
Tragedi di Pantai Cenang minggu lalu benar-benar menggegarkan hati ramai. Seorang kanak-kanak lelaki warga Rusia, Vladimir Iakubanets, baru 2 tahun, maut selepas disengat ubur-ubur ketika mandi di tepi pantai.
Dia yang bersama keluarganya segera dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), namun doktor akhirnya mengesahkan pemergiannya pada jam 9.46 pagi hari ini.
Bapanya yang dikenali sebagai Nikita, 32, berkata, anak mengalami komplikasi serius daripada sengatan haiwan beracun itu.
Menurut laporan Harian Metro, kejadian Sabtu lalu, ketika mandi di kawasan air cetek, anaknya tiba-tiba menjerit kesakitan ketika di dalam air laut.

“Dalam beberapa saat saja, dia berhenti bernafas. Saya cuba buat CPR (bantuan pernafasan kecemasan) secepat mungkin. Ada pelancong lain datang membantu dan bawa kami kepada penyelamat pantai.
“Mereka hanya cuci luka dengan cuka sebelum hantar ke klinik dan kemudian ke hospital,” katanya ketika ditemui di HSB hari ini.
Nikita yang berasal dari Khabarovsk, Rusia berkata, pasukan perubatan di Langkawi dan Alor Setar sudah berusaha menyelamatkan Vladimir.
Katanya, mereka juga tidak berniat mengambil sebarang tindakan undang-undang, namun berharap tragedi itu menjadi peringatan kepada pengunjung mengenai bahaya sengatan ubur-ubur.
Pasangan suami isteri itu percaya kejadian menimpa anaknya adalah untuk selamatkan orang lain, untuk elakkan tragedi sama berulang.

“Vladimir sangat baik dan bijak, kami keluarga yang bahagia,” katanya dalam nada sebak.
Isterinya, Olga, 32, berkata, mereka mahu pemergian kanak-kanak itu membawa makna kerana Vladimir sejak kecil dikenali sebagai anak yang suka membantu.
“Dia wira kami… malaikat kecil kami. Setiap hari kami beritahu kami sayang dia dan dia selalu balas dia sayang kami,” katanya.
Pasangan itu merancang membawa abu Vladimir pulang ke Rusia selepas proses pembakaran mayat selesai.
Sumber: Harian Metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!













