
Menjadi ibu pada zaman sekarang bukanlah tugas yang mudah. Selain menguruskan rumah tangga dan membesarkan anak-anak, ramai wanita turut memikul tanggungjawab sebagai penyumbang utama pendapatan keluarga. Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, perbelanjaan penjagaan anak termasuk yuran taska, pusat asuhan dan keperluan harian anak-anak sering menjadi antara komitmen terbesar ibu bapa.
Justeru, sebarang bantuan yang dapat mengurangkan beban kewangan keluarga pastinya memberi kelegaan kepada ramai ibu bekerja. Berita baik buat warga Selangor apabila Kerajaan Negeri mengumumkan penambahan peruntukan Program MamaKerja sebanyak RM5 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.
Penambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan MamaKerja kini meningkat kepada RM10 juta dan bakal memberi manfaat kepada lebih ramai ibu bekerja di negeri itu.
5,000 Lagi Ibu Bekerja Bakal Terima RM1,000

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tambahan peruntukan RM5 juta itu akan membolehkan 5,000 lagi wanita menerima insentif sebanyak RM1,000 seorang.
Menurut beliau, langkah tersebut dibuat selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat serta peningkatan kos penjagaan anak yang ditanggung oleh keluarga.
“Dengan mengambil kira keadaan sedia ada apabila kita berdepan krisis yang mampu memberikan kesan kepada ekonomi, Kerajaan Negeri akan menambah peruntukan sebanyak RM5 juta.
“Ia supaya jumlah RM10 juta dapat memberikan manfaat RM1,000 kepada setiap wanita yang mempunyai anak berumur enam tahun dan ke bawah yang perlu duduk di taska ataupun pusat penjagaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Tambahan RM5 juta untuk MamaKerja bakal memperluas manfaat kepada 5,000 lagi ibu bekerja, menjadikan jumlah penerima keseluruhan seramai 10,000 orang di Selangor. Dengan penambahan itu, seramai 10,000 ibu bekerja di Selangor dijangka menerima manfaat daripada program berkenaan.
Apa Itu Program MamaKerja?
Program MamaKerja merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri Selangor yang diperkenalkan bagi membantu wanita yang ingin terus bekerja selepas melahirkan anak.
Bantuan ini diwujudkan bagi meringankan kos penjagaan anak, sekali gus memberi sokongan kepada ibu yang ingin meneruskan kerjaya tanpa perlu terlalu terbeban dengan kos pengasuhan anak yang semakin meningkat.
Program ini juga merupakan sebahagian daripada Tawaran Kita Selangor yang dijanjikan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Selangor pada pilihan raya negeri 2023.
Berapa Jumlah Bantuan Yang Diterima?
Menerusi program ini, penerima yang layak akan menerima insentif sekali bayar sebanyak RM1,000.
Bantuan kewangan tersebut akan disalurkan melalui aplikasi NINE (Nine Months) yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai platform digital untuk menyokong kesejahteraan ibu dan anak.
Siapa Yang Layak?

Antara syarat kelayakan yang diumumkan bagi Program MamaKerja ialah:
- Wanita yang sedang bekerja.
- Mempunyai anak berumur enam tahun dan ke bawah yang ditempatkan di taska atau pusat penjagaan.
- Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM8,000 sebulan.
- Mempunyai maksimum tiga orang anak berusia bawah 12 tahun.
- Memenuhi syarat tambahan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor semasa permohonan dibuka.
Bantuan Hargai Pengorbanan Ibu Bekerja
Menurut Amirudin, bantuan tersebut merupakan antara usaha yang digerakkan menerusi Belanjawan Selangor 2026 bagi menghargai peranan wanita yang bukan sahaja mengurus keluarga, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berkata kerajaan negeri mengiktiraf pengorbanan golongan ibu yang setiap hari berusaha menyeimbangkan tanggungjawab sebagai pekerja, isteri dan ibu dalam masa yang sama.
Penyaluran bantuan ini diharap dapat membantu meringankan sedikit beban kewangan keluarga khususnya dalam menampung kos penjagaan anak yang semakin meningkat.
INI CARA NAK MOHON: PERMOHONAN MAMA KERJA
Banyak Lagi Bantuan Untuk Rakyat Selangor
Selain penambahan peruntukan MamaKerja, Kerajaan Negeri Selangor turut mengumumkan pelbagai inisiatif lain di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 bernilai RM209.26 juta.
Antaranya termasuk Dana Pantas Usahawan bernilai RM20 juta, Biasiswa Pendidikan Kita Selangor dengan peruntukan RM17 juta, Program Transisi Kerjaya PLATS, pengurangan kadar sewa premis PBT sebanyak 30 peratus, moratorium Smart Sewa serta pelbagai bantuan lain yang bertujuan membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Bagi ibu bekerja di Selangor, penambahan peruntukan MamaKerja kepada RM10 juta pastinya menjadi khabar gembira. Selain membantu mengurangkan beban kos penjagaan anak, inisiatif ini turut membuktikan bahawa peranan wanita dalam keluarga dan dunia pekerjaan terus mendapat perhatian serta sokongan daripada kerajaan negeri.
Sumber: Bernama & mediaselangor.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





