Kisah yang meruntun hati baru-baru ini mengenai seorang bayi berusia tiga bulan yang disahkan meninggal dunia selepas dipercayai lemas di bawah lengan ayahnya yang terkena serangan jantung, benar-benar membuka mata kita semua sebagai ibu bapa.
Tragedi ini bukan sahaja menyayat hati, malah menjadi satu peringatan besar buat kita untuk lebih peka dengan aspek keselamatan bayi, khususnya ketika tidur bersama anak kecil.
‘Simple Tapi Selamat’: 7 Tip Penting Elak Tragedi Seumpama Ini
Mungkin ramai antara kita yang memilih untuk tidur bersama bayi kerana ingin lebih mudah menyusukan, atau sekadar ingin merasa dekat dengan anak. Tapi dalam masa yang sama, kita perlu tahu bahawa tidur bersama bayi (co-sleeping) boleh mengundang risiko, terutama jika tidak dilakukan dengan cara yang selamat.
Ibu ayah, berikut beberapa tip mudah tetapi sangat penting untuk diamalkan agar si kecil sentiasa dalam keadaan selamat, terutamanya ketika tidur bersama:
Ads
1. Elakkan Tidur Terlalu Letih Dengan Bayi
Jika anda terlalu letih atau mengambil ubat yang menyebabkan mengantuk, elakkan tidur bersama bayi. Risiko untuk tidak sedar pergerakan bayi sangat tinggi dan boleh menyebabkan insiden seperti ini.
2. Pastikan Bayi Tidak Tidur Di Tengah-Tengah Ibu Ayah
Tidurkan bayi di sebelah ibu, bukan di tengah-tengah. Jika boleh, sediakan ruang khas seperti baby cot yang diletakkan bersebelahan katil ibu. Ini memudahkan penyusuan tanpa risiko bayi tersepit.
Ads
3. Jauhkan Bantal, Selimut Tebal & Bantal Peluk
Pastikan kawasan tidur bayi bebas daripada sebarang objek lembut yang boleh menyebabkan bayi sukar bernafas. Bantal tebal dan selimut yang besar juga boleh menyumbat saluran pernafasan bayi tanpa disedari.
4. Letakkan Bayi Dalam Posisi Tidur Terlentang
Posisi ini disarankan oleh pakar pediatrik seluruh dunia kerana ia membantu bayi bernafas dengan lebih baik dan mengurangkan risiko Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS).
5. Gunakan Tilam Keras & Permukaan Rata
Tilam yang terlalu lembut boleh menyebabkan bayi ‘tenggelam’ dan sukar bergerak. Gunakan tilam yang padat dan rata untuk keselamatan maksimum.
Ads
6. Pakaikan Bayi Dengan Pakaian Yang Selesa
Tak perlu pakaikan bayi dengan selimut tebal atau pakaian berlapis-lapis. Cukup sekadar pakaian tidur yang selesa dan sesuai dengan suhu bilik.
Pendidikan tentang persekitaran tidur yang selamat perlu bermula dari awal kelahiran. Jadikan ia sebagai budaya dalam penjagaan bayi agar semua ahli keluarga tahu tentang keselamatan bayi.
Sayangi, Peluk & Lindungi Nyawa Si Kecil
Ibu ayah, tiada siapa mahu perkara buruk terjadi kepada anak sendiri. Namun, malang tidak berbau. Apa yang boleh kita lakukan adalah terus berusaha untuk belajar, memperbaiki cara dan sentiasa utamakan keselamatan si kecil dalam setiap keadaan.
Nyawa anak itu anugerah yang tak ternilai. Jadikan kisah sedih ini sebagai satu peringatan dan pengajaran bersama. Kerana kadangkala, tip yang nampak simple, itulah sebenarnya yang boleh menyelamatkan nyawa anak kita.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Husna taknak adik!!!”, pastinya merupakan antara ungkapan daripada anak sulung yang mendatangkan debaran kepada setiap ibu bapa. Apatah lagi memikirkan tentang anak kedua yang bakal lahir dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Anugerah terindah
Mempunyai adik-beradik merupakan satu nikmat yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Ia merupakan anugerah yang tidak boleh ditukar ganti. Anda mungkin bergaduh dengan kakak, abang ataupun dengan si adik, tetapi akhirnya anda tetap akan berbaik kembali kerana ikatan pertalian darah itu tidak akan terputus sampai bila-bila.
Namun, sudah tentu perkara itu hanya disedari tatkala anda sudah meningkat dewasa. Pastinya ketika zaman kanak-kanak, apatah lagi jika anda merupakan anak sulung, akan wujud sedikit kesukaran untuk menerima kehadiran individu baru dalam keluarga anda, bukan?
Begitu jugalah dengan apa yang dialami oleh anak anda. Setelah sekian lama menjadi ‘anak tunggal’, tiba-tiba mendapat perkhabaran akan menjadi abang ataupun kakak. Perasaan yang dirasai itu sudah tentulah bercampur-baur.
Jadi bagaimana anda sebagai ibu bapa berdepan dengan situasi ini? Umumnya, anda bukan sahaja perlu melakukan persediaan untuk menerima kehadiran cahaya mata baru, tetapi anda juga perlu membantu cahaya mata pertama anda untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.
Persediaan buat anak sulung
Berkomunikasi dengan anak sulung anda merupakan cara yang paling terbaik dalam memberikannya kefahaman mengenai anak/adik yang bakal dilahirkan. Terangkan kepadanya bagaimana bayi makan, tidur dan akan menangis pada kebanyakan masanya.
Tetapi adakah itu sahaja yang perlu anda katakan kepadanya? Tidak. Ini kerana proses penerimaan anak pertama anda sudah pastinya akan memakan masa. Mustahil anak anda akan terus menerima apa yang anda kongsikan kepadanya.
Jadi berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan dan sampaikan kepada anak sulung anda supaya mereka akan dapat membina satu ikatan baik dengan bayi yang akan dilahirkan.
1. Kepentingan berkongsi
Sebagai anak pertama dan satu-satunya anak dalam sesebuah keluarga sudah tentu segala perhatian menjadi miliknya, tanpa perlu berkongsi dengan individu lain. Jadi apabila mereka akan menerima adik, anda perlu mendidik mereka untuk belajar berkongsi.
Keadaan ini penting untuk mengelakkan sebarang pergaduhan kerana tidak mahu berkongsi mainan atau barangan miliknya dengan si adik. Bantu anak pertama anda cara untuk berkongsi bersama individu lain dan berkompromi.
2. Bagaimana untuk menjadi baik dan penyabar
Anak sulung anda perlu belajar mengenai banyak perkara sebelum kelahiran anak kedua. Tidak dinafikan ada sesetengah anak akan menjadi gembira menerima perkhabaran bahawa mereka akan menjadi abang atau kakak. Ini sudah tentu satu berita baik.
Tetapi anda sebagai ibu bapa masih tetap perlu mengajar mereka untuk menjadi baik dan bersabar. Ini kerana apabila anak anda terlalu excited untuk mendapat adik, mereka mungkin menyangka bahawa adik atau bayi yang akan dilahirkan untuk sudah cukup dewasa untuk bermain bersama mereka.
Nampak macam perkara yang remeh, bukan? Namun, jika anda mengabaikan perkara ini, anda mungkin akan berdepan situasi di mana anak pertama anda akan menjadi marah apabila terpaksa berdepan dengan bayi yang hanya tahu menangis dan tidur tanpa ingin bermain dengan mereka.
3. Sentiasa ada ruang
Ini merupakan satu situasi normal apabila anak pertama anda tidak mahu menerima kedatangan ahli keluarga baru. Mengapa? Kerana mereka berasakan, kehidupan anda sekeluarga; ayah, ibu dan dirinya, adalah sudah mencukupi.
Jangan berputus asa, sentiasa ungkapkan kepadanya bahawa lebih besar keluarga ini, pasti akan lebih meriah. Yakinkan kepadanya bahawa dia pasti akan menjadi abang atau kakak yang baik.
4. Kasih sayang tidak akan berkurangan
Sudah tentu perkara yang paling menjadi kebimbangan dan ketakutan bagi seorang anak sulung adalah mereka tidak lagi akan disayangi oleh ibu bapa mereka, kerana perhatian dan kasih sayang akan lebih terarah kepada bayi yang baru lahir.
Anda memainkan peranan penting di sini untuk meyakinkan kepada mereka bahawa anda tetap akan mengasihi mereka dan kasih sayang tidak akan berkurangan. Jika tidak, ia akan menimbulkan rasa cemburu yang akhirnya akan menimbulkan dendam.
5. Belajar berdikari
Jika sebelum ini mereka sentiasa mengharapkan bantuan anda untuk melakukan sesuatu perkara. Latih mereka untuk mengurangkan kebergantungan kepada anda. Ungkapkan kata-kata berunsur pujian seperti, “Mama yakin Husna boleh buat sendiri, sebab anak mama ini hebat”.
Kata-kata pujian yang diberikan dipercayai dapat membantu menaikkan lagi keyakinan diri mereka untuk melakukan sesuatu tanpa mengharapkan bantuan sesiapa. Namun ia tidak bermakna anda boleh lepas tangan. Walaupun anda mahukan mereka untuk berdikari, pastikan anda tetap memantau mereka. Ini sudah tentu untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
6. Bermain bersama
Sekiranya anak sulung anda jarang bermain bersama dengan rakan seusianya yang lain, maka anda perlu membiasanya diri mereka untuk belajar bermain bersama. Ajarkan kepada mereka cara betul bermain dengan individu lain.
Didik mereka untuk tidak bermain secara kasar atau mementingkan diri sendiri. Pupuk dalam diri mereka semangat berpasukan, ini sekali gus dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang pergaduhan ketika bermain.
7. Membantu
Bayi yang baru lahir sememangnya memerlukan bantuan untuk melakukan segala-galanya. Melatih anak sulung anda untuk mudah memberikan bantuan pastinya akan membuatkan mereka memahami bahawa bayi yang baru dilahirkan sentiasa perlu dibantu.
Berikan peluang kepada mereka untuk memberikan bantuan kepada bayi yang baru dilahirkan itu. Keadaan ini dapat membantu meningkatkan keyakinan diri mereka dan dalam masa yang sama mengeratkan hubungan antara anak pertama dan adik mereka.
8. Mengendalikan si kecil
Anda sedang dalam usaha untuk mengeratkan hubungan antara anak pertama dengan adiknya. Dalam masa yang sama anda harus memastikan mereka mengetahui cara untuk melakukannya.
Ajari mereka untuk melakukan segalanya dengan lembut dan perlahan. Jika tidak, mereka mungkin akan menyakiti bayi yang baru lahir itu walaupun pada hakikatnya mereka tidak berniat untuk melakukannya.
9. Kepentingan menjaga ahli keluarga
Sebagai anak sulung, mereka perlu mengetahui bahawa kehadiran anak kedua atau adik merupakan sebahagian daripada ahli keluarga. Oleh yang demikian, mereka tetap perlu disayangi dan dijaga sama seperti ahli keluarga yang lain.
Sekiranya mereka boleh menerima kenyataan ini, secara tidak langsung akan membuatkan mereka menjadi pelindung kepada adik mereka. Bukankah ini yang diharapkan oleh semua ibu bapa?
10. Meluahkan perasaan
Apabila wujud ahli keluarga baru, anak pertama anda mungkin akan lebih banyak memendam perasaan. Maka perkara penting yang perlu anda ajarkan kepada mereka adalah untuk meluahkan apa yang dirasakan.
Sentiasa pastikan mereka sedar bahawa anda sentiasa ada untuk mereka jika mereka ingin meluahkan perasaan walaupun dengan kehadiran adik baru mereka. Ini sudah tentu jalan yang terbaik daripada membiarkan anak pertama anda memendam apa yang dirasakan dan meluahkannya dengan cara membaling mainan atau melakukan sesuatu yang mungkin boleh membahayakan bayi.
Kesimpulan
Keseronokan untuk menerima kehadiran cahaya mata kedua seharusnya tidak menyebabkan anda mengabaikan keperluan anak sulung anda. Jangan biarkan mereka berasakan bahawa anda sudah tidak menyayangi mereka lagi.
Menerima kehadiran ahli keluarga baru bukanlah perkara yang mudah, khususnya jika mereka sudah lama menjadi ‘anak tunggal’ dalam keluarga. Jangan ambil mudah, okay?
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seorang kanak-kanak perempuan maut manakala lima ahli keluarganya cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 425.9, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran susur keluar Kuala Terengganu di sini malam tadi.
Kemalangan pada pukul 11.45 malam itu melibatkan kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Pajero dinaiki mangsa, Sayyeda Khadeja Mohd. Nazri, 10, dan keluarganya, Ford Ranger, sebuah lori dan sebuah kereta Proton Saga.
Sayyeda Kadeja yang cedera parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan meninggal dunia sebaik tiba untuk menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini pada pukul 2.19 pagi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zuraidi Mohd. Yusuf berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut pada pukul 11.47 malam.
“Sebaik kami tiba, kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Pajero dinaiki enam beranak berkenaan telah terbalik akibat kemalangan melibatkan empat kenderaan berkenaan.
“Mangsa (Sayyeda Khadeja) telah tercampak keluar kira-kira lima meter dari kenderaannya manakala lima ahli keluarganya yang cedera dibantu keluar oleh pengguna jalan raya lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Rata-rata wargamaya meluahkan rasa kecewa dengan Lebuh Raya Pantai Timur 2 yang gelap, tiada lampu dan struktur jalan yang tidak rata.
Anak kita ni amanah Allah dan mereka juga ujian untuk ibu ayah. Elok yang kita tunjukkan eloklah peribadinya. Ibarat kata pepatah anak-anak kita ni ibarat kain putih yang bersih lagi suci. Baik buruk akhlak anak ni kita sebagai ibu bapa yang tentukan.
Dalam keadaan hari ini, didikan ibu bapa untuk anak sangat mencabar. Lagi-lagi dengan kecanggihan teknologi sekarang yang banyak mempengaruhi sikap dan emosi anak. Pantang terleka sikit, pasti ada kesilapan yang tak dijangka.
Lagi satu penting untuk ibu bapa tahu, anak-anak kita ni belajar melalui setiap apa yang mereka lihat. Kadang kita tak perasan pun bila berdepan dengan anak tetapi ia berlaku tanpa disengajakan.
Ini 5 kesalahan yang dikongsikan oleh Datuk Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah dan selalu ibu bapa buat sehingga anak hilang hormat, hilang percaya dan makin menjauh daripada ibu bapa:
1. Memaki hamun anak ketika menegur kesalahan mereka.
2. Tidak menunaikan janji kepada anak-anak.
3. Memarahi atau mempersendakan pasangan di hadapan anak-anak.
4. Menakut-nakutkan anak-anak dengan benda tahyul.
5. Menghukum tanpa menyatakan sebab.
Mari kita sama-sama sedar dan beringat bila mendidik anak. Tujuan utama kita ialah untuk anak berakhlak mulia, menjaga maruah dan nama keluarga kita kan?
Banyakkan berdoa, berkomunikasi dengan pasangan dan anak-anak. Insya-Allah.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Melalui pengalaman keguguran sememangnya cukup menyedihkan bagi seorang ibu hamil. Perlukan sokongan emosi yang cukup kuat dari orang-orang sekeliling. Ditambah pula dengan kerisauan sama ada sudah sembuh sepenuhnya ataupun belum.