
Siapa sangka keterujaan sebuah keluarga kecil meraikan Hari Kebangsaan di Putrajaya buat pertama kali menjadi antara kenangan terakhir mereka bersama sebelum tragedi LPT1 meragut tiga nyawa.
Muhammad Nazatullah Nazmi dan isterinya, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, masing-masing berusia 32 tahun, sempat membawa anak kesayangan mereka, Armaan, 4, merasai kemeriahan sambutan kemerdekaan sebelum perjalanan mereka bertukar menjadi tragedi.
Tiga beranak itu pergi buat selama-lamanya selepas kereta Proton S70 yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan ngeri melibatkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).
Dalam kejadian tersebut, kenderaan dinaiki keluarga berkenaan dilaporkan tersepit di antara sebuah lori tangki dan bas ekspres sehingga remuk teruk.
Lebih memilukan, beberapa jam sebelum tragedi LPT1 itu berlaku, keluarga kecil berkenaan masih sempat mencipta kenangan bersama ketika meraikan sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya.
Artikel trending: “Saya Takut Bila Ada Anak Sendiri, Hati Saya Akan Berubah” Madammu Kongsi Dilema Besarkan 3 Anak Tiri
Artikel viral: Lebih 25 Manfaat Bila Ada Kad OKU Untuk Anak Disleksia, Autisme Dan ADHD, Ibu Ayah Jangan Malu Daftar!
Artikel: Pelajar 12 Tahun Meninggal Mengejut Selepas Latihan Silat, Mengadu Sakit Kepala Sebelum Rebah
Menurut bapa Nur Atiqah, Mohd Kazwan Kassim, 59, anaknya sempat berkongsi gambar bersama suami dan anak mereka ketika menyambut Hari Kebangsaan di Putrajaya menerusi kumpulan WhatsApp keluarga.
Katanya, ia dipercayai merupakan kali pertama tiga beranak itu memilih Putrajaya sebagai lokasi untuk meraikan sambutan kemerdekaan kerana sebelum ini mereka biasanya menyambutnya di Kuantan.
“Rasanya ini kali pertama mereka sambut Merdeka di Putrajaya. Sebelum ini biasanya mereka sambut di Kuantan saja.
“Saya sendiri memang tak sangka. Tetapi ini sudah ketentuan Allah belaka,” katanya.
Malah perkongsian Allahyarham Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, bersama anak lelakinya, Armaan, ketika menyambut Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya, semalam, mengundang sebak selepas beliau sekeluarga maut dalam nahas di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1), Temerloh, malam tadi.
Mohd Kazwan turut berkongsi detik ketika mula mengetahui mengenai kemalangan berkenaan menerusi gambar yang tersebar di media sosial.
Sebagai seorang bapa, hatinya mula berasa tidak sedap apabila melihat sebuah Proton S70 dalam gambar kemalangan kerana anaknya juga menggunakan kenderaan jenis sama.
Namun jauh di sudut hati, dia masih berharap kereta tersebut bukan milik anaknya.
“Bila tengok gambar itu, saya rasa macam kereta anak saya sebab dia memang pakai S70 tetapi dalam hati saya kata, bukan anak aku kot.
“Kemudian kawan dia hantar nama mangsa yang terbabit. Bila tengok nama itu, memang sahih nama anak saya yang kena,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Luahan ringkas seorang ayah itu cukup menggambarkan betapa sukarnya menerima berita kehilangan anak, menantu dan cucu dalam satu kejadian.
Mohd Kazwan berkata, kali terakhir dia bertemu Nur Atiqah yang merupakan anak kedua daripada empat beradik adalah pada Khamis lalu.
Ketika itu, anaknya datang ke rumah bersama suami dan Armaan, tanpa sesiapa menyangka pertemuan tersebut menjadi antara pertemuan terakhir mereka sekeluarga.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya
Allahyarham Nur Atiqah dan suaminya juga dikenali sebagai pengusaha sebuah kafe dipemilik Secangkir Cafe di Sungai Karang, Kuantan. Berita pemergian pasangan suami isteri bersama anak mereka dalam tragedi LPT1 itu bukan sahaja mengejutkan ahli keluarga, malah turut dirasai oleh komuniti serta pelanggan yang pernah berkunjung ke kafe berkenaan.
Rata-rata yang pernah berurusan dengan mereka menyifatkan pasangan itu sebagai individu yang baik dan peramah. Malah ada pelanggan yang mengenali mereka hanya melalui urusan di kafe turut meluahkan rasa sedih apabila mengetahui mengenai tragedi tersebut.
Semoga Allah SWT merahmati roh Muhammad Nazatullah Nazmi, Nur Atiqah Sofiya dan anak mereka, Armaan, mengampunkan segala dosa serta menempatkan ketiga-tiganya dalam kalangan hamba-Nya yang beroleh rahmat.
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga yang ditinggalkan. Semoga diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan hati dalam menempuh ujian kehilangan yang begitu besar ini.
Sumber: Kosmo
Klik sini: https://kliik.je/product-details/181?title=jom-mewarna-multiverse