Tragedi Ibu & Anak Perempuan 3 Tahun Ditemui Terapung Di Laut Pulau Ketam

Share

Pagi yang biasanya tenang di Jeti Pulau Ketam bertukar menjadi detik paling menyayat hati buat penduduk sekitar apabila dua beranak seorang ibu dan anak perempuannya yang baru berusia tiga tahun ditemui sudah tidak bernyawa, terapung di laut.

Insiden tragis ini berlaku sekitar jam 7.30 pagi, Rabu lalu. Seorang lelaki tempatan yang sedang melalui kawasan jeti terlihat kelibat seorang kanak-kanak kecil terapung di permukaan air. Tanpa berlengah, beliau terus terjun ke laut dibantu beberapa orang awam lain dalam usaha menyelamatkan mangsa. Namun, usaha itu berakhir dengan kesedihan yang tiada tara.

“Kanak-kanak itu sudah tidak bernyawa sebaik sahaja kami naikkan ke jeti,” kata seorang petugas Klinik Kesihatan Pulau Ketam yang turut berada di lokasi bersama pihak polis.

Tidak lama kemudian, satu lagi mayat seorang wanita dewasa ditemui tidak jauh dari tempat yang sama. Wanita berkenaan turut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Naluri Seorang Ibu Hingga Ke Hujung Nyawa

Lebih meruntun jiwa, apabila identiti kedua-dua mangsa dikenalpasti sebagai ibu dan anak perempuan. Hasil siasatan awal pihak polis menemui sebuah beg berisi dokumen milik mangsa seorang wanita tempatan berusia 41 tahun dan anak perempuannya yang baru berusia tiga tahun.

“Tiada sebarang kecederaan ditemui pada tubuh mangsa,” ujar Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah.

Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Polis juga membuka satu kertas siasatan mati mengejut (SDR) dan menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.

Kami di Pa&Ma turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga roh kedua-dua insan ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Al-Fatihah buat arwah ibu dan anak kecil ini. Semoga syurga tempatmu, wahai anak… dan syurga juga buatmu, wahai ibu. 🕊️

Sumber: Sinar Harian

Published by
Nana