
Vaksin influenza merupakan antara langkah perlindungan yang boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan influenza dalam kalangan kanak-kanak. Berita baik buat keluarga yang menetap di Selangor, Program Vaksin Anak Selangor (SelVaksin) menyediakan akses kepada vaksin influenza untuk pemohon yang memenuhi syarat yang ditetapkan. Ibu ayah hanya perlu menyemak kelayakan dan membuat tempahan melalui aplikasi SELANGKAH.
Mengapa Vaksin Influenza Penting Untuk Kanak-Kanak?
Bila anak mula batuk, demam dan selesema, ibu ayah pasti risau lebih-lebih lagi jika jangkitan berlaku berulang kali atau merebak kepada ahli keluarga lain. Selain menjaga kebersihan dan mengelakkan anak daripada individu yang tidak sihat, vaksin influenza juga merupakan salah satu langkah perlindungan yang boleh dipertimbangkan.
Kanak-kanak terutama yang masih kecil mempunyai risiko lebih tinggi mengalami komplikasi akibat influenza berbanding orang dewasa yang sihat. Oleh sebab itu, pencegahan melalui vaksinasi sering disarankan mengikut nasihat doktor dan garis panduan kesihatan semasa.
Boleh Kurangkan Beban Perbelanjaan Ibu Ayah
Harga vaksin influenza di klinik swasta lazimnya boleh mencecah sekitar RM80 hingga RM90 bagi satu dos, bergantung pada klinik dan jenis vaksin yang digunakan. Jika mempunyai dua atau tiga orang anak, jumlah perbelanjaannya tentu lebih besar.
Menerusi Program SelVaksin, ibu ayah yang layak boleh membuat tempahan untuk anak melalui aplikasi SELANGKAH. Kemudahan ini sedikit sebanyak membantu keluarga mendapatkan perlindungan tambahan tanpa terlalu terbeban dengan kos.
Bagaimanapun, jumlah dos yang diperlukan mungkin berbeza mengikut umur dan sejarah vaksinasi anak. Sesetengah kanak-kanak berusia enam bulan hingga lapan tahun yang pertama kali menerima vaksin influenza mungkin memerlukan dua dos dengan jarak sekurang-kurangnya empat minggu. Dapatkan pengesahan doktor atau petugas kesihatan semasa menghadiri janji temu.

Siapa Yang Boleh Menerima Vaksin Influenza?
Secara umum, vaksin influenza boleh diberikan kepada bayi dan kanak-kanak bermula usia enam bulan, bergantung kepada keadaan kesihatan serta jenis vaksin yang digunakan.
Kanak-kanak bawah usia lima tahun, khususnya yang berumur bawah dua tahun, mempunyai risiko lebih tinggi mengalami komplikasi influenza yang serius.
Namun begitu, bayi berusia bawah enam bulan masih belum layak menerima vaksin influenza. Oleh itu, perlindungan daripada ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga melalui amalan kebersihan serta vaksinasi mereka sendiri turut memainkan peranan penting.
Ibu ayah juga perlu memaklumkan kepada petugas kesihatan sekiranya anak mempunyai sejarah alahan serius terhadap vaksin, sedang tidak sihat atau mempunyai masalah kesihatan tertentu sebelum suntikan diberikan.

Syarat Kelayakan Program SelVaksin
Berdasarkan maklumat program yang dikongsikan, antara syarat kelayakan adalah:
- Terbuka kepada Anak Selangor mengikut ketetapan semasa program.
- Pendapatan isi rumah RM8,000 dan ke bawah.
- Telah menetap di Selangor sekurang-kurangnya 10 tahun.
Laman rasmi pendaftaran SelVaksin turut menyatakan had maksimum pendapatan isi rumah sebanyak RM8,000 bagi melayakkan pemohon menyertai program ini.
Kelayakan, kuota, lokasi dan tarikh janji temu boleh berubah dari semasa ke semasa. Oleh itu, ibu ayah disarankan menyemak maklumat terkini melalui aplikasi SELANGKAH sebelum membuat permohonan.
Artikel Trending: Kemas Kini Mykad Atau Berisiko Didenda RM20,000, Ini Ibu Ayah Kena Ambil Peduli Bila Pindah Rumah
Baca lagi: Ramai Salah Faham! Bantuan Kanak-Kanak JKM Bukan Terus Dapat RM1,000 Sebulan,Ini Cara Kiraannya

Anak Belum Bersekolah? Isi “TIADA”
Bagi anak kecil yang belum memasuki taska, tadika atau sekolah, ibu ayah boleh mengisi perkataan “TIADA” pada ruangan nama sekolah sekiranya ruangan tersebut diwajibkan.
Selepas maklumat anak didaftarkan, pilih menu SelVaksin, semak lokasi dan masa yang tersedia sebelum membuat tempahan janji temu.
Pada hari vaksinasi, bawa anak bersama MyKid atau sijil kelahiran serta dokumen pengenalan penjaga bagi tujuan pengesahan.
Selepas suntikan selesai, rekod atau sijil vaksinasi akan dipaparkan melalui aplikasi SELANGKAH mengikut proses yang ditetapkan oleh pihak program.
Vaksin Influenza Bukan Jaminan Tidak Dijangkiti
Walaupun vaksin influenza tidak menjamin seseorang tidak akan dijangkiti influenza, ia terbukti membantu mengurangkan risiko mendapat jangkitan, mengurangkan lawatan ke klinik, mengurangkan ketidakhadiran ke sekolah serta mengurangkan risiko penyakit menjadi lebih serius sehingga memerlukan rawatan di hospital.
Perlindungan vaksin juga akan berkurang dari semasa ke semasa, manakala virus influenza sentiasa mengalami perubahan. Oleh sebab itu, vaksin influenza lazimnya disarankan setiap tahun menggunakan vaksin yang sesuai mengikut umur dan keadaan kesihatan penerima.
Trending artikel: Bantuan MamaKerja Kini RM10 Juta! Lagi 5000 Ibu Bekerja Terima Insentif RM1,000
Semak Kelayakan Melalui Aplikasi SELANGKAH

Bagi ibu ayah yang memenuhi syarat, jangan lepaskan peluang mendapatkan manfaat Program SelVaksin. Semak aplikasi SELANGKAH, daftarkan maklumat anak dan lihat sama ada tempahan vaksin influenza masih dibuka di lokasi berhampiran.
Program ini bukan sahaja membantu menjimatkan perbelanjaan keluarga, malah memudahkan ibu ayah mengambil langkah awal untuk melindungi kesihatan anak daripada komplikasi influenza.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





