Satu ketika dahulu, viral kisah pelakon dan pengacara berbakat, Datin Fouziah Ghous tentang kisah dia dan suami meninggalkan anak kedua mereka di Malaysia ketika sakit untuk menunaikan ibadah haji. Ramai yang memuji tindakan pasangan ini kerana tidak tergugat dan menganggap dugaan itu sebagai satu ujian untuk menunaikan ibadah di Tanah Suci.
Tidak ramai yang mengetahui kisah sebenar di sebalik kejadian tersebut. Ketika sesi fotografi bersama Fouziah dan anaknya, Pa&Ma sempat bertanyakan hal ini. Semoga kisah yang dikongsikan oleh usahawanita cantik ini dapat menjadi teladan kepada kita semua.
Najis Zaheen Bercampur Darah
Saat dia dan suami membuat keputusan untuk menunaikan ibadah haji, Zaheen terpaksa menjalani sebuah pembedahan di perutnya. Semuanya bermula semasa Foziah baharu pulang dari mengambil visa untuk ke Mekah. Kebetulan semasa sampai di rumah, anaknya itu membuang air besar.
Fouziah terkejut ketika mahu menyalin lampin anaknya, dia dapati ada darah bercampur dengan najis Zaheen. Pada waktu itu juga mereka membawa Zaheen ke klinik. Doktor meminta Fouziah untuk memantau keadaan anaknya itu sepanjang malam. Cerita Fouziah, dia menukar lampin Zaheen berkali-kali malam itu kerana ia asyik dipenuhi darah dan anaknya kerap muntah.
Keesokkan harinya, mereka membawa Zaheen ke hospital untuk memeriksa keadaan anaknya. Zaheen disahkan menghidap Intussusception iaitu suatu keadaan di mana usus kecilnya tersangku pada usus besar. Doktor menyarankan agar Zaheen dibedah segera. Tidak tunggu lama, Fouziah dan suaminya bersetuju. Pembedahan dijalankan sekitar jam 6.00 petang sehingga 8.00 malam. Awal pagi itu, pada jam 3.00 pagi sepatutnya mereka sudah bergerak ke lapangan terbang. Fouziah dan suami mengangguhkan perjalanan dan bertemu dengan jemaah lain di Filipina kerana negara itu merupakan transit untuk ke Mekah.
Penerbangan ke Mekah terpaksa ditunda kerana berlaku kemalangan di landasan kapal terbang. Selama tiga ke empat hari di Filipina, Fouziah dapat berehat sepenuhnya dan menghubungi anaknya di Malaysia. “Ada hikmahnya penerbangan ditunda, saya dapat berhubung dengan anak-anak kerana liputan telefon sangat baik berbanding jika di Mekah. Ketika di Mekah, saya dan suami memang dapat beribadah dengan khusyuk.
Yang saya ingat, sebelum berangkat ke lapangan terbang, saya berdoa pada Allah SWT. Saya katakan yang saya ke Mekah untuk beribadah kerana-Nya. Jadi saya mohon, Dia beri perlindungan pada Zaheen. Alhamdulillah segala urusan saya dan anak dipermudahkan,” kata Fouziah berkongsi cerita tentang pengalamannya ketika meninggalkan Zaheen untuk tujuan beribadah.
Jadikan Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Sebagai Tauladan
Kata Fouziah lagi, dia dan suami banyak bercerita tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebelum diuji anak mereka sakit dan terpaksa dibedah sewaktu mereka mahu ke Mekah. Kata Fouziah, baik dia atau suamiya tidak terdetik sedikit pun untuk menarik diri dari beribadah kerana dia percaya setiap ujian itu pasti didatangkan dengan ganjarannya.
“Sewaktu Zaheen sakit dan kami pula mahu ke Mekah, ada juga kami rujuk pada para ustaz tentang hal ini. Kesemua mereka memberitahu ini semua ujian dan kami terpilih untuk melaluinya. Mereka juga bercerita tentang pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup menyembelih anaknya sendiri kerana taatkan perintah Allah SWT. Ini panggilan Allah kepada kami berdua, apa lagi yang kami mahu?,” sambung Fouziah. Itulah yang menjadi penguat semangat bagi meneruskan rancangan untuk menunaikan haji.
Sumber foto: Fouziah Ghous
Saksikan pasangan Datin Fouziah Ghous & Datuk Zhafran dalam Pa&Ma Musim Kelima dengan kupasan topik episod ke-10 ‘Travel Umrah Bersama Si Kecil’ pada 4 September 2019, Rabu jam 9 malam disaluran Astro Prima (ch 105) , Prima HD (ch 121) dan Astro Go (apps).
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI