Berita

Tragedi FDS Rentap Bahagia Keluarga, Juruterbang Jelas 5 Persoalan, No. 4 Kenapa Mangsa Tak Guna Payung Terjun

Share

Tragedi helikopter FDS mengundang pilu bukan sahaja kepada keluarga mangsa, malah seluruh masyarakat yang mengikuti perkembangan kejadian ini. Di sebalik setiap insan yang keluar bekerja, ada keluarga yang menunggu kepulangan mereka ke rumah. Ada ibu dan ayah yang menanti khabar anak, ada pasangan yang mengharapkan insan tersayang pulang seperti biasa dan mungkin juga ada anak kecil yang belum memahami mengapa insan yang mereka rindui tidak kembali.

Sebab itu apabila berlakunya tragedi, lebih-lebih lagi melibatkan kehilangan nyawa, setiap perkataan dan andaian yang dilemparkan perlu dibuat dengan penuh berhati-hati.

Bukan sahaja kerana siasatan masih berjalan, tetapi kerana di sebalik nama-nama mangsa yang disebut, ada keluarga yang sedang cuba menerima kehilangan begitu besar.

Tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara atau Flying Doctor Service (FDS) yang terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Sarawak pada 8 September lalu mengorbankan lima individu iaitu seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam kejadian sekitar jam 3.40 petang itu, helikopter jenis BO-105 berkenaan sedang menjalankan penerbangan FDS. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut.

Sejak kejadian itu, pelbagai persoalan dan andaian turut dibangkitkan orang ramai di media sosial.

Melihat kepada beberapa maklumat yang menurutnya kurang tepat, seorang juruterbang, Mohd Ezairol Rezan Zainol, tampil memberikan penjelasan menerusi perkongsian di Facebook berdasarkan pengetahuan dan pengalamannya dalam bidang penerbangan.

Artikel Trending: Nahas Helikopter FDS: Luahan Pilu Isteri Juruterbang, “Doakan Saya Dan Anak-Anak”

Artikel trending: “Saya Takut Bila Ada Anak Sendiri, Hati Saya Akan Berubah” Madammu Kongsi Dilema Besarkan 3 Anak Tiri

Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!

Artikel: Pelajar 12 Tahun Meninggal Mengejut Selepas Latihan Silat, Mengadu Sakit Kepala Sebelum Rebah

5 Persoalan Mengenai Tragedi Helikopter FDS

Antara persoalan yang timbul termasuk status pemilikan helikopter, sejarah pesawat BO-105 berkenaan, keadaan jerebu ketika penerbangan, penggunaan payung terjun dan keputusan juruterbang ketika berdepan situasi kecemasan.

Penjelasan Mohd Ezairol memberi gambaran mengapa sesetengah perkara berkaitan penerbangan tidak boleh dinilai hanya berdasarkan apa yang kelihatan mudah dari sudut pandangan orang awam.

1. Helikopter Bukan Milik Kerajaan

Antara perkara pertama yang dijelaskan Mohd Ezairol adalah berhubung dakwaan bahawa helikopter terbabit merupakan aset milik kerajaan.

Menurutnya, helikopter tersebut merupakan helikopter milik syarikat swasta Layang-Layang Aerospace yang digunakan bagi operasi FDS untuk membawa pasukan perubatan ke kawasan pedalaman.

Perkara itu turut selari dengan kenyataan Hubline Bhd yang mengesahkan helikopter bernombor pendaftaran 9M-LLF tersebut dikendalikan oleh unitnya, Layang Layang Aerospace Sdn Bhd dan sedang menjalankan penerbangan FDS ketika kemalangan berlaku.

Mohd Ezairol turut menjelaskan perkhidmatan helikopter sedemikian penting terutama bagi membawa petugas perubatan ke kawasan pedalaman yang sukar diakses.

2. Bukan Bekas Helikopter TLDM Atau PDRM

Beliau turut menjawab dakwaan yang tersebar bahawa helikopter jenis BO-105 tersebut pernah digunakan sebagai aset operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Mohd Ezairol, maklumat tersebut tidak tepat dan beliau meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu fakta berkaitan pesawat berkenaan.

Dalam keadaan keluarga mangsa masih berduka dan siasatan rasmi masih berlangsung, perkongsian maklumat yang belum disahkan boleh mencetuskan lebih banyak kekeliruan.

3. Kenapa Helikopter FDS Boleh Terbang Tetapi Helikopter SAR Tidak?

Satu lagi persoalan yang banyak dibangkitkan susulan tragedi helikopter FDS adalah mengenai keadaan jerebu.

Ada yang mempersoalkan bagaimana helikopter FDS berkenaan boleh melakukan penerbangan sedangkan helikopter bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaporkan berdepan kekangan untuk terbang.

Mohd Ezairol menjelaskan bahawa lokasi kedua-dua helikopter adalah berbeza.

Helikopter FDS berlepas dari Miri, manakala helikopter penyelamat yang dimaksudkan berada di Kuching.

Keadaan cuaca dan tahap penglihatan di sesuatu lokasi juga tidak semestinya sama pada satu-satu masa.

Malah, pihak polis sebelum ini memaklumkan keadaan berjerebu serta kedudukan lokasi nahas yang terpencil menjadi antara cabaran operasi SAR. Perkhidmatan udara dari pangkalan Kuching ketika itu tidak dapat digunakan, menyebabkan operasi pada peringkat awal turut bergantung kepada bantuan penduduk tempatan dan anggota di kawasan berdekatan.

Mohd Ezairol turut berkongsi pengalamannya berdepan keadaan jarak penglihatan yang sangat rendah ketika melakukan penerbangan ke Kuching sebelum ini.

4. “Kenapa Mereka Tak Lompat Guna Payung Terjun?”

Mungkin kedengaran seperti penyelesaian mudah bagi orang awam, namun menurut Mohd Ezairol, terjun menggunakan payung terjun daripada pesawat bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan sesuka hati.

Beliau yang mendakwa pernah menjadi jurulatih penerbangan PDRM dan mempunyai pengalaman membawa penerjun daripada unit khas menjelaskan bahawa seseorang perlu mempunyai latihan, kemahiran serta tahap kesihatan tertentu sebelum dibenarkan melakukan terjunan.

“Bukan semua orang dan bukan suka-suka hati kita je nak pakai payung terjun dan terjun keluar dari sesebuah pesawat. Ada hukum dan peraturannya!” jelasnya.

Tambahnya, faktor ketinggian juga memainkan peranan kerana pada ketinggian yang terlalu rendah, payung terjun mungkin tidak mempunyai masa mencukupi untuk terbuka sepenuhnya.

Justeru, persoalan mengapa penumpang tidak terus menggunakan payung terjun ketika berdepan kecemasan tidak boleh dilihat semudah yang disangkakan.

Dalam operasi penerbangan, sesuatu tindakan kecemasan juga bergantung kepada keadaan sebenar yang berlaku ketika itu. Sebab itulah andaian mengenai tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh mangsa perlu dibuat dengan berhati-hati sementara hasil siasatan rasmi belum diketahui.

Baca lagi: Ubat Cacing Kanak-Kanak: 7 Petanda Amaran Anak Dijangkiti Cacing Yang Ramai Ibu Bapa Terlepas Pandang

Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah

Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya

5. Kenapa Juruterbang Tidak Mendarat Di Kawasan Lapang?

Persoalan seterusnya menyentuh tindakan juruterbang ketika berdepan situasi kecemasan.

Ada yang bertanya mengapa helikopter itu tidak didaratkan sahaja di mana-mana kawasan lapang berhampiran berbanding menuju ke kawasan landasan.

Bagi Mohd Ezairol, persoalan itu sukar untuk dijawab kerana hanya juruterbang yang berada di dalam kokpit ketika itu mengetahui situasi sebenar yang sedang dihadapinya.

Dalam beberapa saat ketika kecemasan berlaku, juruterbang perlu memproses pelbagai maklumat dan membuat keputusan berdasarkan keadaan pesawat, lokasi, ketinggian serta situasi di sekelilingnya.

“Kita yang berada kat bawah ni boleh la fikir begitu begini sambil minum kopi, tapi kalau benda yang sama jadi kat kita, silap-silap kita sendiri pun ‘freeze’, kaku…”

Menurutnya, apa juga keputusan yang dibuat oleh juruterbang ketika itu, beliau percaya juruterbang berkenaan sudah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan semua yang berada di dalam helikopter.

“Pada aku apa jua tindakan pilot tersebut, dia dah cuba yang terbaik untuk selamatkan nyawa semua mangsa nahas yang terkorban.”

Tragedi Helikopter FDS: Jangan Cepat Menghukum Ketika Keluarga Sedang Berduka

Perkongsian tersebut juga menjadi peringatan buat kita semua, khususnya sebagai ibu ayah, mengenai pentingnya mendidik diri dan anak-anak supaya tidak terlalu cepat membuat kesimpulan apabila berlakunya sesuatu tragedi.

Di zaman media sosial, satu komen boleh ditulis dalam beberapa saat. Namun bagi keluarga yang kehilangan insan tersayang, kata-kata dan spekulasi itu mungkin menambah luka yang sedang cuba mereka hadapi.

Lebih baik ruang diberikan kepada pihak berkuasa dan pakar untuk menjalankan siasatan bagi menentukan punca sebenar kejadian.

CAAM telah memaklumkan bahawa siasatan nahas tersebut akan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.

Ini juga bermakna sebarang andaian mengenai punca tragedi helikopter FDS tidak seharusnya dianggap sebagai kesimpulan muktamad sebelum hasil siasatan pihak berkuasa diperoleh.

Dalam perkongsiannya, Mohd Ezairol turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga kesemua mangsa.

“Semoga segala khidmat, pengorbanan dan kebaikan yang mereka berikan sepanjang menjalankan amanah kepada masyarakat menjadi amal yang berpanjangan dan dikenang sentiasa.”

Beliau turut berpandangan sudah tiba masanya untuk melihat keperluan KKM memiliki helikopter sendiri serta mempertimbangkan elaun risiko yang lebih bersesuaian untuk pasukan perubatan yang menjalankan tugas FDS.

Apa pun, lima nyawa yang pergi bukan sekadar angka dalam sebuah laporan nahas.

Mereka adalah insan yang keluar bekerja membawa satu amanah besar, iaitu memastikan masyarakat termasuk keluarga dan anak-anak di kawasan pedalaman turut mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Di sebalik tragedi helikopter FDS ini juga ada pengorbanan petugas yang sanggup bergerak ke kawasan yang sukar diakses demi memastikan masyarakat pedalaman tidak terpinggir daripada mendapatkan rawatan dan perkhidmatan kesihatan.

Kini, biarlah siasatan menentukan apa sebenarnya yang berlaku. Buat keluarga mangsa pula, semoga diberikan kekuatan menghadapi kehilangan insan tersayang yang pergi ketika sedang menjalankan tugas dan berkhidmat kepada masyarakat.

Published by
Nor Yusoff