
Kita selalu ingat trauma hanya dirasai oleh orang dewasa. Hakikatnya, bayi yang masih dalam kandungan juga boleh ‘merekod’ tekanan yang dialami oleh ibunya.
Lebih menyayat hati, ramai ibu hamil yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga terpaksa melalui penderitaan fizikal dan emosi yang bukan sahaja memudaratkan diri mereka tetapi turut mengancam keselamatan si kecil yang belum lahir. Situasi trauma ibu hamil seperti ini semakin membimbangkan dan sering berlaku tanpa disedari.

Ramai ibu di luar sana mungkin tidak sedar bahawa setiap tekanan, ketakutan, dan kesakitan yang mereka alami ketika hamil sebenarnya memberi impak besar kepada perkembangan bayi. Bila tubuh ibu sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga, hormon stres seperti kortisol meningkat secara mendadak dan inilah yang akhirnya memberi kesan langsung kepada tumbesaran bayi dalam kandungan.
Trauma Ibu = Trauma Pada Bayi Dalam Kandungan
Menurut Pengamal Perubatan Am, Psikiatri dan Kesihatan Mental, Dr. Fakrul Azren Azhar, mangsa keganasan rumah tangga lazimnya berdepan trauma yang sangat mendalam seperti:
- gangguan tekanan akut (Acute Stress Disorder)
- kebimbangan melampau
- insomnia
- hilang selera makan
- kemurungan
Dalam keadaan sebegini, ibu hamil bukan sekadar hidup dalam ketakutan tetapi turut kehilangan rasa selamat dan harga diri. Jika trauma ini berlarutan, ia boleh berkembang menjadi Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) dan gangguan kemurungan major. Inilah realiti pedih yang dialami apabila trauma ibu hamil tidak dirawat segera.
Lebih merisaukan, hormon stres yang tinggi secara kronik boleh mengganggu perkembangan bayi, antaranya:
- kelahiran pramatang
- berat bayi lahir rendah
- gangguan pertumbuhan janin
- risiko masalah emosi & tingkah laku apabila kanak-kanak membesar
Ini menunjukkan betapa kuatnya hubungan emosi antara ibu dan bayi. Bila ibu terancam, bayi juga menerima ‘isyarat’ tekanan yang sama melalui aliran hormon dalam badan.

Mengapa ‘Bonding’ Boleh Tergugat?
Kehamilan sepatutnya menjadi waktu yang penuh kasih sayang, ketenangan dan impian. Tetapi trauma boleh menjadikan ibu:
- sukar memberi fokus pada bayi
- tidak dapat merasa keterujaan menanti kelahiran
- rasa terputus hubungan dengan kandungan
- sukar membina ikatan emosi selepas kelahiran
Bonding bukan berlaku selepas bayi lahir sahaja – ia bermula sejak dalam rahim. Sebab itu sokongan emosi sangat penting untuk memastikan ibu merasa selamat dan dihargai.
Pelaku Keganasan Bukan Sekadar ‘Ada Masalah Mental’
Mengulas beberapa kes termasuk tragedi menimpa Jahidah Nordin, Dr. Fakrul menjelaskan bahawa tidak semua pelaku keganasan rumah tangga mengalami gangguan mental klinikal.
Sebaliknya, ramai mempunyai ciri-ciri berikut:
- corak pemikiran toksik
- empati yang sangat rendah
- sikap mengawal pasangan
- impulsiviti tinggi
Dalam sesetengah kes, pelaku mungkin mempunyai Gangguan Personaliti Antisosial atau Narsistik, yang menjadikan mereka tidak melihat pasangan sebagai manusia yang perlu dihormati tetapi sebagai “milik” yang boleh dikawal. Sejarah trauma pelaku juga boleh mempengaruhi corak tingkah laku ini, namun ia tidak pernah menjadi alasan untuk menjustifikasi penderaan.

Ibu Hamil Perlu Dilindungi Bukan Disakiti
Kehamilan adalah fasa yang memerlukan perlindungan, bukan penderaan. Trauma yang berlaku pada ibu bukan berhenti pada tubuhnya sahaja malah ia menembusi hingga ke rahim, memberi kesan kepada bayi yang tidak berdaya. Kes-kes trauma ibu hamil bukan sahaja merosakkan emosi ibu, tetapi turut mencorakkan perkembangan bayi selepas lahir.
Sebagai masyarakat, kita tidak boleh diam. Sebagai pasangan, suami perlu menjadi tempat perlindungan bukan punca ketakutan. Sebagai keluarga, kita perlu membuka mata dan bertanya khabar. Sebagai rakan, kita perlu peka sebelum terlambat.
Kerana dalam setiap tubuh wanita yang sedang mengandung… ada satu nyawa kecil yang juga “merasakan” dunia melalui ibunya. Dan bayi itu berhak datang ke dunia dengan penuh rasa selamat, bukan trauma. Setiap langkah kecil untuk menyokong ibu hamil mampu mengubah masa depan seorang anak.
BACA LAGI : Buku Pink Ibu Hamil: Kenapa Ruangan Tahap Pendidikan Penting Dalam Penjagaan Kehamilan
Sumber : Harian Metro
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!















