
Setiap ibu bapa memang nak beri yang terbaik untuk anak, terutama bab kesihatan. Ada yang sanggup berhabis duit semata-mata nak pastikan anak membesar sihat, kuat dan cerdas. Antara usaha yang ramai buat ialah beli vitamin, gummy atau suplemen tambahan untuk anak-anak.
Tapi persoalannya, kalau anak sebenarnya sihat dan makan seperti biasa, betul ke dia perlukan semua itu?
Isu ini pernah jadi tumpuan ramai apabila satu perkongsian daripada public health mendapat perhatian. Ia membuka mata ibu bapa tentang realiti sebenar: kanak-kanak yang sihat sebenarnya tidak memerlukan vitamin kanak-kanak atau suplemen tambahan, kecuali dalam keadaan tertentu yang disarankan doktor.
Ramai ibu bapa membeli suplemen bukan kerana anak sakit, tetapi kerana takut. Takut anak lambat membesar, takut anak nampak lemah, takut anak tak cukup zat, dan takut anak tak cerdik.
Ketakutan inilah yang menjadi sasaran utama iklan vitamin kanak-kanak. Iklan ini jarang bercakap tentang bukti klinikal, sebaliknya menekan emosi ibu bapa. Bila emosi disentuh, keputusan yang dibuat selalunya bukan berdasarkan fakta.
Perlu difahami, suplemen bukan makanan harian. Ia adalah dos pekat nutrien. Vitamin larut lemak seperti A, D, E dan K boleh terkumpul dalam badan jika diambil berlebihan.
Tanpa pemantauan doktor, pengambilan vitamin kanak-kanak secara berterusan boleh memberi kesan kepada hati, buah pinggang dan sistem dalaman anak. Badan anak terpaksa bekerja lebih keras untuk memproses bahan yang sebenarnya tidak diperlukan.
Jadi inilah sebab hanya kanak-kanak tertentu (mempunyai masalah kesihatan) sahaja memerlukan suplemen kanak-kanak!
Gummy vitamin yang manis nampak comel dan menyeronokkan, tetapi ia sebenarnya melatih lidah anak untuk bergantung kepada rasa manis.
Apabila gula menjadi kebiasaan, selera anak terhadap makanan sebenar mula menurun. Anak jadi cerewet, susah makan, dan ibu bapa mula panik. Akhirnya, lebih banyak vitamin kanak-kanak dibeli untuk menampung masalah yang sebenarnya berpunca daripada tabiat makan.
Ada ibu bapa beranggapan jika anak tidak makan sayur atau buah, suplemen sudah mencukupi. Ini satu salah faham besar.
Makanan sebenar mengandungi serat, protein, mineral, fitonutrien dan struktur semula jadi yang membantu penyerapan nutrisi. Semua ini tidak wujud dalam bentuk pil atau gummy.
Vitamin kanak-kanak tidak boleh menggantikan fungsi makanan sebenar. Ia bukan lesen untuk mengabaikan rutin pemakanan seimbang.
Ramai ibu bapa rasa perlu bagi anak vitamin setiap hari supaya anak cepat tinggi, kuat dan “tak mudah sakit”. Tapi untuk kanak-kanak yang sihat dan makan normal, vitamin tambahan sebenarnya tidak wajib.
Ini sebabnya:
1) Risiko dos berlebihan (boleh jadi toksik)
Vitamin larut lemak seperti A, D, E, K boleh terkumpul dalam badan jika diambil berlebihan.
Bila terlalu banyak, ia boleh membebankan hati dan buah pinggang.
2) Gummy vitamin tinggi gula & pewarna tiruan
Vitamin berbentuk gummy biasanya mengandungi gula tambahan dan pewarna.
Ini boleh menyebabkan:
anak mudah suka makanan manis
risiko gigi rosak meningkat
3) Suplemen bukan “magic” untuk IQ atau selera makan
Tiada bukti kukuh yang menunjukkan suplemen boleh buat anak jadi lebih bijak secara ajaib, terus berselera makan dan automatik jadi kuat. Kecerdasan dan tumbesaran anak lebih bergantung pada makanan sebenar, tidur dan rutin harian.
4) Hanya perlu jika disahkan doktor
Suplemen hanya perlu untuk kes tertentu seperti kekurangan zat yang disahkan, masalah pemakanan serius dan keadaan kesihatan tertentu.
Banyak iklan menggunakan ayat seperti “untuk otak”, “tingkatkan fokus” dan “tingkatkan IQ”. Hakikatnya, tiada bukti kukuh menunjukkan vitamin kanak-kanak boleh menjadikan anak lebih pintar.
Kecerdasan anak dibina melalui tidur yang cukup, pemakanan seimbang, aktiviti fizikal, rangsangan minda, emosi stabil dan persekitaran positif. Jika asas ini lemah, suplemen mahal sekalipun tidak memberi kesan.
Suplemen hanya diperlukan apabila doktor mengesahkan ada kekurangan nutrisi atau masalah kesihatan tertentu. Ia berdasarkan pemeriksaan, bukan andaian.
Bukan kerana kawan beli. Bukan kerana influencer cadangkan. Dan bukan kerana takut anak ketinggalan.
Jika benar sayangkan anak, fokus kepada perkara asas yang terbukti berkesan.
Makanan sebenar, konsep suku suku separuh, protein mencukupi, buah dan sayur ikut kemampuan, air kosong, tidur mengikut umur dan rutin harian yang konsisten.
Inilah asas kesihatan yang membina badan dan minda anak dari dalam. Iklan tidak menjual kesihatan anak. Iklan menjual ketakutan ibu bapa. Jangan biarkan ketakutan itu menentukan keputusan anda.
Sumber: Public Health