Anak kecil kita banyak berkomunikasi dengan tangisan, menangis bila nakkan sesuatu, menangis bila rasa tak puas hati. Itu tindakan biasa bagi anak kecil di bawah usia tiga tahun. Bila anak dah masuk tiga tahun tetapi masih gunakan cara ni tanpa keluarkan satu patah perkataan pun, mama papa kena periksa. Bimbang anak ada masalah pendengaran!
Menurut Encik Mohd Rayyan Abdul Halim, Audiologis daripada Perfect Hearing, Shah Alam, ada beberapa petanda dan isyarat bahasa badan anak yang menunjukkan mereka ada masalah pendengaran. Mama papa kena periksa ni.
Komunikasi anak kecil hanyalah dengan menangis. Apa sahaja keperluan dan keinginan mereka seperti lapar, sejuk, panas, minta didodoi, tidak selesa, minta ditukar lampin, semuanya adalah dengan menangis.
Komunikasi ini kemudiannya berubah apabila bayi membesar bermula dengan bebelan bunyi konsonan seperti ba, ba, ma,ma, pa, pa. Pendedahan bunyi atau percakapan berterusan kepada bayi merangsang otak mereka untuk berkomunikasi dengan apa yang mereka dengar.
Lebih kerap kita berkomunikasi dengan mereka, lebih banyak rangsangan otak dapat dihasilkan. Apabila mencapai umur 1 tahun, bayi mula menyebut perkataan yang bermakna seperti “mama” yang merujuk kepada si ibu atau “papa” merujuk kepada si ayah. Jika berkehendakkan sesuatu mereka sepatutnya boleh menyebut satu perkataan seperti ‘nak’ sambil menunjuk benda yang dikehendaki.
Apabila mencecah umur 2 tahun dengan 2 patah perkataan seperti “nak makan”, umur 3 tahun dengan sekurang-kurangnya dengan 3 patah perkataan seperti “nak makan nasi”. Perkembangan komunikasi ini berkembang seiring dengan pertambahan umur dan hendaklah sentiasa dipantau secara berterusan.
Kenal Pasti Tanda-Tanda Anak
Jika anak sudah berumur 3 tahun tapi komunikasinya adalah hanya dengan isyarat bahasa badan seperti menunjuk-nunjuk dengan jari (finger-pointing) kepada barang yang dikehendakinya, ibu bapa perlu berhati-hati.
Kemahuan anak tanpa sebarang permintaan lisan seperti, menunjuk ke dapur yang bermaksud mahu makan , menunjuk ke televisyen yang bermaksud mahu menonton, menunjuk ke bilik yang bermaksud mahu tidur, maka ini memberi petanda yang memerlukan tindakan segera dari ibu bapa.
Sekiranya si anak ingin menonton televisyen dengan kekuatan suara televisyen yang tinggi atau selalu menonton dalam jarak yang dekat juga memberikan petanda berhati-hati juga kepada ibu –bapa. Begitu juga jika si anak kerap mengadu sakit telinga dan mempunyai masalah pembelajaran di sekolah.
Tanda-tanda ini merupakan tanda awal seseorang itu mengalami masalah pendengaran yang boleh membawa kepada masalah lain seperti lewat bercakap dan masalah pembelajaran apabila memasuki alam persekolahan nanti.
Tips Untuk Ibu Bapa
1. Perbanyakkan ilmu berkaitan perkembangan dan pertumbuhan bayi dan kanak-kanak.
2. Sentiasa merangsang otak si anak dengan sentiasa berkomunikasi.
3. Pastikan komunikasi si anak mengikut jadual perkembangan mengikut umur.
4. Buat perbandingan perkembangan komunikasi antara abang atau kakak dengan si adik pada umur tertentu jika perlu.
5. Perhatikan respon si anak kepada bunyi-bunyi yang biasa di rumah seperti bunyi mainan, bunyi air, bunyi burung dan lain- lain lagi.
6. Bertindak dengan segera dengan merujuk kepada doktor atau Audiologis sekiranya :
* Anak kerap mengadu sakit telinga / cecair kerap mengalir dari dalam telinga.
* Si anak menonton televisyen atau gajet dengan nada bunyi yang kuat atau menonton terlalu dekat dengan televisyen
* Lewat bercakap.
* Berkomunikasi dengan bahasa isyarat seperti menunjuk jika inginkan sesuatu tanpa komunikasi lisan.
* Selesema berpanjangan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI