia kerana terlampau sejuk,” kata doktor pediatriknya, Dr Hani Maarouf yang bertugas memantau perkembangan bayi itu.
Yuran tadika, taska naik hingga 25 peratus tahun depan, sudah bersediakah ibu bapa. Yuran taman didikan kanak-kanak (tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) seluruh negara dijangka naik antara 20 hingga 25 peratus pada tahun depan.
Kenaikan itu adalah susulan kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa 1 Februari depan.
Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) dan Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, yang menaungi pengusaha tadika, selain Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia yang menaungi pengusaha taska mengesahkan kenaikan yuran perkhidmatan ditawarkan kira-kira 4,500 ahli mereka susulan kenaikan kos operasi.
Penasihat Kehormat PERTIM, Zaharah Awang, berkata kira-kira 1,000 ahlinya di seluruh negara bersiap sedia menaikkan yuran perkhidmatan tadika mereka susulan kenaikan kos operasi bukan saja membabitkan gaji pekerja terutama guru, malah kenaikan kos bahan mentah untuk makanan dan bahan bantu mengajar, selain kadar sewa serta bil utiliti.
Bagaimanapun, katanya, kenaikan berkenaan perlu mendapat kebenaran dan menerusi permohonan dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sebelum dilaksanakan.
“Sebenarnya PERTIM sudah membuat unjuran awal kenaikan gaji minimum sehingga RM2,000 sebulan secara berperingkat untuk beberapa tahun akan datang, namun ahli kami tidak jangka penguatkuasaan gaji minimum baharu RM1,700 akan berlaku seawal tahun depan.
“Notis yuran tahun hadapan sebenarnya sudah diberikan kepada ibu bapa, namun dengan pengumuman pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan mulai Februari depan, ahli PERTIM terpaksa mengeluarkan notis baharu yuran membabitkan kenaikan antara hingga 25 peratus, mengikut lokasi kawasan tadika.
“Seramai 1,000 ahli kami yang juga pengusaha tadika di seluruh negara sebenarnya tersepit kerana tidak mahu menaikkan yuran, namun terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan operasi tadika. Kita jangka, pengusaha yang tidak mendapat sokongan ibu bapa berdepan kemungkinan menutup operasi mereka, kerana kos operasi terlalu tinggi untuk ditanggung.
“Apatah lagi, kos operasi tadika swasta 100 peratus adalah daripada bayaran yuran yang dibayar ibu bapa. Kenaikan kos operasi tadika sudah berlaku sejak selepas tamat Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) lagi namun menjadi lebih ketara sejak tahun lalu susulan kenaikan harga barang dan kos sara hidup,” katanya kepada BH.
Pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 kini berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Mengulas lanjut, Zaharah berkata, kenaikan bahan mentah untuk makanan murid jagaan ahlinya naik lebih 60 peratus sejak tahun lalu, menyebabkan kos operasi tadika menjadi tinggi.
Katanya, kenaikan yuran tadika antara 10 hingga 25 peratus sebenarnya hanyalah untuk pengusaha bertahan demi kelangsungan perjalanan perniagaan mereka semata-mata.
“Sebelum ini pernah berlaku seramai 41 murid sebuah tadika ahli kami diberhentikan ibu bapa hanya kerana kenaikan yuran tidak sampai RM40 sebulan.
“Sebenarnya yuran tadika swasta murid Melayu atau Islam hanya antara RM300 hingga RM350 sebulan berbanding tadika swasta Cina yang mengenakan yuran antara RM750 hingga RM900 sebulan,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pendidik Institusi Pendidikan Negeri Johor, Hazman Sapawi, juga mengesahkan 500 tadika di negeri ini akan menaikkan yuran sama susulan kenaikan gaji minimum RM1,700 itu.
“Contohnya pelarasan gaji kakitangan tadika terutama guru akan membabitkan tambahan kos RM229.90 seorang sebulan. Ia membabitkan gaji minimum RM1,700; caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang meningkat kepada RM221 sebulan; caruman majikan untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang meningkat kepada RM27.85 sebulan selain Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang meningkat kepada RM3.30 sebulan,” katanya.
Sementara itu, Naib Bendahari Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia, Norazlina Adom, berkata yuran baharu taska seluruh negara akan naik antara 13 hingga 20 peratus mulai tahun depan, susulan pengumuman gaji minimum baharu.
Katanya, kira-kira 3,000 taska di seluruh negara termasuk 250 di Johor akan mengenakan yuran baharu itu mulai Januari depan.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengusaha Taska Berdaftar Negeri Johor berkata, pengumuman kerajaan mengenai kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan itu sangat dialu-alukan susulan bebanan kerja kakitangan taska yang berat dalam memastikan keselamatan bayi serta kanak-kanak jagaan mereka sentiasa terjaga sepanjang masa.
“Sehubungan itu, saya memohon kerajaan menyediakan sama ada geran gaji kepada pengusaha taska swasta atau pun insentif kepada ibu bapa yang menghantar anak kepada taska berdaftar, kerana kenaikan yuran yang membebankan mereka ketika kos sara hidup juga semakin meningkat.
“Ia bagi mengelak ibu bapa memilih taska tidak berdaftar, sekali gus merisikokan keselamatan anak mereka kerana ketiadaan latihan dan kemahiran kakitangan taska kategori ini seperti diwajibkan ke atas taska berdaftar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah, berkata kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sudah dijangka susulan pengumuman gaji minimum baharu mulai Februari depan.
Katanya, peningkatan kos operasi perkhidmatan dan barangan sudah pasti dipindahkan kepada pengguna yang akan merasai bebanan peningkatan kos sara hidup.
“FOMCA berpandangan kerajaan perlu melakukan intervensi bagi menetapkan harga siling perkhidmatan dan barangan tertentu supaya pengguna tidak terus terbeban dengan kenaikan harga yang keterlaluan dan tidak wajar.
“Pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 perlu diperkasa supaya sebarang kenaikan yang tidak wajar dikenakan tindakan tegas.
“Pengguna pasti mencari alternatif perkhidmatan lebih murah dan dalam isu kenaikan yuran tadika dan taska, kerajaan disaran memperluas dan memperbanyakkan penawaran pra-sekolah selain taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di seluruh negara, supaya keluarga tidak mampu menggunakan perkhidmatan tadika dan TASKA mempunyai alternatif lain untuk anak mereka,” katanya.