Berita

Tragedi Kepala Air: Wanita, Dua Kanak-Kanak Terkorban Ketika Berkelah

Share

Kegembiraan sebuah keluarga yang datang untuk berkelah bertukar menjadi tragedi apabila fenomena kepala air melanda secara tiba-tiba, meragut nyawa seorang wanita dan dua kanak-kanak di Taman Eko Rimba Sungai Sedim, Kulim, pada Jumaat.

Dalam kejadian menyayat hati itu, lima individu dilaporkan dihanyutkan arus deras selepas kepala air berlaku secara mengejut. Bagaimanapun, dua daripada mereka berjaya diselamatkan, manakala tiga lagi ditemukan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Shamsul Sinring berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2 petang. Menurut beliau, kejadian dipercayai berpunca daripada kepala air yang datang secara tiba-tiba, selain siren kecemasan di lokasi dilaporkan mengalami kerosakan.

“Kejadian disyaki berpunca dari kepala air yang datang secara tiba-tiba dan siren kecemasan di tempat kejadian mengalami kerosakan,”katanya.

Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Nur Atikah Abdullah, 28, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12, dan Muhammad Aariz Danial Md Radzi, 3.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohammad Haiqal Izwan Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.27 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.

Menurut beliau, operasi pencarian dijalankan sebaik tiba di lokasi selepas dimaklumkan seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki dihanyutkan arus deras di kawasan sungai di bahagian atas bukit.

Hasil maklumat daripada orang awam, ketiga-tiga mangsa ditemukan terapung di aliran sungai tidak jauh dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

Salam takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. Al-Fatihah. 

Sumber: Astro Awani

Published by
Nor Yusoff