Pagi yang biasanya tenang di Jeti Pulau Ketam bertukar menjadi detik paling menyayat hati buat penduduk sekitar apabila dua beranak seorang ibu dan anak perempuannya yang baru berusia tiga tahun ditemui sudah tidak bernyawa, terapung di laut.
Insiden tragis ini berlaku sekitar jam 7.30 pagi, Rabu lalu. Seorang lelaki tempatan yang sedang melalui kawasan jeti terlihat kelibat seorang kanak-kanak kecil terapung di permukaan air. Tanpa berlengah, beliau terus terjun ke laut dibantu beberapa orang awam lain dalam usaha menyelamatkan mangsa. Namun, usaha itu berakhir dengan kesedihan yang tiada tara.
“Kanak-kanak itu sudah tidak bernyawa sebaik sahaja kami naikkan ke jeti,” kata seorang petugas Klinik Kesihatan Pulau Ketam yang turut berada di lokasi bersama pihak polis.
Ads
Tidak lama kemudian, satu lagi mayat seorang wanita dewasa ditemui tidak jauh dari tempat yang sama. Wanita berkenaan turut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Naluri Seorang Ibu Hingga Ke Hujung Nyawa
Lebih meruntun jiwa, apabila identiti kedua-dua mangsa dikenalpasti sebagai ibu dan anak perempuan. Hasil siasatan awal pihak polis menemui sebuah beg berisi dokumen milik mangsa seorang wanita tempatan berusia 41 tahun dan anak perempuannya yang baru berusia tiga tahun.
“Tiada sebarang kecederaan ditemui pada tubuh mangsa,” ujar Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah.
Ads
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Polis juga membuka satu kertas siasatan mati mengejut (SDR) dan menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan.
Kami di Pa&Ma turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga roh kedua-dua insan ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Al-Fatihah buat arwah ibu dan anak kecil ini. Semoga syurga tempatmu, wahai anak… dan syurga juga buatmu, wahai ibu. 🕊️
Hati ibu mana yang tidak gembira melihat kejayaan anak-anaknya? Segala jerih perih, air mata dan pengorbanan terasa berbaloi bila impian untuk melihat mereka menyarung jubah graduasi akhirnya tercapai. Itulah momen paling indah yang kini dirasai oleh pelakon dan pengacara, Raja Azura atau lebih mesra disapa Kak Engku, 52 tahun.
Memetik petikan daripada Berita Harian, beliau berkongsi rasa syukur apabila ketiga-tiga anaknya berjaya menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), sesuatu yang dianggap sebagai hadiah terbesar dalam hidupnya sebagai seorang ibu tunggal.
“Alhamdulillah, bila tengok anak-anak berjaya, segala pengorbanan rasa berbaloi. Saya anggap saya lulus dalam ujian sebagai ibu tunggal. Tiada siapa yang menyokong kecuali doa kepada Allah SWT, emak, sepupu yang juga pengurus saya, dan keluarga terdekat,” katanya sebak.
Semalam, Raja Azura memuat naik gambar bersama tiga anaknya, Megat Muhammad Raziq, 23; Megat Luqman Haqim, 22; dan Puteri Mia Maizura, 20 yang masing-masing bergambar dengan jubah graduasi.
Katanya, sesi fotografi khas itu sengaja diatur untuk mengabadikan momen berharga bersama mereka, malah turut disertai ibunya dan emak saudaranya yang selama ini menjadi tulang belakang serta sumber kekuatan.
“Sebenarnya, Megat Muhammad Raziq sudah bergraduasi tahun lalu, Megat Luqman Hakim akan graduasi esok (Sabtu) manakala Puteri Mia hanya tinggal satu semester saja. Jadi saya fikir lebih baik ambil gambar sebagai kenangan terindah sepanjang hidup saya,” ujarnya penuh syukur.
Raja Azura turut mengakui, perjalanan membesarkan anak-anak tidak pernah mudah. Dugaan kewangan sering menjadi cabaran, namun dia percaya rezeki sentiasa datang bila hati ikhlas.
“Kadang-kadang saya sendiri terfikir, dari mana datangnya duit untuk membesarkan mereka bertiga. Saya tak pernah buat pinjaman, anak-anak pun tak pernah ambil PTPTN. Hakikatnya, saya tidaklah mampu, tapi Allah beri rezeki cukup untuk kami,” kongsinya.
Sejak berpisah dengan bekas suami, Adzmin Osman, yang juga anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff pada 2010, fokus utama Kak Engku hanyalah membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Mac 2001, namun jodoh tidak berpanjangan. Walau begitu, hasil perkongsian hidup mereka kini menjadi kebanggaan buatnya.
“Saya tak pernah fikir nak kahwin lagi atau mencari pengganti. Bagi saya, niat saya jelas cuma membesarkan anak-anak sebaik mungkin. Demi Allah, saya tidak berdendam, cuma saya bersyukur diberi kekuatan melaksanakan amanah ini,” katanya tenang.
Sebelum bermula Ramadan pada hujung minggu ini, kebanyakkan sekolah di negara kita mengadakan aktiviti merentas desa yang bermula pada minggu ini.
Seorang wanita yang dikenali sebagai Shaf menarik perhatian ramai apabila menyediakan air minuman tiga tahun berturut-turut kepada murid yang sedang berlari.
Akuinya, dia merasa gembira apabila berpeluang untuk bersedekah dengan cara itu sebagai salah satu usaha untuk membantu murid-murid.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Shaf di laman TikToknya, tahun ini menjadi tahun ketiga dia dan suami berbuat demikian.
Jika sebelum ini disediakan air sirap yang dibancuh, namun kali ini dia dan suami memberikan air kotak pelbagai perisa.
Dalam video yang berdurasi hampir satu minit itu, dapat dilihat suami kepada Shaf menyusun air kota dengan rapi di atas meja berhadapan kediamannya.
“Tahun ke tiga berturut-turut kita bagi air kat anak-anak merentas desa ni.
“Kali ini sirap kita dah upgrade ke air kotak. Terima kasih kepada semua kawan-kawan yang terlibat! ‘Pelanggan’ yang paling akhir sekali istimewa.
“Nampaknya rumah kita boleh jadi perhentian utama setiap tahun!” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap murah hati Shaf dan suami dalam berkongsi rezeki dan mendoakan agar urusan keluarganya dipermudahkan selalu.
“Bayangkan, percutian impian bertukar trauma. anak pengsan di atas Salji. Perkongsian seorang ibu, Syira Charms, di Facebook begitu meruntun jiwa apabila anak tersayang mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti di salji semasa bercuti di Switzerland.
Inilah yang dilaluinya oleh ibu ini. Ada hari-hari tertentu dalam hidup seorang ibu hati rasa digenggam kuat sampai nafas sendiri pun terasa berat. Lama dia pendam, lama dia cuba kuatkan hati sebelum berani nak buka cerita sebenar.
Hari ini, selepas berbulan-bulan, barulah seorang ibu bernama Syira Charms ada kekuatan menceritakan semula detik hitam yang hampir meragut nyawa anaknya ketika bercuti di Switzerland pada bulan Jun lalu.
Ikuti perkongsian ibu ini penuh dengan luahan hati. Semoga ia menjadi pengajaran buat semua.
Bayangkan percutian impian bertukar jadi detik paling menakutkan untuk seorang ibu di Switzerland. Anak pengsan selepas terpelanting atas lantai salji keras dan hanya helikopter yang boleh selamatkan!
Hari ini barulah mommy ada kekuatan utk berkongsi kisah trauma kami di Switzerland pada Jun yg lepas.
Hari yang cerah 7 Jun 2025, kegembiraan anak-anak menyambut rancangan ke Jungfrau, Top of Europe, sangat terasa seawal jam 6.30 pagi. Mereka begitu teruja untuk bermain salji dan snowtube, aktiviti yang paling dinanti-nantikan oleh semua anak. Kami menggunakan Swiss Pass untuk bergerak ke stesen kereta api menuju Jungfrau, tiba di sana pada jam 1 tengah hari. Sebelum meneruskan perjalanan ke puncak, anak-anak meminta untuk menikmati snowtube terlebih dahulu.
Setibanya di kawasan snowtubing, salji renyai-renyai turun seakan menyambut kehadiran kami. Suasana nyaman, angin tidak terlalu kuat dan kami sekeluarga selesa bermain salji. Si kecil, Ahmed, ketawa tak berhenti sambil memegang salji. Kami membeli tiket masuk ke park dan setiap orang diberi masa setengah jam untuk bermain. Namun, kami perhatikan tidak ada pekerja di bahagian bawah slide, hanya pekerja di bahagian tiket dan pemberi tube sahaja. Tiada arahan jelas untuk giliran turun, jadi kami turun bersama lima orang sekaligus. Semuanya berjalan lancar ketika itu.
Pada cubaan kedua, kelajuan tube berbeza. Mommy, Safiyah, daddy dan Ahmed sampai ke bawah lebih awal. Fayyadh, Hannah dan Aisyah tertinggal di tengah. Kejadian tragis berlaku apabila tube Fayyadh bertembung dengan tube mommy dan Safiyah. Tube
Fayyadh meluncur laju dan slide agak curam, menyebabkan Fayyadh tercampak keluar daripada tube, terus jatuh di atas lantai salji yg keras, kepala sblh kanannya terhentak ke lantai dan terus pengsan. Fayyadh ketika itu sedang merakam suasana menggunakan telefon mommy. Safiyah, Hannah dan Aisyah pun terpelanting juga. Tu dengar anak yg menangis kat situ. Paling mommy syukur, Ahmed terselamat
Dua pelancong Korea yang baru turun segera membantu membawa Fayyadh ke sisi. Mommy memeriksa Fayyadh, menepuk mukanya dalam keadaan cemas, @nik gerila non stop panggil Fayyadh. Pekerja di atas turun membawa walkie talkie lebih kurang 10 minit kemudian. Fayyadh mulai sedar, mengerang kesakitan, dan menyatakan dia merasa gelap seketika, kemungkinan akibat pengsan. Kepala Fayyadh bengkak di sebelah kanan. Mereka segera membawanya ke pondok tiket kecil untuk menunggu pasukan kecemasan.
Pihak snowtubing menganggap kecederaan kepala Fayyadh adalah serius. Mereka letakkan ais di kepala Fayyadh dan bertanya keadaannya berulang kali. Setelah mendapat arahan, mereka perlu membawa Fayyadh ke bilik medical service sekitar 10 minit dari situ untuk pemeriksaan lanjut. Mommy terpaksa berpisah seketika daripada suami dan anak-anak lain bagi menemani Fayyadh ke pemeriksaan perubatan. Medical officer bertindak cekap. Beliau segera menyatakan Fayyadh perlu dibawa ke Hospital Kanak-kanak di Bern melalui helikopter kerana hospital di Interlaken adalah utk org dewasa.. Mommy sangat risau melihat bengkak di kepala Fayyadh walaupun sudah sedikit surut. Mommy bersedia naik train dua jam ke Bern, namun medical officer menegaskan helikopter sedang dalam perjalanan. Hati mommy berdebar. Demi keselamatan anak, mommy gagahkan diri menaiki helikopter bersama seorang doktor kanak-kanak, juruterbang dan pembantu.
Perjalanan mengambil 30 minit ke Inselspital Bern. Setibanya di sana, Fayyadh dikendalikan pantas di jabatan kecemasan. Pilot dan pembantu malah membantu urusan pendaftaran Fayyadh. Selepas 30 minit, Fayyadh mendapat wad dan dipantau setiap setengah jam oleh jururawat dan doktor selama 4 jam untuk memastikan tiada tanda-tanda komplikasi serius seperti muntah atau sakit kepala teruk.
Mommy sendiri berjalan mencari kedai halal untuk bungkus makanan. Suami dan anak-anak yang lain terpaksa kembali ke Interlaken menyebabkan mommy dan Fayyadh berdua sahaja di Bern. Fokus mommy hanya kepada kesihatan anak, tidak memikirkan diri sendiri atau hal lain.
Setelah doctor membuat pemeriksaan menyeluruh, Fayyadh dibenarkan balik. Mommy sangat bersyukur. Pesanan doktor agar terus pantau Fayyadh untuk 48 jam seterusnya. Jam 8 malam, mommy dan Fayyadh menaiki bas ke Bern Train Station untuk pulang ke Interlaken.
Banyak pengajaran dikutip dari insiden ini, keselamatan semasa bermain, pentingnya pengurusan kritikal, dan rasa syukur atas sokongan padu pihak Jungfrau dan orang ramai. Tidak terucap rasa terima kasih mommy dan keluarga kepada mereka yang membantu sepenuhnya.
✔ Keselamatan di kawasan permainan bukit/salji mesti diambil serius
✔ Jangan anggap semua park di luar negara selamat 100%
✔ Pengurusan krisis sangat penting
✔ Insurans perjalanan bukan pilihan ia wajib
✔ Sentiasa peka, walaupun momen itu nampak menyeronokkan
MyKid 260626-06-xxxx menjadi perhatian apabila bayi yang lahir di Pahang pada 26 Jun 2026 menerima nombor kad pengenalan yang unik, tersusun dan mudah diingati, sekali gus bertepatan dengan Hari Asyura.