
Menjadi seorang ibu bukan tugas yang mudah. Setiap hari bermula seawal matahari terbit hingga lewat malam, menguruskan rumahtangga, anak-anak dan diri sendiri semuanya menuntut tenaga dan kesabaran yang luar biasa. Namun, dalam kesibukan itu, kadangkala seorang ibu terlupa bahawa kebahagiaan diri juga perlu dijaga.
Berikut beberapa tip mudah dan realistik untuk membantu ibu-ibu menjadi lebih tenang, lebih tersusun dan yang paling penting, lebih bahagia tanpa perlu menjadi sempurna seperti robot.
Tiada salahnya untuk duduk sebentar, tarik nafas dalam-dalam dan berehat. Tidak semua perkara perlu diselesaikan segera. Menjaga kesihatan mental dan emosi itu sama pentingnya dengan menguruskan keperluan keluarga.
Kadang-kadang, apa yang dirancang tidak berlaku seperti yang diharapkan. Anak bangun lambat, kerja rumah tertangguh, masakan tidak menjadi. Jangan terlalu keras pada diri sendiri. Jadual seharusnya membantu, bukan menambah tekanan.
Sokongan daripada pasangan, ahli keluarga atau kawan rapat sangat bermakna. Tidak perlu memikul semua tanggungjawab seorang diri. Meminta pertolongan bukan tanda kelemahan, tetapi langkah bijak untuk kekal waras dan seimbang.
Walaupun hanya 10 minit sehari duduk minum kopi dengan tenang, sapu losyen kegemaran, atau membaca beberapa halaman buku cukup untuk menyegarkan jiwa. Kebahagiaan kecil ini adalah hadiah untuk diri sendiri yang bekerja tanpa henti.
Media sosial hanya menunjukkan sebahagian kecil kehidupan seseorang. Jangan terlalu mudah membandingkan diri dengan ibu-ibu lain yang kelihatan ‘sempurna’. Setiap keluarga ada perjalanan dan cabaran masing-masing.
Tidur yang mencukupi dapat membantu ibu berfikir dengan lebih jelas, lebih sabar dan tidak mudah marah. Jika anak tidur awal, manfaatkan waktu itu untuk berehat juga, bukan untuk menyelesaikan semua kerja rumah yang tertangguh.
Tiada yang lebih menyentuh hati selain melihat anak tidur lena selepas seharian bermain dan membesar di hadapan mata. Bisikkan doa dan ingat kembali, inilah rezeki paling besar yang Allah beri. Segala penat lelah, hilang seketika bila melihat wajah mereka.
Seorang ibu tidak perlu menjadi sempurna untuk menjadi hebat. Apa yang penting, terus mencuba untuk menjadi lebih baik setiap hari, sambil menjaga kesejahteraan diri sendiri. Bahagia itu bukan pada berapa banyak yang dapat dicapai, tetapi pada rasa tenang dan syukur dalam hati.
Ibu yang bahagia akan membesarkan anak-anak yang bahagia.