
Gambar hiasan
Sabtu lalu, seluruh negara dikejutkan dengan tragedi menyayat hati di Plaza Tol Bukit Kajang. Seorang bayi lelaki berusia setahun maut selepas tercampak keluar dari kenderaan sebelum tersepit di bawah kenderaan lain dalam nahas yang melibatkan empat buah kenderaan.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, hasil siasatan awal mendapati mangsa tidak diletakkan di dalam child seat ketika kejadian. Situasi ini menjadi punca utama bayi tersebut tercampak keluar apabila sebuah lori muatan lusuh gagal membrek lalu merempuh kenderaan di plaza tol berkenaan.
“Saya tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa. Ini peringatan penting kepada semua. Ramai yang mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan child seat kerana faktor kos, namun insiden ini membuktikan betapa pentingnya ciri keselamatan itu. Bayangkan jika bayi tersebut berada dalam child seat, kemungkinan besar dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” katanya.
Menurut laporan Harian Metro, Loke menegaskan, child seat ialah ciri keselamatan tambahan yang terbukti mampu melindungi nyawa penumpang kecil dan tidak boleh dipandang ringan.
“Setiap ciri keselamatan yang diperkenalkan mempunyai fungsi dan kebaikan tersendiri. Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa mengabaikan child seat boleh membawa risiko besar kepada kanak-kanak,” katanya pada sidang media selepas perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG).
Dalam masa yang sama, Loke turut mengingatkan pengusaha kenderaan berat supaya tidak hanya bergantung kepada pemeriksaan Puspakom yang dilakukan setiap enam bulan. Penyelenggaraan mestilah berterusan bagi mengelakkan kegagalan sistem seperti brek.
Lori yang terlibat dilaporkan mempunyai permit sah dan rekod Puspakom masih valid, namun breknya gagal berfungsi sehingga pemandu terpaksa melompat keluar untuk menyelamatkan diri. Polis kini meneruskan siasatan penuh, termasuk pengesahan teknikal terhadap kerosakan brek lori terbabit.
Kes ini membuka mata kita bahawa nyawa anak-anak terlalu berharga untuk dipertaruhkan. Walaupun perjalanan dekat atau “kejap saja”, anak tetap perlu dipasang dalam child seat yang sesuai dengan berat dan umur mereka.
Kerusi keselamatan kanak-kanak bukanlah aksesori mewah, tetapi pelaburan untuk keselamatan. Tragedi ini menjadi peringatan jelas bahawa langkah kecil boleh menyelamatkan nyawa yang kita paling sayangi.