Sebaik anak masuk ke dunia persekolahan, banyak perkara yang anak-anak perlu menghafal. Tidak terkecuali anak-anak perlu menghafal beberapa surah seperti yang diarahkan oleh guru setiap minggu.
Bukan mudah anak hendak menghafal namun ini tip yang dikongsikan oleh Pn Hanis Athirah Rusli bagi memudahkan ibu bapa mengajar anak-anak.
1. Niat dan doa kepada Allah semoga dipermudahkan kita mendidik anak dan semoga mendapat keredhaan Allah sentiasa. Doa yang dipanjatkan bukan satu perkara sampingan tapi antara tunjang kekuatan untuk anak kita berjaya menghafaz Al Quran.
2. Wujudkan suasana menghafal yang konsisten, sekejap pun tak mengapa. Kalau boleh tiap-tiap hari sentiasa konsisten. Otak anak seperti span yang mudah menyerap, ulang dan ulang setiap hari.
3. Bila sudah cuba, tapi anak masih lagi tak dapat-dapat, jangan putus asa. Usaha lagi dan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan kita dalam menghafal surah dalam Al Quran. Perkara baik, yakinlah bahawa Allah akan berikan pertolongan.
4. Ulang secara santai bacaan surah anak. Semasa mereka bermain boleh, semasa jalan-jalan hirup udara segar dengan mereka pun boleh. Tidak ada jalan pintas, yang penting ulang banyak kali. Saya juga suka selitkan penceritaan kepada anak-anak. Barulah mereka faham dengan lebih mendalam apa yang mereka baca dan hafal.
Ads
5. Pasang audio Al Quran di rumah semasa anak berada dalam keadaan yang tenang. Boleh juga selang selikan dengan bacaan doa dan zikir. Boleh juga guna headphone untuk menambah keterujaan sambil mereka bertambah fokus anak untuk mendengar bacaan surah.
6. Tasmik dalam keadaan anak dan diri kita berada dalam keadaan tenang. Memarahi atau membentak langsung tidak membantu tapi dapat memalapkan terus niat mereka untuk mendalami ilmu Al-Quran. Sebagai contoh, boleh lakukan dalam kereta ketika dalam perjalanan ke sesuatu destinasi. Anak-anak lebih tenang dan fokus serta tiada medium lain yang boleh mengalih perhatian mereka.
7. Dalam kelancaran anak untuk menghafal, rendahkan expectation dan kurangkan perbandingan. Tanam dalam minda, setiap anak berbeza progress masing-masing. Fokus kelebihan mereka bukan kelemahan. Yang penting nilaikan proses bukan hasilnya.
8. Banyakkan bersabar. Menegur boleh tetapi gunakan suara yang tenang saja. Jangan masukkan emosi sehingga menengking anak. Ambil masa, tegur secara berulang dengan sabar lebih baik insyaAllah lebih berkesan. Tunjukkan cara bacaan yang betul, biar anak nampak mulut kita untuk sebutan huruf yang tepat.
Ads
9. Tidur adalah satu aktiviti yang kita lakukan setiap hari dan dalam sehari kita semua akan menghabiskan satu pertiga masa dengan tidur. Buat persediaan sebelum tidur, jadikan rutin mengalunkan ayat suci Al Quran sebelum tidur. InsyaAllah, bila dah menjadi kebiasaaan anak akan mudah mengingati surah lazim yang dibaca bersama.
10. Jaga pemakanan anak-anak dan pastikan mereka makan dari sumber rezeki yang halal. Elakkan makan ringan dan amalkan banyak makanan sunnah seperti madu, kurma, delima dan sebagainya.
Tak perlu rushing sangat untuk hafal semua surah, relaks-relaks janji usaha untuk praktiikan selalu. Yang seronok, bukan anak je boleh menghafal, kita pun boleh.
Ads
Yang baik itu datang daripada Allah, yang tidak baik itu adalah atas kesilapan dan kekhilafan saya sendiri. Maaf yaa atas yang kurang. Semoga bermanfaat insyaAllah
Mengapa anak selalu menangis bila tak nampak ibu depan mata. Anak-anak sering kali menunjukkan tingkah laku menangis apabila mereka tidak dapat melihat ibu mereka. Fenomena ini sebenarnya adalah hal yang biasa dan mempunyai penjelasan psikologi serta biologi yang mendalam.
Kalau boleh ke mana sahaja ibunya pergi mahu diikuti. Pendek kata langsung tidak boleh berenggang. Bila tidak nampak kelibat ibunya, mulalah si kecil menangis.
Berikut beberapa sebab utama mengapa anak kecil menangis apabila tidak melihat ibu mereka.
1. Kecemasan Perpisahan (Separation Anxiety)
Kecemasan perpisahan adalah satu fasa perkembangan yang normal di mana anak-anak merasa takut dan cemas apabila dipisahkan daripada ibu atau penjaga utama mereka. Pada usia ini, anak-anak mula memahami bahawa mereka adalah entiti yang terpisah daripada ibu bapa mereka dan ini menimbulkan ketakutan bahawa ibu mungkin tidak akan kembali apabila pergi. Ketakutan ini adalah refleks semulajadi yang membantu dalam proses perkembangan emosi mereka.
2. Keperluan Asas Emosi
Anak kecil sangat bergantung kepada ibu mereka bukan sahaja untuk keperluan fizikal seperti makanan dan keselamatan, tetapi juga untuk keperluan emosi. Kehadiran ibu memberikan rasa aman dan tenang kepada anak-anak. Apabila ibu tidak kelihatan, anak-anak merasa kehilangan sumber keselamatan dan ini mencetuskan tangisan sebagai cara untuk memanggil ibu kembali.
3. Perkembangan Kognitif
Pada usia ini, perkembangan otak anak-anak sedang pesat. Mereka mula memahami konsep keabadian objek, iaitu pemahaman bahawa sesuatu yang tidak kelihatan masih wujud. Walau bagaimanapun, pemahaman ini masih belum matang sepenuhnya. Jadi, apabila ibu keluar dari pandangan, anak mungkin merasa bahawa ibu telah hilang sepenuhnya.
4. Perkembangan Sosial dan Emosi
Anak-anak kecil sedang belajar bagaimana untuk membina hubungan dan kepercayaan dengan orang di sekeliling mereka. Ibu adalah figura utama dalam proses ini. Tangisan adalah cara anak untuk mengekspresikan perasaan tidak selesa, takut, atau keperluan akan kehadiran ibu untuk memastikan bahawa hubungan dan kepercayaan tersebut kekal utuh.
Cara Mengatasi Dan Menangani Tangisan Anak:
Walaupun tangisan anak boleh menjadi mencabar bagi ibu bapa, terdapat beberapa cara yang boleh membantu dalam menangani situasi ini:
Beri Jaminan
Berikan jaminan kepada anak bahawa ibu akan kembali. Beritahu mereka dengan suara yang lembut dan tenang bahawa anda hanya akan pergi sebentar dan akan kembali.
Latihan Perpisahan
Latih anak untuk terbiasa dengan perpisahan pendek. Mulakan dengan meninggalkan mereka sebentar dalam bilik lain dan perlahan-lahan tambahkan tempoh masa perpisahan.
Mainan Kesayangan
Berikan anak mainan atau objek kesayangan yang boleh memberikan rasa aman apabila ibu tidak berada di sisi.
Rutin Yang Konsisten
Pastikan ada rutin harian yang konsisten. Rutin yang tetap boleh memberikan rasa kestabilan dan keyakinan kepada anak.
Waktu Kualiti Bersama
Luangkan masa berkualiti bersama anak untuk membina kepercayaan dan hubungan yang kukuh. Ini boleh membantu anak merasa lebih aman walaupun ibu tidak berada di sisi untuk seketika.
Kesimpulannya, menangis adalah cara anak-anak kecil menyatakan keperluan dan perasaan mereka. Dengan memahami sebab-sebab di sebalik tingkah laku ini, ibu bapa boleh membantu anak-anak mereka mengatasi kecemasan dan membina rasa aman yang lebih kukuh.
Ramai ibu ayah mungkin pernah mendengar ayat, “Tak apa, nanti pandailah dia sendiri,” apabila anak lambat bercakap, lambat berjalan, susah fokus atau sukar bergaul dengan orang lain.
Memang benar setiap anak membesar pada kadar yang berbeza. Ada yang cepat bercakap, ada yang lambat sedikit. Ada yang aktif bergerak, ada pula yang memerlukan lebih masa untuk yakin mencuba sesuatu.
Namun begitu, ibu ayah juga tidak boleh terlalu lama menunggu jika perkembangan anak kelihatan jauh berbeza daripada usia sepatutnya. Masalah pembelajaran anak bukan sesuatu yang perlu disembunyikan. Ia bukan tanda ibu ayah gagal mendidik, bukan juga bermaksud anak malas atau degil. Sebaliknya, ia mungkin petunjuk awal bahawa anak memerlukan pemerhatian, sokongan dan bantuan yang lebih sesuai.
Menurut Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), Dr. Loh Wai Loong, di Malaysia seramai 7.4 peratus kanak-kanak mengalami kelewatan perkembangan seperti yang dilaporkan dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022.
Kadar prevalens tersebut merangkumi kelewatan dalam kemahiran motor kasar sebanyak 1.0 peratus, kemahiran motor halus 1.9 peratus, pertuturan dan pendengaran 2.7 peratus serta perkembangan sosial 4.1 peratus.
Beliau menjelaskan bahawa statistik ini menunjukkan kepentingan pengesanan awal dan bantuan yang sesuai bagi menangani cabaran perkembangan kanak-kanak dengan lebih berkesan.
Walaupun angka ini kelihatan kecil, bagi ibu ayah yang sedang membesarkan anak, ia membawa makna yang sangat besar. Setiap kelewatan perkembangan boleh memberi kesan kepada proses pembelajaran apabila anak mula memasuki taska, tadika atau sekolah.
Pembelajaran bukan sekadar kebolehan membaca, mengira atau menulis. Sebelum mencapai tahap tersebut, anak perlu menguasai pelbagai kemahiran asas yang menjadi asas kepada perkembangan mereka.
Anak perlu mampu duduk dengan stabil, memegang pensel, mendengar arahan, memahami bahasa, menyebut perkataan, bermain bersama rakan, menunggu giliran dan mengawal emosi. Semua kemahiran ini saling berkait rapat dengan perkembangan motor, bahasa, sosial dan kognitif.
Jika terdapat gangguan dalam mana-mana aspek perkembangan ini, anak mungkin kelihatan seperti tidak mahu belajar sedangkan hakikatnya mereka sedang bergelut untuk memahami, memproses atau melakukan sesuatu kemahiran.
Sebagai contoh, anak yang mempunyai kelemahan motor halus mungkin sukar memegang pensel dan cepat berasa penat ketika menulis. Anak yang mengalami kelewatan pertuturan pula mungkin sukar menjawab soalan guru atau menyampaikan keperluan mereka sendiri.
Begitu juga dengan anak yang mengalami kelewatan perkembangan sosial. Mereka mungkin tidak tahu cara bermain bersama rakan, berkawan atau mengikuti rutin di dalam kelas.
Oleh sebab itu, ibu ayah tidak seharusnya menganggap perkembangan anak sebagai perkara kecil. Ia merupakan asas penting yang membentuk keyakinan diri, komunikasi, emosi dan keupayaan pembelajaran sepanjang hayat.
Antara kesilapan yang sering berlaku ialah ibu ayah menunggu terlalu lama kerana menganggap anak akan mengejar perkembangan sendiri apabila semakin membesar.
Ada yang hanya mula risau apabila anak memasuki tadika tetapi masih belum boleh bercakap dengan jelas, tidak memahami arahan mudah atau sukar bergaul dengan rakan sebaya.
Sebenarnya, pemerhatian awal memainkan peranan yang sangat penting. Lebih awal ibu ayah bertindak, lebih banyak peluang untuk anak dibantu melalui intervensi, terapi, latihan di rumah atau sokongan pembelajaran yang sesuai.
Anak kecil mungkin belum mampu memberitahu apa yang mereka rasa atau apa yang mereka sukar lakukan. Oleh itu, ibu ayahlah yang perlu lebih peka melihat perubahan tingkah laku dan perkembangan mereka dari semasa ke semasa.
Berikut ialah beberapa tanda yang wajar diberi perhatian oleh ibu ayah sekiranya berlaku secara berterusan.
Antara tanda yang paling mudah disedari ialah anak lambat bercakap berbanding kanak-kanak seusia. Contohnya, anak masih kurang menggunakan perkataan, sukar menyebut ayat mudah atau hanya menunjuk apabila mahukan sesuatu.
Ada anak yang memahami arahan tetapi sukar meluahkan apa yang mereka mahu. Ada juga yang kurang menunjukkan usaha untuk berkomunikasi dengan orang di sekeliling.
Jika keadaan ini berterusan, jangan sekadar berharap anak akan bercakap sendiri. Pemeriksaan pendengaran, penilaian bahasa atau terapi pertuturan mungkin diperlukan bagi membantu perkembangan mereka.
Anak kecil biasanya mula memahami arahan ringkas seperti “ambil kasut”, “duduk sini”, “beri pada mama” atau “letak mainan dalam kotak”. Kemahiran ini berkembang secara berperingkat mengikut usia dan menjadi asas kepada proses pembelajaran.
Jika anak kerap kelihatan terpinga-pinga, tidak memberi respons atau gagal mengikut arahan mudah walaupun telah diulang beberapa kali, ibu ayah perlu memberi perhatian. Keadaan ini mungkin berkait dengan pemahaman bahasa, pendengaran, tumpuan atau perkembangan kognitif.
Semakin awal puncanya dikenal pasti, semakin mudah anak menerima bantuan yang bersesuaian.
Sesetengah ibu ayah mungkin menyangka anak terlalu leka bermain apabila tidak menoleh apabila nama dipanggil. Namun, jika perkara ini berlaku secara konsisten bersama tanda seperti kurang bertentang mata, kurang berminat berinteraksi atau jarang memberi respons kepada orang di sekeliling, ia tidak seharusnya dipandang ringan.
Langkah pertama ialah memastikan pendengaran anak berada dalam keadaan baik. Selepas itu, ibu ayah boleh mendapatkan penilaian perkembangan sekiranya kebimbangan masih berterusan.
Kemahiran motor halus memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak. Ia melibatkan penggunaan jari dan tangan untuk memegang sudu, menyusun blok, membuka bekas, mengoyak kertas, mewarna dan memegang pensel.
Jika anak kelihatan terlalu sukar melakukan aktiviti ini berbanding rakan seusia, cepat berputus asa atau sering mengelakkan aktiviti yang menggunakan tangan, jangan terus menganggap mereka malas.
Anak mungkin memerlukan sokongan bagi menguatkan otot kecil tangan, meningkatkan koordinasi mata dan tangan atau menangani cabaran sensori tertentu yang akhirnya boleh memberi kesan kepada kemahiran menulis.
Motor kasar merangkumi kemahiran seperti duduk, merangkak, berdiri, berjalan, berlari, melompat dan memanjat.
Jika anak lambat berjalan, kerap terjatuh, sukar menaiki tangga atau kelihatan kurang yakin melakukan aktiviti fizikal mengikut usia, ibu ayah digalakkan mendapatkan pandangan profesional.
Motor kasar yang baik bukan sahaja membantu aktiviti harian, malah membina keseimbangan badan, koordinasi serta keyakinan diri apabila anak mula belajar di persekitaran sekolah.
Bermain merupakan proses pembelajaran yang sangat penting bagi kanak-kanak. Melalui aktiviti bermain, mereka belajar berkongsi, menunggu giliran, berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan memahami emosi orang lain.
Jika anak lebih gemar bermain bersendirian secara berulang, kurang berminat berkawan, sukar berkongsi perhatian atau tidak meniru cara bermain rakan sebaya, ibu ayah perlu memantau perkembangan sosial mereka dengan lebih teliti.
Perkembangan sosial yang terganggu boleh menyebabkan anak menghadapi kesukaran menyesuaikan diri apabila memasuki taska atau tadika.
Ada kanak-kanak yang sukar menerima perubahan kecil dalam rutin harian seperti laluan ke sekolah yang berbeza, makanan yang berubah atau jadual aktiviti yang tidak sama seperti kebiasaan.
Mereka mungkin menangis berlebihan, mengalami tantrum yang berpanjangan atau sangat sukar dipujuk apabila rutin berubah.
Walaupun kanak-kanak sememangnya memerlukan rutin yang konsisten, reaksi yang terlalu kuat dan kerap sehingga mengganggu kehidupan harian mungkin menunjukkan keperluan kepada penilaian lanjut.
Anak kecil memang aktif dan mudah beralih perhatian. Namun begitu, jika mereka langsung tidak mampu memberi tumpuan walaupun kepada aktiviti ringkas yang sesuai dengan usia, ibu ayah perlu mengambil perhatian.
Contohnya, anak tidak boleh duduk mendengar cerita pendek, cepat meninggalkan aktiviti, gagal menyiapkan tugasan mudah atau terlalu aktif sehingga sukar mengikuti rutin.
Masalah tumpuan boleh memberi kesan kepada proses pembelajaran kerana anak sukar menerima arahan, memahami pengajaran dan menyiapkan tugasan dengan baik.
Perkara paling penting ialah jangan menyembunyikan keadaan anak kerana malu atau bimbang dipandang serong. Mendapatkan bantuan awal bukan bermaksud ibu ayah gagal, sebaliknya menunjukkan kasih sayang dan tanggungjawab terhadap perkembangan anak.
Anak yang mengalami kelewatan perkembangan bukan bererti mereka tidak bijak. Mereka mungkin hanya memerlukan pendekatan pembelajaran, terapi atau sokongan yang berbeza mengikut keperluan masing-masing.
Ada yang memerlukan terapi pertuturan, terapi cara kerja, pemeriksaan pendengaran atau penilaian perkembangan bagi mengenal pasti sama ada terdapat keadaan seperti autisme, ADHD atau kesukaran pembelajaran tertentu.
Pertama, perhatikan perkembangan anak mengikut usia dan catat perkara yang telah mereka kuasai serta perkara yang masih mencabar. Maklumat ini sangat membantu doktor atau ahli terapi semasa proses penilaian.
Kedua, elakkan membandingkan anak dengan adik-beradik atau anak orang lain secara berlebihan. Setiap kanak-kanak mempunyai kadar perkembangan yang berbeza.
Ketiga, jangan berlengah mendapatkan pemeriksaan sekiranya timbul keraguan. Ibu ayah boleh mendapatkan nasihat daripada klinik kesihatan, pakar pediatrik, pakar perkembangan kanak-kanak, audiologis, ahli terapi pertuturan atau ahli terapi cara kerja mengikut keperluan.
Keempat, teruskan memberi rangsangan di rumah melalui aktiviti mudah seperti membaca buku bersama, berbual, menyanyi, bermain blok, melukis, bermain di luar dan melibatkan anak dalam rutin harian. Aktiviti harian yang konsisten memberi manfaat besar kepada perkembangan bahasa, motor, sosial dan emosi.
Ibu ayah perlu memahami bahawa kelewatan perkembangan bukanlah pengakhiran. Ramai kanak-kanak menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan apabila menerima intervensi awal dan sokongan yang tepat.
Jangan tunggu sehingga anak jauh ketinggalan sebelum bertindak. Jangan tunggu guru yang menyedarinya terlebih dahulu. Jika naluri ibu ayah merasakan ada sesuatu yang tidak kena, dapatkan penilaian secepat mungkin.
Lebih baik menjalani pemeriksaan dan mengetahui anak berkembang dengan baik daripada menunggu terlalu lama sehingga peluang intervensi awal terlepas.
Akhir sekali, masalah pembelajaran anak bukan untuk disembunyikan. Ia perlu difahami, diterima dan ditangani dengan penuh kasih sayang. Anak-anak tidak memerlukan ibu ayah yang sempurna, tetapi mereka memerlukan ibu ayah yang peka, berani bertindak dan sentiasa memberikan sokongan sepanjang proses perkembangan mereka.
Sumber: Harian Metro, National Health and Morbidity Survey 2022: Maternal and Child Health, Institute for Public Health, National Institutes of Health Malaysia , CDC — Learn the Signs. Act Early: Developmental Milestones & WHO — Nurturing Care for Early Childhood Development.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kegembiraan sebuah keluarga yang datang untuk berkelah bertukar menjadi tragedi apabila fenomena kepala air melanda secara tiba-tiba, meragut nyawa seorang wanita dan dua kanak-kanak di Taman Eko Rimba Sungai Sedim, Kulim, pada Jumaat.
Dalam kejadian menyayat hati itu, lima individu dilaporkan dihanyutkan arus deras selepas kepala air berlaku secara mengejut. Bagaimanapun, dua daripada mereka berjaya diselamatkan, manakala tiga lagi ditemukan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Shamsul Sinring berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2 petang. Menurut beliau, kejadian dipercayai berpunca daripada kepala air yang datang secara tiba-tiba, selain siren kecemasan di lokasi dilaporkan mengalami kerosakan.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Nur Atikah Abdullah, 28, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12, dan Muhammad Aariz Danial Md Radzi, 3.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohammad Haiqal Izwan Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.27 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
Menurut beliau, operasi pencarian dijalankan sebaik tiba di lokasi selepas dimaklumkan seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki dihanyutkan arus deras di kawasan sungai di bahagian atas bukit.
Hasil maklumat daripada orang awam, ketiga-tiga mangsa ditemukan terapung di aliran sungai tidak jauh dari lokasi mereka dilaporkan hilang.
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. Al-Fatihah.
Sumber: Astro Awani
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bentan selepas bersalin bukan sekadar demam atau sakit badan. Kenali tanda bahaya seperti pendarahan, demam, sesak nafas dan preeklampsia yang boleh mengancam nyawa ibu selepas bersalin.